Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 19

Anak tangga yang tersedia ditempuh dengan berhati-hati. Kepalanya sedikit pening, penglihatannya berbalam malah matanya sudah mula rasa pedih dan ngilu. Mualnya juga datang tanpa dijangka waktu. Dian sedar, penyakit yang dihadapinya itu sudah mula memunculkan diri dan entah berapa lama matanya akan dapat bertahan lagi. Kata-kata doktor yang memberi rawatan padanya dulu kembali di ingatan. Segera dia menyedarkan diri, tak mahu terlalu memikirkan hal tersebut kerana ada perkara lain yang lebih penting untuk diusahakan.

“Ya-Allah, bantulah aku Ya-Allah. Redailah aku dan permudahkanlah jalannya.” tuturnya perlahan buat jadi penawar kegusaran yang melanda sambil setapak demi setapak langkah kaki diatur menuju ke tempat keberadaan ummi yang dirindui.

“Assalammualaikum ummi, Dian dah datang ni.” tuturnya dalam senyuman saat mata menyapa tubuh ummi tercinta.

“Ummi bangunlah…Dian rindu dengan ummi. Dian teringin sangat nak dengar suara ummi lagi.” tambahnya sambil mencapai tangan ummi dan mengusapnya sebelum dikucup lembut.

“Dian rindu nak dengar ummi nasihatkan Dian macam selalu. Ummi bangunlah ya, Dian betul-betul rindu ummi.” tuturnya sebelum mengucup pipi ummi yang masih terbaring di situ. Hanya doa yang mampu diutuskan agar ummi mendapat dirinya semula.

“Ummi tak rindu dengan Dian? Haritu ummi kata ummi rindu Dian. Ummi yang janji nak tunggu Dian, tapi bila kita jumpa ummi dah tak nak bangun pulak. Ummi dah tak sayang kat Dian ke?” tuturnya dalam tangisan sebelum tubuh ummi yang dikasihi didakap erat.

“Ummi…bangunlah…” tuturnya sayu, sambil terus menangisi nasib diri.

 

Seperti kebiasaannya, Azeem melangkah masuk ke bilik Dian. Keningnya berkerut bila melihatkan keadaan bilik yang kosong kerana apa yang dicari tak terjumpa mata namun bunyi air yang dilepaskan di sinki menunjukkan kehadiran Dian di situ. Beg kain yang terdapat di sebelahnya dipandang tak berkelip. Beg warna krim lusuh dengan beberapa tompokan dakwat pen yang terdapat di badannya betul-betul mengganggu tumpuan. Hatinya jadi tak selesa. Hanya dengan melihat beg tersebut dia sudah dapat mengagak keadaan hidup wanita yang dinikahinya itu.

“Susah sangat ke hidup kau sampai kena jual diri? Penting sangat ke belajar tu sampai kau ambil keputusan macam ni?” hatinya bergerutu kerana difikirkan wanita itu bertindak secara keterlaluan serentak tangannya menepis beg berkenaan. Tanpa disengajakan beg terjatuh ke lantai dan bertaburanlah segala kelengkapan yang ada di dalamnya. Azeem menyumpah dirinya sendiri kerana tak sangka perkara itu akan terjadi.

“Hish…siot betul. Betul-betul menyusahkan.” tuturnya geram kerana terpaksa melakukan tugasan tambahan. Tergesa-gesa dia mengutip barang-barang tersebut, tak mahu kesilapannya itu diketahui oleh Dian. Tangannya terhenti ketika matanya terpandangkan kad pelajar Dian yang turut terdapat di situ.

Wajah Dian yang tersenyum gembira membuatkan hatinya terusik kerana senyuman semanis itu tak pernah dipamerkan dihadapannya. Azeem pantas tersedar. Dia tahu yang Dian tak bahagia. Semua yang Dian lakukan adalah atas sebab terpaksa dan airmata yang menitis di pipi itu saat mereka bersama adalah bukti segala-segalanya.

Kenangan Dian merayunya di wisma menjelma lagi. Azeem mula menyesali perbuatannya menolak mentah-mentah rayuan itu. Andai dia menerima, pasti Dian takkan melakukan kerja gila seperti ini. Desisnya sendiri sebelum dia dihambat perasan bersalah itu lagi. Dia rasa bersalah kerana telah merosakkan hidup seorang remaja demi untuk menjaga air muka.

Sedang dia menyesali diri, Dian muncul disebalik pintu bilik air yang baru terbuka. Serentak pandangannya bertemu dengan mata Azeem yang masih terbongkok di sisi katil. Kedua-duanya sunyi tak berbunyi sebelum Dian segera mengalihkan arah muka kerana dia masih berusaha untuk membiasakan dirinya. Azeem segera bangun sebelum beredar meninggalkan Dian yang tetap terpaku di situ.

 

Kereta dipandu laju menuju ke kondo miliknya. Malam ini dia mahu bersendiri. Dia takkan mampu untuk berhadapan dengan Dian dalam keadaan itu. Perasaan bersalah yang cuba untuk dipendamkan akhirnya menjelma juga. Dia mula jatuh simpati pada Dian dan perasaan itu semakin bercambah hari demi hari, atas alasan apapun dia sendiri tak pasti.

“Azeem, tengok apa yang kau dah buat. Kau yang rosakkan hidup dia.” tuturnya menyesali perbuatan sendiri.

“Tapi kau pun salah. Aku suruh cari penaja lain, tapi kenapa kau buat benda lain.” tuturnya lagi, masih cuba untuk membela diri sebelum melepaskan sebuah keluhan yang berat.

Keretanya dipakir di tempat yang dikhaskan. Blok kondominium mewah itu sunyi dan itulah yang dia cari kerana dia perlu bersendiri. Kepalanya runsing bila setiap kali memikirkan tentang Aida yang menghilang entah ke mana. Sudah berbulan berlalu, tapi Aida tetap sunyi tanpa berita tak terkecuali rakan karibnya Linda. Kerinduan pada cinta hatinya itu sudah tak dapat nak digambar dengan kata-kata.

 

Kesunyian di dalam unit kondo tersebut mula mendera hati. Senyuman manja Aida yang merayu dan memujuknya terbayang di mata, tapi dengan tak semena-mena wajah Aida diganti dengan wajah sayu Dian yang berlinangan air mata. Azeem melepaskan keluhan yang berat. Kepalanya mula berdenyut-denyut, serentak dia menuju ke bilik untuk mencari ubat sakit kepala yang biasa disimpan Aida.

“Jumpa.” tuturnya sebelum tersenyum puas, tapi penglihatannya tertumpu pula pada sebotol ubat yang diletakkan di bahagian belakang, agak tersorok daripada pandangan. Alangkah terkejut rasa hati bila membaca label pada botol tersebut, serentak senyumannya mati tiba-tiba.

“Aida!” tuturnya marah dan tanpa berlengah, dia bertindak untuk mendapatkan telefon bimbitnya lalu menghubungi Aida.

Lama dinanti, sebelum panggilan terhenti. Beberapa kali berikutnya hasilnya juga sama. Hatinya mula panas. Segera dia menghubungi Linda pula namun dia tetap tak berjaya. Seperti juga Aida, Linda turut sama tidak menghiraukan panggilannya.

 

Jam sudah menunjukkan angka 0230 pagi. Azeem tersedar tadkala terdengar bunyi pintu yang ditutup kuat diikuti dengan suara yang dia pasti sangat datangnya dari aras bawah.

“Aida.” tuturnya pasti sebelum segera menuruni anak tangga. Sesampainya dia di tangga, dia terkesima. Dia terpandangkan aksi Aida dan Robert yang saling berpelukan di situ dalam keadaan mabuk dan Robert tak melepaskan peluang mengusap dan mengucup wajah isterinya itu. Hatinya panas semula, darahnya sudah naik sampai kepala. Botol ubat digenggam dengan penuh kemarahan. Sakit hatinya bila dilayan seperti lelaki dayus, membiarkan lelaki lain menyentuh haknya seperti itu.

“Aida!” pekiknya marah. Serentak Aida dan Robert tersedar. Serta-merta Aida menolak tubuh Robert supaya menjauhinya.

“Honey, macam mana you boleh ada kat sini? Tolong jangan salah faham. Kami tak buat apa-apa.” ucap Aida membela diri.

“Tak buat apa-apa you cakap? Berpeluk cium macam ni pun you cakap tak buat apa-apa? I beli rumah ni untuk kita tapi you senang-senang bawa jantan lain ke sini? You ni isteri apa?” balasnya marah.

“You cakap dengan I, apa yang you minta yang I tak bagi selama ni? Semua yang you nak I beri, tapi ini balasan yang I dapat? Patutlah you tak kisah nak bagi I kat perempuan lain sebab you sendiri dah ada jantan lain!” jerit Azeem sebelum melepaskan satu tumbukan ke muka Robert. Padat dan berat sampai terjelepok tubuh itu ke lantai.

“Rasakan. Itulah balasannya kerana berani usik hak orang lain.” tuturnya yang masih dikuasai api kemarahan.

“Honey, you dah salah faham. Kami tak buat apa-apa.”

“Honey listen, dia Robert, kawan baik you.” pujuk Aida setelah sedar hubungan sulitnya itu bakal terdedah.

“You tak payah nak berdalih lagi. Ni, ni, apa ni? Sekarang I nak you jelaskan pada I, apa bendanya ni?” tuturnya sambil menyuakan botol yang berada di tangan.

“Selama hari ni, you makan ubat ni kan?” soalnya marah. Aida jelas terkejut. Rahsianya kini terbongkar kerana Azeem sudah mengetahui segalanya.

“Jawaplah, kenapa senyap!” tengkingnya lagi sambil mencampakkan botol ubat tersebut ke lantai. Tindakan Aida sangat mencabar kesabarannya.

“Honey, I boleh explain. You dah salah faham.” balasnya, masih cuba menutup pekong didada.

“Salah faham you cakap? Dah sampai tahap ni pun you masih tak nak mengaku? Ok, sekarang I bagi you masa untuk jelaskan. Sekarang you jelaskan pada I apa maknanya semua ni?” tuturnya sambil sabar menanti jawapan daripada Aida yang masih terhuyung-hayang pergerakannya.

“Now, tell me!” marah Azeem lagi. Aida terdiam. Dia cuba untuk mencari alasan tapi tiada satupun yang mampu untuk difikirkan.

“I betul-betul kecewa dengan you.” tuturnya sebelum meninggalkan Aida yang masih berusaha untuk mencipta alasan.

Azeem bungkam. Hatinya bukan saja telah terluka, malah telah parah berdarah. Sakit bila menyaksikan kecurangan si isteri dengan mata dan kepala sendiri. Tiba-tiba fikirannya melayang mengingati Dian. Adakah itu balasan atas kesalahan yang pernah dilakukan kepada Dian? Kini dia mula mengerti makna kecewa. Perasaan yang sama dirasai oleh Dian, setelah rayuannya ditolak begitu saja.

 

Tiba di rumah, Azeem terus menjengah ke bilik Dian, namun Dian tiada di tempat yang sepatutnya kerana katil dilihat kosong tak bertuan. Hatinya mula rasa tak tenang. Kakinya pantas memasuki bilik tersebut sebelum langkahnya terhenti tadkala melihat sekujur tubuh Dian yang sedang berbaring dengan hanya berbantalkan lengan, tapi Dian nampak damai walaupun hanya tidur di atas lantai. Azeem terpaku, sebelum hatinya tiba-tiba sakit seperti dihiris sembilu. Perlahan-lahan dia menghampiri Dian dan terduduk di situ.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati