Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 23

Berita yang baru diterimanya tadi berjaya menyuntik semangatnya semula. Akhirnya saat yang dinanti tiba. Doktor telah mengesahkan yang dia hamil. Keputusan ujian ultrasound itu digenggam erat. Dia gembira, hatinya ceria kerana dia bakal menjadi ummi, sama macam ummi dan insan pertama yang ingin dikongsikan perkhabaran gembira itu semestinya adalah ummi.

“Assalammualaikum ummi. Dian dah datang ni.” tuturnya sambil menyalami tangan ummi. Hari ini dia mahu menemani ummi. Lampu hijau yang diberikan Azeem semalam nyata memudahkan dirinya. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal dan sesekali peluang itu takkan disia-siakan.

“Ummi, malam ni kita tidur sama ya. Dah lama Dian tak dapat tidur dengan ummi. Dian rindu sangat nak tidur sambil peluk ummi macam dulu-dulu.” ucapnya lagi sambil mengusap dan mengucup dahi ummi sebelum dia mengambil tempat di sebelah ummi.

“Ummi…ummi nak tahu satu benda tak?” soalnya lagi sambil memandang wajah ummi penuh kasih. Senyuman tak lekang di bibir kerana kegembiraannya dah tak tergambar.

“Tapi sebelum tu kita tukar arah dulu. Mesti belakang ummi dah tak selesa kan? Asyik duduk macam ni je. Kejap lagi kita sambung cerita semula.” tuturnya sambil mengubah kedudukan ummi seperti yang telah diajarkan oleh jururawat yang bertugas. Tujuannya untuk mengelak daripada berlakunya luka di bahagian belakang badan akibat terlalu lama berada pada posisi yang sama, tak lupa juga sebagai satu terapi dan senaman untuk melancarkan pergerakan darah dalam tisu badan. Selesai menguruskan ummi, dia mengambil tempat semula di sebelahnya.

“Ummi, kita sambung balik cerita kita tadi. Ummi dah sedia nak dengar?” soalnya sambil meraih semula tangan ummi dan mengucupnya lembut lalu membawa tangan itu ke perut.

“Ummi…ummi bakal jadi nenek.” tuturnya memberitahu sambil menatap wajah itu sayu. Dia seperti dapat melihat senyuman terukir di wajah kaku itu dan tanpa sedar matanya mula bergenang.

“Ummi cepatlah sedar ya. Nanti ummi boleh sama-sama jaga cucu ummi ni. Dian nak ummi jaga Dian masa pantang, lepastu ajar Dian cara nak jadi ummi yang baik, sama macam ummi. Ummi idola Dian. Dian sayang ummi.” tuturnya sebelum mengucup lembut pipi itu.

“Ummi tahu kan banyak mana Dian sayang Ummi.” tambahnya pula.

“Banyak ni. Satu jari ni tambah lagi dengan satu jari yang ni…” tuturnya sambil menaikkan dua batang jari ummi, serentak dia jadi semakin sebak.

“Lepastu, tambah lagi dengan semua jari-jari kita ni.” ucapnya sambil menggenggam erat jari-jemari ummi dan membawanya ke pipi.

“Tapi, bukan banyak ni je ummi. Lepastu tambah lagi dengan semua jari-jari yang pernah Allah cipta kat dunia ni. Banyak kan?”  

“Banyak sangat, sampai Dian sendiripun tak tahu banyak mana. Banyak, sampai kalau nyawa sekalipun yang ummi perlu, Dian takkan teragak-agak untuk beri sebagai ganti.”

“Ummi cepatlah bangun ya. Kami rindu ummi…” tuturnya ditemani air mata kesedihan. Dia tewas lagi kerana empangan matanya itu takkan pernah tandus saat hati mengingati ummi.

 

“Ummi, adik lapar. Kita nak pergi mana ni ummi? Malam ni kita nak tidur mana?” soal Dian bertalu. Perutnya sudah lama berkeroncong. Kakinya pula sudah mula kepenatan kerana sudah lama mereka berjalan namun genggaman tangan ummi tetap tak mampu untuk dilepaskan.

“Kita jalan sikit lagi. Kat depan tu ada kedai. Kita makan kat sana dulu.” balas ummi tak sanggup membiarkan anaknya itu kelaparan, walaupun hanya janji kosong kerana dia tak mempunyai wang untuk menunaikannya.

Keadaan di dalam kedai makan agak sibuk. Setelah menanti agak lama, seorang wanita pertengahan umur datang untuk mengambil pesanan.  

“Sekejap, sekejap.” tutur wanita itu pada pelanggan lain yang berada di sebelahnya, minta diberikan ruang.

“Minta maaflah, lambat sikit. Pekerja yang lama dah berhenti, tak sempat lagi nak cari ganti. Adik nak pesan apa?” ucap wanita itu kepada Azizah.

“Bagi saya nasi goreng satu dengan air suam dua.” balas Azizah pula.

“Nasi goreng dengan air kosong dua. Lagi?” soal wanita itu semula. Sekadar mahu menyemak pesanan. Perlahan ummi menggelang sebelum dia memberanikan diri untuk bertanya.

“Kak, ada nak pakai pekerja?” soalnya, mahu mencuba nasib.

“Adik nak kerja? Betul ni?” soalnya tak percaya. Mujur memang tak dapat nak diraih tapi syukur, mujur tetap datang padanya. Berkali-kali ummi mengangguk menyatakan kesanggupannya.

“Betul kak, betul. Saya nak kerja.” tutur ummi bersungguh.

“Alhamdulillah. Memang kak nak pakai pekerja sangat ni. Kalau betul adik nak kerja, ikut akak. Biar akak tunjukkan apa yang kena buat.” jawapnya. Ummi gembira tak terkata.

“Adik tunggu ummi kat sini ya. Jangan pergi mana-mana. Ummi ikut mak cik pergi dapur sekejap. Nanti adik makan dulu, jangan tunggu ummi.” pesannya sebelum dia hilang di sebalik dinding dapur.

“Adik siapa nama?” soal wanita itu, lupa yang mereka belum berkenalan lagi.

“Saya Azizah.” balas ummi.

“Akak Jaharah, tapi semua orang kat sini panggil akak, Mak Andak. Ok, kalau macam tu Azizah tolong cucikan pinggan. Akak nak uruskan hal kat depan.” arahnya.

“Baik kak.” balas ummi. Segera dia bertindak seperti yang diarah. Seperti sudah dirancang, semuanya nyata dipermudah.

 

“Zizah dah dapat tempat tinggal?” soal Mak Andak, usai urusan di kedai dan ummi hanya menggeleng. Kisah hidup Azizah turut menyentuh hatinya. Sejak daripada awal lagi dia telah melihat lebam-lebam di tubuh itu, cuma dia tak ada kesempatan untuk menanyakannya, tapi sekarang barulah dia tahu perkara yang sebenar.

“Kalau macam tu, Zizah tinggal je kat bilik atas. Satu bilik kami buat tempat solat, yang satu bilik lagi kami buat tempat simpan barang, bayar sekali dengan sewa kedai, tapi sempit sikit la. Zizah tak kisah?” cadang Mak Andak. Seboleh-boleh dia ingin membantu meringankan beban wanita yang berada di hadapannya itu.

“Ya-Allah kak, betul ke kak bagi Zizah tumpang tinggal kat sini?” soal ummi tak percaya.

“Bukan kat sini. Kat atas. Kat sini kan tempat kita kerja.” balasnya dengan senyuman. Sekadar ingin bergurau, ummi yang mendengar turut tersenyum sama.

“Ini kuncinya.” tutur Pak Samad, tukang masak, merangkap suami Mak Andak. Mereka gembira kerana dapat membantu apa yang termampu.

“Bawa anak tu sekali. Dah mengantuk sangat agaknya. Tengok, sampai dah tertidur kat situ.” arah Mak Andak. Serentak ummi mendapatkan Dian yang sudah terlena, dengan muka yang tersembam di meja.

 

Selesai membersihkan diri dan bersolat, Dian pantas menghampiri ummi. Kini masa yang dinanti-nantikannya telah tiba. Senyuman manisnya tak terkira. Gembiranya rasa hati kerana akhirnya setelah sekian lama, dia dapat tidur bersama ummi lagi. Tubuhnya dibaringkan di sebelah ummi sebelum dia memeluk erat lengan itu. Wajah ummi yang tenang ditatap lama. Kesayuannya mula menjelma, serentak air matanya gugur semula. Perlahan-lahan dia mengusap wajah itu. Tiba-tiba hatinya duka dan hiba bila memikirkan keadaan kesihatannya pula.

“Ummi, Dian ada banyak benda nak cerita kat ummi bila ummi sedar nanti. Ummi janganlah marah Dian. Dian tahu, Dian dah buat salah pada ummi, tapi ummi Dian kan baik.”

“Ummi maafkanlah Dian ya. Bukannya Dian sengaja nak rahsiakan daripada ummi, cuma Dian tak nak ummi susah hati.” tuturnya dalam sendu yang cuba untuk dikawal sambil menyeka air mata yang mula berjuraian.

“Ummi…ummi janganlah tidur lama sangat. Dian takut, nanti kalau lama-lama lagi, Dian dah tak boleh nak tengok ummi senyum kat Dian.”

“Sekarang ni pun, ummi dah nampak macam kecil je kat mata Dian. Ummi bangun ya. Dian takut ummi…Dian takut tak dapat nak tengok ummi lagi nanti. Dian rindu sangat nak tengok ummi senyum macam waktu dulu-dulu.” tuturnya sambil mengusap wajah kaku itu.

“Ummi bangunlah ya, bangunlah untuk Dian.” tuturnya sebelum menyembamkan mukanya ke bahu ummi. Hatinya sarat dengan kesedihan namun dia akan tetap setia menanti hari. Hari dia kembali dapat melihat senyuman dan mendengar suara itu lagi. Air jernih itu takkan pernah meninggalkannya. Cintanya pada ummi suci dan takkan pernah dapat diganti kerana takkan ada yang serupa dengan ummi. Dalam sendu yang panjang, dia akhirnya terlena bertemankan ummi, harumannya dan air mata.

 

Badan yang mula terasa kebas digerakkan sambil tangannya menyental mata yang masih terasa berat. Permandangan yang sering dirinduinya. Wajah ummi yang pertama tersapa mata saat ianya dibuka, betul-betul membuatkannya gembira. Tak kisahlah di mana mereka berada, asalkan ada ummi itu sudah cukup untuk membuatkan dia bahagia.

“Assalammualikum ummi…” tuturnya sebelum mengucup lembut pipi ummi.

“Ummi, Dian pergi solat dulu. Ummi tidurlah, sebab hari awal lagi. Dian nak pergi sembahyang kejap.” bisiknya. Biarpun sukar, dia tetap akan mengharunginya kerana dia sangat sayangkan ummi. Biarlah ummi tak sedarkan diripun dia dah tak kisah, asalkan ummi sentiasa dapat dipandang dan disayang. Itupun sudah lebih daripada mencukupi, kerana dia tak akan dapat membayangkan apa yang akan terjadi jika ummi benar-benar pergi.

Setiap kali selepas solat subuh, dia pasti takkan pernah lupa untuk membacakan surah Yasin kepada ummi. Tapi hari ini lebih istimewa, kerana dia dapat membacakannya di hadapan ummi sendiri.

Dia ingat lagi kata-kata ummi dulu. Kata ummi surah Yasin banyak keistimewaannya, terutama jika dibacakan pada orang yang sedang sakit.

Satu demi satu ayat dibacakan dengan tertib kerana hanya pada Allah tempat dia mengadu dan dia berharap Allah akan memberikan yang terbaik buat umminya itu.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.