Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 5

Nyamanya udara, segarnya jiwa dan dia rasa betul-betul bebas macam unggas. Segala yang termampu telah dia lakukan di dalam peperiksaan yang baru saja tamat semalam. Dunia dan isi alamnya dilihat lebih indah hari ini setelah kekebasan itu dirasai kerana dia tidak perlu berkejar-kejar lagi. Apapun keputusannya nanti bakal diterima dengan hati terbuka kerana dia telah berusaha semampu daya.

“Ummi, Dian nak round tiga kali. Ummi?” soalnya pada ummi yang berada di sebelah setibanya mereka di tempat riadah.

“Ummi, kalau dapat sekalipun dah kira alhamdulillah. Tak bolehlah tamak sangat nanti semput. Kalau semput Dianlah yang kena angkut.” balas ummi pula sambil tersenyum.

“Takpalah, Dian kan dah besar, nanti Dian boleh angkat ummi.” tuturnya pasti.

“Iyalah tu. Angkat ummi, lepastu tergolek sama-sama.” balasnya sambil meneliti tubuh kecil molek Dian.

“Badan kecil macam ni, mana boleh angkat ummi.” tambahnya lagi.

“Boleh la ummi. Dian boleh. Ok takpa, kalau ummi tak percaya, biar Dian buktikan.” serentak dia membongkok mahu memulakan angkatan.

“Ish Dian ni, janganlah main-main. Malu tengok dek orang.” tutur ummi segera mengelak.

“Biarlah, nak malu apanya. Dian nak angkat ummi Dian, bukannya ummi orang lain. Cepatlah!” gesanya pula. Mahu menunjukkan kekuatan.

“Ummi kata tak payah.” balas ummi sebelum melarikan diri.

“Ummi jangan tinggal Dian.” ucapnya. Serentak dia tergesa-gesa berlari membuntuti ummi.

 

“Assalammualaikum, sorang je ke dik? Boleh saya mengorat.” tutur Dian dengan suara yang sengaja digaraukan selesai pusingan permulaan sedang ummi masih belum sampai di pertengahan. Serentak ummi menoleh sebelum dia menggeleng-gelengkan kepala tapi dalam hati dia rasa terhibur dibuatnya.

“Dian dah siap satu round. Ummi?” soalnya sambil tersenyum.

“Ummi, ni bukan berlari, ini jalan kaki.” tambahnya lagi sambil berlari menyonsang arus bertentangan ummi.

“Jangan riak. Masa muda ni bolehlah cakap macam tu. Nanti bila dah tua macam ummi barulah tahu.” balas ummi sambil mengambil udara semula.

“Mana ada riak ummi. Dian cuma tanya.” balasnya pula dengan senyuman yang tetap mekar bersama.

“Ummi Dian nak pecut lagi. Kalau ummi siap dulu nanti, ummi tunggu Dian ya. Tunggu kat tempat biasa.” pesannya.

“Hmm.” balas ummi sambil menghembus nafas perlahan.

“Ummi.” panggil Dian lagi.

“Ya-Allah, apa lagi Dian ni? Janganlah ajak ummi borak, semput ummi nanti.” marah ummi.

“Ummi tengok tu ummi! Ada apa kat belakang ummi tu? Ummi, Cicak!” Bulat matanya terkejut.

“Apa? Apa dia? Mana? Mana?” serentak ummi menoleh dan memeriksa belakangnya namun tiada apa yang ternampak.

“Dian ni memang nak…dah kemana hilangnya?” bebel ummi, tapi tiada makna kerana Dian sudah terlebih dahulu memecut laju meninggalkannya, yang tinggal hanya bekas tapak kaki saja.

 

Pinggan-pinggan bekas makan pelanggan di susun sebelum dibawa ke belakang. Musim cuti sekolah sentiasa dinanti kerana dia dapat membantu meringankan beban ummi. Walaupun Mak Andak mahu membayar perkhidmatannya, tak pernahpun sekali diterima kerana dia rasa tak wajar. Dia bukan mahukan wang saku, sebaliknya dia hanya ingin membantu. Lagipun baki duit bantuan zakat yang diterimanya masih ada dan dia tak perlukan apa-apa.

“Ummi, kita tukar ummi. Biar Dian yang buat. Ummi duduk kat sini.” arahnya sebelum meraih lengan ummi dan mendudukkannya di bangku.

“Takpalah Dian, biar ummi buat, ummi boleh lagi.” balas ummi menolak.

“Takpa, biar Dian yang cover. Ummi duduk diam je.” tuturnya sambil membasuh pinggan mangkuk berkenaan. Terdetik perasaan bangga di hatinya melihat keperihatinan Dian padanya. Terasa berenang air mata bila memikirkan dia tak mampu menyediakan kehidupan yang sempurna untuk anaknya itu.

“Ummi, sekejap-sekejap lagi Dian nak minta izin keluar boleh?”

“Dian nak kemana?”

“Tadi Siu Lin ada message, Cikgu Rozita minta datang. Dia nak ajar cara-cara isi pemohonan ke universiti, boleh ummi?” soalnya lagi.

“Iyalah, Dian hati-hati. Ambil duit ni, buat belanja nanti.” tutur ummi sebelum mengeluarkan beberapa note RM 10 daripada dalam dompet.

“Ummi takpa. Duit Dian ada lagi. Nanti kalau Dian tak ada, Dian mintaklah.” balasnya segera menolak.

“Ambil. Guna buat beli apa-apa.” tuturnya sebelum memasukkan wang tersebut ke dalam kocek seluar Dian.

“Ummi…” balas Dian tetap ingin mengelak.

“Dah pergi naik, bersiap. Biar ummi sambung.” serentak dia mengambil tempat semula.

“Belum lagi, kan dia kata nanti.” ucap Dian tak mahu merelakan.

“Dian!” tutur ummi sepatah, tapi sudah cukup untuk mematah dan Dian tahu, nak tak nak, dia perlu menurut perintah.

 

Sambil terduduk dia masih memerhati ruang rumah yang dipenuhi dengan barangan keperluan yang baru dibeli di pasar tani. Daripada bahan-bahan kering sampailah ke barang-barang basah seperti ayam dan ikan cukup untuk makan seramai lebih kurang 80 orang jemaah di masjid malam nanti. Disebabkan hari ini hari cuti ummi, jadi adalah aktiviti.

“Ummi nak buat masak apa ayam dengan ikan ni?” soalnya pada ummi yang baru tiba di pintu. Serentak, bahan-bahan tersebut dibawa ke dapur untuk dibersihkan.

“Ha?” balas ummi yang masih termengah-mengah menahan lelah.

“Ummi duduk. Rehat dulu.” arahnya sebelum bergegas mengambil plastik barang yang terdapat di tangan ummi pula.

“Ummi nak buat masak apa ayam dengan ikan tu?” soalnya semula sambil memeriksa bahan-bahan yang lain.

“Ummi rancang nak masak lemak cili api ayam tu dengan kentang. Ikan tu kita buat goreng garam kunyit. Ikan bilis ni kita buat sambal garing dengan tempe yang kita beli tadi. Lepastu buat sayur goreng campur sikit. Dian rasa macam mana?” soalnya pula minta pandangan.

“Ok la tu ummi. Dah sedap dah tu, tapi sempat ke kita masak ummi? Banyak ni.” soalnya pula sedikit curiga kerana tak pernah mereka menyediakan hidangan sebanyak itu.

“InsyaAllah sempat sebab kita cuma masak lauk. Nasi Mak Andak yang sediakan, jadi kita dah jimat masa kat situ. Lagipun hari masih awal lagi. Rasanya kalau kita mulakan sekarang tak adalah kita terkejar-kejar nanti. Petang sikit dah siap masak, Mak Andak datang jemput.” balas ummi sebelum sama-sama memeriksa beg-beg plastik berkenaan.

“Ummi terima kasih sebab buat semua ni untuk Dian.” ucap Dian menghargai keperihatinan.

“Ini janji ummi dan ummi bersyukur sangat yang Dian dah berjaya. Dian berjaya sebab Dian yang berusaha.”

“Taklah, Dian berjaya sebab ada doa ummi, restu ummi. Kalau tak, belum tentu Dian boleh masuk ke universiti.” jawapnya kembali setelah pasti doa ummi menjadi salah satu faktor kejayaannya saat ini.

“Ummi, kita nak mula dengan yang mana dulu?” soalnya pula.

“Dian buang perut ikan bilis ni dulu.” arah ummi sebelum menyerahkan bungkusan ikan bilis berkenaan.

“Ni baju bawang ni nak bukak jugak kan? Banyak mana? Semua ke?” soalnya pula bila terlihat longgokan bawang-bawang yang terdapat di situ.

“Tak payah semua, separuh pun dah cukup rasanya. Ayam dengan ikan tadi mana?” tutur ummi sambil mencari bahan utamanya, namun Dian sunyi tak berkata apa.

“Dian, ayam dengan ikan mana? Dian bawak tak tadi?” soalnya lagi sambil kembali mencari.

“Bukan ke Dian letak kat ummi masa Dian pergi cari cili? Ummi tinggalkan ke? Ummi tak ambil?” jawapnya pula sebelum buat-buat turut sama mencari.

“Dian jangan main-main. Takkan tinggal pulak.” tutur ummi yang sudah mula cuak sambil memerhatikan kawasan sekitar sebelum dia terpandang plastik besar yang berada di atas sinki dapur.

“Tu apa Dian?” serentak dia bertanya.

“Ayam dengan ikan.” jawap Dian sebelum dia ketawa suka, bahagia dan gembira kerana dapat mengenakan ummi semula.

“Dian ni…” balas ummi sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Previous: Bab 4
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati