Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 53b

Azeem yang berada di meja belakang, tertunduk sepi. Segala topik perbualan yang didengarinya tadi masih segar dalam fikiran. Dia mengagumi ketulusan hati Dian mencintai saudara-saudara seislamnya tanpa perlu mengenal siapa dan paras rupa mereka.

Malah dia mula mengagumi keperibadian Haikal teman baru Dian itu. Setiap kata-kata yang diucapkannya berasas sebelum dia tersedar, dia sudah dikalahkan lagi. Tindakannya keterlaluan malah bicaranya juga kasar, tak pernah dia berbual dan melayan Dian seperti itu serentak hatinya jadi sebak bila memikirkan dosa-dosa yang pernah dilakukan.

“Dian, tolong maafkan abang…” bisiknya di dalam hati. Hanya Allah yang tahu kesengsaraan yang ditanggung. Hidupnya sentiasa tak aman malah hatinya tak pernah rasa tenteram selagi kemaafan itu tak dapat dicapai.

Menatap mata Dian yang masih kemerahan menambahkan lagi kepiluan. Mahu saja rasanya dia memujuk lara dihati si isteri dan jika dibenarkan pasti sesekali tangan itu takkan dilepaskan lagi, tapi dia tahu Dian belum bersedia atau takkan pernah untuk memikirkannya kerana hatinya sudah parah terluka. Jika tak, masakan dia langsung tak datang menjengah mereka, Sofia terutamanya. Takkanlah Dian tak rindukan Sofia, anak kandungnya.

“Dian…” rintihnya sendiri sambil menatap wajah kekasih hati. Peluang seperti itu pasti takkan disia-siakan. Sepenuh hati dia meneroka dan mengamatinya tanpa memikirkan pandangan pengunjung lain yang ada berdekatan. Dianlah satu-satunya wanita yang bertakhta dihatinya kini, kerana cintanya pada Aida sudah lama mati, dibunuh kecurangan yang dilakukannya sendiri.

Dari jauh Haikal masih memerhati. Tingkah laku lelaki itu telah dapat dibaca dan dia seperti pernah melihatnya sebelum ini. Puas dia berfikir, sampai berkerut-kerut keningnya sebelum dia akhirnya pasti itulah lelaki yang dilihatnya di pusat urutan tempat Dian bekerja tempohhari. Serentak dia jadi tak senang hati kerana lelaki itu dilihat merenung Dian tanpa henti, malah renungan makfiratnya itu mampu untuk membinasakan diri sendiri.

Selesai berurusan di kaunter, dia bergegas menuju ke arah Dian, mahu segera memberikan perlindungan. Azeem yang masih leka dibuai perasaan akhirnya tersedar. Sejenak mata mereka bertentang sebelum dia membuat keputusan untuk meninggalkan kedai makan berkenaan. Malu bila menyedari tindakannya itu telah diketahui. Dia malu dipandang sinis sebegitu walaupun dia tahu tak ada salahnya kerana Dian tetap lagi isterinya dan hakikat itu masih lagi bertahan sampai ke waktu ini.

“Ok Dian, makanan dah sampai. Kita makan dulu, lepastu Haikal hantar Dian balik.” tuturnya, sedang mata tetap memerhati pada lelaki yang mencurigakan itu.

“Ok, terima kasih.” balas Dian syukur.

“Tengok tu, terima kasih lagi.” jawap Haikal tak puas hati.

“Betullah tu, terima kasih kan tanda penghargaan. Kenapa malu nak diucapkan. Kalau buka terima kasih, Haikal nak suruh Dian cakap apa?” soalnya pula.

“Cakaplah sayang awak ke, best jugak kalau macam tu.” tuturnya sambil ketawa suka.

“Ha, dah mula lah tu. Janganlah cakap benda pelik-pelik macam ni, Dian tak suka, lagipun kan Haikal sendiri tahu, Dian isteri orang. Sama-samalah kita jaga batasannya.” ucap Dian sedikit kesal. Biarpun duduk berasingan, dia tetap tak rela melampaui batasan. Syurga isteri kan di bawah tapak kaki suami. Selagi tiada titik penamat pada hubungan itu, selama itulah dia akan menjaga diri. Dia masih ingat pesan ummi dan sesekali dia takkan mengabaikan amanat yang diberi.

“Haikal main-main je lah. Nak bergurau pun tak boleh?”

“Saya sayang awak tu satu ungkapan yang biasa kalau kita tak sertakan sekali emosi yang keterlaluan di dalamnya sebab sayang tu sendiri sangat luas maknanya. Lagipun kan kita dah jadi adik-beradik angkat sekarang. Haikal sayang Dian sama macam Haikal sayang adik-beradik yang lain dan Haikal harap Dianpun dapat lakukan perkara yang sama.”

“Tentang soal mak yang nak jodohkan kita tu, kita letak tepi dulu. Biarlah masa yang tentukan.” ucapnya tak mahu membebankan fikiran Dian. Kalau Dian masih tak bersedia dia takkan memaksa kerana mereka masih muda.

“Ok, kalau Haikal dah cakap macam tu, Dian setuju. Jomlah kita makan, dah pukul berapa dah ni, Dian takut lambat. Nanti tak sempat nak tengok rancangan kegemaran Dian tu, hari ni kan hari Sabtu. Haikal mesti tak sempat nak tengok nanti.” tuturnya pula sambil ketawa.

“Kenapa pulak tak sempat, kan boleh tengok kat smart phone je sekarang. Kat mana-mana pun kita pergi, ilmu tu tetap dapat kita pelajari itupun kalau kita berusahan untuk mencari. Kalau tak, apapun yang diberi tetap masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri, betul tak apa yang Haikal cakap ni?”

“Hmm, tepat sekali, tapi hati-hati, telifon tu memang smart tapi yang menggunakannya tu smart ke tidak?” soalnya sambil tersenyum sengaja mengulang iklan peringatan yang dipaparkan di telivisyen itu.

“InsyaAllah, Haikal akan sentiasa pastikan yang Haikal akan lebih smart daripada dia. Takut juga bila info yang kita dapat tu tak sahih sebab nanti boleh datangkan fitnah. Dahlah jom makan, kita memang tak boleh jumpa agaknya kan? Pantang jumpa ada je ceritanya. Makan dulu, nanti Haikal hantar Dian balik.”

“Ok boss.” balas Dian ceria sedang Haikal mula dipalit perasaan bimbang. Dia bimbangkan keselamatan Dian dan bimbang jika Dian diapa-apakan. Mahu menceritakan kebenaran tentang lelaki itu dia tak mahu Dian jadi takut sambil dalam hati dia mula memikirkan pilihan terbaik yang ada untuk melindungi Dian.

Previous: Bab 53a
Next: Bab 54

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati