Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 6

Segala kelengkapan telah tersedia. Esok tibalah masanya untuk Dian menerokai alam baru, merasai hidup berjauhan dengan Ummi buat pertama kalinya. Keputusan peperiksaan yang cemerlang membolehkan dia melanjutkan pelajarannya ke universiti awam yang termuka di ibukota dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Awam. Malah lebih menggembirakan, dia telah mendapat biasiswa tajaan penuh daripada Yayasan Syarifah Rahimah, sebuah syarikat pembinaan yang berpusat di situ berkat borang yang diberikan Siu Lin dulu.

Ummi turut sama bergembira. Bantuan yang diterima sangat membantu mereka kerana dia tidak mampu untuk menyediakan belanja. Dengan upah pembantu kedai yang diperolehi sekitar RM 700 sebulan, menyukarkan keadaan itu. Dia bersyukur pada Illahi kerana mempermudahkan urusan Dian. Benarkah kata orang tua-tua, rezeki ada di mana-mana dan Allah sentiasa membantu umatnya yang berusaha, bisiknya di dalam hati.

Dia masih sibuk menyediakan bekalan yang bakal dibawa esok. Jarak perjalanan dari rumah ke universiti tidaklah jauh kerana mereka masih berada dalam kawasan yang sama, Kuala Lumpur cuma berlainan daerahnya.

“Dah siap kemaskan semuanya?” tutur ummi mengingatkan Dian.

“Hmm dah. Kan ummi dah tanya tadi, ummi ni…” balasnya dengan senyuman. Hatinya ceria tak kurang juga berduka.

Benar dia teruja mahu memulakan kehidupan baru. Kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang bakal menjadi golongan pelapis negara, namun tak kurang juga dengan sedihnya. Dia sedih kerana terpaksa berjauhan dengan ummi buat pertama kali dalam hidup. Selama ini dia tak pernah berenggang dengan ummi. Entah macam mana dia mahu menempuhinya nanti.

Dian memandang ke arah ummi yang masih sibuk membuat kuih kegemarannya itu, karipap bilis, buah tangan ummi yang tersayang. Tiba-tiba dia mula sebak. Hatinya jadi tak tentu arah, sedar yang masanya untuk berpisah semakin nyata. Walaupun sudah memujuk hati, tapi dia tetap merasa kesedihannya. Meninggalkan ummi sendiri di bilik sewa yang mereka diami, membuatkan hatinya mula berbelah-bahagi. Serentak dia menuju ke arah ummi dan mendakap tubuh itu.

“Dah kenapa pulak ni? Apa yang tak kena?” soal ummi pada Dian sedang tangannya masih sibuk dengan tugasanya itu.

“Tak ada apa-apa. Dian cuma nak peluk ummi kejap. Nanti tak adalah rindu sangat.” balasnya perlahan. Kelopak mata sudah mula memberat, tanda hujan bakal turun lebat.

“Ummi jaga diri tau. Nanti ummi kena tinggal sorang, tapi boleh ke? Ke Dian tak payah pergi je la. Dian tak sampai hati nak tinggalkan ummi.” tambahnya lagi, mengakui perasaannya yang sebenar. Amat sukar untuknya meninggalkan ummi berseorangan di situ.

“Kenapa Dian cakap macam ni? Allah dah mudahkan jalan Dian untuk ke sana, kenapa nak tolak? Ummi tahu, Dian bukannya takut nak tinggalkan ummi, tapi Dian yang takut nak pergi.” gurau ummi. Sengaja mahu menguatkan semula semangat anaknya itu.

“Mana ada ummi. Dian risaukan ummi, itu je. Ummi cakap Dian takut ya? Baiklah Dian akan buktikan siapa yang penakut sebenarnya. Ummi cicak!” jeritnya sambil menuding jari ke sebelah ummi. Ummi terkejut tadkala mendengar perkataan itu. Binatang yang paling tak disenanginya, cicak kalau dah melekat susah nak ditanggalkan.

“Mana? Mana?” soalnya bertalu. Dia tak mahu menjadi mangsa lagi. Cukuplah sekali dia menjadi mangsa haiwan itu. Masih terasa jari-jari kecil itu merayap di belakang badan, sejuk sampai naik bulu roma dibuatnya. Peristiwa yang membuatnya fobia dengan sepatah perkataan itu, cicak.

“Hihihi. Ummi kena tipu…Tulah, tadi kata berani sangat. Ummi penakut…” balas Dian dalam kekehan yang sukar untuk dibendung. Airmata kesedihan sebantar tadi bertukar menjadi airmata kegembiraan. Seronoknya dapat bergurau senda dengan ummi, hobinya di masa lapang, mengenakan ummi.

“Dian…buat takut ummi je la.” balasnya geram. Sudah kerap kali dia dikenakan, namun sukar untuk dia mengawal perasaan. Perasaan takut itu sememangnya takkan dapat untuk dielakkan.

“Tu la…, tadi kata hero sangat. Tak takut konon. Nanti bila Dian tak ada siapa yang nak tolong ummi hapuskan penjenayah yang ‘sekor’ tu? Ha, nanti kalau dia tunjukkan mukanya lagi kat ummi macam mana? Siapa yang nak tolong ummi masa tu? Nanti Dian dah tak ada, macam mana?” soalnya bertalu. Bukannya dia tak tahu yang ummi sangat takutkan ciptaan Allah yang satu tu, sebaliknya dia mahu ummi berani untuk menghadapinya nanti.

“Jangan nak mengada-ngada. Jangan buat alasan cicak tu untuk Dian tak pergi lanjutkan pelajaran. Tahulah ummi menguruskannya nanti.” jawap ummi sambil menjenggelkan matanya. Dia tahu anaknya itu hanya mencipta alasan.

“Iya…Dian tahu. Ummi ingat Dian akan sia-siakan peluang yang Allah beri ni? Dian tak nak jadi hambanya yang tak tahu erti syukur.”

“Dian janji dengan ummi, Dian akan belajar rajin-rajin lepastu kerja, cari duit banyak-banyak untuk ummi. Dian nak belikan ummi rumah lepastu kereta, siap dengan driver. Ummi tinggal suruh je dia hantarkan ummi ke mana.” balasnya penuh yakin.

“Tak payahlah sampai berjanji-janji. Ummi tak pernah fikir pun nak minta semua tu. Ummi dah cukup gembira bila tahu Dian berjaya. Jadi insan yang berguna pada bangsa dan agama. Kalau ditakdirkan Dian berjaya satu masa nanti, jangan sesekali lupa asal usul kita.”

“Beri bantuan pada mereka yang lebih memerlukan. Balas semula ihsan yang dah kita terima dengan cara memberi ihsan pada yang lain pula. Ummi dah cukup bahagia bila tahu Dian dah berjaya membantu yang lain.” tutur ummi memulakan tazkirahnya. Dian mendengar dengan tekun, sama seperti selalu. Sebelum sebuah senyuman terukir di wajahnya.

“Baiklah mak encik.” balasnya sebelum mencubit pipi ummi dengan belakang jari sambil menggigit bibirnya sendiri, menahan diri tadkala akal nakalnya kembali.

“Aduh sakit la!” marah ummi. Tindakbalas Dian pantas sampai tak sempat untuk dielak.

“Nak kena budak ni. Mari sini.” tambahnya lagi sebelum bangun dan menghambat Dian yang sudah lari untuk mempertahankan diri.

“Ummi, tak nak, geli.” rayunya minta belas kasihan sambil mengelilingi ruangan bilik berulang kali namun rayuannya itu tak diendahkan kerana Ummi benar-benar serius kali ini.

 

Selesai pulang bersolat jemaah di masjid, mereka kini bersiap-siap untuk tidur. Malam terakhir untuk mereka berdua bersama. Dian mula terasa sedih lagi. Walaupun dengan beralaskan alas tidur yang nipis, namun mereka tetap gembira dan bahagia. Biarpun pernah merasai nikmat kemewahan sebelumnya, kehidupan yang ditempuhi kini langsung tak ada kecacatannya.

Bahagia sangat sabjektif tafsirannya. Bahagia bukan hanya kemewahan. Ianya tak dapat diukur dengan alatan dan berbeza bagi setiap insan kerana kebahagiaan lambangnya ketenangan, berbekalkan simpati dan ihsan dari tuhan. Sama juga sepertinya, dia bahagia malah sangat-sangat bahagia dengan adanya ummi yang menemani. Bila bersama ummi hatinya jadi tenang serta lapang dan perpisahan dengan ummi membuatkan diri mula bimbang. Serentak air matanya bergenangan semula.

“Sebelum ummi terlupa, ummi nak beri ni pada Dian.” tutur ummi sambil memberikan telefon bimbit yang telah dibeli siang harinya dengan bantuan Udin. Walaupun masih menuntut di sekolah menengah, pengetahuannya tentang telefon bimbit amat membantu dan kerana usaha Udin jugalah dia berjaya mendapat potongan harga yang agak besar juga tadi.

“Ummi belikan Dian telefon baru? Tapi ni telifon mahal.” balas Dian tak percaya, sampai bulat biji mata. Hadiah kedua yang diperolehinya setelah beg kain yang ummi belikan seminggu lepas, merangkap beg yang bakal digunakan ke dewan kuliahnya nanti. Sudah terlalu banyak dia menerima, namun satupun masih belum mampu dibalasnya. Dalam hati dia berjanji akan tekun berusaha untuk mencapai kejayaan satu masa nanti.

“Allah, bantulah aku untuk membahagia dan membalas jasa ummi.” bisiknya dalam hati. Air mukanya mula berubah mendung sambil lidahnya sukar untuk meluahkan kata.

“Dah kenapa pulak tu? Dian tak suka ke? Ke Dian nak yang jenis lain? Tadi Udin cakap telefon ni elok. Budak-budak sekarang suka pakai yang macam ni.” tutur ummi yang mula dilanda risau. Kesunyian Dian tambah membimbangkannya.

“Bukan ummi, Dian suka, tapi telifon ni kan mahal? Kenapa ummi bazirkan duit ummi?” balasnya yang sudah mula sebak.

“Mana ada bazirnya, itu untuk kegunaan Dian. Nanti Dian telifonlah ummi guna ni. Ummi ada simpan duit sikit untuk pendidikan Dian, itu yang ummi lekatkan. Dian dah dapat biasiswa, jadi ringanlah sikit beban ummi nanti.” jawapnya.

“Terima kasih ummi. Terima kasih sebab sediakan semua ni untuk Dian. Dian sayang ummi.” balasnya sebelum meluru ke dalam dakapan ummi. Tangisannya mula berderaian kerana dia sudah tak mampu menahan perasaan.

“Ummi pun sayang Dian. Dahlah jangan sedih. Nanti belajar rajin-rajin. Jangan lupa balas semula jasa orang yang dah tolong Dian. Ummi sentiasa doakan kejayaan Dian, lagipun Dian bukannya pergi jauh. Dekat je, nak balikpun senang, naik train dah boleh sampai semula ke sini.” pujuknya sambil menepuk belakang Dian lembut.

“Sudah la tu. Esok kita nak kena bangun awal. Masih ada lagi yang nak disediakan. Karipap yang Dian nak tu kena goreng awal sikit, kalau tak,  panas, tak rangup nanti. Pergi padam lampu tu. Kita tidur ya.” arah ummi, tapi Dian belum puas bermanja dan tubuh ummi masih tak mampu untuk dilepaskannya.

“Kejap ummi, sekejap je lagi. Dian suka dengan bau ummi ni.” balas Dian sebelum menguatkan dakapannya. Sedar yang dia pasti sukar untuk melakukannya lagi nanti. Kesibukan menelaah pelajaran tak dapat untuk dibayangkan dan entah bilalah dia akan berpeluang lagi.

“Dian sayang ummi.” ulangnya, tak penat menyatakan perasaan hati. Ummi yang mendengar tersenyum gembira. Bahagia bila rasa dihargai sebegitu.

“Ummi pun, ummi pun sayang Dian.” balasnya sebelum mereka saling mengeratkan pelukan. 

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati