(MADAH 17) BELAJAR DARI ASIAH.

Alhamdulillah, Thumma Alhamdulillah, besyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat kamu diberi peluang untuk bernafas di saat ini, untuk terus beramal merebut syurgaNya, beramal untuk mengejar redhaNya.

Formal.

Baiklah, baru-baru ini, Qaisy ditanya macam mana cara hendak untuk menjaga diri tika mana kamu tidak bersama dengan rakan-rakan yang sefikrah dengan kamu tatkala kamu berada dalam suasana yang tidak solehah. Contohnya, bagaimana kamu berhadapan dengan cuti yang lama di rumah, bila tercampak di tempat yang terpencil atau hidup dikongkong oleh ibu bapa yang kurang berselera dengan penglibatan kamu dalam dakwah dan tarbiyah.

Tidak dinafikan, ada masa-masa kamu akan berada pada waktu-waktu ini.

Pastinya, di saat ini, kamu akan berasa down, tanpa sokongan, rasa tebatas untuk bergerak, terasa sempit medan amalnya, mudah untuk berasa lemau, lemah, tidak bermaya, depressed, lesu, berlemak-lemak dan semua lagi adjektif yang sesuai dan seangkatan dengannya. Err.

Tambahan pula, di rumah atau di tempat tempat ini, kamu kelihatan begitu asing, secara luarannya, dan insyaAllah secara dalamannya. Kalau di rumah, kamu rasa tertarik untuk hanyut bersama adik beradik yang lain, keluar rumah lewat malam menonton wayang, menonton movie sepanjang cuti, dan sebagaimana.

Kemudian, kamu berjumpa dengan saudara mara yang lain. kamu tampak berbeza. kamu lihat sepupu sepapat kamu berpakaian fuhhh, berbelah belah, dengan hiasan sana sini. Kadang kadang terdetik dalam hati kamu “Kan best kalau aku boleh jadi macam tu”. Kemudian ada dalam kalangan mereka ajak kamu makan di McD, keluar bersama teman teman lelaki, pergi ke konsert dan sebagainya.

Saat ini kamu tersepit. Sama ada untuk mengekalkan prinsip kamu atau menjaga hati saudara mara kamu Atau mungkin juga kamu akan mula terasa, tak salah kot. Fikiran kamu sedikit demi sedikit mula menjustifikasi perbuatan perbuatan di atas. Makin lama makin jauh kecenderungan kamu ke arah itu.

Pada waktu ini bisikan-bisikan halus dan licik akan mula kedengaran di gegendang telinga kamu mencucuk cucuk dengan penuh berhemah dan istiqomah.

“Ala sedikit aje, bila lagi”

Timecuti aje pun nak tengok wayang, berukhuwah kot”

“Pakai ketat sikit je, takdelah ketat sangat, lagi pun nak pegi majlis kahwin sekali seumur hidup aje ni”

“Aih kalau aku keluar dengan diorang pakai tudung labuh, baju besar gelebeh ni, macam selekeh je”

Pada saat itu juga amal-amal kamu mula merudum. Bacaan Quran kamu makin lesu. Makin kering. kamu sudah malas untuk mentaddabur, kadang kadang kamu baca dan beramal sekadar untuk memenuhi jadual amal, supaya nanti bila ‘dilaporkan’ pada murabbi, murabbi tidak syak apa apa dengan kamu

Saat-saat ini akan datang, bahkan mungkin sudah kamu semua rasai. Siapa kata nak istiqomah itu senang?

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap istiqomah maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tidak pula berduka cita.

Mereka itulah penghuni penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya, sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan. (Al Fussilat :13-14)

Sebab istiqomah itu susahlah, Allah janjikan syurga buat mereka yang mampu istiqomah. Syurga. Apa lagi yang lebih bernilai dari itu.?!

-------------

Nah. Apa kata kamu. Qaisy tiada jalan mudah atau rahsia ajaib untuk dikongsi supaya kamu semua istiqomah. Bahkan Qaisy yakin, kamu semua sudah masak dengan tips yang sangat praktikal yang sudah dikongsi oleh nuqaba’ kamu dan sebagainya.

Cuma hari ini suka Qaisy untuk berkongsi satu figura yang mana kisah hidupnya jauh lebih terasa tekanan daripada tekanan, kekangan dan kongkongan kamu alami hanya diwaktu cuti atau diwaktu kamu berada di tempat tempat baharu dan terpencil jauh dari sokongan ikhwah akhawat,

Yakni kisah kehidupan Asiah, isteri Fira’un. Asiah ialah seorang manusia, mempunyai naluri keinsanan. Seorang perempuan yang pastinya memiliki keinginan keinginan sebagaimana perempuan perempuan yang lain. Seorang permaisuri yang pasti dikelilingi harta, pakaian yang cantik, makanan yang bekelas, mewah yang pastinya mengiurkan.

Dan pada waktu yang sama hidup dibawah kongkongan seorang lelaki yang mengaku sebagai Tuhan, yang juga suaminya. Seorang lelaki yang hidup bersama misi untuk membunuh seorang lelaki yang dikhabarkan akan muncul dalam kalangan rakyatnya untuk bangkit menentangnya suatu hari nanti yakni nabi Allah Musa a.s.

Jika dibandingkan keadaan kamu dengan Asiah, sudah pasti beliau ada lebih banyak sebab dan alasan untuk tidak tunduk kepada perintah Allah. Lebih sukar untuk dia istiqomah, berpegang dengan prinsipnya. Lebih banyak godaan duniawi yang berputar sekitarnya. Dengan kehidupan yang mewah, pakaian yang cantik, haruman dan hiburan yang boleh dia nikmati bila bila masa.

Tapi Asiah bukan sekadar seorang permaisuri biasa yang sekadar duduk bertenggek di atas pemaidani atau kerusi di sisi suami sambil dilayani barisan dayang dayang. Bukan seperti kebanyakan kerabat diraja dunia kini. Asiah tidak terpengaruh dengan semua itu.

Bahkan, Asiah memainkan peranan yang sangat besar dalam sejarah hidup nabi Musa a.s. beliau merupakan seorang pejuang, yang menyelamatkan Musa dalam keadaan keterbatasan yang dialaminya. Allah takdirkan dengan pengaruh dan usaha Asiah, dia berjaya mengelakkan Musa daripada dibunuh.

Dan berkatalah isteri Firaun, “Ia adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah mudahan ia bermanfaat kepada kamu atau kamu ambil ia menjadi anak”, sedang mereka tiada menyedari. (Taha :9)

Di samping itu, walaupun hidup dalam kongkongan lelaki yang mengaku Tuhan itu, Asiah masih tegar menjaga prinsipnya. Besar benar ujian buat Asiah. Besar benar sumbangan Asiah. Berat terasa olehnya kehidupannya. Kezhaliman yang terpaksa di perhati sahaja. Namun dia istiqomah.

Tidak hairanlah, Allah rakam ayat berikut, satu doa yang sangat hebat dari Asiah;

Dan Allah membuat isteri Fira’un perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata,“Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam firdaus, dan selamatkanlah aku dari Fira’un dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari yang zhalim” (At Tahrim: 11)

Asiah, seorang kerabat diraja, telah membuktikan kamu semua bahawa dia pun mampu. Apatah lagi kamu

Dari Asiah juga kamu belajar untuk menggunakan segenap kesempatan yang kamu ada untuk menyumbang kepada agama ini

Dari Asiah kamu belajar bahawa apa pun gelaran kamu di dunia ini, baik seorang permaisuri, anak dato’ ke, cucu perdana menteri ke, tugas seorang muslim tetap berada di bahu kamu

Dari Asiah kamu belajar bahawa rahsia kekuatan diri adalah yakin dengan ketentuan dan perancangan Allah

Dari Asiah kamu belajar bahawa atas segala pengorbanan di dunia itu, meski sepanjang hidup kamu tersepit dan terjerat dengan jerat kehidupan, yang menanti di sana adalah syurga.

Dari Asiah kamu belajar banyak perkara. Maka layaklah satu rumah di sisi Allah untukNya. Bagaimana dengan kamu

May Allah show us home in Jannah by His side, so that it will keep us istiqomah on this path

Setiap perkara ada gantinya. Setiap perlakuan ada ganjarannya. Setiap kejadian ada hikmah di sebalik kejadiannya.” – Mutiara Islam.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh