(MADAH 30) DIPANDANG GANJIL.

Assalammualaikum dan salam sejahtera. Saat ini Qaisy tulis kisah diri. Bukan untuk meminta pujian atau penghargaan setinggi langit. Hanya doa dipinta agar diri ini dapat istiqamah dengan penghijrahan diri.

Beberapa tahun yang lalu, Qaisy adalah seorang gadis yang berpakaian biasa, cukup sekadar bertudung (kadang-kadang) walaupun baju dan seluar yang dipakai tidak menepati hukum islam. Ini yang dikatakan membalut aurat, bukan menutup aurat.

Pada masa yang sama, solat juga tidak terjaga. Sering kali lewat, malah kadang-kadang tertinggal. Bukan Qaisy tidak sedar semua itu adalah salah, tetapi hati ini lemah! Sentiasa termakan pujukan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan hamba Allah.

Benar, ketika itu setiap kali Qaisy keluar dari rumah, ada saja mata-mata nakal yang liar memandang. Pernah juga Qaisy diganggu secara agresif oleh mereka! Pelbagai gangguan lagi yang Qaisy hadapi sepanjang menjalani kehidupan sedemikian. Dan sesungguhnya Qaisy tidak tenang dengan situasi begitu.

Namun, pada suatu ketika, Qaisy mula terfikir sejenak, apakah cara hidup Qaisy seperti ini akan memberi kebahagiaan kepadaku di dunia dan akhirat kelak? Kebetulan, pada saat itu, Qaisy mula bersahabat baik dengan seorang rakan Qaisy yang tinggal di kawasan perumahan baru Qaisy. Perwatakannya sangat baik, pakaiannya agak sempurna, auratnya tertutup rapi.

Qaisy berasa sangat tenang melihat beliau. Secara perlahan-lahan tanpa disedari, Qaisy mula mengikuti setiap langkahnya untuk berubah. Mengenakan pakaian yang labuh dan longgar, melabuhkan tudung, kemudian bersarung kaki atau memakai kasut yang bertutup.

Sememangnya diri ini kelihatan begitu indah dalam keadaan seperti itu… pakaian yang longgar memudahkan Qaisy untuk bergerak, tidak seperti pakaian yang ketat.

Sesuatu yang sangat jelas kelihatan adalah, setiap perbuatan gerak-geri Qaisy tidak menjadi tatapan mata kaum Adam yang nakal lagi seperti dulu! Ke mana sahaja yang Qaisy pergi, tiada lagi gangguan!

Selain itu, bonus istimewa daripada perubahan ini adalah, solat Qaisy semakin terjaga. Walaupun Qaisy tidak tahu adakah sempurna solat, namun ia tidak lagi sering tertinggal seperti sebelum ini.

Alhamdulillah, kini amalan bertudung labuh, berpakaian labuh terus menjadi pakaian rutin dalam kehidupan Qaisy. Selain itu, Qaisy juga turut membiasakan diri dengan berniqab supaya tidak timbul rasa riak dihati terutama sekali mendapat pujian daripada sesiapa.

Dan yang paling penting, ingin kecantikan yang Allah kurniakan hanya menjadi tatapan buat suami tercinta kelak. Namun, belum dapat diistiqamahkan, kerana faktor tempat yang dituju dan pandangan keluarga.

Apa yang pasti, setiap yang berlaku dengan izinNya itu telah banyak mengubah kehidupanku. Qaisy berasa amat bahagia dan tenang dengan diri Qaisy yang baru.

Semoga penghijrahan ini diredhai Allah dan mampu istiqamah selamanya. Walau asbabnya adalah teman perumahan Qaisy, namun hakikatnya Allah jualah yang membuka pintu hati ini. Sesungguhnya hijrah ini semata-mata keranaNya. Semoga kamu sama-sama dapat menjadi muslimah yang solehah di dunia dan akhirat, insyaAllah.

Adik-adik dan sesiapa saja yang masih dalam keadaan seperti Qaisy dahulu, ayuhlah kamu berhijrah! InsyaAllah, kehidupan kamu akan menjadi lebih baik.

Ingatlah, harga diri tidak mudah tercalar jika aurat terpelihara... kecantikan dan keindahan wanita terpancar apabila auratnya tertutup sempurna.

Adakah mereka perlu jadi baik dulu sebelum menutup aurat dengan memakai tudung? Apakah terdapat syarat mempunyai akhlak yang baik baru memakai pakaian seperti yang digariskan syarak? Berdating malah berzina, maka tudung itu yang salah? Adakah tudung yang salah dan purdah yang salah? Ataukah perbuatan berdating atau berzina itu yang salah? Adakah dalam Islam ni, bila kamu nak mengamalkan sesuatu perintah Allah, mesti sudah sempurna perintah yang lain baru boleh lakukan perintah seterusnya?

Semoga sesiapa yang nak tanya Qaisy kali ini, dapat memahami keadaan Qaisy… janganlah lagi mengatakan, memakai purdah perlu tinggi ilmunya, baik imannya. Kerna Qaisy juga sedang berusaha ke arah itu.

Berpurdah? Ia pilihan Qaisy sekarang. Memakai purdah adalah menjadi cita-cita Qaisy sejak melihat ramai kawan-kawan Qaisy yang mula berubah ke haluan masing-masing. Namun untuk melaksanakannya pada masa itu… belum kuat lagi.

Sekarang setelah memakai purdah, bermacam-macam yang Qaisy tempuhi. Walaupun baru lebih 8 bulan memakainya.

Sehinggalah hari ini, ada yang menanyakan, “hai… kenapa berpurdah? Dah taubat nasuha ke?.” Sakitnya perasaan ini bila disinis begitu.

Tak cukup dengan itu ada yang mengatakan bahawa berpurdah Qaisy perlu mengikut keadaan masa dan tempat. Dan meminta Qaisy mengeluarkan kitab yang mewajibkan berpurdah ini. Qaisy hanya mampu berdiam diri. Namun sekali lagi Qaisy ditegur mengatakan di Malaysia ini, tidak perlu berpurdah begini, lainlah jika di negara Arab sana. Negara Arab Negara yang penuh dengan padang pasir, maka mereka tidak nampak pelik berpurdah. Dan sangat sedih mereka juga menyatakan rimas melihat Qaisy bertutup seperti itu, menambah kesedihan Qaisy, apabila ia ditegur secara terbuka dan nada suara yang agak lantang.

Apa yang menjadi soal sekarang, adakah Qaisy melakukan perkara yang haram disisi agama ISLAM? Qaisy sudah merasai zaman-zaman kealpaan Qaisy. Tidak menutup aurat, namun ketika itu hanya segelintir sahaja yang menegur.

“Ya Allah, andai ini yang harus hamba terima di atas kealpaan hamba dulu, hamba terima. Kuatkanlah imanku, bulatkanlah hatiku supaya terus istiqamah memilih jalan yang telah ku pilih. Andai ianya salah maka kamu tunjukkanlah padaku agar aku tidak jauh dalam mendekatiMu.”

Di sini tujuan Qaisy menulis isu purdah ini adalah supaya golongan seperti kami tidak dipertikaikan. Andai kami salah tegurlah dengan cara yang lebih baik. Bertudung labuh dan berpurdah tak semestinya kami tidak boleh ditegur dan sentiasa benar, berjubah bertutup semua tak bererti kami tinggi ilmu dan tidak memerlukan nasihat kamu semua. Kami juga manusia biasa, mahukan kebahagiaan dunia akhirat.

Bila berpurdah Qaisy begitu selesa. Ianya membuat Qaisy berasa lebih selamat, dilindungi. Maksud Qaisy, jika Qaisy dan adik beradik lain hendak pergi makan di luar, Qaisy akan pikirkan 2 atau 3 kali, ialah makan di luar Qaisy perlu menghadap ramai orang, dan perlu memilih tempat yang tidak ramai lelaki. Dan Qaisy sudah kurangkan maksiat mata insyaAllah.

Firman Allah: “dan katakanlah kepada muslimah tundukkanlah pandanganmu dan peliharalah kemaluanmu.”

DALIL YANG TIDAK MEWAJIBKAN

1. Firman Allah: “dan janganlah kamu pamerkan perhiasan kamu kecuali apa yang zahir daripadanya.” Ibnu Abbas berkata di sini yang dimaksudkan dengan apa yang zahir ialah muka dan tapak tangan tetapi pendapat ini disangkal oleh Syeikh Musthafa Al-Adhawi dlm kitab Jami' Ahkamin Nisa'

2. Firman Allah: “dan katakanlah kepada orang mu'min tundukkan pandangan mereka dan peliharalah kemaluan mereka.” Ayat ini menunjukkan bahawa ada sesuatu pada wanita yang mungkin dibolehkan untuk dibuka yang pada masa yang sama dilarang dilihat oleh lelaki. Ia juga dikuatkan dengan beberapa hadis antaranya:

“Wahai Ali, janganlah kamu ikutkan pandangan pertamamu dengan pandangan kedua, kerana engkau berhak pada pandangan pertama tetapi tidak pada pandangan kedua.”

3. Hadis nabi: Dari Aisyah R.A bahwa Asma' bintu Abu bakar telah menemui Rasulullah dengan memakai pakaian yang tipis, maka Rasullah berpaling daripadanya dan berkata,: “Wahai Asma', jika seseorang wanita itu telah mendapat haidh (baligh), maka tidak patut terlihat darinya kecuali ini dan ini ( Rasulullah menunjuk kepada tapak tangan dan muka)”

4.Hadis nabi: Rasulullah berjalan bersama Al-Fadhl bin Abbas, kemudian ia berhenti untuk memberi periungatan kepada org ramai. Ketika itu datanglah seorang wanita yang cantik dari suku Khats'am meminta fatwa dari Rasulullah. Maka terlihatlah Al-Fadhl akan wanita itu dan terpesona ia. Nabi melihat Al-Fadhl dengan pandangan yang tajam, tetapi dia tetap memandang ke arah wanita tersebut. Maka Rsulullah pun berundur ke belakang dan memegang dagu Al-Fadhl dan memalingkan wajah Al-Fadhl. Hadis ini menunjukkan bahawa dibolehkan memperlihatkan muka kepada orang ramai.

Ini hanyalah sebahagian hujah daripada 18 hujah sahih daripada ulama'. Baiklah. Mari kamu lihat kepada hujah yang mewajibkannya.

HUJAH-HUJAH YANG MEWAJIBKAN PEMAKAIAN PURDAH.

1.Firman Allah: “dan katakanlah kepada muslimah tundukkanlah pandanganmu dan peliharalah kemaluanmu.” Di sini disuruh supaya menjaga kemaluan, ia juga termasuk menjaga segala yang mendorong ke arah rosaknya kemaluan/kehormatan. Ini kerana memperlihatkan muka kepada orang ramai sudah tentunya mendorong nafsu syahwat lelaki dan akhirnya akan pergi kepada kejadian yang lebih jauh. Na'uzubillah...

2.Firman Allah: “dan janganlah pamerkan hiasan mereka kecuali apa yang zahir daripadanya.” Ibnu Mas'ud berkata bahwa apa yang zahir daripada mereka ialah pakaian. Ia disahihkan oleh Syaikh Mustafa Al-Adawi dalam kitab Jami' Ahkamin Nisa'. Ini bermaksud wanita itu wajib menutup mukanya sekali.

3. Firman Allah: “dan hendaklah mereka melabuhkan pakaian mereka hingga ke leher dan dada mereka.” Berdasarkan ayat ini, wanita itu wajib menutupi dada dan leher mereka, maka, menutup muka adalah lebih wajib kerana wajah adalah tempat kecantikan dan godaan. Bagaimana mungkin agama yang bijaksana ini memerintahkan menutup dada dan leher tetapi membiarkan muka terbuka.

4.Firman Allah: “dan janganlah mereka menghentakkan kaki-kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” Allah melarang muslimah menghentakkan kaki-kaki mereka kerana khuatir akan terdengar perhiasan-perhiasan mereka seperti gelang kaki dan sebagainya. Hal ini kerana risau akan laki-laki yang terdengar gelang-gelang kaki akan tergoda, maka godaan yang ditimbulkan kerana terlihat muka adalah lebih besar lagi. Apatah lagi dengan solekan-solekan yang berlebihan, pastinya ia lebih berhak ditutup untuk mengelakkan fitnah yang besar.

5.Firman Allah: “apabila kamu meminta sesuatu keperluan daripada mereka, maka mintalah dari belakang tabir. Cara itu lebih menyucikan bagi hatimu dan hati mereka.” Al-Ahzab:53. Ayat ini jelas menunjukkan bahawa wanita wajib menutup diri mereka dari laki-laki termasuk menutup wajah. Hikmahnya ialah untuk menjaga kesucian hati-hati orang yang beriman.

6. Ummu Athiyah berkata: “Pada dua hari raya, kami diperintahkan untuk mengeluarkan wanita-wanita haidh untuk menghadiri jemaah kaum muslimin dan doa' mereka. Seorang wanita bertanya, “wahai rasulullah, seorang di antara kami tidak memiliki jilbab (tutup muka) bolehkah dia keluar..? Maka Rasulullah menjawab “hendaklah kawan-kawannya meminjamkan jilbab mereka”

7. Aisyah berkata: “jika Rasulullah melihat wanita-wanita di zaman ini apa yang kamu lihat, nescaya beliau melarang wanita ke masjid.” Perkataan Aisyah ini adalah setelah beliau wafat, dan ketika itu para wanita sudah tidak terlalu menjaga adab-adab mereka. Antaranya tidak memakai jilbab (purdah). Ini menjelaskann bahawa jika seseorang muslimah itu tidak memakai jilbab, ia dilarang untuk keluar rumah. Ini adalah sebahagian hujah daripada 26 hujah yang Qaisy dapati daripada para ulama' dan mereka-mereka yang ahli dn layak dalam bidang ini.

Antara ulama yang berpendapat bahawa purdah itu wajib ialah:

1. Syaikh Muhammad Al-Shinqithi.

2. Syaikh Abdul Aziz bin Baz.

3. Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin.

4. Syaik Abdullah bin Ibrahim Al Jarullah.

5. Syaikh Bakar Abu Zaid.

6. Syaikh Musthafa Al-Adhawi dan lain2 lagi.

Kesimpulanya. Menutup muka bukanlah suatu yang asing ketika zaman Rasulullah. Ia dilakukan hampir seluruh muslimah ketika itu sehingga ianya dijadikan keutamaan dan dijatuhkan hukum wajib oleh sebahagian ulama. Namun sekarang ia sudah jadi tidak biasa dan jadilah ia hanya satu tuntutan dan bukan kewajipan walaupun terdapat hujah-hujah yang mantap serta kuat untuk mewajibkannya.

Zaman ini juga telah masuk sebagai apa yang dikatakan dalam hadis rasulullah: “islam itu bermula dengan ganjil (dari pandangan orang ramai), dan ia akan kambali dipandang ganjil (akhir zaman), maka beruntunglah orang-orang yang ganjil (pada waktu itu).” Apabila tiba zaman fitnah, maka apa salahnya Qaisy dan yang lain memilih untuk memakai purdah? Moga kamu semua dihindari dari segala fitnah. Amin Ya Rabb.

Semasa Islam datang, seruannya menimbulkan rasa hairan. Kehairan itu cukup untuk Islam ditolak, dipencilkan, ditertawakan, dituduh sebagai sihir dan agenda orang gila, dan seribu satu kecaman yang terakam di lembaran Sirah. Masakan tidak. Islam datang menongkah kebiasaan. Manusia sudah biasa menjadi hamba kepada manusia.

Biar pun perhambaan itu penuh dengan kezaliman dan penderitaan, manusia lebih selesa untuk mengekalkan kebiasaan berbanding menerima perubahan. Zina yang haram sudah menjadi kebiasaan. Lalu pernikahan yang halal menjadi kejanggalan. Arak yang menukar manusia jadi binatang sudah diterima sebagai normal. Makanan dan minuman yang halal lagi baik, dianggap pelik dan menyusahkan.

Riba yang mencengkam dan menyeksa kehidupan sudah diterima pakai sebagai tatacara hidup. Jual beli yang bersih lagi adil, dilihat sebagai asing dan tidak mempunyai masa depan. Walaupun perhambaan, penzinaan, arak dan judi serta riba dan kezaliman, semuanya itu menjadikan kehidupan manusia seperti neraka dunia, itu lebih selesa untuk dikekalkan kerana sudah biasa, berbanding mengusahakan perubahan, biar pun ia menjanjikan jalan keluar dari kegelapan Jahiliah tersebut.

Itulah nasib Islam di awal zamannya. Seruan untuk menyelamatkan manusia dibalas dengan maki hamun. Nabi diherdik dengan penghinaan. Tubuhnya dijamah dengan batu tajam yang menumpahkan darah. Kerana Islam ganjil di awal kedatangannya. Kejanggalan dan keganjilan itu tidak menimbulkan rasa terasing, malu atau rendah diri pada Baginda SAW dan sahabat. Sedikit demi sedikit mereka optimis membawa sinar perubahan, berteraskan iman. Mereka ganjil bukan sebab mereka salah. Mereka ganjil kerana mereka berbeza berbanding yang ramai.

Firman Allah SWT: “Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.” .Hud 11: 116. Ayat ini bercerita tentang sekumpulan manusia asing di tengah masyarakat. Mereka ganjil kerana ketika manusia sudah selesa dengan kerosakan dan menerimanya sebagai satu cara hidup, kelompok ini menyeru kepada sebaliknya. Mereka mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Namun mereka menjadi asing dan ganjil kerana mereka adalah minoriti. Majoriti mahukan maksiat dan kerosakan. Minoriti ini menyeru kepada ketaatan dan kemuliaan hidup.

Mereka inilah GHURABA! Kerana itulah Rasulullah SAW bersabda: “Islam bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali menjadi seperti permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini.” Riwayat ibn Asaakir dan dinilaikan Sahih oleh al-Albani.

Baginda ditanya,

“Siapakah orang-orang yang asing itu?”

Baginda menjawab,

“Iaitulah mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah menjadi rosak.” Riwayat Abu Amr al-Dani daripada hadith Ibn Mas’oud. Dinilaikan sahih oleh al-Albani.

Di dalam suatu riwayat yang lain, baginda menjawab, “Iaitu mereka yang menghidupkan Sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia”

Juga dalam satu riwayat yang lain, baginda menjawab, “Mereka adalah kumpulan kecil di kalangan kelompok ramai yang rosak. Golongan yang menentang kumpulan kecil ini, lebih ramai daripada yang mengikutnya.”

Pernahkah kamu berasa sunyi dan terasing kerana memilih untuk berpegang dengan Islam? Ketika riba dan rasuah sudah menjadi amalan kebiasaan di dalam urusan perniagaan, proses mendapatkan tender atau kontrak, kamu yang memilih untuk tidak menerima semua itu kerana yakin dengan kebenaran ajaran Allah, berasa terasing, dipulaukan, disinis dan disindir. Pernahkah kamu berasa seperti itu?

Ketika kawan-kawan memilih untuk terus memukul bola golf biar pun mentari sudah sirna menuju malam, kamu yang memilih untuk bersolat tercicir daripada permainan, lalu ditertawakan oleh teman yang ramai, pernahkah kamu mengalami pengalaman seperti itu?

Semasa ramai orang berasa malu untuk diketahui tidak pernah melakukan seks dengan sesiapa biar pun usia sudah mencecah belia, kamu memilih untuk terus mempertahankan diri daripada zina kerana yakin dengan kebaikan menjauhinya dan

besarnya kebinasaan menjamah dosa itu, pernahkah kamu berasa tertekan dengan pilihan yang tidak popular itu?

Ketika orang ramai selesa dengan makan apa sahaja ada di depan mata, tanpa perlu diambil kira halal haramnya, kamu memilih untuk bersusah payah mencari yang halal di celah syubhat dan haram yang berleluasa, lalu kamu dianggap berlebih-lebihan dan ekstrim kerana pilihan itu, pernahkah kamu berasa jauh dan terasing dengan cara hidup yang sedemikian rupa?

Tatkala orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan aurat, bergelumang dengan maksiat, sebagai aras tanda mengukur kemodenan diri, tiba-tiba kamu yang membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota yang bersangkutan dengan harga diri, pernahkah kamu dicemuh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai hari ini?

Jika kamu pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Tooba lil Ghurabaa’!

Firman Allah SWT: “Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Al-An’aam 6: 116.

Allah SWT juga menyebut: “Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman)”, Yusuf 12: 103.

Allah ‘Azza wa Jalla berpesan lagi: “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik”, al-Maa’idah 5: 49.

Allah SWT memberikan peringatan di dalam al-Quran: “Akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur”, Yusuf 12: 38.

Bersabarlah jika kamu dipandang asing. Andai pandangan sedemikian berpunca daripada kamu memilih Islam di zaman yang penuh cabaran ini. Keganjilan yang pertama, adalah keganjilan kerana memilih kebenaran. Keganjilan ini tidak menjadikan kaum minoriti yang memilih Islam menderita, sedih lagi berdukacita. Sama ada di dunia, mahu pun di Akhirat. Mereka sentiasa sedar yang mereka tidak bersendirian, kerana Allah sentiasa menemani mereka dalam kehidupan.

Di Padang Mahsyar, ketika orang ramai dihimpunkan mengikut apakah agama dan cara hidup mereka semasa di dunia, sekelompok ini ditanya, “Apakah kamu tidak pergi menyertai manusia yang ramai itu?” Mereka menjawab, “Semasa di dunia lagi, kami sudah pun tidak menyertai mereka biar pun semasa itu kami memerlukan mereka berbanding hari ini. Kami akan terus menunggu keselamatan dari Allah yang kami abdikan diri kepada-Nya selama ini”. Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Namun, Syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia mengheret manusia untuk meninggalkan kebaikan yang menjadi pegangan generasi yang lalu, dan Islam kembali menjadi asing. Oleh kerana itu, janganlah kecundang dengan rasa rendah diri dan terasing kerana memilih Islam. Ia adalah pusingan kehidupan yang sudah pun diberitakan.

Suatu ketika, Rasulullah SAW ditanya tentang maksud firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan”. al-Maa’idah 5: 105.

Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Bahkan sesungguhnya serulah manusia kepada kebaikan dan cegahlah dari kemungkaran. Kamu nanti akan melihat satu keadaan di mana kebatilan akan dituruti, hawa nafsu akan jadi ikutan dan dunia ini akan lebih diutamakan. Setiap orang akan tenggelam dalam pandangan masing-masing. Peliharalah diri kamu dan janganlah dituruti orang ramai. Sesungguhnya selepas zaman kamu ini, akan datang hari-hari yang menuntut kesabaran, dan kesabaran itu akan menjadi seperti perbuatan menggenggam bara api di dalam tangan. Sesiapa yang terus bertahan dengan keadaan itu akan mendapat ganjaran seperti 50 orang yang berbuat perkara yang sama”

Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, ganjaran 50 orang seperti mereka?”

Baginda menjawab, “Ganjaran 50 orang seperti kamu”. Hadith riwayat al-Tirmidhi dan Abu Daud dengan sanad yang lemah tetapi diperkukuhkan oleh riwayat yang lain.

Syukran Kasir kepada ustaz Zamzuri atas ilmu yang diberikan..


Islam itu bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Dan ia akan kembali dipandang ganjil sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang dipandang ganjil (kerana Islamnya mereka)” – Abu Hurairah

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh