(MADAH 21) TAHU.

Ukasyah Telah Mendahului Kalian! Siapa yang tidak mahu masuk syurga?

Jika ada orang yang tidak mahu, sama ada kepala orang itu masuk air atau sepanjang hayatnya, dia tidak pernah tahu akan kewujudan tempat yang bernama syurga.

Tetapi, sejauh mana kamu benar-benar mahu memasukinya? Ya, jika ditanya, semua orang akan bersungguh-sungguh mengangguk-anggukkan kepala, membundarkan mata dan mengangkat kening tanda mereka mahu masuk syurga. Tetapi seseriyes mana kamu Sejujur mana hati dan jiwa kamu merasakan kamu cinta pada syurga? Sesungguh mana kaki kamu benar-benar mahu melangkah ke dalamnya?

Adakah kamu sudah benar-benar fanatik dan obses untuk masuk ke dalam syurga? Telah diriwayatkan kepada kamu sepotong hadith dari ar-Rasul SAW, mafhumnya: "Tujuh puluh ribu dalam kalangan umatku akan masuk syurga tanpa hisab." [Hadith Riwayat Muslim]

Diceritakan juga bagaimana apabila selesai membacakan hadith itu (hadith penuhnya lebih panjang), seorang sahabat, Ukasyah bin Mihshan r.a. bangkit dan meminta kepada baginda supaya mendoakan beliau termasuk salah seorang daripada tujuh puluh ribu itu. Baginda langsung membenarkannya.

Melihatkan gelagat Ukasyah itu, maka bangkitlah sahabat-sahabat yang lainnya dan meminta Nabi untuk mendoakan perkara yang sama untuk mereka.

Apa kata Nabi SAW? "Ukasyah telah pon mendahului kamu."

Apa signifikannya kisah Ukasyah ini?

Ketahuilah, masuk SYURGA tanpa hisab, adalah suatu tiket VVVVVIP yang teramat bernilai dan tinggi harganya. Ia seakan-akan masuk syurga dengan percuma. Free of charge. Jika kamu mengetahui nilai sebenarnya dan tahu bagaimana untuk mendapatkannya, percayalah, kamu akan sanggup untuk melakukan apa sahaja, termasuk merangkak dan mengengsot untuk mendapatkannya. Dengan apa cara sekalipun.

Setiap orang muslim yang ada iman dalam sanubarinya, InshaAllah lambat laun akan masuk syurga juga. Tapi dia pasti akan dihisab, yakni amalannya sepanjang hidupnya di dunia akan dihakimi dan diteliti oleh Allah.

Maknanya, seorang manusia yang terpaksa melalui penghakiman Allah, belum tentu lagi akan ke syurga atau neraka selagi proses hisabnya tidak selesai. Yang lebih mengerikan dan menyebabkan saya terasa seperti mahu terkenching dalam seluar adalah bagaimana telitinya Allah dalam menghisab setiap amalan kamu Tiada satu pun amalan yang akan terlepas pandang daripada perkiraan dan penghakiman Allah.

"Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya." [al-Zalzalah, 99:7-8]

"Dan 'Kitab-kitab Amal' juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: 'Aduhai celakanya kami! Kitab apakah ini? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan tercatat semuanya!' Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun." [al-Kahfi, 18:49]

Gulp.

Boleh jadi, kamu sudah yakin yang kamu akan masuk syurga dek amalan-amalan soleh kamu di dunia, namun selepas dihisab, didapati dahulu di dunia kamu selalu menganiaya kucing sebelah rumah dengan mencabut bulu-bulunya, maka kamu akhirnya ditempatkan di neraka.

Boleh jadi, kamu merasakan yang sedekah dan zikrullah kamu dahulu di dunia akan menyelamatkan kamu daripada azabnya api neraka, namun selepas dihisab, dahulu kamu ini kaki mengumpat; pahala-pahala kamu telah disedekahkan secara percuma kepada mangsa-mangsa umpatan kamu

Dan boleh jadi juga, ada hutang-hutang yang kamu terlepas pandang, ada hak-hak saudara kamu yang kamu zalimi, hingga menyebabkan amal-amal soleh kamu di dunia, yang kamu sangkakan akan memasukkan kamu ke dalam syurga, terbang melayang ibarat habuk dan debu yang ditiup angin kencang.

Nanges.

Lantas, dapat masuk syurga tanpa hisab sungguh adalah satu anugerah dan nikmat yang cukup besar. Tidak ternilai harga dan keagungannya. Impian setiap mu'min yang rasional, bersih hatinya dan benar imannya.

Soal sama ada masih ada kuotakah untuk masuk sorga tanpa hisab itu, itu bukan urusan kamu Ya, jika difikirkan, sudah berapa ramai umat Islam yang hebat-hebat, Super Saiya dan boleh keluarkan kamehameha sejak zaman ar-Rasul SAW dan para sahabat, seolah-olahnya tidak punya harapan lagi untuk kamu menjadi salah seorang daripadanya. Boleh jadi gila kamu dibuatnya!

Tapi itulah cantiknya hadith ini. Ia membiarkan kamu terus tertanya-tanya dan berharap, agar masih punya tempat kosong untuk kamu dan mereka yang kamu kasihi dan chentai keranaNya. Sifatnya yang ghaib (ghaib kerana tidak diketahui siapakah tujuh puluh ribu orang itu) menyebabkan ia seolah-olahnya memberikan harapan kepada kamu meski harapan itu tipis dan kecil.

Harapan tetap harapan. Dan harapan itu akan terus menghidupkan. Lantas di sinilah, Ukasyah r.a. benar-benar menjadi qudwah kepada kamu Sungguh, Ukasyah benar-benar beriman dengan ayat chenta Allah yang satu ini:

"Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang... [ali-Imraan, 3:133-134]

Berapa kali dalam hidup kamu kamu diajak ke arah kebaikan dan kamu kata, "Lek lek lu..”

Berapa kali dalam hidup kamu kamu diberi tawaran untuk mendekatkan diri kamu dengan Allah, dan kamu punya fikiran kedua (Baca: Second thought) tentangnya?

Berapa kali dalam hidup kamu kamu ditawarkan dengan tiket-tiket ke syurga dan hati kamu berbolak-balik, tidak pasti untuk membelinya...?

Berapa kali dalam hidup kamu kamu diajak untuk menyertai gerabak tarbiyah dan dakwah, dan kamu was-was dengannya, kerana memikirkan pengorbanan yang terpaksa kamu lakukan kelak?

Berapa kali dalam hidup kamu kamu ditangkap untuk bersama-sama dalam konspirasi tarbiyah, menyebarkan kebaikan dan kebahagiaan ke seluruh dunia dan kamu berusaha dengan gigih untuk melepaskan diri daripadanya...? Sekali? Dua kali? Tujuh kali? Banyak kali sehingga kamu tidak mampu mengingatinya lagi...?

Nah, apa yang dapat kamu belajar daripada Ukasyah?Daripada Ukasyah, kamu belajar peri pentingnya untuk kamu bersegera mendapatkan kebaikan dan ganjaran dari Allah. Daripada Ukasyah, kamu belajar menjadi orang yang mengikut-ikut sahaja tidak mencukupi.

Daripada Ukasyah kamu belajar untuk lebih pro-aktif dan seriyes dalam mengejar keredhaan Allah dan tidak perlu malu-malu kucing untuk melakukannya.

Daripada Ukasyah kamu belajar jangan tunggu-tunggu dan tangguh-tangguh lagi apabila peluang sudah terbentang di hadapan mata.

Dan daripada Ukasyah juga kamu belajar, untuk menjadi manusia yang luar biasa, kamu mesti berani dan sanggup melakukan perkara yang luar biasa juga!

Bagaimana? kamu mahu menjadi salah seorang daripada tujuh puluh ribu orang yang akan masuk syurga tanpa hisab itu? kamu mahu menjadi hamba yang amat dekat denganNya? kamu mahu menjadi seorang manusia yang luar biasa, sebaris dengan para sahabat Nabi SAW, salafus soleh tabie' dan tabi'in?

Maka! "Fafirru ilallah! Maka segeralah kembali kepada (menaati) Allah." [adz-Dzariyat, 51:50]

Nah, Ukasyah mungkin telah mendahului kamu semua. Sanggupkah kamu membiarkan kamu lebih ramai orang yang berlari-lari gembira, bersegera menuju sorgaNya, mendahului kamu dan membiarkan kamu terhegeh-hegeh di belakang..? Sanggupkah kamu ..?

Kredit untuk ustaz Aznari..

Kalau manusia ini mengejar kasih Allah, tidak akan timbul perselisihan dan perbalahan. Jika manusia sesama manusia, mengejar kasih manusia, itulah rahsia manusia itu bersaing dan berbalah.” – Mutiara Islam

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh