(Madah 36) MUNGKIN SUDAH TIBA MASANYA.

Mungkinsudah tiba masanya untuk kamu duduk sejenak, tarik nafas dalam-dalam dan melakukan muhasarawak dan refleksi diri; sejauh mana kamu sudah memenuhi tujuan hidup kamu sebagai 'abid dan khalifah Allah di muka bumi. Adakah setiap masa dan ketika, dalam setiap perlakuan dan kehidupan kamu sehari-hari, kamu benar-benar menjadi hamba? Adakah setiap peluang yang datang menerpa, baik di kantor atau di tempat pengajian, baik di pasar atau masjid, baik di padang permainan atau kompleks beli-belah, kamu manfaatkannya sebaik-baiknya untuk menegakkan kebenaran dan kalimah Allah yang mulia..?

Mungkin sudah tiba masanya untuk kamu meneliti semula keikhlasan kamu dalam beramal, sama ada kamu meletakkan Allah sebagai ghayah kamu yang paling utama dan pertama. Sama ada kamu benar-benar membutuhkan redha dan chentaNya, atau ada udang di sebalik mee Anis sup Utara? Eh. Mungkin selama ini kamu bersama-sama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah ini kerana kamu jatuh hati dengan akhawat itu, atau mahukan kedudukan dan pangkat tertentu, atau mungkin juga kerana hanya gerabak ini sahaja kamu merasakan diri kamu diterima, walhal kamu tidak mungkin seglamor atau sebergaya ini andai kamu bersama dengan gerabak yang lain..? Astaghfirullah.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kamu lebih seriyes dan bersungguh dalam bermunajat dan memanjatkan doa kamu kepadaNya. Niatnya. Lafaznya. Makhrajnya. Maksudnya. kamu sering berasa hairan mengapa doa kamu umpamanya tidak didengari Allah, apatah lagi dimakbulkanNya. Rupa-rupanya kamu bermain-main dengan doa kamu kamu tidak seriyes dengan apa yang kamu ungkapkan. Lebih teruk lagi, kamu tidak yakin pun dengan apa yang kamu ucapkan. Alahai. Bagaimana Allah nak kotakan..?

Mungkin sudah tiba masanya kamu perbanyakkan istighfar penghapus dosa dan bangun malam penghancur noda. Hati kamu sudah lama kering, mula membenihkan lalang-lalang beracun dan merekahkan tanah-tanah jiwa yang dahagakan sentuhan rabbani. Dalam kamu ligat dan galak ke sana ke mari mentarbiyah dan berdakwah, kamu lupa bekalan dan makanan ruh untuk diri sendiri. Istighfar kamu hanya air liur pembasah bibir. Solat malam kamu ala kadar, mamai-mamai tahi mata menebal pada kelopaknya, tidak sedar pon apa yang kamu lafazkan. Aduhai. Sudah, bagaimana kamu mahu melembutkan hati-hati di luar sana sedangkan hati kamu sendiri merekah penuh sengsara?

Mungkin sudah tiba masanya kamu lebih berhati-hati dan telus dalam mentadabbur al-Quran; lebih seriyes, lebih ikhlas dan lebih bersungguh dalam mencari chentaNya yang terkandung dalam setiap helaian mushaf dari langit itu. Sering kamu tergaru-garu kepala, mengapa kamu sukar benar terasa basah dan tersentuh dengan ayat-ayat yang kamu baca. Walhal tarannum dan bacaan kamu dah ala-ala Fatih Seferagic dah. Eh. Rupa-rupanya kamu bertilawah sekadar mahu mencukupkan mutabaah amal yang ditugaskan kepada kamu Rupa-rupanya kamu mentadabbur al-Quran dalam keadaan tidak rela, hanya ketika berbulatan gembira semata. Rupa-rupanya alunan merdu suara kamu melagukan bacaan kamu adalah kerana kamu mengharapkan pujian dan pujaan daripada mereka yang mendengarnya. Wahai, jangan hairan andai bacaan ayat-ayat chenta kamu itu mengundang murka dan bukannya redha!

Mungkin sudah tiba masanya kamu lebih berlapang dada dalam menanggapi masyarakat di luar sana. Allah, apalah hebat sangat kamu ini; ilmu baharu sekelumit cuma di dada, sudah mahu memandang orang lain dengan pandangan keji dan hina..? Baru ikut dan membawa bulatan gembira, dijemput beri perkongsian sekali-sekala, kamu sudah mahu mendabik dada? Berapa ramai di luar saya yang menyatakan rasa kechiwa, langsung tidak berminat mahu bersama-sama kamu dek keangkuhan dan kejahilan diri kamu sendiri..? Alahai, kamu ini sudahlah biasa-biasa sahaja, marhaen lagi hina, fikrah pon belum benar-benar membumi di jiwa, dan kamu sudah pandai menghukum orang itu dan mengkritik orang ini..? kamu ni bukan maksum pon; sudah konfem masuk sorgakah..?

Dan mungkin sudah tiba masanya kamu lebih bersungguh-sungguh dan berkorban sepenuh jiwa dan raga kamu untuk perjuangan terchenta ini. Ya, kamu rasakan kamu sudah bersemangat. kamu jangka kamu sudah keluarkan semua (Baca: All out). Kembang-kempis hidung kamu penuh keyakinan yang kamu sudah berikan yang terbaik. Uhm uhm. Benarkah? Cuma tengok kehidupan sehari-hari kamu bagaimana; masih ada masa yang kamu bazirkankah untuk sesuatu yang tidak menguntungkan Islam? Masih banyakkah jahiliyyah yang berkarat di dalam jiwa? Masih banyakkak harta dan tenaga kamu yang kamu manfaatkan untuk urusan dunia yang tidak memberi laba kepada agama..? Dan sudah tertunaikah sumpah setia kamu lima kali sehari itu - "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam"..?

Nanges.

Mungkin sudah tiba masanya... Atau belum tibakah waktunya..?

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang yang fasik." [al-Hadid, 57:16]

Nah pisau. Sila tikam diri sendiri. Tepat pada jantung tahu..?


Tiada seorang manusia pun dimuka bumi ini tidak boleh diajar, Cuma cari belajarnya berbeza-beza.- Dr. Qhaiz Yatim Dinanthr’a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh