(MADAH 39) TAQWA DAN JALAN BERDURI.

Taqwa. kamu selalu dengar perkataan ni kan? Banyak kali perkataan taqwa ni kamu jumpa dalam al-Quran. Taqwa ni secara istilahnya membawa maksud takut kepada Allah. Tapi sebenarnya, taqwa ni bukanlah semata-mata takut kepada Allah. Dalam satu perkongsian ilmu yang Qaisy dengar, taqwa ini juga boleh diibaratkan macam kamu sedang berjalan melalui satu kawasan yang berduri.

Secara logiknya apabila kamu melalui jalan yang berduri, pastinya kamu akan lalu jalan tu dengan berhati-hati dan cermat supaya tidak terkena duri-duri tu. Sebabnya kamu tahu natijah apabila terkena duri itu. Kiranya tersalah sedikit, pasti kamu akan terluka dan berdarah.

Sifat taqwa ni boleh digunakan dalam kehidupan seharian kamu Sebabnya dalam hidup ni, boleh dikatakan hampir setiap masa kamu perlu membuat pilihan. Err, apa kaitan taqwa dengan buat pilihan ni?

Macam ni. Kiranya, apabila kamu nak buat satu pilihan ni kamu kenalah buat dengan berhati-hati. Kan taqwa itu diibaratkan macam kamu sedang melalui jalan yang berduri. Bila nak buat sesuatu pilihan ni, kamu kena fikir akan akibat dia. Kena fikir apa yang kamu buat ni Allah redha ke tak? Dapat pahala ke dapat dosa? Macam itulah kamu gunakan sifat taqwa dalam hidup kamu

Andainya kamu tak berhati-hati, kecenderungan untuk kamu luka atau tercalar (buat keputusan yang silap) sangatlah besar. Lebih-lebih lagi di zaman sekarang ni, banyak sangat godaan yang mendatang. Godaan yang datang dari kanan dan kiri. Belakang dan depan. Atas dan bawah. TV, Internet, dan environmentbanyak memberikan pengaruh kepada kamu Sama ada pengaruh yang baik ataupun pengaruh yang buruk. Andainya tidak kuat, pasti kamu akan jatuh tersungkur. Sebab itu, buatlah pilihan dengan bijak. Tepislah godaan yang mendatang. Walau iman tinggal senipis bawang, berusahalah menepis godaan-godaan duniawi. Fikirkanlah akan kemanisan syurga. Yosh!

MENGATAKAN AKU TIDAK TAHU.

“Eh, apa hukumnya kalau kamu buat benda ni ek? Boleh ke tidak?”

“Aku rasa boleh kot.”

“Aku dengar orang kata tak boleh kalau buat macam ni. Haram. Apa kata kau?”

“Oh, orang kata tak boleh ek? So, aku rasa tak boleh la kot.”

Haa, pernah tak kamu berdepan dengan dengan keadaan macam ni? Mesti selalu sangat kan. Qaisy perhatikan di facebook dan di group-group fb ramai yang bertanyakan soal hukum agama kepada kepada kawan-kawan mereka. Bertanya tu tidak salah. Sangat bagus kerana bertanya itu tandanya kamu dahagakan ilmu. Alhamdulillah. Tapi yang menjadi salahnya ialah apabila orang yang tidak tahu, tapi buat-buat tahu dalam menjawab persoalan hukum tersebut.

Dan perasan tak, kebanyakkan ramai orang yang menjawab dengan perkataan 'aku rasa'. Setahu Qaisy, soal hukum hakam ni tidak boleh ada 'rasa-rasa'. 'Rasa-rasa' ni tandanya orang itu tidak berapa yakin. Dan setahu Qaisy juga, sesuatu hukum juga mesti berdasarkan nas dan dalil-dalil yang sahih bukan sekadar 'rasa-rasa'. Tidak pernah ulama' kalau mengeluarkan fatwa hukum, mereka 'rasa-rasa'.

Dan kalau dilihat, para ulama' terdahulu apabila dipersoalkan tentang hukum agama, mereka merasa takut untuk menjawab.

“Apabila aku ditanya suatu persoalan, terlalu berat bagiku, bagaikan terpampang di hadapanku neraka dan syurga.”

Nah, tengok. Para ulama' takut untuk menjawab persoalan apabila mereka tidak tahu. Takut dicampak ke dalam api neraka. Dan mereka mudah menyebut 'Wallahu a'lam' atau 'aku tidak tahu' apabila mereka tidak tahu. Sedangkan kamu Dengan mudahnya menjatuhkan sesuatu hukum itu haram atau halal atas sesuatu persoalan tanpa merasa takut sedikit pun.

Kita ego dan kamu malu apabila tidak dapat menjawab persoalan orang lain. Malu dikatakan bodoh. Malu dikatakan tidak cukup ilmu. Konon-konon nak tunjuk hebat di hadapan orang lain. Kononnya kitalah yang tahu segala-galanya. Tapi kan, cuba bayangkan jika kamu tersalah memberi hukum dan orang itu beramal dengan hukum yang kamu berikan. Sanggupkah kamu menanggung dosa itu? Hurmm..

Jadi, janganlah terlalu mudah menjatuhkan hukum itu haram atau halal sedangkan kamu sendiri tidak pasti akan kesahihannya. Tapi sekiranya kamu yakin dan telah merujuk para ulama' sebelum itu, katakanlah kamu tahu dan sebarkanlah.

Sebaiknya dan memang patut pun, apabila kamu berhadapan dengan persoalan sebegini yang kamu tidak ketahui jawapannya, tanyalah orang yang lebih berpengalaman, orang yang belajar hukum hakam agama seperti ustaz orustazah. Kerana mereka lebih mahir dan tahu soal hukum ni.

Qaisy tertarik dengan satu ungkapan ni. “Belajarlah aku tidak tahu kerana jika engkau belajar engkau tidak tahu, mereka akan mengajar engkau sehingga engkau tahu, tetapi apabila engkau belajar 'aku tahu' maka mereka bertanya kepada engkau sehingga engkau tidak tahu!”

Kesimpulannya, apabila tidak tahu katakanlah tidak tahu. Sungguh itu lebih baik.

Orang yang paling berkuasa adalah orang yang dapat menguasai dirinya sendiri.

- Mutiara Islam

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh