(MADAH 1) DIRI INI.

Bismillahhirahmannirahim..Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkan Qaisy begitu berani mencoretkan sesuatu tentang diri ini yang tidak pernah Qaisy kenali. Qaisy sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diri ini kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang hanya Qaisy khususkan buat umum sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang sahabat sejati telah membuatkan Qaisy tersedar dari lena yang panjang.

Qaisy menulis madah ini untuk keluarga dan sahabat-sahabat yang sentiasa disayangi, andai ada kata yang salah, sepenuh hati Qaisy memohon maaf. Qaisy hanyalah manusia biasa, hambaNYA sama seperti kamu. Qaisy meninggalkan zaman kejahilan itu, Qaisy masih ingat, ketika bertemu dengan seorang sahabat yang mengajar Qaisy kembali pada jalan yang betul, terasa hati tenang, beban selama ini yang ditanggung hilang secara tiba-tiba.

Selama ini Qaisy hilang identiti sendiri, terbang melayang-layang tanpa berhenti, mencari dan terus mencari... suatu malam, Allah SWT telah memutuskan agar Qaisy menerima hidayahNya. Dia membuatkan hati ini sesak, gelisah dan menangis, kerana ia nikmat mengenang dosa! Barulah Qaisy sedar, selama Qaisy hidup di dunia ini, Qaisy berjalan dengan kejahilan, hidup yang sia-sia tidak bermakna dan hanya keseronokan semata-mata.

Qaisy menangis sepuas-puasnya, biarlah Dia mendengar rintihan diri ini. Bagaimana Qaisy berdoa? Berdoa dengan cara dahulu, sesekali tidak.. hati tidak menginginkannya. Qaisy mencari-cari tafsir Al-Quran dipeluk erat-erat. Hati ini berdoa “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar memilihku, berikanlah aku jalan keluar dari belenggu ini". Akhirnya Qaisy tertidur dengan memeluk Al-Quran itu, biarpun ketika itu aku belum pandai membacanya, tapi Al-Quran itu telah memberi ketenangan. Sungguh membahagiakan, ia langsung tidak difahami. Dia Maha Mendengar, Dia telah menemukan hamba-hambaNya untuk membantu diri ini, satu per satu datang, sehinggalah Qaisy menjadi Qaisy yang sekarang.

Qaisy bukannya membanggakan diri, Qaisy hanya sekadar memberi perkongsian agar kamu juga melihat apa yang Qaisy lihat, merasa apa yang Qaisy rasa, menikmati apa yang Qaisy nikmati.

Bila diri ini hampir berada dilandasan yang betul, Dia tidak akan melihat iman ini dengan memberi kehidupan yang baik. Kadangkala akan di datangkan hujan untuk membasahkan diri ini, didatangkan pula matahari untuk memanaskan badan, akhirnya terasa diri tidak sihat, sebenarnya Dia menyayangi diri ini. Dia ingin melihat teguh mana akidah dan tauhid diri ini kepadaNya.

Qaisy tahu semua manusia juga hamba pilihanNya, Hidayah itu perlu dicari. Qaisy tidak mencari tapi ia datang secara tiba-tiba, seolah-olah ia adalah suara hati, bayang-bayang kehidupan, mengajak untuk mencari hidup yang lebih baik. Qaisy tidak menyalahkan kedua ibu bapa Qaisy yang tidak mengajar tentang agama Islam yang sebenarnya, sedia muslim tapi hanya pada nama, mereka juga sedang diuji.

Janganlah melihat mereka dengan pandangan yang serong, mereka juga manusia biasa. Hati masih belum terbuka untuk mencari kebenaran. Kemurnian agama Islam, bukan pada penganutnya. Islam yang sempurna, bukan pada manusia. Qaisy tidak ingin menjadi riak, anggkuh dan sombong. Qaisy cuma ingin kamu melihat pada sisi mana kamu melihat kecacatan pada agama ini.

Qaisy mulai belajar sepatah demi sepatah alif, ba, ta, tsa... dulu, Qaisy pernah berkata, bertuahnya manusia yang boleh belajar tulisan berbelit dan sukar difahami. Sedangkan diri ini tidak pernah diajar oleh kedua ibu bapa. Mustahil bagi Qaisy untuk memahaminya

Allah Maha Besar, sepatah demi sepatah Qaisy pelajari, semakin lama Qaisy boleh menguasainya, biarpun tertatih-tatih, tapi Qaisy sangat bersyukur kerana akhirnya Qaisy boleh membacanya. Qaisy tidak boleh memahaminya, Qaisy membaca tafsirnya. Ayat demi ayat Qaisy pelajari.

Apa yang terkandung memberi banyak jawapan pada persoalan diri ini. Rupanya jawapan segala pertanyaan diri ini ada terdapat pada Al-Quran. Pengalaman pertama kali menunaikan ibadat solat, Qaisy hanya menjadi makmum yang mengikut pergerakan, bukan doa yang dilafaz, tapi air mata yang keluar. Berusaha untuk menahan tapi tidak tertahan, setiap kali sujud, setitis demi setitis air mata mengalir, tidak tahu kenapa?

Diri begitu tersangat jahil, tidak layak untuk bersujud, Qaisy dipeluk oleh sahabat-sahabat jemaah. Syukur kepada Allah, hamba yang masih mencari jalan yang lurus pasti diberi jalan yang mudah. Qaisy mulai menguasai dan memahami setiap bait doa, diri ini berusaha untuk menghayatinya... saat itulah diri ini akan menangis, seolah-olah Dia ada disisi sedang melihat, diri ini,terasa kerdil di hadapanNya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh