(Madah 10) MENGHARGAI ORANG LAIN.

Banyak orang yang mengeluh, sulitnya untuk mengubah orang lain. Tetapi tahukah wahai saudaraku, bahawa yang paling sulit sebenarnya adalah untuk mengubah diri sendiri. Bila diri sendiri sukar diubah, apatah lagi mahu menuntut orang lain untuk berubah? Masalahnya, ada juga orang yang sudah ingin berubah, tetapi keadaannya belum membenarkannya untuk berubah. Ada juga yang sudah mula untuk mengubah perangai negatifnya, mengubah sifat buruknya, tetapi langsung tidak mendapat penghargaan dan perhatian dari orang terdekat dengannya. Akibatnya, dia merasa sia-sia berubah diri. Ada juga yang berani mencari perhatian dari sekitarnya, maksud hatinya mahu memberitahu pada dunia kalau dia sudah berubah. Tetapi cemuhan dan kata-kata sinis yang dihadapinya. Ada yang akhirnya trauma untuk berubah kerana dikatakan hipokrit.

Kenapa kamu harus mencemuh seseorang dahulunya freehair, sekarang berubah memakai tudung? Kenapa mahu disindir orang yang dahulunya tidak solat, sudah rajin mengunjungi rumah Allah? Kenapa?

Yang ingin disampaikan di sini adalah, kamu harus “Menghargai” Perjuangan seseorang untuk mengubah dirinya, dengan memberikan kesempatan padanya untuk memperbaiki dirinya. Berikan sokongan moral, dan dorongan kepada mereka yang ingin memperbaiki diri, memperbaiki hubungan dengan Tuhan dan seterusnya ‘hubungan’ yang kurang harmoni menjadi hubungan yang jauh lebih mesra. Berikan kesempatan bagi mereka yang ingin menjalin kembali tali-tali persahabatan yang telah putus.

Mudah untuk mencari musuh, tetapi sulit untuk mencari sahabat. Mudah mencari pasangan hidup baru, tetapi sukar mempertahankan pasangannya sendiri. Mudah mencari cinta nafsu, tetapi sulit mencari cinta yang ikhlas. Mudah menyalahkan orang lain, tetapi sukar melihat kesalahan sendiri. Mudah untuk berpisah, mengapa sukar untuk ‘bersatu’ lagi? Mudah memberi ‘label’ pada seseorang, tetapi mengapa sukar mencabut ‘label’ yang sudah diberikan?

Bila kamu seorang pejuang, maka akan sangat mengerti erti sebuah pengorbanan. Bila kamu adalah seorang yang senang berkorban, maka kamu akan sangat mengerti apa erti menjadi ‘korban’ itu sendiri. Apa pun pengorbanan dan perjuangan kamu semua itu tidak akan sia-sia. Dan ingatlah, bila ada orang masih sukar menerima kamu dari sudut lain, pasti banyak yang menanti kebaikan kamu

Bukan semua orang suka kamu tatkala kamu lakukan pelbagai perkara baik dalam kehidupan. Bukan juga semua orang tidak suka kamu jika kamu lakukan kesalahan paling besar dalam kehidupan. Perkara ini dikongsi oleh semua orang. Malah Rasulullah s.a.w sendiri tidak disukai musyrikin Mekah pada suatu masa dahulu. Tetapi Rasulullah s.a.w ada ramai umat yang sayangkan Baginda. Ketahuilah bahawa perkara ini juga adalah ujian dari Allah. Orang suka kamu ketika melakukan salah.

Itu adalah ujian kepada diri kamu untuk melawan rasa bangga atas kesalahan yang telah dilakukan. Manakala ada orang yang sentiasa melakukan kebaikan pula menghadapi masalah berdepan dengan orang yang dengki terhadapnya. Nampak? Ini ujian.

Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kamu diuji, selagi itulah kamu masih hidup. Jadi bersyukurlah. Ujian itulah jalan untuk kamu mengenal Allah. Jadi, mengapa kamu perlu mencemuh situasi jika tidak disukai orang lain? Adakala kamu pernah terdetik bahawa diri kamu telah pun buat macam-macam usaha untuk menangi hati orang lain. Malangnya tiada respon yang positif. Hingga sampai satu tahap dunia ini dirasakan tidak adil dan ketidak adilan itu terjadi pada diri kamu Setiap pertandingan atau interview yang kamu masuk, kamu sering disingkir walaupun kamu punyai bakat. Dalam masa yang sama kamu melihat orang yang tidak berbakat dari kamu pula yang terpilih. Mestilah rasa hampa, bukan?

Tapi tidak bermakna semua orang tidak suka kamu Cubalah yakinkan diri bahawa bilangan mereka menyayangi jauh lebih ramai berbanding mereka membenci, itu sudahpun cukup menjadikan kamu menarik nafas lega. Jangan pula kamu lupa, setiap perbuatan baik yang dilakukan itu sebenarnya disukai oleh Allah. Ketika kamu berpuas hati dengan setiap perkara baik yang dilakukan, walaupun tiada yang memuji tapi masih lagi berlapang dada. Percayalah, itulah perbuatan ikhlas yang pernah kamu lakukan.

Kadang-kadang kamu dapat tahu ada orang lain tidak suka kamu. Malah kamu tahu dia pernah mengumpat dari belakang. Atas bisikan syaitan yang mahu manusia itu berpecah, kemarahan pasti membuak dalam diri.

Maka, cubalah sabar dan katakan pada diri, “Allah ciptakan mereka kerana kasih kepadaku. Kerana ini adalah ujian untukku.” Pasti kemarahan tersebut akan terganti dengan ketenangan. InsyaAllah. Kerana semua orang ada pandangan yang berbeza. Perangai yang tidak sama. Walaupun dalam sepuluh orang yang kamu kenal mungkin separuh daripadanya tidak suka kamu Tidak mengapalah, bentukkan senyuman pada bibir dan terus mara. Asalkan kamu sedar siapa diri kamu dan Allah suka kamu

Biarlah orang kata , “Aku tak suka kau.”

Maka jawab sajalah, “Bukan semua orang suka dengan saya macam itu juga dengan awak. Tapi saya tetap akan sukakan awak. Kerana awak adalah ciptaan tuhan. Allah suka sebegitu.”

Barangsiapa yang hari ini sama dengan kelmarin, maka tertipulah dia, dan barangsiapa hari ini lebih jahat dari kelmarin, maka terkutuklah dia.”  Mutiara Islam

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh