(Madah 3) BERUNTUNG ORANG YANG GANJIL.

Pepatah ada menyatakan “sekali air bah, sekali pasir berubah”. Begitu juga manusia yang boleh berubah sama ada dari negatif menjadi lebih baik atau sebaliknya. Jika dilihat dari sudut yang positif, perubahan merupakan satu penghijrahan yang membawa kebaikan kepada seseorang individu, namun ada juga perubahan yang menyebabkan seseorang itu semakin dijauhi oleh orang lain.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda yang bermaksud:

“Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” [Hadith Muslim no. 145]

Beruntunglah manusia yang asing di akhir zaman. Terasing kerana Islam yang digenggam. Zaman berganti zaman, Islam asing (gharib) kali kedua, hati-hati jenih fikrahnya menjadi ghuraba’.

Golongan ini sedikit sekali kerana golongan ini sering mendapat tapisan demi tapisan dari Ilahi sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang benar-benar ikhlas denganNya.

Pernahkah kamu berasa sunyi dan terasing kerana memilih untuk berpegang dengan Islam? Ketika ramai orang di sekeliling kamu mula menonjolkan aurat masing-masing, tudung disingkat-singkatkan, baju semakin nipis, seluar semakin ketat, kain semakin sendat, fesyen moden semakin dahsyat, tetapi kamu masih mengekalkan cara pemakaian Islam yang sebenar.

Kamu disinis, ditertawa, diperlekehkan. Pernahkah???

Ketika ramai kawan-kawan menjerumuskan diri dalam cinta duniawi, ber’couple’ sana sini, huhahuha dengan lelaki, bergelak dan bermesra dengan teman sehati, menonton wayang bersama pasangan sendiri, bergayut di telefon sehingga lewat malam tanpa arah tujuan, bermanja-manjaan, tetapi kamu masih berpegang dengan pendirian al-Quran dan as-Sunnah.

Kamu pelihara mukadimah zina. Kamu dipulau, dikutuk, dijadikan bahan umpatan, digelak tawa bersama teman. Pernahkah kamu lalui semua ni?

Tatkala orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan aurat, bergelumang dengan maksiat, sebagai aras tanda mengukur kemodenan diri, tiba-tiba kamu yang membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota yang bersangkutan dengan harga diri, pernahkah kamu dicemuh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai hari ini?

Saat zina dan arak berleluasa, rasuah dan riba’ bermaharajalela, pergaulan bebas semakin melata, tapi kamu masih lagi teguh dengan keimanan terhadap Allah.

Anda dicaci, dihina, diherdik. Pernahkah kamu punya pengalaman sebegini??

Jika PERNAH, maka berbahagialah!

Jika kamu pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wa sallam.

                                      “Sesuatu yang baik, belum tentu benar.

Sesuatu yang benar, belum tentu baik.

Sesuatu yang bagus, belum tentu berharga.

Sesuatu yang berharga/berguna, belum tentu bagus.” 

-Mutiara Islam

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh