(Madah 14) MUSLIMAH ZAMAN INTERNET

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum. Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Qaisy percaya istilah 'muslimah zaman internet' itu boleh dihurai dengan cukup luas menurut pandangan masing-masing.

Salam kemaafanku hulurkan buatmu sahabatku, juga teguran buat diriku yang juga gadis berniqab, andai kata coretanku selepas ini bakal menghiris hatimu. Tiada apa yang dapat ku lafazkan lagi melainkan aku amat menyayangimu sahabatku kerana kamu sahabat seakidah di jalan dakwah juga kerana kecekalan imanmu mempertahankan niqab sebagai pakaian yang melambangkan ketinggian peribadimu.....

Sahabatku yang dirahmati Allah... Sungguh aku amat berbangga denganmu. Penampilanmu yang sopan membuatkan kamu dihormati di mata masyarakat yang memahami tuntutan berpurdah.

Tapi sahabatku...

Tiada manusia yang benar-benar sempurna melainkan junjungan kamu Rasulullah s.a.w. Terkadang kamu terlupa, dan menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk saling mengingati saudaranya agar tidak terus hanyut.

Aku tidak menyalahkan dirimu kerana niqab, sahabatku. Aku juga pernah terlalai dan alhamdulillah, diri yang kerdil ini telah ditegur oleh seorang sahabat berhati mulia, yang tidak mahu hati ini terus dimamah dosa, juga kerana sayangkan agamanya. Diri ini terasa sangat malu apabila ditegur oleh seorang ikhwan yang tidak dikenali, tapi akhirnya diri ini memandang teguran itu sebagai satu kritikan yang membina. Jazakallah di atas teguranmu sahabat, semoga Allah sentiasa menjaga dan melindungimu.....

Bukan sahabatku...

Bukan kerana niqab, tapi semuanya bertitik tolak dari diri kamu sendiri.. Jauh dari lubuk hati kamu yang paling dalam. Tanya imanmu sahabatku, apa tujuan kamu berniqab? Sudah tentu untuk melindungi wajahmu dari pandangan mata yang bakal mengundang nafsu. Jadi, apa tujuanmu mempamerkan gambarmu yang berniqab di laman sosial ( friendster, myspace, facebook etc.)?.

Apakah untuk tujuan berdakwah? Sahabatku…

Matlamat tidak menghalalkan cara. Banyak lagi cara untuk kamu meyampaikan dakwah tetapi bukan dengan cara ini. Biarpun memang ada hati yang insaf tatkala melihat dirimu yang tampak sopan menghijab diri, tapi dapatkah dipastikan bahawa mata yang melihat dirimu itu semuanya mata-mata muslimah? Apakah tiada mata-mata lelaki ajnabi yang memandangmu walaupun sudah lengkap terhijab dengan niqab?

Ya... Mungkin ada yang berkata. “Ah! Tak apalah. Muka dah tak nampak. Semua dah bertutup. Takkan nak timbul nafsu juga…”

Dari kerana mata….

Tahukah kamu sahabatku yang disayangi… Lelaki itu tinggi imaginasinya. Walau hanya dengan melihat fotomu yang berniqab, tapi akal mereka masih mampu meneroka setiap inci dirimu. Memang benar sahabatku. Melalui fotomu, dapat dilihat kurus atau berisinya dirimu, tinggi atau rendahnya, malah melalui sebahagian kecil matamu yang kelihatan sudah cukup mampu menggambarkan kecantikan wajahmu, sahabatku.

Biar sehebat mana iman seseorang lelaki itu, biar setinggi mana ilmu agama yang mereka pelajari, namun itu bukanlah jaminan sempurnanya kekuatan iman seseorang itu. Rambut saja sama hitam, tetapi hati lain-lain. kamu tidak dapat menduga apa yang ada di dalam hati mereka. Mata yang melihat sudah tentu akan mendorong akal untuk berfikir tentang foto perempuan berniqab yang dilihatnya. Akal yang berfikir sudah tentu akan didorong nafsu untuk membayangkan rupamu lebih jauh lagi. Mungkin bukan semua, tetapi itulah kemungkinan yang bakal terjadi andai kamu tidak menjaga diri.

"Zina mata dengan melihat, kedua telinga zinanya mendengar, lidah zinanya bercakap, tangan zinanya berpegangan, kaki zinanya melangkah dan hati yang berhasrat, membayangi,dan berharap. Semua itu dibenarkan (direalisasi) oleh kelamin atau digagalkannya." (HR Bukhari).

Rujukan:Kitab Riyadhus Solihin dalam Bab larangan melihat Wanita.

                                  ‘Mawar berduri’ vs ‘Mawar yang rugi’....

Sahabatku…

Andai kamu merasakan dirimu mawar berduri, buktikan!! Bukan dengan pembuktian dengan meng’upload’ foto wajahmu yang berniqab, melambangkan dirimu seolah-olah ‘mawar berduri’. Tetapi dengan cara menghentikan ‘upload’ fotomu itu. Engkau tidak rugi sahabatku. Malah engkaulah orang yang beruntung, kerana dirimu terhindar dari pandangan mata ajnabi yang melihat, dan akal mereka yang berfikir. Dirimu juga terhindar dari dosa membiarkan ajnabi berfikir dan membayangi rupamu. Dan sekaligus menyelamatkan lelaki ajnabi dari dosa melihatmu dan membayangi rupamu. Juga engkau telah menyediakan dirimu suci-sesuci sucinya untuk seseorang yang lebih berhak lagi halal bagimu. Ingat sahabatku gadis berniqab, dirimu sudah menjadi maqam qudwah buat masyarakat di luar sana. Justeru itu, elakkan segala perkara yang bakal mengundang fitnah buat kamu para niqabi.

Asif (maaf) jika mengguris hati akhwat-akhwat semua. Sesungguhnya Qaisy hanya insan biasa. Qaisy bukanlah terlalu pandai dalam bidang agama, mana yang salah tegurlah.....

wassalam.


                                                   “Solat adalah tiang agama

siapa yang mengamalkannya

sungguh dia telah menegakkan agamanya

siapa meninggalkannya

sungguh dia telah meruntuhkan agama (dalam dirinya).

Jangan pernah tinggal solat, kerana jutaan manusia di dalam kubur yang ingin kembali dihidupkan hanya untuk bersujud kepada Allah.

- Mutiara Islam

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh