Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,558
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 14: BERSAMA IRIS DI DATARAN MASJID

BAB 14: BERSAMA IRIS DI DATARAN MASJID

Sampai di hotel penginapan yang terletak tidak jauh dari masjid, kelihatan para jemaah lelaki dan wanita dalam kumpulan umrah yang sama berpusu-pusu menaiki lift untuk ke tingkat atas. Sarapan pagi disediakan di sana. Sajian makanan di hotel tersebut diuruskan oleh pengendali katering dari Indonesia. Jadi seleranya adalah selera Indonesia.

Terima sajalah seadanya. Ketika itu aku cuba membayangkan bagaimana orang dulu-dulu yang datang ke tanah suci di musim haji membawa tong bekalan makanan yang lengkap yang dipanggil ‘Tong sara’.

Banyak barang makanan dimasukkan, bahkan seperti yang diceritakan oleh Dato' Syed Omar Al-Sagoff, bekas duta besar ke Arab Saudi, kelapa pun ada yang dibawa melalui tong tersebut. Ketika itu beliau menjadi seorang pelajar di Makkah dan membantu syeikh-syeikh haji ketika musim haji, sebelum wujudnya Sistem Muasasah seperti sekarang

.

Sekarang kemudahan katering telah disediakan oleh pengendali pakej umrah dan haji. Tidak perlu bersusah payah. Semua telah tersedia. Pilihan makanan ala-Arab yang popular di Malaysia seperti “Nasi Mandy” juga tersedia. Cuma siapkan riyal banyak-banyak. Semua tersedia, berbagai makanan dari India, Pakistan, Arab, tersedia di restoran-restoran yang bertaburan di sekitar Madinah.

Tradisi membawa bekalan makanan oleh para jemaah haji ketika zaman pengangkutan air melalui kapal haji, tidak berakhir. Nampaknya akan berterusan sampai bila-bila. Pada tahun 2013, ada isu rampasan barang-barang makanan oleh pihak berkuasa Arab Saudi di LTA Jeddah.

Ada jemaah haji yang membawa makanan termasuk biskut turut dirampas dan tidak dibenarkan dibawa masuk. Memang kita melihat nilai sekotak atau sebungkus biskut adalah kecil dibawa masuk. Jika berjuta-juta biskut dibawa masuk oleh jemaah tentulah kesan dari segi penawaran dan permintaan di pasaran ketika musim haji terjejas.

Semua telah disediakan di hotel-hotel atau maktab-maktab yang dikendalikan oleh pihak Tabung Haji, yang ditempatkan di hotel-hotel di Madinah dan Makkah. Oleh itu jemaah telah dinasihatkan supaya tidak perlu bersusah payah membawa barang-barang makanan.

Apabila aku dan Syauqi sampai di dewan makan, kelihatan mutawif dari Tiram Travel yang terdiri daripada Ustaz Zul, Ustaz Zakaria dan Ustaz Roslan telah punberada bersama-sama dengan jemaah.

“Ada sesiapa yang sesat tak semalam, ada yang tak jumpa pintu keluar?” Ustaz Zul cuba mengambil kepastian daripada jemaah. Bunyinya seperti berjenaka, tetapi ada insiden yang telah berlaku sebenarnya.

“Ada sesiapa nampak Pak Long, sampai sekarang ini tak balik”? Ustaz Zul memaklumkan bahawa seorang Pak Cik berumur dalam lingkungan 80an dalam kumpulan umrah kami tidak dapat dikesan.

Beliau datang bersama isterinya, dan sejak dari malam pertama hingga pagi itu, Pak Long tidak dapat dikesan. Pak Long dikatakan ada penyakit lupa. Usaha telah dibuat oleh jemaah yang lain, Pak Long dapat dikesan dan dibawa balik ke hotel. Sejak daripada hari itu sehinggalah berada di Makkah, Pak Long diletakkan di bawah jagaan ketat Ustaz Zul

“Hari ini bebas, boleh buat acara sendiri. Besok kita buat ziarah luar secara ringkas”, Ustaz Zakaria membuat pengumuman.

“Petang nanti lepas solat Zohor dalam 2.30 petang’, kita berkumpul. Kita ada majlis Ta’aruf”, sambung Ustaz Zul sambil membaca hadith Nabi Muhammad berkaitan kepentingan ta’aruf. Saling kenal mengenali dalam satu jemaah.

Selesai sarapan, aku mengambil makanan sarapan dan membawa masuk ke dalam bilik hotel. Ini kerana sukar bagi kami untuk mengawal Iris, jika bawa bersama bersarapan. Jika anakku menunjukkan perangainya mungkin menganggu ketenteraman jemaah yang sedang bersarapan.

Kami pun bersiap-siap untuk ke Masjidil Nabawi. Iris nampaknya cukup ceria dibawa berjalan. Dia kelihatan amat sihat dan cergas. Memang anakku yang istimewa ini amat suka berjalan-jalan. Sejak dari kecil habis kawasan padang rumah sewa tempat kami bermukim di Tennyson, Australia menjadi tempat permainannya.

Adalah menjadi kegemarannya berjalan. Bagaimanapun, dia perlu dikawal kerana kanak-kanak autisma tidak ada respon kepada bahaya dan persekitaran. Pintu rumah kami biasanya dimanggakan dengan ketat kerana sedikit laluan akan menyebabkan Iris keluar ke jalan besar, tanpa memperdulikan bahaya dari motor dan kereta yang sedang lalu-lalang di jalan.

Terdapat juga laporan akhbar mengenai kanak-kanak autisma yang dijumpai merayau-rayau hingga ke R&R di tanahair. Ini semua kerana mereka tidak bertindakbalas kepada bahaya, dengan kata lain tidak faham suasana bahaya dan tidak menyedari apa yang sedang mereka lakukan.

Sampai di dataran Masjidil Nabawi yang luas, Iris dibiarkan berjalan. Mula-mula berjalan kemudiannya berlari laju. Anak lelakiku, Syauqi mengawal keadaan, berkejar mendapatkan Iris yang kelihatan bergerak laju dalam dataran yang amat luas itu.

Ini kerana selain daripada orang ramai yang berjalan, berehat dan berbual di kawasan dataran, terdapat beberapa kenderaan mesin-mesin pembersih dataran yang sedang bekerja. Pekerja pembersihan yang dipegang oleh Syarikat Ben Laden akan sentiasa melakukan kerja pembersihan hampir selalu, setiap hari. Ini bagi memastikan kawasan dataran bersih dari kekotoran dan najis.

Kami bergerak ke kawasan dataran berhampiran Kubah Hijau. Aku menerangkan serba sedikit kepada isteriku, Haida yang tidak dapat melakukan ziarah malam semalam.

Seperti biasa petugas masjid melarang kami berdoa di kawasan hadapan kubah, di dataran masjid. Jadi, mengikut pesan Ustaz mengadap ke arah kiblat dan kami sama-sama membaca doa yang terdapat di dalam buku panduan umrah yang dibawa bersama.

“Assalamu’alaika Ya Ayyuhannabiyyul Karim. Warrasulul ‘Azim, warra u furrahim. Warahmatullhi Wabarakatuh”

Selamat sejahtera ke atasmu wahai junjungan yang mulia, rasul yang agung, pemurah lagi penyayang, moga-moga dirahmati dan diberkati Allah ke atasnya.” Ini lah doa yang dianjurkan dibaca sebagai salam kepada baginda Rasulullah .

Ketika doa dibacakan, buat kali pertama aku melihat anakku Iris, turut sama mengangkat tangan berdoa sambil tersenyum. Sedangkan sebelum ini Iris langsung tidak pernah berbuat demikian. Kami percaya Ini semua adalah satu rahmat dari Allah.

Bahkan Iris juga tidak sibuk membuang air dalam pampersnya ketika keluar berjalan. Satu kelebihan yang dikurniakan oleh Allah bagi memudahkan kami melakukan ziarah.

Bayangkan jika seperti biasa perlu ke tandas atau bilik air, dan bilik air juga terletak dalam lokasi yang jauh, perlu mencari bilik air yang sesuai dan sebagainya. Mengenangkan ini kami menitiskan air mata, terharu dengan kemudahan yang Allah beri.

Setelah lama berdoa dan bermunajat di kawasan Kubah Hijau kami pun beredar dari kawasan dataran menuju ke luar masjid. Mungkin isteriku hendak melihat barang-barang yang ditawarkan oleh puluhan peniaga di luar masjid. Kebanyakkan daripada penjual tersebut adalah wanita yang memakai cadur[1].

Kelihatan mereka bukanlah orang dari Tanah Arab. Kelihatannya dari negara-negara afrika seperti Sudan dan Somalia. Peniaga-peniaga Arab biasanya akan berjual di gedung-gedung perniagaan yang telah dikhaskan.

Manakala wanita bercadur hitam dan berjubah hitam akan datang secara berkumpulan memenuhi kawasan luar masjid, dengan menggendong barangan mereka terutamanya selepas waktu solat fardhu, kerana ketika itu ribuan jemaah akan keluar dari masjid menuju ke hotel-hotel untuk berehat.

Wanita-wanita bercadur hitam dan peniaga lelaki tidak dikepung atauatau dihalang dari berniaga sepertimana kumpulan wanita dan lelaki yang sama yang berniaga sekitar Makkah, oleh pihak berkuasa. Mungkin dasar untuk mereka berbeza di Madinah.

Dalam perjalan pulang kelihatan ramai jemaah yang membawa beg pakaian. Mereka meletakkan beg mereka di sepanjang dinding luar masjid arah ke dataran. Mereka juga turut kelihatan tidur di sebelah beg mereka tanpa di ganggu oleh petugas. Mereka mungkin tidak menyewa hotel atau rumah penginapan kerana sewa yang mahal. Mereka kelihatan memakai “kurta”, mungkinkah mereka daripada India, Pakistan atau pun Bangladesh.

Kami berjalan pulang meninggalkan dataran, di pertengahan jalan menuju ke Pintu No.15, tiba-tiba Iris berlari menuju ke hadapan. Di sekitar kawasan itu terdapat empat buah mesin pencuci sedang bekerja dengan pekerja pembersihan sibuk mencuci kawasan dataran dengan mesin.

“Abah, Iris dah lari ke depan, cepat’, kata Syauqi kepadaku

“Ya Allah, “kata isteriku yang agak tereranjat dengan keadaan itu.

Memang apabila terlepas daripada pegangan memang Iris akan berlari tanpa memperdulikan sekeliling. Terdapat beberapa orang kanak-kanak arab, mereka juga berlari-lari, mereka boleh dikawal, mereka tidak seperti Iris.

Aku berkejaran ke arah Iris. Apabila mendapatkannya aku membongkokkan badan menyuruh Iris memanjat belakangku untuk didokong dari arah belakang. Keadaan neuron pada kakinya menyebabkan kakinya sukar dibengkokkan.

Ketika itu apabila aku menoleh ke belakang, kelihatan berderetan empat buah mesin pencuci di belakangku, mereka menungguku selesai mendokong Iris. Sesuatuyang kelihatan lucu jika diambil gambar ketika aku membongkok dengan berderetan mesin pencuci dataran di belakangku.

Kami seterusnya meneruskan perjalanan balik dan singgah di tempat wanita-wanita bercadur hitam menjual barangan, sebelum balik ke hotel penginapan. Banyak barangan keperluan boleh dibeli terutamanya jubah dan barang-barang hiasan.

Sesiapa yang tidak membeli jubah ketika di tanahair, bolehlah mendapatkannya di sini dengan harga yang jauh lebih murah. Jubah boleh dipakai ketika beriktikaf di dalam masjid atau pun ketika ziarah luar Madinah.

Sebelum balik ke hotel kami singgah di arked niaga yang ada di sekitar Hotel Mawaddah As-Safwa. Banyak barangan keperluan tersedia di sana. Boleh pilih dan beli mana yang berkenan. Jika belum mendapatkan tali pinggang untuk kain ihram atau kain ihram bagi mengerjakan umrah boleh diperolehi di sini.

"Fatimah, Zahrah, Ummi Kalthum, sila-sila mari masuk, boleh tawar, Halal". Itu adalah panggilan para pekerja arked perniagaan kepada kaum ibu dan wanita dari Malaysia yang mengunjungi atau melintasi arked perniagaan mereka. Mereka sangat ramah dan boleh berbahasa Melayu asas untuk melariskan jualan. Penduduk Madinah memang ramah tamah, tradisi sejak turun temurun.

Penduduk Madinah sebelum kedatangan atau penghijrahan Nabi Muhammad , adalah terdiri daripada dua kaum utama iaitu Aus dan Khazraj. Suku Aus dan Khazraj adalah dua bangsa Arab yang membantu penghijrahan Nabi Muhammad . Mereka menyambut dengan gembira rombongan hijrah Nabi Muhammad .

Dikisahkan semasa penaklukan Mekah dari kaum musyrikin Quraisy pada tahun ke-lapan Hijrah, seramai 4000 orang dari suku Aus dan khazraj membantu Nabi Muhammad . Mereka dikatakan berasal dari Yaman dan mendiami kawasan timur yang kaya dengan pertanian dan bahagian tengah Yathrib (Madinah).

"Boleh tawar, boleh kurang, halal, mari masuk, mari masuk."

"Harga boleh kurang, Ya Siti Aminah, Fatimah."

Pekerja arked terus melaung-laung memanggil pengunjung ke arked perniagaan mereka. Kami berlalu kembali ke hotel penginapan.



[1] Jilbab, hijab atau juga disebut purdah

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.