Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,567
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 25: SAFA DAN MARWAH

BAB 25: SAFA DAN MARWAH


Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.

Surah Al-Baqarah, Ayat 158.

Kami bergerak dari Dataran Haram ke tempat Sa’i yang terletak di Bukit Safa dan Marwah. Selepas selesai mengambil wudu’, stroller yang diletakkan Iris ditolak masuk ke Bukit Safa. Walaupun ibadah Sa’i boleh dilakukan tanpa wudu', tetap juga kami mengambil wudu’.

Sebelum itu terdapat pemuda yang memegang wheelchair menawarkan perkhidmatan menolak wheelchair, ketika mengerjakan ibadah Sa’i.

“Kam riyal,” kataku semasa pemuda tersebut menunjukkan wheelchair, sambil menawarkan perkhidmatannya, seperti mana yang terdapat di sepanjang jalan di kawasan menuju Masjidil Haram, dan Dataran Haram.



“Sembilan puluh,” dia menjawab dalam Bahasa Malaysia. Perkhidmatan ini biasa disasarkan kepada mereka yang uzur serta memerlukan wheelchair ketika berada di Masjidil Haram. Terdapat pemuda-pemuda yang menawarkan perkhidmatan wheelchair pergi dan balik ke Masjidil Haram dari hhotel penginapan. Bayaran yang dikenakan tentulah lebih banyak.

Iris ketika itu tidak meragam dan tidur, dia kelihatan sangat gembira. Tambahan pula suasana yang ramai dengan jemaah di ruang Sa’i serta dipenuhi dengan berbagai jenis lampu, menyebabkan Iris kelihatan cergas dan bertenaga. Iris juga kelihatan sangat santai berada di dalam stroller, berbanding jika didokong di atas belakang.

Ketika mula sampai di Bukit Safa, satu perasaan yang tidak dapat digambarkan kerana dapat berada di lokasi, di mana kisah Siti Hajar dan Nabi Ismail dirakamkan dalam Al-Quran.

Dalam Al-Quran, diceritakan bahawa Nabi Ibrahim yang tinggal di Palestin mempunyai dua orang isteri iaitu Siti Sarah dan Siti Hajar. Siti Sarah adalah isteri pertamanya, manakala Siti Hajar adalah isteri kedua Nabi Ibrahim. Asalnya, Siti Hajar adalah seorang hamba berbangsa Qibti, yang dihadiahkan oleh Raja Mesir kepada Nabi Ibrahim.

Suatu ketika perasaan cemburu Siti Sarah timbul kerana belum mengandung atau mandul, sedangkan Siti Hajar ketika itu sedang mengandung. Ini mendorong Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar keluar jauh dari Palestin ke sebuah kota purba yang dikenali sebagai Faran, di lembah Hijaz. Di situ tempat yang langsung tidak berpenghuni.

Nabi Ibarahim memujuk Siti Hajar supaya bertawakal dengan berkata “Dialah (Allah) yang memerintahkan aku membawamu ke sini”. Nabi Ibrahim kembali ke Palestin. Beberapa lama Siti Sarah mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu dinamakan Ishak. Nabi-nabi di bawah turunan zuriat Ishak, kemudiannya dikenali sebagai Bani Israel.

Jarak di Antara Safa dan Marwah yang dikenali sebagai “Bathnul Waadi” adalah sejauh 405 meter. Ketika melakukan Sa’i jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak seketika ketika melintasi jarak yang telah ditetapkan seperti yang ditunjukkan melaluiGambarajah 3 di bawah ini.



Gambarajah3 : Perjalanan Sa’i

Sumber: Dilukiskan semula dari Buku Panduan Haji, Lembaga Tabung Haji

Pada masa sekarang jarak tersebut sejauh 99 meter telah ditandai dengan lampu berwarna hijau. Jemaah wanita pula disunatkan berjalan cepat apabila melintasi jarak itu. Ini adalah bagi mengingati sirah yang telah dilakukan oleh Siti Hajar, isteri kedua Nabi Ibrahim yang ditinggalkan di lembah kering kontang, Hijjaz.

Ketika mencari air untuk anaknya Nabi Ismail, Siti Hajar berlari dan berjalan cepat. Persitiwa ini berlaku di antara Safa dan Marwah, atau lebih tepat lagi “Bathnul Waadi”.

Di ceritakan, dalam keadaan lapar dan dahaga, Siti Hajar berlari-lari anak mencari air untuk anaknya Nabi Ismail, tujuh kali pergi dan balik di lembah yang terletak di antara Safa dan Marwah. Akhirnya air yang dicari kemudiannya muncul di tempat Nabi Ismail yang menangis kerana ditinggalkan. Air itu dikenali sebagai air Zam-Zam.

Air yang memancut keluar itu kemudiannya menarik perhatian burung-burung di lembah gersang Faran. Seterusnya pula menarik perhatian beberapa Kafilah Arab ke situ. Lembah itu kemudiannya menjadi makmur, penduduk semakin bertambah. Kabilah Arab membina Kota dan bermulalah penempatan manusia di lembah yang sebelumnya gersang. Di lembah itulah lokasi Kota Makkah sekarang ini.

Selepas 13 tahun, Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah untuk kembali ke lembah Faran, tempat Siti Hajar ditinggalkan. Ini adalah supaya Nabi Ibrahim dapat menemui isteri dan anaknya Ismail yang telah lama ditinggalkan. Nabi Ibrahim a.s dan Siti Hajar serta Ismail membina Baitul Haram yang berbentuk empat segi. Baitul Haram itu sebelumnya telah dibina oleh Nabi Adam A.S. Setelah selesai pembinaan Baitul Haram itu Nabi Ibrahim kembali ke Palestin, yang terletak di utara, lembah Faran.

Ketika kami sampai di kawasan Sa’i kelihatan ramai jamah sedang melakukan Sa’I, walaupun ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Cuaca ketika itu agak sejuk dengan penyaman udara yang dipasang di ruang Sa’I, di Bukit Safa dan Marwah. Iris juga kelihatan kesejukan sambil mengetap bibirnya. Kain selimutnya pula tidak dibawa bersama, tertinggal di dalam hotel penginapan.

Aku yang ketika itu dalam ihram tiba-tiba bercadang untuk menyelimutkan Iris yang kesejukan.

“Tak pa kain ini ada dua keping. Satu boleh buat selimut. Iris sejuk tu,” aku terlupa bahawa kain ihram memang dua keping, satu dipakaikan seperti kain dan satu lagi dibalut badan seperti baju”.

“Eh! Tak pa Iman tutup kaki dia,” Kata Iman yang sanggup menolak strolleradiknya di sepanjang lauan Sa’i. Baru aku teringat kata-kata Ustaz Zul semasa berkursus dulu.

“Ingat kain ihram, setiap orang kena dua keping, satu untuk kain, satu lagi baju. Kain yang tidak berjahit,” Ustaz Zul menyampaikan pesanan dalam kursus umrah dan haji, yang telah diadakan di Sungai Petani.

Perjalanan Sa’i diteruskan seperti biasa. Kelihatan jemaah semakin ramai. Ada yang disorong di atas wheelchair dan ramai yang berjalan seperti biasa. Semuanya berpakaian dan berihram warna putih. Pergerakkan wheelchair sangat laju, ditolak oleh para pemuda yang menyediakan perkhidmatan. Jika tidak diawasi mungkin dilanggar oleh mereka. Kadang-kadang terlihat mereka yang berada di atas wheelchair, tidak sempat pun berhenti sejenak membaca doa, kerana pergerakan tolakan yang begitu laju.

Hajji, Hajii, “penolak wheelchair akan berteriak jika laluannnya dihalang atau ada jemaah di hadapannya. Apabila mendengar suara itu, kita perlulah mengelak untuk memberi laluan. Jika tidak, mungkin dilanggar secara tidak sengaja. Ini kerana terdapat beberapa jemaah yang disorong di atas wheelchair di belakang mereka.

Aku juga pernah dilanggar di bahagian belakang kaki dengan tempat letak kaki pada wheelchairyang ditolak ketika mengerjakan Tawaf di Dataran Kaabah. Walaupun laluan khas kepada penolak wheelchair telah disediakan dengan tandaan regangan pita plastik, namun terdapat penolak wheelchair yang masuk ke kawasan di mana, ramai jemaah sedang bertawaf dengan berjalan kaki.

Dalam Sa’i ada bacaan khas yang dianjurkan. Tapi semua bacaan itu adalah sunat. Ketika melakukan Sa’i, kita boleh membaca surah-surah Al-Quran. Sama seperti Tawaf. Doa bagi setiap pusingan juga adalah panjang, dan susah untuk dihafal. Ketika Sa’i ramai yang membaca Al-Quran, berselawat dan membaca doa-doa.

Sama seperti ketika berada di Dataran Haram, mengerjakan Tawaf, terdapat kumpulan-kumpulan jemaah yang bergerak dalam kumpulan ramai. Kebanyakkan mereka adalah jemaah dari Indonesia.

Selain daripada itu terdapat juga lain-lain kumpulan jemaah yang bergerak serentak serta membaca doa secara beramai-ramai, dari negara-negara Arab dan Eropah serta Malaysia. Mereka mudah dikenali dengan bendera yang dilekatkan pada kain ihram atau tudung kepala bagi jemaah perempuan.

“Innas safa wal marwata, min sya’a irillah. Fain hajjal baita…, “ketua kumpulan membaca ayat Al-Quran dari Surah Al-Baqarah, kemudian diikuti oleh Jemaah dalam kumpulan itu.

Bermula di Bukit Safa, sa’i berakhir di Bukit Marwah. Apabila selesai Sa’i doa khusus dibacakan. Kemudian umrah akan diakhiri dengan melakukan Tahalul, di tempat yang telah disediakan. Doa setelah tamat Sa’i adalah seperti berikut:

Tahalul , menandakan berakhirnya rukun umrah, yang bermula dengan niat umrah di miqat makani (tempat), tawaf tujuh kali pusingan, Sa’i tujuh kali pergi balik di antara Safa dan Marwah, tahalul dan tertib, yang dahulu didahulukan, begitulah sebaliknya

Ketika sampai di tempat tahalul, terdapat juga anak muda yang menawarkan khidmat memotong sedikit rambut ketika tahalul. Dia kelihatan memegang sebilah gunting dan berkata kepada kami.

Satu riyal halal”.

Kami telah membawa gunting dalam beg sandang yang disediakan oleh pihak Tiram Travel. Jadi lebih mudah bertahalul, tanpa menggunakan khidmat mereka.

Tahalul adalah bergunting sedikit rambut di kepala. Dengan memegang rambut dikepala dengan tangan kiri berserta gunting di sebelah tangan kanan, doa berikut dibacakan dan kemudiannya, rambut dipotong dan dimasukkan dalam tong yang telah disediakan.

Dengan berakhirnya Tahalul, ibadah umrah yang wajib pun selesai. Umrah sunat atau Umrah Badal (bagi ibu bapa yang meninggal dunia) boleh dilakukan sebanyak mungkin selepas umrah wajib diselesaikan.

Ada di antara jemaah, akan terus bercukur membotakkan kepala setelah tamat umrah. Ramai wakil dari kedai-kedai gunting rambut akan berlegar-legar menyambut jemaah di dataran masjid, kemudiannya membawa jemaah ke kedai mereka yang terletak di dalam bangunan jam besar.

“Bagi tau nak Babbal. Babbal bermakna botak,” Ustaz Zul pernah menyatakan dalam kursus.

Babbal adalah sebutan “botak’ bertujuan untuk membotakkan kepala dalam Bahasa Pakistan. Ustaz Zul telah bermukim selama tujuh tahun di Pakistan. Ini kerana majoriti pengusaha kedai gunting rambut adalah orang-orang Pakistan.

Selesai Umrah wajib kami kembali ke hotel. Aku belum lagi menemui isteri dan anakku, syafiqah. Ketika itu jam sudah 2.30 pagi. Kami tiga beranak kembali ke hotel, melalui jalan berdebu dengan hiruk-pikuk bunyi jentera pemecah bangunan serta lori yang mengangkut batu dan konkrit, setelah melepasi blok bangunan perniagaan di kiri jalan.

Kami sampai di hotel, dan kelihatan isteriku dan Syafiqah sedang berehat di lobi hotel. Mereka sedang menunggu kami empat beranak pulang. Setelah kembali bertemu, kami amat bersyukur. Iris kelihatan gembira ketika melihat dan bertemu semula dengan ibunya.

Ustaz Zul yang menasihatkan supaya isteriku dan Syafiqah kembali ke hotel kerana kalau menunggu di kawasan Masjidil Haram tentu sukar untuk berjumpa. Ustaz Zul sebenarnya cukup berpengalaman sebanyak 13 kali dalam membimbing jemaah di Makkah.

“Nasib baik balik ke hotel, “kataku.

“Ustaz Zul yang nasihatkan,” kata Syafiqah.

Beberapa jam saja lagi azan pertama Subuh bagi membangunkan Kota Makkah akan dilaungkan. Selepas ini aku dan anak-anak akan bersiap untuk ke Masjidil Haram, kerana bersolat di Masjidil Haram adalah 100,000 kali ganda pahalany. Apa lagi jika bersolat secara berjemaah. Bayangkan gandaan pahalanya!

Kami kembali ke hotel, semua agak keletihan. Putaran waktu seakan terhenti di Makkah. Memang amat terasa pergerakan jam cukup lambat. Mungkin Allah memberi peluang kepada tetamuNya melakukan ibadat. Terasa sungguh waktu bergerak perlahan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.