Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,581
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 38: MAKKAH-JEDDAH MASJID TERAPUNG

BAB 38: MAKKAH-JEDDAH MASJID TERAPUNG

Khamis 12 Mei 2013. Hari Terakhir berada di bumi Makkah. Selepas tawaf wida' semua jemaah akan bergerak ke LTA Jeddah.

"Dalam perjalanan kita akan singgah di Masjid Terapung di Laut Merah, Siapa yang nak mandi boleh mandi di sana.” Ustaz Zul memaklumkan kepada Jemaah dalam perjalanan dari Makkah ke Jeddah.



Masjid terapung yang dimaksudkan adalah Masjid biasa yang menjadi tumpuanJemaah hajidan Umrah. Ia terletak di Jeddah Chronicleatau atau Jeddah Kurnis, kawasan seperti tambakan laut di Laut Merah. Nama asal masjid ini adalah Masjid Fatimah.

Ramai mengaitkannya dengan puteri Rasulullah , Fatimah Az-Zahra. Pihak berkuasa Arab Saudi menukarkan nama masjid ini kepada Masjid Ar-Rahmah, untuk mengelakkan salah faham.

Masjid ini tidak dikaitkan dnegan sebarang kelebihan seperti Masjid Quba' atau Masjidil Nabawi. Ianya terletak hampir kepada pelabuhan Jeddah dan menjadi tempat untuk melepaskan lelah, mandi dan tentunya menunaikan Solat. Kawasan lapangnya dengan tiupan bayu laut memang mendamaikan. Pendek kata masjid ini menjadi tempat persinggahan akhir bagi para jemaah haji dan umrah, sebelum sampai di LTA Jeddah.

Cerita Laut Merah pula memang tersebut di dalam Al-Quran. Ketika Nabi Musa dan kaumnya dikejar oleh Firaun dan tenteranya hingga ke Laut Merah. Lalu Allah memerintahkan nabi Musa memukul laut dengan tongkatnya. Dengan mukjizat yang dianugerahkan Allah, laut terbelah.

Nabi Musa dan kaumnya dapat menyeberangi Laut Merah dengan selamat.Manakala Firaun dan tenteranya tenggelam di dalam Laut Merah.

Dalam Ayat ke 50 Surah Allah berfirman dengan maksudnya "Dan (ingatlah), ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan (Firaun) dan pengikut-pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan.”

Pelabuhan Jeddah telah lama wujud sejak zaman sebelum kedatangan Islam lagi. Kepesatan pembangunan Jeddah telah digiatkan di zaman Khalifah Ar-Rasyidin Ke-dua iaitu Khalifah Uthman bin Affan. Pada tahun 26 Hijrah bersamaan 674 Masihi.

Saidina Uthman menjadikan pelabuhan Jeddah sebagai pintu masuk utama jemaah haji. Jeddah juga dikenali sebagai "gerbang kepada dua tanah haram" sehingga sekarang. Manakala Makam Hawa, isteri Nabi Adam juga dikatakan berada di sebuah makam kuno di Jeddah yang dikenali sebagai "Muqbara Umna Hawa".

Tidak banyak yang dapat dilakukan di sini. Kami hanya mandi, menukar pakaian dan bersolat Asar di Masjid Terapung. Selebihnya duduk di atas binaan tembok simen di tepi laut, menikmati keindahan Laut Merah, sambil memerhati aktiviti manusia di sana. Angin yang bertiup kencang amat menyejukkan dalam cuaca yang panas pada petang itu.

Kelihatan beberapa peniaga Bakso teratur, menanti pelanggan menikmati hidangan Bakso panas dalam tiupan angina yang sejuk.

“Siapa nak makan bakso Jeddah, ada di sana,” Ustaz Zakaria menunjukkan ke arah deretan peniaga bakso, yang terdiri daripada peniaga-peniaga berketurunan Indonesia.

Seperti di Malaysia, bakso juga dihidangkan dan digemari oleh pengunjung di kawasan rehat Masjid Terapung di Jeddah, yang duduk bersantai sebelum ke destinasi terakhir menuju ke LTA Jeddah, hub bagi kemasukan para jemaah haji dan umrah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.