Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,538
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 29: JUMAAT DI MASJIDIL HARAM

BAB 29: JUMAAT DI MASJIDIL HARAM

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah Al-Jumaah, Ayat 9)

Hari Jumaat adalah hari yang amat ditunggu-tunggu oleh kebanyakan orang Islam. Jumaat adalah penghulu segala hari. Dalam Hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi bersabda dengan maksudnya[1]:

“Hari yang paling baik bagi matahari memancarkan sinarnya adalah Hari Jumaat. Adam diciptakan pada Hari Jumaat dan dikeluarkan dari syurga pada Hari Jumaat, serta dimasukkan ke Syurga pada Hari Jumaat”

Hari itu, hari ke-enam dalam jadual perjalanan umrah serta hari ke-2 di Kota Makkah. Buat pertama kalinya dapat bersolat Subuh di pagi Jumaat di Masjidil Haram. Ramai yang mengimpikan untuk bersolat Subuh di pagi Jumaat.

Kebiasaannya di tanahair, Solat Subuh di pagi hari Jumaat akan sertai dengan sujud sajadah. Bacaan dari Surah As-Sajadah dan Surah Al-Insan akan dibacakan oleh Imam, dengan sujud sajadah pada rakaat pertama. Bagaimanapun, tiada Sujud Sajadah yang dilakukan di Masjidil Haram.

Setelah azan pertama dilaungkan aku dan syauqi turun dari hotel penginapan ke Masjidil Haram, bersiap untuk bersolat Subuh di pagi hari Jumaat. Sepertimana yang diketahui, Jumaat adalah penghulu bagi segala hari atau disebut “Saiyiddul Aiyam”.

Sungguh ramai jemaah bergerak kelar dari hotel penginapan masing-masing ke Masjid, memenuhi segenap pelusuk dan jalan-jalan yang menuju ke Masjid. Di dataran masjid, telah ramai jemaah berkumpul. Mereka menunaikan ibadat-ibadat sunat.

Keadaan di Pintu No.1 juga kelihatan sesak dengan jemaah yang mula membanjiri kawasan solat di dalam masjid dan kawasan di Dataran Haram, di mana terletaknya Kaabah.

Solat subuh di pagi jumaat di Masjidil Haram dilakukan tanpa sujud sajadah. Selain daripada itu kebiasaannya tiada bacaan doa qunut pada solat subuh, sepertimana yang diamalkan di kebanyakkan masjid di negeri Perlis.

Selesai Solat Subuh, diteruskan dengan membaca Al-Quran, Solat-solat sunat yang lazim dilakukan. Selepas solat Isyra’ diselesaikan, kemudian kami bergerak ke Dataran Haram untuk melakukan tawaf sunat. Keadaan di dataran itu tidaklah terlalu sesak kerana masih awal pagi. Lantai atau tempat jemaah bertawaf juga tidaklah terasa panas, kerana tempat itu telah dipersiapkan dengan menggunakan marmar putih yang membalikkan cahaya matahari.

Seperti biasa terdapat pekerja-pekerja yang menjalankan kerja-kerja pembersihan di dataran itu. Mereka melaksanakan tugas dalam lebih kurang sepuluh orang.

Apabila selesai melakukan tawaf sunat, seperti biasa bersolat sunat dua rakaat di kawasan belakang Makam Ibrahim, berdoa dan meminum air Zam-Zam.

Seterusnya kami masuk ke dalam Hijir Ismail bersolat dan berdoa dengan sesungguh hati, mengalirkan air mata kerana di bawah pancuran emas yang terdapat pada bucu Kaabah yang terletak di dalam kawasan Hijir Ismail, adalah tempat doa mustajab.

Sejak kedatangan kami di Makkah, entah berapa kali telah berpeluang bersolat dan memohon doa di dalam kawasan Hijir Ismail. Ketika itu belum ada sekatan atau pintu pada arah kiri dan kanan, yang dipasangkan seperti sekarang. Bermula pada bulan Rejab tahun 1424, satu pintu kawalan telah dipasang oleh pihak pentadbir Masjidil Haram.

Di dalam kawasan Hijir Ismail itu, ramai jemaah yang berebut-rebut untuk bersolat dan berdoa. Tidak kurang juga yang terus kelihatan melekat pada dinding Kaabah, terutamanya di bawah pancuran emas. Mereka kelihatan tidak mahu melepaskan pegangan mereka pada dinding Kaabah. Mereka kelihatan meratap dan menangis pada dinding Kaabah sambil mendepakan tangan mereka seboleh mungkin.

Terdapat juga amalan-amalan yang pelik dilakukan oleh kumpulan Jemaah, mungkin dari Iran. Mereka kelihatan menggunakan jari-jari mereka, menulis secara isyarat pada dinding Kaabah. Dikatakan mereka menulis nama dan dosa-dosa yang dilakukan sepanjang hidup. Dengan tujuan untuk memohon keampunan. Wallahu’aklam.

“Kita berdoa untuk keluarga kita, untuk Iris,” pesanku kepada anakku Syauqi.

“Ya Allah Ya Tuhanku, aku bermohon kepadaMu agar diberikan aqal yang cerdik, lidah yang fasih dan kesihatan yang berkekalan kepada anakku Iris, semoga dia dapat menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa sekarang dan masa akan datang”.

“Ya Allah Ya Tuhanku, aku bermohon kepadaMu agar diberikan ilmu yang manafaat kepada anak-anakku. Semoga mereka maju jaya dalam pelajaran, sepertimana Engkau memberikannya kepadaku. Ya Allah berikanlah kesihatan yang baik dan jadikanlah mereka anak-anak yang Soleh dan Solehah”.

Itu adalah sebahagian doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah, di hadapan Kaabah serta di bawah pancuran emas. Doa ini juga turut dibacakan setiap kali selesai solat dan bertawaf sunat. Kami bermohon agar Allah mengurniakan aqal yang sempurna dan pertuturan yang fasih kepada anak kami, Iris yang dilahirkan istimewa itu.

Selesai tawaf sunat kami pulang ke hotel penginapan dan bersarapan pagi di dewan makan. Kemudian rehat sebentar bagi melepaskan penat.

Solat Jumaat di Masjidil Haram dikatakan luar biasa, kerana jumlah jemaah berlipat kali ganda. Mungkin terdapat ramai penduduk tempatan dan sekitar Kota Makkah membanjiri Masjidil Haram pada hari jumaat, untuk mendapatkan keberkatan.

“Perlu datang awal ke Masjid pada Hari Jumaat, orang terlampau ramai untuk bersolat,” Ustaz Zul pernah menjelaskannya di dalam perjalanan suatu hari itu.

“Tambahan la ni musim cuti sekolah, orang-orang Makkah akan membawa keluarga dan anak-anak beranak datang beramai-ramai ke Masjid,” jelas Ustaz Zul lagi.

Kami bergerak turun dari bilik Hotel ke ruang lobi. Pada ketika itu jam menunjukkan pukul 11.15 pagi. Waktu Solat Jumaat masih jauh. Siaran TV Mubasyir yang ada pada lobi hotel, yang menyiarkan siaran secara langsung keadaan Masjidil Haram dan Dataran Kaabah menunjukkan ramai jemaah telah memenuhi ruang-ruang dalam kawasan Masjid.

Melihatkan keadaan itu, kami bergerak keluar dari hotel menuju jalan ke masjid, melalui laluan berbatu dan berdebu. Ketika itu berpusu-pusu Jemaah lelaki dan perempuan menuju ke masjid. Mereka datang dari berbagai arah dan pelusuk kawasan hotel penginapan. Keadaan jalan sesak ditambah pulak kenderaan membunyikan hon di sana-sini membuatkan kelihatan keadaan hiruk-pikuk sepanjang perjalanan ke masjid. Memang sungguh luar biasa keadaan waktu itu.

Kami bergerak sehingga ke dalam kawasan dataran masjid, seperti biasa dipenuhi jemaah yang siap berada di hamparan sajadah masing-masing. Mereka melakukan ibadah-ibadah seperti biasa.

Kedaaan di pintu-pintu masuk utama ke dalam masjid melalui pintu No.1 dan seumpamanya telah sesak dengan para Jemaah. Ini membuatkan kami beralih ke tingkat satu dari arah Pintu No.1. Dari Dataran Haram menaiki laluan pejalan kaki ke tingkat satu. Kemudian menaiki tangga bergerak ke tingkat satu. Masih terdapat kerja-kerja pengubahsuaian di kawasan itu untuk persediaan musim haji 1434H.



[1] Dari Sahih Muslim, Hadith yang ke 854

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.