Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,581
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 8: HIJRAH RASUL DAN PERKEMBANGAN ISLAM

BAB 8: HIJRAH RASUL DAN PERKEMBANGAN ISLAM

Sesungguhnya penghijrah Nabi Muhammad dari Makkah ke Madinah membawa satu pengertian yang besar dalamperkembangan Islam. Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar keluar dari Kota Makkah setelah mendapat wahyu dari Allah.

Mengikut Kitab Sirah Nabawiyah yang dikarang oleh Al-Rahiq Al-Maktum[1], Parlimen Quraisy[2] yang dikenali sebagai Darul Nadwah yang diketuai oleh Abu Jahal, telah membincangkan langkah-langkah yang perlu bagi menyekat penyebaran Islam di Makkah dan kawasan sekitarnya.

Pemuka-pemuka Quraisy bimbang dengan penyebaran agama Islam melalui penghijrahan penduduk Makkah ke Yathrib (Madinah). Ini kerana pada tahun ke-12 kenabian, baginda telah membuat pertemuan dengan penduduk Yathrib ketika musim haji. Ekoran dari Bai’ah ‘Aqabah, seramai 12 orang penduduk Yathrib telah bertemu dengan Nabi di ‘Aqabah, Mina. Baginda kemudiannya mengutuskan Mus’ab ibnu Umair ke Yathrib untuk mengajarkan penduduk Yathrib tentang Syari’at Islam.

Lanjutan daripada itu, pada tahun ke-13 kenabian, seramai 70 orang lelaki dan dua orang perempuan di kalangan penduduk Yathrib telah datang ke Makkah menunaikan haji. Ekoran daripada pertemuan mereka dengan Nabi , satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian ‘Aqabah Ke-dua telah dimetrai. Kandungan perjanjian itu lebih serius di mana mereka berjanji dengan Nabi Muhammad untuk taat kepadasuruhan dan melindungi Nabi Muhammad dalam apa cara sekali pun. Seramai 12 orang Naqib telah diutuskan oleh Nabi Muhammad ke Yathrib bagi membimbing hal berkaitan Syari’at Islam.

Selepas perjanjian ‘Aqabah ke-dua, Yathrib mula menjadi tapak baru perkembangan Islam. Penghijrahan sahabat-sahabat Nabi Muhammad ke Yathrib kemudiannya bermula sedikit demi sedikit walaupun menghadapi halangan yang sukar seperti terpaksa meninggalkan keluarga dan harta benda di Makkah.

Dalam sirah diceritakan bagaimana Abu Salamah, Ummu Salamah dan anaknya telah dipisahkan oleh kafir Quraisy apabila cuba berhijrah ke Madinah. Ketika itu Abu Salamah dilepaskan berhijrah ke Yathrib, manakala isterinya Ummu Salamah dan anaknya dihalang untuk berhijrah. Selepas setahun barulah Ummu Salamah dibenarkan berhijrah.

Selain daripada itu terdapat juga kisah Suhaib yang dirampas harta bendanya oleh kafir Quraisy dan kemudiannya dilepaskan berhijrah ke Yathrib. Seorang yangbernama ‘Iyash juga diperdaya oleh kafir Quraisy dengan ancaman untuk menjemur ibunya di tengah panas matahari. Bagaimanapun, ‘Iyash telah ditangkap dan diikat kemudian diarak ke Kota Makkah. Begitulah sebahagian dari cabaran dan halangan yang dihadapi oleh mereka yang berhijrah ke Yathrib.

Kedudukan Yathrib yang begitu strategi telah mencemaskan ketua-ketua kabilah kafir Quraisy. Mereka bimbang perdagangan mereka terjejas di samping Islam mula diterima oleh penduduk Yathrib.

Oleh itu pada hari Khamisbersamaan 26 Safar tahun ke-14 kenabian, Darul Nadwah telah sebulat suara mengambil keputusan untuk menjalankan usaha membunuh Rasulullah . Puluhan pemuda Quraisy telah dipilih dari setiap kabilah untuk menjalankan gerakan itu. Cadangan itu telah dikemukakan oleh seorang tua dari Najd dan diterima oleh Abu Jahal serta seluruh ahli Darul Nadwah. Sesetengah riwayat menyatakan bahawa orang tua itu adalah iblis yang menyerupai manusia.

Cadangan tersebut dikatakan mampu menghentikan penyebaran syari’at Islam dan melemahkan Bani Hashim yang perlu berperang dengan banyak kabilah Arab Quraisy, jika untuk membalas dendam. Beberapa tindakan kafir Quraisy sebelum ini seperti pemboikotan ekonomi terhadap Bani Hashim dan pujukan Abu Talib tidak mendatangkan kesan.

“Kumpulkan pemuda-pemuda yang gagah perkasa dari setiap kabilah, kita bersatu menangkap dan menghapuskan Muhammad, “ kata Abu Jahal menyeru ahli Darul Nadwah.

”Kita sanggup membayar denda jika keluarga Bani Hashim menagih dendam,” Abu Jahal bersorak dengan yakin untuk kejayaan yang bakal dicapai itu. Maka tersenyum gembira orang tua dari Najd itu, puas baginya.

Setelah mengetahui rancangan jahat kafir Quraisy, Rasulullah bergegas ke rumah Abu Bakar sebaik sahaja mendapat wahyu dari Allah, untuk berhijrah. Ketika itu cuaca amat panas kerana musim kemarau sedang melanda Makkah. Abu Bakar telah dapat meneka rancangan hijrah yang diceritakan oleh baginda.

“Adakah Tuan mahu saya ikut serta?” Abu Bakar bertanyakan kepada Nabi Muhammad . Nabi Muhammad mengakuinya.

Rasulullah kemudiannya kembali ke rumahnya dan menunggu sehingga waktu malam untuk bergerak keluar dari Kota Makkah.

“Kumpulkan sebelas orang pemuda yang gagah berani, kepung rumah Muhammad, jangan biarkan dia terlepas!” perintah Abu Jahal.

“Bunuh dia di tempat tidurnya!” seru seorang ketua kabilah.

Pada malam 27 Safar itu, sebelas orang pemuda kafir Quraisy mengepung rumah Rasulullah . Mereka merancang untuk membunuh Rasulullah ketika waktu tengah malam itu. Namun perlindungan Allah kepada baginda mengatasi kesempurnaan perancangan jahat kafir Quraisy.

Pada ketika itu Saidina Ali bin Abu Talib telah melakukan pengorbanan yang amat besar dan membahayakan dirinya. Ali tidur di tempat Rasullah tidur dan menggunakan kain selimut Al-Hadrami berwarna hijau. Nabi kemudiannya mengambil segenggam pasir dan membacakan ayat ke-9 dari Surah Yasin, kemudian menaburkan pasir itu di luar rumahnya, ketika pemuda-pemuda Quraisy sedang menanti Nabi keluar.

Dengan izin Allah, baginda dapatkeluar dengan selamat dari rumahnya tanpa disedari oleh pemuda-pemuda yang sedang berkawal. Dijadikan oleh Allah tutupan bagi menghalang penglihatan pemuda-pemuda yang sedang berkawal itu, sesuai dengan Firman Allah melalui ayat ke-9 dari surah Yasin yang berbunyi seperti berikut:

Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

Rasulullah berjaya keluar dengan selamat dan kemudiannya menuju ke rumah Abu Bakar . Baginda berdua kemudiannya keluar meninggalkan Kota Makkah sebelum fajar.

“Aku lihat Muhammad dan Abu Bakar telah berjaya melepaskan kepungan. Bagaimana kamu semua mengawal?” seru seorang pemuda kafir Quraisy kepada pemuda-pemuda yang sedang mengepung rumah Nabi.

Pemuda itu datang termengah-mengah kepada kumpulan pemuda itu, setelah melihat kelibat dua orang bergegas keluar dari Makkah.

Seruan pemuda tersebut mengejutkan semua pemuda yang sedang berkawal. Mereka merasa amat hairan kerana sepanjang malam mereka berkawal, namun Nabi tidak kelihatan keluar meninggalkan rumah baginda.

“Kita tunggu sehingga menjelang fajar, aku yakin Muhammad masih ada di dalam,” gesa seorang pemuda dari kalangan mereka.

“Dia sedang tidur dengan nyenyaknya berselimut,” kata seorang pemuda yang telah mengintai ke dalam rumah baginda. Dia Nampak seseorang sedang berselimut di tempat tidur Nabi .

Setelah menjelang fajar, kumpulan pemuda yangmengepung tadi masuk ke dalam rumah Nabi . Mereka hampa apabila selimut ditarik dan pedang dihunuskan, orang yang sedang tidur itu adalah Ali bin Abi Talib.

Ketika itu Rasulullah telah berjalan bersama Abu Bakar sejauh lima batu ke selatan Makkah dan mendaki Jabal Thur. Walaupun Yathrib terletak ke utara Makkah, Rasulullah bergerak ke arah selatan bagi mengelakkan risiko dikesan oleh kafir Quraisy yang sedang menjejaki baginda. Ketika sampai di Jabal Thur, kaki baginda melecet.

Abu Bakar memapah baginda hingga sampai di sebuah gua yang kemudiannya dikenali sebagai Gua Thur. KedudukanGua Thur memang tinggi sayup kelihatan dari kawasan dataran di tepi lebuhraya, ketika kami sampai dan menziarah di sana.

“Demi Allah jangan engkau masuk ke dalam gua ini, biarlah aku yang masuk dulu. Jika ada apa-apa bahaya biarlah aku yang kena, asalkan tidak tuan,” kata Abu Bakar kepada Rasulullah ketika hampir ke pintu gua. Begitu kasihnya Abu Bakar kepada bagindaNabi .

Abu Bakar kemudiannya menutup beberapa lubang yang terdapat di dalam gua dengan kain bajunya. Lubang itu mungkin mengandungi binatang berbisa seperti ular dan kala jengking. Setelah dirasakan keadaan selamat, barulah Abu Bakar memapah baginda Nabi Muhammad masuk ke dalam gua.

Diriwayatkan dalam Sirah Nabawiyah, Nabi Muhammad kemudian masuk dan tertidur di atas ribaan Abu Bakar . Kemudiannya, sejenis binatang berbisa telah menyengat Abu Bakar dari lubang yang ditutupi dengan kain tadi. Beliau menahan sakit sehingga menitiskan air mata lalu jatuh di atas muka baginda yang mulia. Rasulullah terbangun dan kemudian bertanyakan apa yang telah berlaku. Rasulullah kemudiannya merawat kesakitan yang dialami oleh Abu Bakar.

Dalam riwayat itu mengatakan bahawa Nabi Muhammad dan Abu Bakar bermalam selama tiga malam di Gua Thur. Bersama mereka terdapat dua orang yang membantu, iaitu Adullah bin Abu Bakar (anak Abu Bakar) dan Amir bin Fuhayrah yang merupakan pembantu Abu Bakar . Kedua-dua mereka memainkan peranan yang amat besar di mana Abdullah bermalam berdekatan Jabal Thur, menjelang subuh beliau akan kembali ke Makkah dan mengintip rancangan jahat kafir Quraisy. Abdullah akan melaporkannya kepada Nabi Muhammad pada waktu malam.

Manakala ‘Amir akan menghalau kambing milik Abu Bakar di sekitar jalan menuju ke Gua Thur. Beliau membekalkan susu kambing yang segar kepada Rasulullah dan Abu Bakar . Kambing-kambing tersebut akan dibawa kembali ke Makkah melalui jalan yang dilalui oleh Abdullah.

Dengan itu mereka berdua seolah-olah berada di Makkah dan jejak Abdullah bagi menyampaikan maklumat kepada baginda di Gua Thur dapat dihapuskan dengan jejak kambing-kambing yang dibawa oleh ‘Amir.

Ketua-ketua Kabilah kafir Quraisy sangatmarah kerana rancangan mereka menemui kegagalan. Nabi Muhammad telah terlepas dari kepungan dan tidak dapat dikesan. Asma’ binti Abu Bakardan Ali bin Abu Thalib telah dipukul dalam usaha untuk mendapatkan maklumat. Namun mereka gagal.

“Sesiapa yang dapat menjejaki Muhammad dan Abu Bakar dan berjaya membawa mereka kepadaku, 100 ekor unta sedang menunggu sebagai balasan,” Abu Jahal berseru kepada ketua-ketua kabilah, sebagi satu usaha baru memburu Nabi dan Abu Bakar.

Tawaran 100 ekor unta amat menarik perhatian seorang pemuda Quraisy, beliau adalah Suraqah bin Malik bin Jus’syum. Seorang pemuda yang gagah berani serta amat cekap mengendalikan kuda di padang pasir. Beliau juga dikatakan seorang tokoh terkemuka di daerah Najd dan berasal dari Bani Kinanah.

“100 ekor unta untuk mendapatkan Muhammad dan Abu Bakar memang lumayan, aku akan menjadi orang kayadi Makkah,” Suraqah mula membayangkan imbuhan yang bakal diterimanya.

Setelah berada selama tiga hari di dalam Gua Thur, pada bulan Rabiulawal, Nabi dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur menuju ke Yathrib denganbantuan seorang penunjuk jalan yang mahir tetapi belum Islam. Beliau adalah `Abdullah bin Urayqit al-Laythi. ‘Abdullah membawa dua ekor unta sebagai kenderaan untuk membawa Nabi ke Yathrib. Salah seekor unta dibeli oleh Nabi daripada Abu Bakar dengan harga empat ratus dirham, walaupun Abu Bakar pada mulanya ingin menghadiahkannya kepada Nabi Muhammad . Unta itu kemudiannya dikenali sebagai Qaswa.

Bersama-sama dengan Nabi adalah pembantu Abu Bakar iaitu ‘Amir. Asma’ kemudiannya berjumpa ayahnya, Abu Bakar dan membekalkan bekalan untuk perjalanan yang jauh ke Yathrib.

Sementara itu Suraqah telah mendapat maklumat dari salah seorang dari kaumnya yang telah melihat sekelompok orang sedang berjalan di pesisir. Kemungkinan kelompok itu adalah Nabi dan Abu Bakar serta pembantunya.

“Aku melihat sekumpulan orang sedang berjalan di awal pagi, mungkinkah Muhammad dan pengikutnya[3]?” kata seorang rakan Suraqah.

“Bukan, mungkin juga si fulan yang pergi kerana tidak ingin dilihat, atau mencari binatang ternakan mereka, “ujar Suraqah yang bimbang maklumat itu diketahui oleh orang lain.

Secara diam-diam dia menyuruh pembantunya menyiapkan segala kelengkapan untuk mengejar kelompok orang yang dia percaya kemungkinan besar adalah Nabi Muhammad dan Abu Bakar yang sedang dicari oleh kaum Quraisy.

“Siapkan kudaku yang terbaik dan segala kelengkapan perburuan!” Suraqah menyuruh pembantunya bersiap.

Suraqah bergerak secara diam-diam dan menuju ke arah lokasi yang dimaklumkan oleh rakannya tadi. Dengan pantas Suraqah memacu kudanya hingga sampai hampir di belakang Nabi Muhammad yang sedang menunggang unta Bagaimanapun kuda Suraqah yang terbaik itu tersangkut di dalam pasir dan tidak mampu bergerak.

Kudanya tersangkut di dalam pasir, setiap kali dia cuba menghampiri Nabi Muhammad dengan pedangnya di tangan. Ketika kali terakhir kudanya tersangkut, dia terlihat seolah-olah ribut pasir sedang mengelilinginya. Rasa takut dan bimbang menghantui dirinyaketika itu.

Setelah itu Suraqah pun terfikir dan terdetik di hatinya bahawa mangsanyabukanlah sebarangan orang.

“Sesungguhnya Muhammad ini adalah seorang yang istimewa,” detik hatinya.

Dengan secara spontan rasa keinsafan muncul lalu Suraqah pun menyeru kepada Nabi Muhammad .

“Ya Muhammad, aku adalah Suraqah Ibnu Malik, tunggulah aku, aku ingin berkata-kata denganmu. Aku berjanji tidak akan menganggumu,” teriak Suraqah dari arah belakang.

“Katakan olehmu mengapa engkau memburu kami?” Abu Bakar bersuara meminta penjelasan setelah diminta oleh Nabi Muhammad berbuat demikian.

“Tuliskan sepucuk surat untukku agar dapat aku menjadikan bukti, bahawa aku adalah pengikutmu[4],” Suraqah berkata dan meminta sebah perjanjian.

Di atas persetujuan Nabi, Amir kemudiannya menulis surat perjanjian pada sebatang tulang. Tulang itu kemudiannya diserahkan kepada Suraqah. Dengan girangya Suraqah menyambut pemberian itu. Lupa niat asalnya untuk menangkap Nabi.

“Wahai Suraqah, mahukah kamu jika suatu ketika nanti kamu akan memakai mahkota Kisra?” Nabi Muhammad bersabda kepada Suraqah[5].

Ketika itu Kerajaan Parsi jauh lebih gagah dan besar, sedangkan kerajaan Islam Madinah masih belum muncul. Suraqah mendengar sabda Nabi Muhammad dengan keadaan hairan dan terpegun sambil tertanya-tanya dalam dirinya.

Adakah yang dimaksudkan adalah Kisra, Raja Parsi?”

“Maksud tuan, Kisra bin Hurmuz?” Tanya Suraqah kepada Nabi Muhammad . Nabi Muhammad hanya tersenyum sambil bergerak meneruskan perjalanan hijrah ke Yathrib.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab , kerajaan Parsi telah dikalahkan oleh tentera Islam melalui Perang Al-Qadasiyah. Saad bin Abi Waqas telah berjaya mengalahkan Panglima Rustum dan menawan istana putih, lambang kemegahan kerajaan Parsi

Pada tahun yang sama dan bulan yang hampir sama angkatan perang di bawah pimpinan panglima Khalid Al-Walid[6] menggempur tentera Rom Timur di dalam Perang Yarmuk.

Dalam Perang Yarmuk, Khalifah Umar mengirimkan seramai 45,000 orang[7] tentera di bawah pimpinan Khalid Al-Walid. Perang yang dikenali dalam sejarah barat sebagai “Battle of Hieromyax”, yang berlaku selama enam hari mulai 15 hingga 20 ogos 663 Masihi adalah titik tolak gelombang perluasan pengaruh Islam ke luar jazirah Arab serta dunia Barat. Parsi[8] ketika itu adalah tanah jajahan Empayar Rom Timur (Bizantine) yang diketuai oleh Heraclius[9]

Sesungguhnya Perang Yarmuk telah memperlihatkan kehebatan dan semangat juang yang tinggi umat Islam dari kaca mata Barat. Pejuang-pejuang Islam rela mengorbankan jiwa dan raga mereka demi Islam berkembang. Secara matematiknya dinisbahkan seorang lawan lima. Pimpinan tentera Islam yang pintar serta pertolongan dari Allah telah melumpuhkan tentera musuh yang terdiri daripada berbagai kaum dari jajahan takluk Empayar Byzantineseperti Armenia, Slavia, Arab Kristian (Sassanid) dan orang-orang Rom.

Seorang orientalis barat bernama David Nicolle pernah menulis dalam bukunya yang bertajuk “Yarmuk 636 A.D.: The Muslim Conquest of Syria” dan mengatakan bahawa jika Perang Yarmuk dimenangi oleh Empayar Bizantine menguasai peperangan itu, pasti pengaruh Yunani-Romawi akan terus berlangsung di wilayah Timur Tengah.

Kemenangan Islam di dalam perang ini juga membawa kepada penaklukan bumi Syria (Syam) dan beberapa negara lain sehingga ke Afrika Utara. Selain daripada itu juga wilayah-wilayah seperti Palestin dan Mesopotamia turut jatuh ke tangan Islam, sertamembawa Islam dan dikembangkan sehingga ke wilayah-wilayah Afrika Utara, pada tahun-tahun berikutnya.

Ini turut menyemarakkan kemenangan Islam dibawah beberapa empayar Islam seperti penaklukan Andalusia (Sepanyol) di bawah pimpinan Panglima Tariq bin Ziad dan pembukaan Istanbul oleh Sultan Muhammad Al-Fateh dari Empayar Uthmaniyah dan seterusnya.

Musa bin Nusair, Gabenor Islam di Afrika ketika pemerintahan Empayar Umaiyyah mengarahkan Panglima Tariq bin Ziad membawa angkatan perang seramai 3,000 orang mara ke Hispania pada tahun 711 Masihi.

Tariq dan tenteranya mendarat di Gibraltar pada 30 April 711 dan kemudiannya bergerak ke utara. Setahunberikutnya Musa bin Nusair membawa angkatan tentera dan bergabung dengan Tariq. Banyak wilayah-wilayah di Semenanjuang Liberia jatuh ke tangan Islam, yang kemudiannya digabungkan dan dikenali sebagai Andalusia (Andalus), bermulalah pemerintahan Islam di bumi itu sehingga menjangkau 781 tahun.

Istanbul[10] atau Constantinople yang dibina oleh Maharaja Empayar Byzantine yang bernama Constantine I. Constantinople pernah dijadikan ibu kota empayar ini. Pada hari Khamis 26 Rabiul Awal 857H bersamaan 6 April 1453M, SultanMuhammad Al-Fateh memimpin 250,000 orang tentera mara ke kota ini dan menawannya[11].

Ketika Yazid bin Muawiyyah menjalankan kempen ketenteraan untuk menakluk Istanbul[12], Abu Ayyub turut serta, ketika itu umurnya telah menjangkau 98 tahun. Beliau amat uzur dan akhirnya menghembuskan nafasnya terakhir. Beliau berwasiat agar dikebumikan di tepi tembok Constantinople.

Selepas pembukaan Constantinople oleh Muhammad Al-Fateh, sebuah masjid dibina bagi mengenangkan jasanya. Pada masa sekarang masjid ini dikenali sebagai “Eyub Sultan Mosque” dan menempat sebuah perkuburan yang dikenali sebagai Perkuburan Eyub Sultan[13].

Constantinoplepernah disebut di dalam sabda Nabi Muhammad ketika Perang Khandak. Imam Ahmad meriwayatkan Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud “Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. “

Dalam Sahih Muslim juga disebutkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang mafhumnya “Sesiapa yang membuka Istanbul akan masuk ke Syurga”.

Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abu Ayyub Al-Ansari pernah mendengar Nabi Muhammad bersabda bahawa akan ada seorang sahabat yang akan dikuburkan di sana. Beliau berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Constantinople, dia berharap dapat mendengar derap bunyi kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu. Abu Ayyub tidak melepaskan peluang untuk menyertai sebarang peperangan sejak zaman Nabi hinggalah kezaman Khalifah Umaiyyah.

Janji Allah dan Rasulullah tetap benar. Rasulullah pernah memberitahu sahabat ketika kerja-kerja menggali parit di dalam persediaan Perang Khandak, Rom dan Parsi akan jatuh ke tangan Islam dan Istanbul akan ditawan oleh seorang raja[14].

Bahkan Allah telah berfirman melalui Surah Ar-Rum pada ayat yang ke-2-4 yang bermaksud:

“Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira”

Setelah perang tamat, harta rampasan perang dibawa balik ke Madinah. Khalifah Umar terkenangkan janji Nabi kepada Suraqah. Beliau kemudiannya mendapatkan mahkota yang dimaksudkan memanggil Suraqah dan berkata "Pakailah mahkota[15] ini, naiklah ke mimbar dan angkat tanganmu, lalu katakan Maha benar Allah dan RasulNya."

Suraqah menuju ke mimbar, kemudian ia melakukan seperti apa yang diusulkan oleh Khalifah Umar .

Dengan penuh terharu kotak fikirannya kembali memainkan adegan yang telah berlaku ketika dia memburu Nabi Muhammad untuk ditukarkan dengan 100 ekor unta yang ditawarkan oleh Abu Jahal, beberapa tahun dulu.

“Ah! Sungguh benar kata-kata Muhammad kepadaku,”getus hatinya dengan penuh kesayuan.

Ketika Nabi Muhammad menawarkan mahkota Kisra itu kepadanya dia mendengar dengan penuh kehairanan dan agak sinis kerana dia tidak dapat membayangkan bagaimana sebuah kerajaan yang gagahdan berdiri ratusan tahun mampu dikalahkan oleh Islam, yang belum tentu berkembang, dengan berbagai halangan dan ancaman dari majoriti kabilah Arab ketika itu.

Ahli-ahli sejarah[16] tidak dapat memastikan samada Suraqah memeluk Islam ketika peristiwa memburu Nabi Muhammad semasa berhijrah. Ada pendapat mengatakan bahawa Suraqah memeluk Islam selepas Nabi kembali dari Haji Wida’. Bagaimanapun ketika mahkota Kisra berada di tangannya dia telah menjadi sebahagian saksi kepada kebenaran kata-kata Nabi Muhammad , walaupun dia terpaksa bertahun-tahun untuk melihat kebenarannya.

Kembali ke kisah hijrah, dengan bantuan ‘Abdullah bin Uraiqit Al-Laity, baginda Rasululah dan Abu Bakar bergerak ke Yathrib dengan menggunakan jalan selatan ke arah Yaman, yang jarang digunakan oleh orang. Kemudian menuju ke arah barat melalui Tihamah, di pesisiran pantai Laut Merah. Setelah sampai di kawasan yang agak terpencil, baginda membelok ke arah utara berhampiran Laut Merah menuju ke Yathrib dan akhirnya pada 8 Rabiuawal, Rasulullah sampai di Quba’, yang terletak dua batu dari Yathrib.

Di Quba’ baginda Rasulullah singgah dan menetap di rumah Kalthum bin al-Hadam selama empat hari sehingga hari Khamis. Di situ Rasulullah mendirikan sebuah masjid yang kemudiannya dikenali sebagai Masjid Quba’ yang pada masa sekarang adalah kedua tercantik selepas Masjidil Nabawi di Madinah.

Baginda Nabi Muhammad solat di dalam masjid itu. Kemudian Nabi Muhammad meneruskan perjalanan ke Madinah. Amir bin Yassir telah diarahkan untuk menjaga masjid dan mengimamkan solat. Itulah masjid pertama yang diasaskan atas dasar taqwa selepas baginda Rasulullah menjadi Rasul.

Sebahagian besar daripada penduduk Yathrib datang ke Quba’ untuk menyambutkedatangan Nabi. Pada hari Jumaat, Nabi dan rombongan penduduk itu berjalan ke Yathrib.

Di pertengahan jalan mereka berhenti di sebuah lembah yang bernama Rahuna. Nabi Muhammad dan rombongan itu menunaikan solat Jumaat. Ini adalah solat Jumaat yang pertama setelah berhijrah. Dalam khutbahnya Nabi Muhammad sentiasa menekankan bahawa perpaduan adalah asas yang kukuh untuk bersatu.

Sabda Nabi yang bermaksud “Sebarkan salam! Hubungkan silaturrahim! Berilah orang makan, lakukan sembahyang malam ketika orang tidur nescaya syurga dan keamanan balasannya.”

Penduduk Yathrib keluar beramai-ramai menyambut Nabi di pinggir Kota Yathrib. Mereka mengalunkan sebuah nasyid yang masih dilagukan sekarang ini dengan meriahnya.

Kebanyakkan penduduk di Yathrib mengharap dan meminta supaya Nabi Muhammad singgah dan tinggal bersama mereka. Unta Nabi Muhammad terus berjalan. Beberapa orang cuba memegang tali unta tanda penghormatan sambil berharap Nabi singgah di kediaman mereka. Bagaimanapun Rasulullah menolaknya dengan lembut dan berkata “Biarlah unta ini berjalan kerana ada yang menjaganya.”

Beberapa penghuni dari rumah-rumah berdekatan juga turut menawarkan tempat tinggal kepada Rasulullah . Bagaimanapun, jawapan yang sama diberikan oleh baginda. Sehinggalah unta yang ditunggangi bersama Abu Bakar kemudiannya berhenti di lokasi Masjidil Nabawi sekarang ini.

Unta itu berhenti sambil melutut di lokasi tersebut, bangun semula dan bergerak ke hadapan. Kemudiannya, kembali ke lokasi mula-mula dia berhenti. Nabi Muhammad dan Abu Bakar kemudiannya turun dari unta tersebut.

Lokasi tempat akhir unta itu berhenti adalah milik dua orang anak yatim yang bernama Sahal dan Suhail. Kedua-dua mereka dijaga oleh Muaz bin Ufrak yang mengusahakan tempat tambatan unta itu. Kedua anak yatim itu dari BaniNajjar, yang dikatakan ada hubungan persaudaraan di sebelah ibu baginda Rasulullah .

Rumah yang terletak bertentangan lokasi unta berhenti itu adalah milik Abu Ayyub Al-Ansari. Abu Ayyub dengan berbesar hati menjemput Rasulullah ke rumahnya. Sementara itu, Abu Bakar kemudiannya pergi ke sebuah rumah saudaranya dan tinggal di sana.

Rasulullah membeli tanah tersebut dengan harga 10 dinar emas, walaupun tuan punya tanah itu mahu menghadiahkankan kepada baginda. Ini bagi membela nasib kedua-dua anak yatim tersebut. Rasulullah tinggal di rumah Abu Ayyub selama 15 hari. Sepanjang tempoh itu baginda Rasulullah membangunkan sebuah masjid di atas sebidang tanah yang telah dipilih khusus itu.

Nabi Muhammad kemudiannya mentadbir Kerajaan Islam Madinah berdasarkan Perlembagaan Madinah atau disebut “Piagam Madinah” atau “Sahifah Madinah”. Safihah Madinah menjadi asas dan peraturan dan tanggungjawab Ketua Negara Islam bagi melaksanakan pemerintahan dan menyatukan orang-orang Islam dan orang bukan Islam.

Safihah Madinahdirangka pada tahun 622 Masihi. Piagam ini penting untuk mendapat kerjasama kaum bukan Islam yang majoritinya adalah kaum Yahudi dari Bani Qainuqa, selain dari dua kaum Yahudi yang lain seperti Bani Quraizah.

Piagam Madinah menjadi perlembagaan bertulis pertama di dunia dan turut dikaji oleh orientalisbarat. Ianya turut menggariskan kuasa pemerintahan, ekonomi, kebebasan beragama, perdagangan serta Islam sebagai agama resmi Madinah.

Kaum Yahudi dari Bani Qainuqa’ kemudiannya diusir dari Madinah setelah bersekongkol dengan kafir Quraisy melalui Peperangan Ahzab yang berlaku pada tahun 627 Masihi. Perang Ahzab diceritakan oleh Allah dalam Al-Quran melalui Ayat ke-9 surah Al-Ahzab yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.”

Dinamakan Al-Ahzab yang bermakna gabungan kerana terdapat gabungan yang besar di antara kaum Yahudi di Madinah dari Bani Natdhir dan lain-lain, serta musyrikin Makkah yang dipimpin oleh Abu Sufyan, memerangi kaum muslimin di Madinah. Hal ini adalah seperti apa yang sedang berlaku di bawah Tentera Pakatan yang diketuai oleh USA menyerang Afghanistan dan Iraq, serta beberapa negara lain.

Perang Ahzab juga disebut Perang Khandak (bermaksud Parit dalam bahasa Parsi), kerana Sulaiman Al-Farisi yang berbangsa Parsi mencadangkan kepada Nabi Muhammad supaya digali parit sebagai kubu. Selain daripada PerangAhzab, beberapa siri peperangan telah berlaku setelah Nabi Muhammad berhijrah ke Yathrib.

Di antaranya adalah Perang Badar pada tahun 624 Masihi serta Perang Uhud yang berlaku setahun selepas Badar iaitu pada 625 Masihi.

Manakala Perang Uhud yang berlaku di kawasan Jabal Uhud menyaksikan Nabi Muhammad bersama 1000 orang bala tentera ke medan perang. Bagaimanapun hanya 700 orang sahaja direkodkan menyertai perang kerana 300 orang lagi terpedaya dengan Abdullah bin Ubai, yang dikatakan ketua orang-orang munafiq.

Di dalam peperangan Uhud, Nabi Muhammad sendiri mengalami kecerderaan dan bapa saudara baginda, Hamzah gugur telah syahid. Kesan peninggalan peperangan ini masih boleh dilihat di Bukit Pemanah dan makam para syuhada’ di Uhud.



[1] Sirah Nabawiyyah diterjemah oleh Abdullah dan diterbitkan oleh YADIM

[2] Rumah Qusaiy bin Kilab dipercayai dijadikan tempat perbincangan

[3] Seorang pemuda dari Bani Mulhij

[4] Suraqah menggunakan surat ini untuk membuktikan keislamannya pada satu ketika yang lain-sila rujuk kejadian ini dari Latif Talib

[5]Seperti yang diceritakan dalam Buku Al-Quran Berjalan (Rahmat bagi sekelian Alam) karangan Dr. ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni. Sesetengah pengarang dan pendakwah menceritakanyang dijanjikan oleh Rasulullah adalah sepasang gelang.

[6] Seorang panglima perang Islam dipanggil ke Al-Qadasiyah membantu Saad.

[7]Pendekar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, Ksatria Islam yang Gagah Berani, Asyraf Muhammad al-Wahsy, Gema Insani Press, 2011

[8] Parsi di dalam Empayar Iran (Iranian Empires) ditakluki oleh Empayar Byzantine melalui beberapa siri peperangan yang bermula pada tahun 92 BC (Sebelum Masihi). Siri peperangan ini dikenali sebagai “Roman-Persian Wars”

[9] Heracluis Augustus atau nama sebenarnya Flavious Heraclius adalah seorang Maharaja bagi Empayar Bizantine(Byzantine Emperor). Beliau menaiki takhta pada 5 Oktober 610 hingga 11 Februari 641. Beliau dikatakan pernah menerima perutusan daripada Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasallam menyeru supaya tunduk pada pemerintahan Islam. Dalam sejarah Barat dia dikatakan gagal mempertahankan Syam (Syria) dari jatuh ke tangan pemeritahan Islam.

[10] Istanbul adalah nama yang diberikan oleh Mustafa Kamal. Beliau menguatkuasakan satu undang-undang yang melarang penggunaan nama Konstantinople dalam urusan resmi kerajaan. Syeikh Imran Hussein berpendapat bahawa ini adalah satu jenayah yang dilakukan oleh Mustafa Kamal kerana mengabaikan nama kota yang disebut oleh Nabi Muhammad iaitu ‘Qustantiniya” dalam Bahasa Arab. "Lataftahanna al-Qustantiniyya wa lani`ma al-amiru amiruha wa lani`ma
al-jayshu dhalika al-jaysh
."- al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir 2:81 and al-Saghir 1:306

[11] Penguasaan Kota Konstantinople pada tahun 1453 ketika itu bukanlah apa yang disebut dalam kejadian di akhir zaman menzahirkan ramalan Nabi. Ini kerana dalam hadith Sunan Abu Daud, diriwayatkan bahawa selepas penguasaan Konstantinople berlaku ‘khuruj’ yang dibawa oleh Dajjal dalam tempoh tujuh bulan. Khuruj adalah kerosakan yang dibawa oleh Dajjal sebelum turunnya Nabi Isa.

[12] Narrated Mu'adh ibn Jabal:Book 37, Number 4282:The Prophet (peace_be_upon_him) said: The greatest war, the conquest of Constantinople and the coming forth of the Dajjal (Antichrist) will take place within a period of seven months.


[13] Seorang rakyat Malaysia, Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam telah disemadikan pada 2 November 2013 di situ, setelah syahid dalam kemalangan. Perkuburan itu juga turut disemadikan 60 jasad sahabat Nabi, auliya’ dan panglima Uthmaniyah serta beberapa orang-orang kenamaan Turki.

[15] Sesetengah buku menyebut sebagai gelang dan bukan mahkota. Bagaimanapun ia adalah sebuah lambang kekuasaan Kisra bin Hurmuz, Raja Parsi.

[16] Terdapat juga riwayat yang menyatakan bahawa Suraqah memeluk Islam ketika ditawan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.