Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,545
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BONUS: KASIHNYA NABI

TAZKIRAH

MAULIDUR RASUL 1435H/ 2014 M
OLEH USTAZ ABDUL RAHMAN SAAD

16 JANUARI 2013

SURAU TAMAN MUTIARA NAGA, KEPALA BATAS, KEDAH

Nabi Muhammadصلى الله عليه وآله وسلمadalah manusia secara lahiriah serupa macam kita. Tapi secara batiniah pula Nabi adalah manusia pilihan Allah yang diangkat menjadi Rasul, penghulu segala Nabi dan Rasul, Khatamil Anbiya’.

Bezanya Nabi dengan kita, Nabi tidak menyusahkan sesiapa. Dari dalam kandungan lagi Nabi berbeza dengan kita manusia. Kita manusia biasa menyusahkan semua orang. Semasa kita di dalam kandungan Mak kita merasa susah bertambah susah sepanjang masa mengandung, “Wahnan ‘ala Wahnin … susah semakin susah.

Nabi lahir dalam keadaan suci, kita manusia biasa lahir bersama najis, dengan darahnya dan lain-lain. Apabila Nabi lahir sahaja, Nabi menggembirakan semua orang yang ada. Abdul Mutalib, datuk Nabi cukup seronok. Abdul Mutalib menamakan cucunya sebagai “Muhammad” yang bermaksud “Yang terpuji”.

Abdul Mutalib memecah tradisi kaum Quraisy dan bangsa Arab ketika itu dengan menamakan cucunya sebagai Muhammad, kerana belum ada lagi bayi yang dinamakan Muhammad ketika itu. Nabi sendiri pernah bersabda dengan maksudnya “Aku hairan walaupun manusia mengejiku tapi mereka memujiku.” Ini kerana orang-orang kafir Quraisy menghina, mencaci Nabi tapi tetapi tetap menyebut “Yang Terpuji”, disebabkan nama Muhammad itu.

Nabi dilahirkan di kalangan manusia biasa sama macam kita. Nabi tidak dilahirkan dari kalangan Malaikat. Kerana Allah hendak memberitahu bahawa tiada alasan bagi manusia untuk TIDAK mengikut ajaran Nabi Muhammadصلى الله عليه وآله وسلم.

Jika kita memberi alasan tidak datang solat jamaah di masjid atau surau.

“Sakit lutut.” Allah menjawab “Hambaku Ayyub lebih teruk menderita sakitnya, tetap patuh padaKu”

“Aku bekerja mencari nafkah dengan makan gaji.” Allah menjawab “Nabi Yusuf menjadi hamba kepada Raja Abdul Aziz, masih tetap mentaati suruhanku.”

Sebut sahaja Nabi dan Rasul mana? Semua Allah telah menjelaskan di dalam Al-Quran. Jika Nabi dilantik di kalangan Malaikat, manusia dapat memberi alasan dengan berbagai alasan seperti “Nabi dari Malaikat yang tidak sibuk, tidak makan, tidak minum dan tidak berkahwin. Dapatlah beramal ibadat.”

Abdullah, seorang anak Abdul Mutalib yang paling tampan dan cerdik adalah bapa kepada Nabi Muhammadصلى الله عليه وآله وسلم. Abdullah wafat ketika Nabi masih di dalam kandungan lagi. Aminah, ibu Nabi wafat ketika Nabi berusia 6 tahun, kemudian Abdul Mutalib wafat ketika Nbai berusia 8 tahun. Semua ini Allah hendak tunjukkan kepada kita bahawa Nabi tidak sempat mendapat didikan yang sempurna dari ayah, ibu dan datuknya, tapi Nabi mempunyai peribadi yang cukup hebat. Jauh beza dengan kita yang kebanyakkan ada ayah, ada ibu dan ada datuk.

Nabi juga adalah seorang ‘Ummi’ iaitu buta huruf, tidak boleh membaca dan tidak boleh menulis. Tapi Nbai dianugerahkan oleh Allah sifat ‘Fatonah’, iaitu bijak sana. Suatu hari Nabi menyelesaikan masalah perbalahan di antara Abdullah Az-Zubair dan Hatim. Abdullah Az-Zubair merupakan anak saudara Nabi dari Asma’ bt Abdu Bakar mengusahakan kebun kurma. Manakala Hatim seorang pemilik kebun yang lain mengusahakan kebun berdekatan. Perbalahan timbul apabila bekalan air hujan hendak disalurkan, mereka berebut air untuk kebun mereka. Kedua-duanya berjumpa Nabi.

Berkata Hatim kepada Nabi “Ya Rasulullah, aku memerlukan air untuk kebun kurma lebih dahulu daripada Abdullah.”

“Aku juga amat memerlukan air untuk kebun kurma,” Abdullah Az-Zubair juga meminta air hujan dibekalkan kepadanya terlebih dahulu.

Dengan sifat bijaksana Nabi membuat keputusan “Air hujan ini perlu diperolehi oleh Abdullah terlebih dahulu, kemudian Hatim.”

“Aku yang lebih memerlukan air terlebih dahulu. Ya Rasulullah, Abdullah mendapat bekalan air dahulu, keputusan Tuan berpihak kepadanya kerana Abdullah anak saudara Tuan,” Hatim masih tidak berpuashati dengan keputusan Nabi.

Nabi menjawab “Bukankah kebunmu berada di hilir, sedangkan kebun Abdullah berada di hulu? Tentulah air hujan akan mengalir dari hulu ke hilir.”

Mendengar jawapan dari Nabi, Hatim pun tidak ada alasan lagi untuk berbalah. Inilah sebahagian dari kisah kebijaksanaan Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasallam, walaupun baginda seorang ‘Ummi’.

Tuan/Puan kita kena sayang kepada Nabi kita. Jika kita sayang Nabi, dalam hadith Nabi bersabda “Aku akan menyayangi mereka lebih daripada mereka menyayangi diri mereka sendiri.”

Kita sayang diri kita. Tapi kadang-kadang kita tidak tahu tindakan kita merugikan diri sendiri. Kita hanya fikir keutamaan dunia sahaja, tapi bila kita cinta dan sayang Rasulullah kita akan mendapat syafaat (pertolongan) sampai di akhirat. Contoh, ada yang main nombor berfikir untuk cepat kaya cara senang. Tapi perbuatan itu adalah judi dan judi adalah haram, dosa yang dibuat akan ditanggung hingga akhirat. Beza Tuan/Puan jika kita sayang Nabi kita akan terhindar daripada perbuatan yang merosakkan.

Rasulullah juga berjaya mendidik sahabat-sahabat dengan berkesan. Ramai sahabat mengikut amalan baginda. Kita?. Kita hanya mengikut amalan baginda hanya di dalam solat. Ini kerana kita menurut amalan Nabi. “Nabi Muhammadصلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): “Sembahyanglah kamu seperti mana kamu melihat aku (Rasulullahصلى الله عليه وآله وسلم) sembahyang.” Tapi dalam amalan kehidupan seharian, ada kita ikut cara Nabi?

Saidina Umar Al-Khatab seorang Khalifah penuh dengan sifat rendah dirinya, begitu juga dengan Khalifah-khalifah yang lain. Umar ketika membuka Al-Quds (Baitul Muqaddis) hanya menunggang unta bersama khadamnya. Umar tidak pergi ke Kota Al-Quds bersama ketumbukan tenteranya, untuk mengambil kunci kota, setelah Empayar Rom Timur (byzantine) ditewaskan dalam perang enam hari, Perang Yarmuk. Hanya kota Al-Quds masih dipertahankan oleh tentera Rom di bawah pimpinan Patriarch Sophronius. Patriarch Sophronius, meminta Panglima Abu Ubaidah Al-Jarrah supaya Umar sendiri hadir untuk diserahkan kunci kota itu.

Umar hanya datang bersama khadamnya. Mereka bergilir-gilir menunggang seekor unta dan Umar berpakaian yang bertampal di sana sini. Umar tidak menunjukkan kemegahan sebagai seorang Khalifah Islam yang telah berjaya mengalahkan tentera Rom, di mana seramai 70 ribu tentera telah ditewaskan oleh 41 ribu tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Khalid ibnu Walid.

Apabila sampai di pintu kota mengejutkan semua yang ada, tentera Rom dan tentera Islam yang berkawal. Ketika sampai di pintu kota, giliran hambanya yang menunggang unta itu, manakala Umar yang memegang tali unta tersebut. Maka tercengang dan takjublah Patriarch Sophronius lalu membuat pengakuan, membenarkan apa yang dicatatkan dalam Injil:

Sesungguhnya orang yang akan aku serahkan kunci kota al Quds, seterusnya menguasai Baitul Maqdis memiliki tiga tanda. Petanda-petanda tersebut jelas disebutkan di dalam kitab Injil kami.

“Pertama, orang itu akan berjalan manakala khadamnya menunggang kenderaan miliknya. Kedua, orang itu datang dalam keadaan kedua-dua kakinya diselaputi debu-debu tanah (lumpur). Ketiga, orang itu datang dalam keadaan bajunya penuh dengan tampalan.

Setelah Sophronius melihat tanda-tanda tersebut ada pada Khalifah Umar al Khattab, kemudian dia meminta izin kepada Umar untuk mengira berapakah tampalan yang ada pada baju yang dipakainya. Ada 17 jahitan yang menampal pada baju Umar, dengan perasaan penuh debaran dan ta’ajub Sophronius berkata, "Inilah tanda yang ketiga, ya Tuhan. Tidak diberikan kunci-kunci Kota al Quds ini kecuali kepada seorang pemimpin yang memiliki tiga tanda keagungan di mana tanda-tanda inilah yang paling unggul dalam lembaran sejarah dan tidak ternilai harganya (seperti yang disebut di dalam Injil), (1) Khadamnya yang menunggang kenderaan. (2) Calitan debu-debu tanah. dan (3) Tampalan pada baju".

Dicatat dan diringkaskan oleh : Fendi Ameen

Previous: Catatan Penulis
Next: Prakata

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.