Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,545
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 5: PESAN USTAZ

BAB 5: PESAN USTAZ

Aku cuba melupakan apa yang telah berlaku dan sekarang menumpukan perhatian kepada perjalan ke tanah suci yang akan mengambil masa selama 13 hari 12 malam. Mengikut jadual yang telah diberikan, sebanyak empat hari kami akan mengunjungi Madinatul Munawarah dan baki selebihnya akan mengerjakan umrah di tanah suci Makkah.

Pada malam pemergian kami ke tanah suci, aku membayangkan bagaimana segala tempat bersejarah yang pernah didengar dan dibaca selama ini akan berada di depan mata, ketika di tanah suci nanti.

Pesan Ustaz Bukhari padaku “Apa saja yang kita baca dalam sejarah Makkah ada di sana. Kaabah, air Zam-Zam, Safa dan Marwah.”

Ustaz Bukhari Md Akhir adalah seorang pegawai agama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang ditempatkan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Kebetulan beliau berada di sebelah bilikku di pejabat. Jadi amatlah mudah untuk aku bertanya dan berbincang serta mendapat sedikit pedoman berguna berhubung perjalanan ke tanah suci.

Ustaz Bukhari berpesan “Umrah dan haji adalah perbuatan, perbuatan kena betul baru sah, kalau tak boleh hafal bacaan dalam tawaf pun tak apa yang penting niat, jumlah pusingan dan bahu mesti mengadap Kaabah.”

Pesan Ustaz lagi “Ada banyak tempat di mana doa mustajab di kawasan Baitullah dan Masjidil Haram.”

“Kalau boleh berdoa, minta apa sahaja yang baik di tempat-tempat mustajab doa,” sambung Ustaz Bukhari lagi.

Ustaz Bukhari kemudiannya menyebut tempat-tempat mustajab untuk berdoa di sekitar Baitullah. Aku mendengar dengan penuh minat kerana inilah sebenarnya harapan untuk kami sekeluarga menjejakkan kaki di hadapan Baitullah dan mengunjungi Masjidil Haram.

Kami perlu berdoa untuk kebaikan dan kesihatan anak perempuan kami yang mengidapi autisma. Diantara tempat-tempat yang mustajab doa, seperti yang dimaklumkan oleh Ustaz Bukhari adalah seperti berikut:

(i) Multazam ialah satu kawasan di antara Hajar Aswad dengan pintu Kaabah. Jaraknya adalah dalam lingkungan dua meter. Waktu mustajab adalah di antara pertengahan malam dan azan Subuh.


(ii) Di belakang Makam Ibrahim. Makam Ibrahim ialah satu kawasan yang terletak di Dataran Kaabah, dan dikatakan tempat Nabi Ibrahim memijak sebuah batu ketika melengkapkan bahagian atas binaan Kaabah bersama Nabi Ismail. Sekarang terdapat bekas tapak kaki Nabi Ibrahim yang diletakkan dalam satu binaan. Waktu mustajab ialah di antara azan Subuh dengan solat Subuh.

(iii) Di belakang telaga Zam Zam. Kawasan ini terletak kira-kira 7.5 meter ke kiri dan kira-kira lapan saf di belakang Makam Ibrahim. Masa yang mustajab ialah bila-bila masa.

(iv) Di Hijir Ismail dan di bawah pancuran emas. Hijir Ismail adalah satu kawasan yang dianggap di dalam Kaabah. Jika menyentuh tebing atau masuk ke dalamnya apabila melakukan tawaf, tawaf dikira batal. Manakala pancur emas adalah sebuah pancur yang berkedudukan di bucu Kaabah dalam kawasan Hijir Ismail. Waktu mustajab berdoa ialah selepas azan Asar dan azan Maghrib.



(v) Dua meter sebelum Rukun Yamani. Lokasi ini adalah bertentangan Multazam, sebelum Rukun Yamani. Waktu berdoa ialah bila-bila masa.

(vi) Di Rukun Yamani, dikatakan tedapat 70 Malaikat yang mengaminkan doa yang dipohon oleh jemaah.

(vii)Depan Pintu Kaabah boleh berdoa bila-bila masa.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.