Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,549
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 39: ILAL LIQA’ HARAMAIN

BAB 39: ILAL LIQA’ HARAMAIN

Bas bergerak dari Masjid Terapung menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah. Kami sampai sebelum waktu Maghrib. Kami perlu menanti penerbangan NAS Air ke Pulau Pinang yang dijangka berlepas pada jam 1.00 pagi pada Khamis 23 Mei 2013. Hari ke 12 dalam perjalanan ke Haramain (dua tanah suci).

Suka duka selama berada di Tanah Suci Madinah dan Madinah selama 12 hari 13 Malam amat mengesankan dan akan diingati selamanya. Perjalanan ke Haramain bersama 'anak syurga' penuh bermakna. Semua berjalan lancar dengan bantuan dan kelapangan yang Allah berikan. "Anak syurga” kami seolah-olah faham ketika berada di dua tanah suci, segalanya di permudahkanNya.

Sampai di LTA Jeddah pada hampir waktu solat Maghrib menandakan detik-detik akhir berada di bumi Arab Saudi. Sungguh berbeza keadaannya ketika berada di Madinah dan Makkah, berbanding dengan singgah sebentar di Jeddah. Amat Jauh bezanya. Susah hendak menentukan adakah orang-orang Arab yang ditemui adalah Islam atau sebaliknya. Samada petugas di LTA Jeddah atau Pasukan Kawalan LTA Jeddah, sukar dipastikan kerana Jeddah di luar tanah haram. Siapa sahaja boleh masuk dan tinggal di sini. Jeddah terkenal sebagai Kota pelancungan.

Ilal liqa' Haramain (Insya’-Allah kita akan bertemu lagi, tanah haram Madinah dan Makkah).

Urusan pendaftaran di kaunter penerbangan NAS AIR berjalan lancar. Bagasi ditimbang bagi menentukan beratnya seperti biasa. Sana-sini kelihatan para jemaah sibuk dengan urusan pendaftaran penerbangan. Kaunter pendaftaran agak lambat dibuka. Dua kumpulan jemaah dari dua syarikat penyedia perkhidmatan urusan umrah akan berlepas dengan NAS AIR ke Pulau Pinang.

"Semua kena pastikan dapat air Zam-Zam seorang satu. Kena tunjukkan passport masing-masing. Nanti di kaunter depa[1] akan check," Ustaz Zul seperti biasa memberi ingatan kepada para Jemaah.

Setiap jemaah akan mendapat satu botol air Zam-Zam seberat yang telah dimasukkan dalam kotak berwarna oren. Air Zam-Zam itu adalah merupakan hadiah daripada Kerajaan Arab Saudi. Hanya yang telah disediakan secara resmi dibenarkan di bawa balik, melalui penerbangan.

Ada jemaah yang ditahan dari membawa balik 500ml air Zam-Zam yang dimasukkan di dalam botol, setelah melalui pemeriksaan keselamatan. Ada yang lepas dan dapat dibawa masuk bersama bagasi penumpang.

Aku telah berjaya membawa balik dua belas botol air zam-zam yang dimasukkan dalam botol air mineral. Terdapat cara yang mudah untuk membawa air Zam-Zam yang diisikan dalam botol air dengan muatan 500ml atau 1 liter. Dengan adanya botol-botol itu, air Zam-Zam diisi dari tempat bekalan air Zam-Zam di sekitar Masjidil Haram.

Kemudian dengan menggunakan pita pelekat, semua mulut botol dikejapkan dengan plastik kecil dan dibalut dengan pita pelekat. Pita pelekat itu kemudiannya dibalut dan dilekatkan dengan kuat pada keseluruhan botol tadi. Ini bertujuan untuk mengelakkan air tersebut tumpah.

Kemudian semua botol-botol yang mengandungi air Zam-Zam itu dimasukkan ke dalam bagasi yang akan didaftar masuk (Check-in baggage) semasa mendaftar masuk penerbangan. Tiada pemeriksaan bagasi dijalankan. Jadi botol-botol tersebut selamat bersama pakaian dan lain-lain barangan yang dimasukkan dalam bagasi.

Botol-botol air Zam-Zam tersebut kemudian boleh disedekahkan kepada saudara mara dan rakan-rakan apabila sampai ke tanahair.

Kami mendapat enam kotak air Zam-Zam. Di dalamnya berisi botol plastik besar memuatkan sebanyak 10 liter air. Semua Jemaah sibuk menulis nama dan nombor telefon pada kotak itu.

Bagaimanapun ia tidak membantu sebenarnya, kerana kotak-kotak oren berisi air Zam-Zam tadi akan bercampur di dalam ruang kargo. Banyak mana kotak berwarna oren itu dapat dituntut bergantung kepada jumlah passport yang ditunjukkan di kaunter tuntutan air Zam-Zam, di LTA Bayan Lepas.

Beberapa orang petugas akan mengedarkan kotak-kotak mengikut jumlah passport antarabangsa yang ditunjukkan. Oleh itu kita akan mendapat kotak yang ditulis nama orang lain. Tidak mengapa asalkan isinya adalah air Zam-Zam.

Semasa memasukkan kotak-kotak air Zam-Zam ke dalam daftar bagasi, kelihatan beberapa orang petugas bantuan menguruskan timbangan dan pergerakan kotak-kotak air itu. Mereka kemudiannya meminta Riyal sebagai “Tips”, bagi kerja yang dilaksanakan.

Urusan bagasi dan air Zam-Zam telah disediakan, sekarang kami menunggu sebuah bas yang akan mengangkut kami ke dalam pesawat NAS Air.

Ustaz Zakaria berpesan “nanti jangan lupa, Solat dalam kapal terbang. Gunakan botol semburan yang tuan dan puan ada untuk berwuduk.”

Sebelum ini kami semua telah melakukan solat Maghrib dan Solat Isya’ secara qasar dan jama’, di mana seperti biasa solat Maghrib kekal tiga rakaat dan dihimpun serta dipendekkan rakaat solat Isya’ menjadi dua rakaat. Waktu solat Subuh akan berlangsung beberapa jam sebelum kami mendarat di LTA Pulau Pinang.

Bas yang mengangkut kami tiba. Kami beramai-ramai menaikinya ke pesawat yang telah tersedia. Nasib baik anak kami Iris tidak menunjukkan perangainya, ketika bersesak-sesak dengan jemaah di dalam bas. Ini kerana di dalam bas itu, terdapat lain-lain jemaah dari kumpulan umrah yang berbeza.

Kami akhirnya sampai di hadapan pesawat NAS Air dan seterusnya menaiki pesawat itu mengikut kedudukan tempat duduk yang lebih teratur. Jika ketika berlepas dari LTA Pulau Pinang semasa datang ke Madinah, susunan tempat duduk agak kelam-kabut.



[1] Bahasa Kedah bermaksud Mereka

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.