Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,545
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 11: MAKAM RASULULLAH DAN SAHABAT

BAB 11: MAKAM RASULULLAH DAN SAHABAT

Mengunjungi makam Nabi Muhammad adalah satu pengalaman yang amat indah. Setiap kali masuk ke dalam Masjidil Nabawi, peluang mengunjungi dan mengucapkan Salam kepada Rasulullah , Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar tidak akan dilepaskan.

Bilik makam atau Hujrah Mubarak atau Roza Mubarak[1] atau “Sacred Chamber” adalah sebuah bilik khas yang menempatkan makam Nabi Muhammad , Abu Bakar dan Umar Al-Khattab . Ianya terletak di dalam Masjidil Nabawi.

Hujrah menjadi tempat tumpuan ziarah bagi jemaah setiap kali mengunjungi Masjidil Nabawi. Lokasi asalnya adalah rumah kediaman Nabi Muhammad dan Siti Aishah . Keutamaan menziarahi makam Nabi adalah perkara utama kepada sesiapa sahaja yang sampai ke Madinah.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tabrani, Nabi Muhammad bersabda dengan mafhumnya “Sesiapa yang menziarahiku selepas ketiadaanku, seolah-olah menziarahiku ketika aku masih hidup.”[2]

Ramai jemaah akan mengerumumi bahagian hadapan makam Nabi Muhammad dan sahabat yang telah dipasang grill yang diperbuat daripada emas. Di bahagian hadapan tembok itu terdapat tiga lubang bagi tujuan pengudaraan di dalam bilik makam dan juga digunakan oleh jemaah untuk mengintai ke dalam hujrah. Bagaimanapun, kehadiran polis pengawal yang mengawal di bahagian hadapan makam, menyebabkan tidak ramai yang mampu berbuat demikian.

Mengikut Islamic landmark dalam sebuah artikelnya, kedudukan makam Nabi Muhammad dan sahabat adalah seperti yang digambarkan dalamGambarajah 1 seperti berikut:

Gambarajah1: Kedudukan Hujrah

Bilik makam mempunyai dua buah pintu, di mana satu pintu terletak di bahagian barat dan satu bahagian pintu terletak di bahagian utara. Kedua-dua bahagian pintu itu tidak berkunci.

Nabi di makamkan di dalam bilik tersebut yang juga lokasi asal rumah baginda. Kepala Nabi Muhammad yang mulia dihadapkan ke arah barat, manakala kaki baginda Rasulullah dihadapkan ke arah timur. Muka baginda pula dihadapkan ke arah kiblat[3].

Apabila Saidina Abu Bakar meninggal dunia, beliau dimakamkan di dalam bilik itu bersebelahan dengan Nabi Muhammad . Bagaimanapun kedudukan jasad beliau lebih ke bawah dari kedudukan jasad Nabi. Kedudukan kepala Abu Bakar adalah bertentangan dengan kedudukan bahu Rasulullah . Manakala, arah kedudukan jasadnya sepertimana kedudukan jasad Nabi Muhammad .

Pada mulanya Saidatina Aishah berhasrat untuk dimakamkan di ruang selepas Abu Bakar . Bagaimanapun, Apabila Saidina Umar meminta kepada Aishah untuk dimakamkan di situ, Aishah menerimanya.

Apabila Saidina Umar meninggal dunia, jasad beliau dimakamkan bersebelahan Abu Bakar dengan kedudukannya sedikit ke bawah. Kepala jasad Umar bertentangan dengan bahu Abu Bakar dengan arah jasad seperti jasad Nabi .

Dalam versi riwayat yang lain, dikatakan bahawa ruang selepas Umar ditawarkan oleh Aishah kepada Abdul Rahman bin Auf dan kemudiannya kepada Hassan bin Ali. Bagaimanapun, Khalifah Umaiyyah ketika itu tidak membenarkannya.

Diriwayatkan bahawa ketika hanya ada jasad Nabi dan Abu Bakar di dalam hujrah itu, Aishah masuk ke ruang itu tanpa tudung kepala. Bagaimanapun, setelah jasad ke tiga iaitu Umar dimakamkan, Aishah masuk ke dalam hujrah dengan berpakaian lengkap menutup kepala.

Ini kerana kedua-dua jasad tersebut iaitu Nabi dan Abu Bakar adalah muhrimnya. Abu Bakar adalah ayahnya manakala Nabi yang mulia adalah suaminya[4]. Sirah ini menjadi takrif hukum wanita menutup aurat ketika menziarahi kubur.

Aishah kemudiannya mengarahkan supaya sebuah tembok dibina untuk memisahkan ruang tempat tinggalnya dengan kawasan makam, di dalam rumahnya.

Umar bin Abdul Aziz, seorang yang wara’ dan dikatakan standing dengan Khalifah Ar-Rasyidin, turut menolak tawaran untuk dimakamkan di situ oleh Aishah . Beliau menolaknya kerana bimbang Allah tidak redha dengan seolah-olah sikap egonya jika dimakamkan di situ. Sesetengah ulama’ berpendapat bahawa Isa Al-Masih akan dimakamkan di ruang yang ke-empat[5] apabila wafat, setelah kebangkitan ke-dua.

Aishah kemudiannya membina tembok yang memisahkan ruang maqam dengan sebuah ruang kecil tempat tinggalnya. Ini kerana, jemaah yang berziarah ke makam akan mengutip debu di sekitarnya untuk mengambil berkat.

Setelah membeli rumah kediaman Aishah , Khalifah Bani Umaiyyah, Walid bin Abdul Malik mengarahkan gebenor Madinah, Umar bin Abdul Aziz supaya meruntuhkan tembok yang dibina oleh Aishah dan bilik makam untuk tujuan pembesaran masjid. Seluruh Madinah dikatakan menangis ketika kerja runtuhan tersebut dilakukan.

Said bin Al-Musayyib[6], seorang ahli faqih atau ulama fiqh[7] yang dilahirkan ketika zaman Saidina Umar . Beliau digelar sebagai salah seorang dari “Tujuh Fuqaha Madinah” kerana ilmu dan kewarakan yang dimilikinya. Beliau pernah berkata “Saya berharap bilik makam tidak diruntuhkan supaya generasi akan datang dapat melihat bagaimana seorang Nabi yang tidak begitu mementingkan harta dunia.”

Seorang penyelia yang bertugas menyelia kerja-kerja meruntuhkan binaan tersebut yang bernama Wardan agak terperanjat kerana melihat sepasang kaki muncul setelah binaan diruntuhkan. ‘Abdullah bin Ubaidullah berkata bahawa kaki yang kelihatan itu adalah kaki dari jasad Saidina Umar yang agak terkeluar dari kawasan pemakaman ke arah rumah Aishah .

Ummahat Al-Mukminin, Saidatina Aishah tidak dimakamkan di makam bersama Nabi. Setelah Aishah meninggal, jasad beliau dimakamkan di Perkuburan Baqi’ (Jannat al-Baqi’), setelah disolat jenazah yang diimamkan oleh seorang sahabat Nabi yang bernama Abu Hurairah .

Seorang sejarahwan, Abu Al-Baqa’ Ahmad (meninggal pada tahun 854 Hijrah) mengisahkan pada satu ketika terdapat sesuatu bunyi di dalam bilik makam, seperti ada benda yang jatuh. Perkara tersebut kemudiannya dimaklumkan kepada Gabenor Madinah. Satu siasatan perlu dilakukan segera setelah gabenor mengarahkannya.

Ketika itu seorang yang wara’ amatlah diperlukan untuk masuk ke dalam bilik makam untuk menyiasat. Beberapa calon telah dikenalpasti untuk melaksanakan tugas itu, akhirnya gabenor bersetuju supaya seorang ahli Sufi bernama Syeikh ‘Umar Al-Nashahai’ yang tinggal di Musil, Syria melaksanakan tugas itu. Bagaimanapun, syeikh tersebut menolaknya dengan alasan dia berpenyakit yang tidak dapat mengekalkan wudu’ dalam tempoh yang lama.

Setelah dipujuk, syeikh tersebut bersetuju. Dia kemudiannya membuat persediaan dengan yang perlu dan memanjatkan doa kepada Allah agar dia dapat melaksanakan tugas tersebut dengan jayanya. Selain daripada itu dia juga memohon supaya penyakitnya kembali pulih.

Syeikh ‘Umar kemudiannya memanjat dan turun dengan seutas tali untuk memasuki hujrah dengan bantuan cahaya lilin. Apa yang dilihatnya amatlah mengejutkan kerana tampalan plaster simen dari atas bumbung jatuh ke dalam hujrah. Syeikh ‘Umar kemudiannya membersihkan hujrah serta menyapu makam dengan janggutnya. Dengan izin Allah, penyakitnya dikatakan sembuh selepas itu.

Beberapa lama kemudian, Umar bin Abdul Aziz membina hujrah dengan batu granit. Bentuk hujrah itu dibina dengan bentuk segilima kerana mengelak dari berbentuk seperti Kaabah. Menurut Islamic Encylopedia, ketinggian tembok di bahagian selatan adalah kira-kira 12.7 meter dan tembok bahagian barat dianggarkan setinggi 11.5 meter. Manakala ketinggian tembok di bahagian timur dan barat daya adalah setinggi kira-kira 9 meter dan 9.75 meter. Jarak di antara pemisah dengan kawasan makam adalah kira-kira 80 sentimeter.

Seperti yang telah dijelaskan dalam sejarah perluasan Masjidil Nabawi, hujrah tersebut tidak mempunyai kubah sehinggalah pada tahun 678 Hijrah. Sultan Qalawun Al-Salhi kemudiannya membina sebuah kubah yang boleh mengenalpasti kedudukan makam Nabi dengan mudah.

Beberapa tahun kemudian, penambahbaikan dilakukan oleh khalifah-khalifah Islam ke atas kubah tersebut. Pada tahun 1253 Hijrah, kubah tersebut telah diwarnakan dengan cat berwarna hijau oleh Sultan Abdul Hamid. Kubah tersebut kemudiannya dikenali sebagai Kubah Hijau.



[1] Dalam sebutan Bahasa Urdhu

[2] Terkandung di dalam Bayhaqi Shu’ab ul Iman Volume 003: Hadith No. 489

[3] Sumber: Islamic Encyclopedia

[4] http://media.isnet.org/islam/Haekal/Muhammad/Pemakaman2.html#643

[5] “Then he will die and be buried with me, in my grave (i.e. very close to Rasulullah’s grave) On the Day of Qiyaamah, Isa and I will rise from one grave between Abu Bakr and Umar.” Narrated by Ibn Jauzi in Kitaabul Wafaa. [Mishkaat, page 480]

[6] Said dilahirkan pada tahun 642 Hijrah ketika zaman pemerintahan Umar Al Al-Khatab. Beliau sempat hidup bersama-sama Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Thalib, ketika hayat mereka.

[7] Juga disebut Fuqaha, seorang yang amat mahir dengan hukum-hukum ibadat samada secara perseorangan atau menyentuh soal sosial umat Islam.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.