Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,570
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 33: LADANG UNTA DAN MASJID HUDAIBIYAH

BAB 33: LADANG UNTA DAN MASJID HUDAIBIYAH

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya. (Surah Al-Fath, Ayat 18)

Hari ke 9 Isnin 20 Mei 2013. Selepas selesai Solat Subuh berjemaah di Masjidil Haram, semua jemaah kembali ke hotel Mesna Mawaddah. Bersarapan pagi kerana tepat jam 8.30 pagi, kami akan bergerak ke Hudaibiyah.Pada hari ini diadakan aktiviti lawatan ke ladang unta dan menziarahi Masjid Hudaibiyah untuk bermiqad, berniat ihram umrah.

Ladang unta yang terletak kira-kira 30 km dari Makkah memang menjadi tumpuan jemaah. Ustaz Zul berkata “Kita nak pi tengok artis padang pasir.” Memang unta glamour macam artis. Itu belum kira yang mengambil kesempatan bergambar bersama unta di kandang.

Perjalanan dari hotel Mesna Mawaddah diteruskan apabila semua jemaah siap sedia. Ketua kumpulan memastikan semua jemaah yang akan mengikut ke Hudiabiyah telah berada di dalam bas.

Jemaah lelaki semuanya memakai ihram kerana selepas melawat ladang ternakan unta, perjalanan akan diteruskan sehingga ke Masjid Hudaibiyah. Di sana jemaah perlu berniat ihram untuk mengerjakan umrah, samada umrah sunat atau umrah Badal.

“Siapa yang nak buat umrah sunat, niat umrah sunat,” Ustaz Zul mengingatkan Jemaah.

“Siapa yang nak buat umrah untuk ibu atau bapa yang meninggal dunia, niat umrah Badal. Ingat yang telah meninggal dunia saja,” Ustaz Zul sekali lagi mengingatkan niat ihram, mengikut tujuan Umrah.

Kami semua telah memakai ihram bergerak menaiki bas merah itu. Isteri dan anakku, Iris tidak mengikut kami kerana cuaca di padang pasir agak panas, tambahan pula Iris kurang sihat. Jadi untuk mengelakkan sebarang masalah yang mungkin timbul, Iris tidak mengikut ziarah kali ini.Biarlah Iris tinggal di dalam hotel.

Kami berhenti di tepi lebuhraya atau jalan yang dikenali sebagai “Old Mecca Jeddah Road”. Kelihatan banyak bas yang membawa Jemaah berhenti di sana. Ladang unta berkenaan diusahakan oleh Kaum Arab Badwi, yang hanya terdiri daripada kandang-kandang dalam kelompok-kelompok atau kumpulan penternak unta. Ianya bukanlah ladang yang luas yang mempunyai ladang ragut. Unta diletakkan di dalam kandang yang dipagar dengan kayu.

bersambung....

Kami berhenti di sebuah ladang ternakan unta. Beberapa petugas ladang sedang sibuk melayan pelanggan yang terdiri daripada jemaah umrah, berpakaian ihram. Susu unta dijual dengan harga lima puluh riyal bagi 500 mili liter. Rasa susu unta memang lemak berkrim. Kami sempat membeli dua botol susu unta.

Ramai jemaah bergambar dengan unta. Memang unta kelihatan seperti artis dan jemaah seperti peminatnya. Bagi kami yang pernah menunggang unta di Australia, tidaklah merasa pelik melihat kelakuan unta atau merasai bulu unta yang keras dengan tapak tangan.

Dalam sirah Nabi, Unta adalah kenderaan utama bagi para Nabi dan Anbiya’ termasuk Nabi Muhammad SAW. Ketika remaja Nabi menaiki unta membawa dagangan ke Syam (Syria)

Selain daripada itu terdapat beberapa kisah dalam Sirah Nabawi yang mengisahkan tentang unta dan Nabi Muhammad SAW. Salah satunya adalah diceritakan bagaimana seekor unta yang diburu oleh tuannya dengan pedang, kemudian unta itu diselamatkan oleh Baginda.

Dikisahkan bahawa ketika Uqa’il sedang berjalan dengan Nabi Muhammad s.a.w., tiba-tiba ada seekor unta yang melompat dan lari ke hadapan Rasulullah SAW. Unta itu meminta pertolongan kerana hendak dibunuh oleh tuannya. Setelah disiasat didapati unta itu enggan mengikut arahan tuannya kerana tuannya tidak menunaikan solat Isya’. Setelah perjanjian dibuat barulah Unta tersebut rela kembali kepada tuannya.

Rasulullah diceritakan juga mempunyai seekor unta yang dinamakan Qaswa yang bermaksud “boleh berjalan jauh”. Qaswa turut digunakan semasa Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Orang-orang Ansar dikatakan berlumba-lumba menawarkan tempat tinggal kepada Rasulullah untuk berehat. Rasulullah menggunakan kebijaksanaannya dengan membiarkan di mana Qaswa berhenti di situlah Baginda akan berhenti berehat. Akhirnya Qaswa berhenti di sebuah tempat milik dua orang anak yatim bersaudara iaitu Sahl dan Suhail bin ‘Amr.

bersambung....


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.