Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,573
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 22: ZIARAH WIDA’

BAB 22: ZIARAH WIDA’

Rabu adalah hari terakhir berada di bumi Madinah, sebelum bermiqat dan berniat ihram di Masjid Bir ‘Ali dalam perjalanan ke tanah Haram, Makkah.

Pagi itu aku ke Masjidil Nabawi seperti biasa sebelum solat Subuh. Suasana di dataran masjid kelihatan agak sibuk dengan kebanjiran jemaah dari segenap sudut. Sesungguhnya banyak kenangan ketika berada di Masjidil Nabawi. Cubaan dan dugaan menguji kesabaran. Apa yang telah dicita-citakan menjadi kenyataan, menziarahi makam Nabi Muhammad , makam sahabat dan Raudhah.

Pagi itu aku dapat solat Subuh di ruangan bersebelahan Raudhah. Di hadapannya terletak Mimbar Nabi. Selesai Solat kelihatan seorang Syeikh berdiri di atas Mimbar Nabi, yang terletak di sebelah kiri dari kedudukan kami. Syeikh itu kelihatan sedang menyampaikan tazkirah berhubung kelebihan mengunjungi Masjidil Nabawi dan menziarahi Makam Rasulullah serta para sahabat, termasuk perkuburan Baqi’. Ianya disampaikan dalam Bahasa Arab. Juga termasuk larangan perbuatan yang dianggap khurafat ketika menziarahi tempat-tempat bersejarah itu.

Pada mulanya aku berada bersama seorang jemaah dari Arab Saudi, orang tempatan yang membawa anak kecil lelakinya solat Subuh. Jemaah itu boleh berbahasa Inggeris, jadi tidak ada masalah komunikasi antara kami. Dia turut menterjemahkan perlahan-lahan apa yang disampaikan oleh syeikh tersebut. Sedikit sebanyak membantuku memahami isi kandungan tazkirah. Aku bergerak ke arah sekumpulan jemaah yang mengelilingi syeikh tersebut untuk mendengar tazkirah.

Selesai tazkirah, masing-masing bersurai untuk urusan ibadat masing-masing. Tiba-tiba Polis pengawal membuka dinding kepungan yang dipasang bagi mengawal kemasukan jemaah di kawasan Raudhah lebih luas. Kepungan tersebut biasa di pasang sejajar dengan Mihrab Nabi. Aku ditolak masuk ke dalam.

Apabila telah masuk ke dalam dan terlihat karpet berwarna hijau yang aku pijak, rupanya aku telah berada di dalam kawasan Raudhah. Kali ini aku tidak perlu bersusah payah dan berebut-rebut untuk ke Raudah.

Tanpa berusaha, aku telah berada di dalamnya kerana ditolak masuk oleh Polis beserta lain-lain jemaah yang yang mendengar tazkirah dari syeikh di mimbar. Subhanallah, tanpa berebut-rebut seperti biasa, aku dapat masuk.

Seperti biasa apabila berada di dalam Raudah adalah ‘Fasallu Rak’atain”, solat sunat dua rakaat dan berdoa. Kali ini pihak polis mengawal dengan ketat kerana terdapat kebanjiran jemaah masuk ke dalam Raudhah.

Setelah selesai solat sunat dua rakaat, berdoa seperti biasa ke hadrat Allah, agar diberi kejayaan dunia dan akhirat. Anak-anak diberikan ilmu yang manafaat, sihat tubuh badan, hidup diberkati, dan tak lupa doa-doa khusus anak syurga kami, Iris. Setelah selesai berdoa, polis pengawal menepuk bahuku sambil mengarahkan aku beredar keluar di laluan keluar, melalui makam Nabi dan sahabat. Mengucapkan Salam dan sejahtera kemudian terus keluar dari Masjid. Tidak boleh bertahan di hadapan makam kerana ramai Jemaah bersesak-sesak. Perjalanan diteruskan ke suatu tempat bersejarah yang belum dikunjungi, di bahagian dalamnya.

Kereta jenazah kelihatan masuk dan berhenti di tempat jenazah yang telah disediakan. Aku teringat kata-kata Ustaz Zul ketika kami semua baru sampai dan melakukan ziarah, di luar kawasan perkuburan terbesar dan bersejarah

“Kalau siapa yang hendak lihat, bagaimana jenazah disempurnakan di Madinah, boleh terus masuk bersama jenazah selepas solat jenazah, “ kata Ustaz Zul.

“Nanti kita buat pakej umrah untuk mati di Makkah atau Madinah, kita lihat berapa ramai yang sanggup”, kata Ustaz Zul dengan nada berseloroh tapi penuh makna.

Aku melalui tempat itu, mungkin ada jenazah yang baru meninggal dan perlu disembahyangkan. Tempat penerimaan jenazah itu seperti kawasan pejabat, terletak di bahagian yang bersambungan dengan tembok. Berbagai tanda peringatan diletakkan di sana.

Di sebelah kanan adalah tembok yang panjang mengelilingi satu kawasan perkuburan yang luas. Perkuburan di mana sahabat, anak-anak Nabi Muhammad disemadikan. Di sini juga dimakamkan, Khalifah Ar-Rasyidin yang ke -tiga, anak Nabi yang bernama Ibrahim bin Muhammad. Perkuburan itu dinamakan Perkuburan Baqi’.

Dari arah luar pagar kelihatan ramai jemaah mengunjungi perkuburan itu selepas waktu Subuh. Pintu pagar dibuka untuk jemaah berziarah. Dari arah dataran, untuk pergi ke arah pintu pagar perkuburan itu terdapat binaan berbukit yang dibuat dari konkrit.

Jadi apabila menghala ke pintu pagar tersebut, mudah dilihat kebanjiran jemaah dalam dalam kawasan perkuburan itu kerana kedudukannya di sebalik tembok lebih rendah daripada laluan masuk yang lebih tinggi. Kelihatan di sana sini batu-batu nisan bertaburan, di bina laluan khas untuk pengunjung melalui kawasan yang luas itu. Burung-burung merpati terbang bebas ke sana ke mari, di kawasan perkuburan Baqi’

Di sebelah tembok yang menghadap Masjidil Nabawi terdapat polis pengawal yang sedang menghalang seorang jemaah wanita berjubah dan bercadur hitam yang seolah-olah sedang solat mengadap ke dinding, tetapi sebenarnya sedang menangis dan meraung. Entah apa yang dibuat sebenarnya? Mungkin ianya dari Iran. Kerana kebanyakkan jemaah dari Iran melalakukan perkara yang pelik di Masjidil Nabawi serta sekitarnya, menyebabkan polis pengawal terpaksa menghalang perbuatan mereka.

Aku masuk melalui perkuburan Baqi’, berhenti dibeberapa makam. Tiada tanda yang ada untuk mengenalinailpakah yang dimakamkan di sesuatu makam, yang ada petugas berbangsa Arab, yang memakai jubah berkasut kulit, memakai Igal di atas kepala. Mereka ditempatkan di makam yang tertentu dan penting. Mereka akan duduk di atas kerusi, dan akan menerangkan makam yang ada.

Doa yang dianjurkan dibaca ketika ziarah Perkuburan Baqi’ adalah seperti yang bermaksud:

“Assalamualaikum wahai tempat tinggal orang-orang beriman. Sesungguhnya kami akan mengikuti kamu. Kamu adalah orang-orang terdahulu daripada kami. Kami adalah pengikut kamu…”

Di sana-sini ratusan bahkan ribuan batu nisan yang terdiri daripada batu yang kecil untuk kelihatan sebagai sebuah makam, tersusun dalam barisan sepanjang kawasan perkuburan baqi. Batu-batu itu menandakan jumlah mereka yang dimakamkan di situ. Burung-burung merpati terbang bebas ke sana-ke mari dengan bebas mencari rezeki pagi di kawasan perkuburan yang luas itu.

“Ibrahim ….Ibrahim ibnu Rasulullah, “kata petugas di atas kerusi yang ada di sebuah makam yang agak besar, Terdapat kepungan batu membentuk bentuk segiempat panjang, sepertimana yang ada di Malaysia, mempunyai satu batu tanda. Petugas itu hanya berbahasa Arab. Jika ada Jemaah yang tidak faham Bahasa Arab, dia akan memberitahu nama makam berkenaaan.

“Ibrahim….Ibrahim ibnu Rasulullah, “kata petugas itu apabila ditanya oleh seorang jemaah dari Turki, yang bertanya dalam Bahasa Inggeris. Makam yang sedang aku ziarah ketika itu adalah Makam anak Rasulullah yang bernama Ibrahim, meninggal ketika masih kecil.

Aku berjalan lagi sehingga sampai di sebuah makam yang agak besar. Terdapat papan notis besar yang ditulis dalam Bahasa Arab. Batu-batu yang mengelilingi makam tersebut agak besar. Terdapat dua orang petugas yang berada di atas kerusi, melayan pertanyaan orang ramai

“Uthman ibnu Affan Radiallahuanhu, “kata salah seorang petugas yang berada di situ.

Terdapat doa khusus untuk Saidina Uthman yang berbunyi seperti berikut:

Assalamu’alaika Ya Zannuraini Usmanibni Affan…..

Malayzia?” katanya kepadaku

Na’am (Ya’) kataku. Selepas itu dia berbahasa Arab, aku hanya mengangguk walaupun sebenarnya tidak faham sepenuhnya. Sebenarnya petugas itu menerangkan tentang Makam Saidina Uthman ibn Affan. Papan notis tersebut menerangkan tentang usaha Saidina Uthman mengumpulkan naskah Al-Quran, di mana akhirnya naskah yang diusahakan dikenali sebagai Naskah Uthmani.

Mengikut Ustaz Don Daniyal Don Biyajid melalui rancangan “30 minit bersama Ustaz Don”, Resam Uthmani adalah bentuk tulisan Al-Quran yang diakui oleh ulama’ yang disepakati oleh para sahabat Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasallam yang hidup dari zaman Nabi sehinggalah ke zaman Khalifa’ Ar-Rasyidin sehingga Zaman Uthman Ibn Affan, di mana bentuk ini adalah seperti yang ada pada diri Nabi sendiri. Pada zaman Uthman memerintah beberapa sahabat Nabi masih hidup. Di antaranya ialah Ali Ibn Abi Talib, Zaid Ibnu Harisah dan Abdullah Ibnu Umar.

Di Malaysia, mashhaf Al-Quran yang banyak digunakan adalah naskah Resam Uthmani, yang mengandungi tanda-tanda yang memudahkan pembacaan Al-Quran. Di Antara Khalifa Ar-Rasyidin hanya Khalifah Uthman dimakamkan di Baqi’, sementara dua orang Khalifah lagi iatu Abu Bakar dan Umar dimakamkan bersebelahan dengan Makam Rasulullah.

Rugi tidak tahu berbahasa Arab. Hanya mendengar apa sahaja yang dikatakan oleh petugas di makam itu, tanpa dapat membalas dan berbual dengan petugas tersebut.

Perjalanan seterusnya adalah berjalan mengelilingi Masjidil Nabawi. Ini kerana masih banyak bahagian di Masjidil Nabawi yang belum dapat dicapai. Jadi, pagi itu diteruskan dengan berjalan mengelilingi Masjidil Nabawi dari arah sebelah kiri mengadap perkuburan Baqi’.

Dari satu pintu ke satu pintu aku berjalan untuk mendapatkan gambaran sebenar berapakah jumlah pintu yang ada di Masjidil Nabawi. Setiap pintu mempunyai nama dan sejarahnya

Pekerja-pekerja yang sedang membersih kawasan dataran sibuk membersihkan kawasan dataran dengan jentera pembersih, dan ada yang melakukannya dengan secara manual.

Perjalanan diteruskan lagi dari satu pintu ke satu pintu. Apabila terasa letih, aku berhenti mendapatkan air zam-zam yang tersedia di mana-mana. Di sepanjang perjalanan aku bertemu dengan berbagai ragam jemaah.

Di antaranya jemaah dari dari Tabung Haji Malaysia dan lain-lain penyedia perkhidmatan Umrah. Mereka amat mudah dikenali kerana dipasangkan bendera Malaysia pada beg sandang masing-masing.

Akhirnya aku sampai di kawasan sekitar pintu pagar Masjid No.15, tempat atau pintu masuk dan keluar ke hotel Mawaddah Al-Safwa serta kawasan dataran di mana wanita berjubah dan bercadur hitam sibuk berjualan apabila selesai setiap waktu solat fardhu.

Aku kembali ke hotel Mawaddah Al-Safwa kerana perlu bersiap segera sebelum tengahari. Pada jam 10.30 pagi semua bagasi perlu diletakkan di ruang lobi hotel. Pekerja hotel akan mengangkut ke dalam bas merah “Muhammad Ellah El-Maghribi”, bagi perjalanan ke tanah suci Makkah selepas solat Zohor dan makan tengahari.

Pada waktu Zohor, aku dan keluarga ke Masjidil Nabawi. Kami melakukan ziarah wida’. Ziarah wida’ adalah ziarah selamat tinggal, berdoa seboleh-bolehnya di bahagian terletaknya makam Nabi dan sahabat.

Tempat yang paling mudah dilakukan ziarah ini adalah di kawasan dataran Masjid bertepatan dengan Kubah Hijau, yang menandakan kedudukan makam Nabi dan sahabat. Seboleh-bolehnya masuk ke dalam kawasan laluan di hadapan makam, tapi ianya sukar diakukan kerana ketika waktu zohor, ribuan Jammah menziarahi makam Nabi, masuk melalui Babussalam.

Tambahan pula aku bersama beberapa orang anak dan mempunyai anak kecil iaitu anak istimewa, Iris. Jadi pilihan yang mudah adalah membaca doa dan selawat wida’ di kawasan dataran berhadapan Kubah Hijau, tempat kami mula-mula melakukan ziarah pada malam tiba di Madinah, bersama-sama jemaah dalam kumpulan Tiram Travel.

“Baca doa ziarah selamat tinggal, buat di kawasan depan Kubah Hijau.”

“Minta doa supaya ziarah ini bukan ziarah yang terakhir untuk kita semua,” pesan Ustaz Zakaria.

“Minta supaya boleh menziarahi Madinah, makam Nabi berulang-ulang kali, Insya’-Allah”.

Doa ziarah Wida’:

“Ya Allah, janganlah dijadikan ziarah hamba ini di tempat yang mulia ini sebagai ziarah yang penghabisan, kurniakanlah kepada hamba peluang untuk menziarahi kembali ke tempat ini dalam keadaan sihat, jika panjang umur hamba insya Allah hamba akan datang lagi. Jika sampai ajal hamba, maka hamba akan meletakkan kepada nya syahadat dan perjanjian hamba dari hari ini sehingga hari kiamat iaitu hamba bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah, Tuhan yang satu yang tidak ada sekutu bagi-Nya, hamba naik saksi bahawa Nabi Muhammad hamba-Nya dan pesuruh-NyaMaha Suci Engkau, Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan, dan kesejahteraan atas rasul-rasul dan segala puji bagi Tuhan sekalian `alam”.



Apabila tamat ziarah selamat tinggal, kami bergegas ke hotel untuk makan tengahari. Selepas makan tengahari kami perlu mandi sunat ihram, berniat ihram dan memakai ihram, solat sunat ihram serta menjaga pantang-larang ketika berada di dalam ihram. Kemudian kami beramai-ramai menaiki bas dan bergerak menuju ke Makkah, bagi mengerjakan Umrah.

“Ingat yang lelaki pakai kain ihram … kita akan singgah di Masjid Bir ‘Ali, niat Umrah,” pesan Ustaz Zul.

“Kalau tak mau pakai lagi, boleh pakai di Masjid Bir ‘Ali”, tapi takut memakan masa yang lama. Jemaah terlalu ramai, tandas tak boleh tampung. Elok pakai ihram dari hotel,” tambah Ustaz Roslan.

Dalam perjalanan terkenangkan bait-bait Nasyid Laukana Bainana (Andainya KekasihMu (Muhammad) Masih Berada Bersama Kami)

Andainya Kekasih-Mu (Muhammad) masih berada bersama-sama kami,

Akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah,

Dengan haruman baginda sebelum hilangnya

Rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan kekasih-Mu.

Berada berhampirannya jiwa turut menjadi harum

Dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah akan diperkenankan.

Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna.

Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda,

Wahai Tuhan yang Maha Merperkenankan doa hamba.

Hidayahmu kepada alam merata luas

Tanda hampirnya kasih sayang Tuhan Pemberi Hidayah.

Hadis-hadismu ibarat sungai mengalir jernih.

Berada disisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basa.

Kutebus diriku dengan dirimu wahai Kekasihku.

Nabi Muhammad yang mulia lagi asing

Berada berhampiranmu jiwa menjadi harum

Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang,

Tuhan kepada seluruh Alam

Wahai Kekasihku Wahai Muhammad

Wahai pengubat hatiku Wahai yang terpuji

Dirimu memiliki kelebihan yang diakui

Oleh Tuhan yang turut berselawat kepadamu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.