Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,558
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 40: KEMBALI KE BUMI LELUHUR

BAB 40: KEMBALI KE BUMI LELUHUR

Pesawat NAS AIR mendarat dengan selamatnya di LTA Bayan Lepas pada jam 8.00 pagi. Anak syurga kami tidur sepanjang penerbangan itu. Iris hanya bangun bermain-main selepas makan malam, kemudian tidur sehinggalah kami selamat mendarat.

Urusan tuntutan bagasi menjadi lambat dan tergendala kerana ruang yang sesak disamping terdapat berbagai penumpang lain, terutamanya pelancong membuat tuntutan bagasi di situ. Sedangkan jemaah dalam dua kumpulan travel umrah sudah begitu ramai serta sesak dengan bagasi masing-masing.

“Pastikan ambil beg masing-masing, nanti jangan terambil beg orang lain, kelak susah,” Ustaz Zakaria mengingatkan jemaah.

“Yang mana dari kumpulan A, bila dah ambil beg sila berkumpul di sini,” Ustaz Zul selaku mutawif bagi kumpulan A, berpesan supaya berkumpul di tempat yang telah ditetapkan.

“Yang mana dari kumpulan B, ikut Ustaz Zakaria!” Ustaz Zul berpesan kepada ahli jemaah dari kumpulan B.

“Tujuan kita berkumpul ini untuk pastikan setiap kumpulan cukup ahlinya, sebelum kita berpisah buat sementara, kita nak ambil kesempatan untuk mengucapkan selamat kembali ke tanahair dengan selamatnya,” Ustaz Zul memberi penjelasan.

“Tuan-tuan dan puan-puan, saya bagi pihak mutawif bagi Tiram Travel, Ustaz Zakaria dan Ustaz Roslan mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kerana memilih Tiram Travel, untuk mengerjakan umrah dan ziarah,” Ustaz Zul merakamkan penghargaan ini dengan menggunakan pembesar suara.

“Nanti jangan lupa air Zam-Zam, tunjukkan passport tuan-tuan, seorang satu kotak, “ Ustaz Zul memang suka berpesan mengingatkan jemaah.

“Kami mutawif ingin memohon maaf, jika ada sebarang kesilapan sepanjang saya dan rakan-rakan mengendalikan perjalanan tuan-tuan dan puan-puan ke tanah suci,” Ustaz Zakaria menyambung.

“Kami harap akan berjumpa lagi di lain masa dan di lain ketika dengan Tiram Travel, balas Ustaz Zul.

Ustaz Zul menambah sambil diperhatikan oleh Ustaz Zakaria “Jangan lost contact pula. Hubungi rakan-rakan kalau ada yang nak buat kenduri atau nak kahwin ka, Insya-Allah kami sampai.”

“Nanti semua boleh dapatkan nombor telefon, boleh lanjutkan pertemuan ini dalam cara yang berbeza,” Ustaz Zakaria menambah apa yang dikatakan oleh Ustaz Zul.

“Yang nak kongsi gambar pun boleh, atau ada yang nak tulis buku merakamkan perjalanan di tanah suci, dialu-alukan,” tambah Ustaz Zul lagi.

Kami seramai 80 orang jemaah dari Tiram Travel kemudiannya mengaminkan doa yang dibacakan oleh Ustaz Zakaria. Mohon supaya selamat dalam perjalanan balik ke rumah masing-masing.

“Saya tau ramai yang menunggu di rumah, kalau yang bawa kereta pandu hati-hati!” pesan Ustaz Zul lagi.

Kemudiannya kami bersalam-salaman dan berpelukan ala ‘Arab’, mengucapkan Salam perpisahan. Semoga berjumpa lagi. Suasana agak sayu kerana kami telah bersama selama 13 hari 12 malam, di dua tanah suci (Haramain), perpisahan tentulah memilukan. Entah bila akan bertemu semula.

Selepas itu masing-masing bersurai. Ada yang dijemput keluarga dan ada yang balik menggunakan perkhidmatan teksi.

Sedar tak sedar jam sudah menunjukkan pukul 2.00 petang. Masing-masing kemudiannya menuju ke kaunter air Zam-Zam. Tuntutan dibuat berdasarkan jumlah passport yang ditunjukkan. Memang benar, jumlahnya sama tetapi kotak yang diterima dalam pelbagai tanda dan label. Tidak mengapa asalkan jumlah botolnya mencukupi, mengikut jumlah passport.

Kami mengambil teksi limosine dan memuatkan segala bagasi dan kotak-kotak berwarna Oren, mengandungi air Zam-Zam. Selepas dua jam perjalanan barulah sampai di kampung kelahiranku. Menyusuri laluan sempit di kaki Gunung Jerai, sehinggalah selamat tiba di rumah. Di sana kenderaanku ditinggalkan. Kami akan berehat sebentar dan seterusnya kembali ke rumah kediaman di Taman Mutiara Naga, Kepala Batas, Kedah.

Sesungguhnya perjalanan ke dua tanah suci iaitu Madinah dan Makkah amatlah mengesankan di jiwa. Berbagai peistiwa samada yang dialami atau didengari terakam dalam perjalanan ini.

Kepulangan kami membawa seutas tasbih yang dihadiahkan oleh seseorang kepadaku di Masjidil Haram, sebelum solat Zohor terakhir dan sebelum Tawaf Wida.

Kemunculan lelaki berjubah putih dengan serban yang rapi secara tiba-tiba di belakangku dan terus menanyakan namaku, masih menjadi misteri. Wajah lelaki itu masih dapat dibayangkan sehingga kini.

Berbagai rakaman kisah misteri telah terakam bagi sesiapa yang mengalaminya di tanah suci. Mungkin ada iktibar yang tersembunyi. Hanya Allah yang maha mengetahui setiap apa yang berlaku. Kita hanya mampu memanjatkan doa memohon perjalanan kita ke tanah suci diberkati dan segala amalan kita diterima. Tidak kira samada ibadah haji atau pun umrah. Semua menginginkan yang terbaik.

Yang baik dijadikan tauladan, manakala yang buruk dijadikan sempadan.

Kata Professor Muhd Kamil “Biar apa pun yang berlaku di tanah suci, ianya sama sekali tidak akan merubah kepercayaan dan keyakinan saya terhadap kekuasaanNya.”

Itu mesej yang aku terima daripada penulis buku “Travelog Haji”. Mesej ini diterima melalui peti mesej (inbox) pada laman Facebook, setelah aku menceritakan beberapa pengalaman di tanah suci kepada Professor Muhd Kamil.

Beliau yang sebelum ini telah memberi pandangan berhubung pertanyaanku mengenai umrah anak kecil, telah menghadiahkan mutiara berharga kepadaku dengan kata-kata yang diungkapkan olehnya.

Sesungguhnya kunjungan ke tanah suci merubah sempadan Iman, itu yang dapat kucatatkan. Di harap apa saja catatan yang ada di dalam buku ini sedikit sebanyak dapat mengungkapkan kisah perjalanan mengerjakan umrah, sedikit sejarah tempat-tempat ziarah dan amalan-amalan dalam mengerjakan ibadat Umrah.

Buku ini bukanlah rujukan yang terbaik bagi panduan mengerjakan umrah. Ia hanyalah catatan kecil tetapi signifikan, mengerjakan umrah bersama keluarga yang disertai oleh seorang anak yang dilahirkan istimewa, seorang kanak-kanak yang mengidap autisma, seorang anak syurga.

Wallahu’aklam.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.