Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,540
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 27: MAKKAH DAN SEJARAHNYA

BAB 27: MAKKAH DAN SEJARAHNYA

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. (Surah Ali Imran, Ayat 96)

Khamis 5 Mei 2013 adalah acara bebas. Tiada jadual yang ditetapkan oleh mutawif. Semua Jemaah bebas bergerak di sekitar Kota Mekah. Bagaimanapun rutin harian tetap solat fardhu di Masjidil Haram, seboleh mungkin dan melakukan tawaf sunat.

Kota Mekah, kota yang sentiasa sibuk dan paling barakah dari mana-mana tempat di muka bumi ini. Ini kerana dua perkara penting yang terdapat di sana iaitu: (i) Terdapat Baitullah atau Kaabah dan (ii) Mekah adalah tempat kelahiran Junjungan Nabi Muhammad SAW.

Sejarah Kaabah berkait dengan Sejarah Nabi Ibrahim A.S. yang membina Kaabah bersama anaknya Nabi Ismail. Juga berkait dengan kisah percintaan Nabi Ibrahim dan Siti Hajar. Bagaimana Siti Hajar ditinggalkan di lembah gersang tanpa penghuni, kemudian air Zam-Zam ditemui dan selepas itu Suku Jurhum mula membuat penempatan, penduduk bertambah.

Nabi Ibrahim kembali kepada anak dan isterinya Siti Hajar, dikatakan selepas 13 tahun. Kemudian Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim membina Baitullah (Kaabah). Beliau berkata kepada anaknya Ismail a.s

"Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan aku satu perkara" Lalu Nabi Ismail a.s berkata: "Lakukanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada kamu" Nabi Ibrahim a.s bertanya: "Adakah kamu akan menolongku?" Nabi Ismail a.s menjawab: "Aku akan menolongmu" Lalu beliau berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan aku supaya membina sebuah rumah (Kaabah) di Mekah, sambil mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang lebih tinggi dari kawasan sekitarnya."

Mengikut sirah Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasallam dilahirkan pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masehi, di suatu tempat yang dinamakan lembah Abi Thalib, dikatakan terletak 200 meter dari Masjidil Haram. Ketika Nabi berhijrah ke Madinah, rumah tersebut ditinggalkan kepada Aqil bin Abi Thalib.

Kemudiannya anak-cucu Aqil mendiami rumah tersebut sehingga rumah tersebut dibeli oleh beberapa orang termasuk Harun Al-Rashid. Harun Al-Rasyid membangunkan sebuah Masjid yang dinamakan Al-Khaizuran. Oleh kerana ianya terletak berhampiran Masjidil Haram, Masjid tersebut dirobohkan oleh Syaikh Abbas Qatthan, wali Kota Makkah pada tahun 1370 Hijrah atau 1950 Masihi, dan didirikan sebuah perpustakaan.

Ketika melakukan ibadah Sa’i boleh melihat tapak bangunan yang sedang diubahsuai sebuah perpustakaan yang dinamakan sebagai ‘Perpustakaan Makkah” atau “Maktabah Makkah Al Mukarromah”. Ia terletak di sebelah timur Safa dan Marwah. Kawasan itu adalah kawasan larangan, dan tidak dibuka kepada Jemaah walaupun di musim haji.

Ini mungkin bagi mengelakkan amalan-amalan khurafat yang mungkin dilakukan oleh jemaah. Perkara ini amatlah dilarang. Sebuah papantanda besar diletakkan di situ yang bertulis “Tidak dibenarkan dan tidak ada dalam dalil dalam Islam untuk menjadikan perpustakaan atau tempat kelahiran Nabi untuk mencari berkat. Tidak ada dalil dalam Islam menjadikan gedung perpustakaan ini sebagai tempat ibadah. Rasa cinta kepada Nabi hendaknya dilakukan dengan melaksanakan sunnahnya."

Kesempatan yang ada diambil untuk berjalan-jalan di sekitar Kota Makkah. Aku menemani isteriku mengunjungi pusat jualan yang terletak di kompleks perniagaan sekitar kota Makkah. Mencari barang keperluan dan hadiah untuk dibawa pulang seperti jubah dan pakaian kanak-kanak. Isteriku mendapatkan beberapa helai jubah kanak-kanak dan jubah dewasa untuk dihadiahkan kepada saudara-mara di tanahair.

Hampir semua peniaga yang kami kunjungi di kompleks Safwa Tower itu menegur dan cuba beramah mesra dengan anak istimewa kami, Iris. Namun mereka gagal untuk bermesra. Iris akan menarik-narik tangannya ketika dipegang dan memanjatku.

Mereka yang melihat keadaan iris, ada yang faham ada yang kurang faham dengan perangai Iris. Bagi yang faham akan berkata kepadaku “Sabra, U’du ni Insya-Allah.” Yang bermaksud Sabar, berdoalah! Insya-Allah.

Ladaika ibna khasah,” kata seorang penjual di sebuah gerai tekstil yang bermaksud, kamu ada seorang anak istimewa.

Azan Asar berkumandang dari Masjidil Haram, aku kemudiannya cepat-cepat meninggalkan isteri dan anak-anakku di Safwa Tower, aku perlu bersegera ke masjid untuk solat Asar berjemaah. Insya-Allah sebanyak 100 ribu ganjaran pahala menanti di sana.


Selesai solat aku bergegas mendapatkan isteri dan anak-anakku di Safwa Tower, kemudiannya Iris ku gendong di belakang dan kami berjalan balik ke hotel penginapan. Sekali lagi perlu melalui jalan yang berdebu serta berbatu kasar kerana di sepanjang jalan menuju ke hotel, kerja-kerja merobohkan bangunan sedang giat dijalankan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.