Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,545
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 20: KISAH PERANG UHUD

BAB 20: KISAH PERANG UHUD

Aku cuba membayangkan saat-saat pertempuran yang berlaku di Uhud pada ketika peperangan. Nukilan ini aku kongsikan untuk tatapan semua, bagaimana rentetan peristiwa yang membawa kepada peperangan Uhud.

Perang Badar telah dimenangi oleh kaum muslimin. Ramai pemuka-pemuka Quraisy telah tewas di tangan panglima-panglima muslimin. Namun Abu Sufian bin Harb dan pengikutnya terselamat. Mereka yang terselamat kemudian berjanji dengan Abu Sufian untuk memerangi Nabi Muhammad dan kaum Muslimin di Madinah.

"Kita perlu gunakan segala harta tuan untuk memerangi Muhammad,” seorang ketua Kabilah memberi cadangan.

"Demi Latta dan Uzza, aku bersedia mengorbankan hartaku untuk memerangi Muhammad dan pengikutnya. Dendam kematian saudaraku, Bani Abd-Dar di tangan Hamzah mesti dilunaskan," Abu Sufian bercakap kepada ketua kabilah dengan penuh harapan.

"Kita akan memerangi Muhammad dan pengikutnya sehingga tiada lagi yang mengikut Muhammad di bumi ini," Abu Sufian berkata dengan dendam penuh di dada.

Kaum musyrikin menghimpunkan bala tentera, kuda dan unta untuk persiapan perang. Seramai lebih 3000 orang tentera telah disiapkan. Ditambah dengan 200 ekor kuda serta 300 ekor unta sebagai rencana untuk melancarkan perang.

Khalid Ibnu Walid dilantik mengetuai pasukan berkuda, manakala Talha Ibnu Abi Talha mengetuai pasukan tentera yang dilengkapi dengan 700 tentera memakai baju besi. Hindun, isteri Abu Sufian bertindak meniup semangat tentera musyrikin.

"Ayuh semua jangan ada yang tertinggal. Kita perang habis-habisan. Mereka telah membunuh bapa-bapa kita!"

Rancangan persiapan perang kaum musyrikin telah diketahui oleh Abbas Ibnu Abdul Mutalib. Abbas adalah bapa saudara Nabi, beliau amat sayangkan Nabi. Ketika itu Abbas belum lagi memeluk Islam.

Abbas kemudiannya mengutus surat memaklumkan persiapan perang yang akan dilancarkan pada bila-bila masa. Surat itu dibawa oleh seorang lelaki dari Kabilah Ghiffar, di sampaikan kepada Rasulullah serta dibacakan oleh Ubai Ibnu Kaab.

Rasululullah kemudiannya memaklumkan kepada kaum muslimin Madinah selepas Solat Asar di Masjid.

Perang Uhud berlaku pada bulan Ramadhan .Perang meragut banyak nyawa. Di Bukit Uhud menyaksikan pemuka-pemuka Musyrikin Quraisy bertindak liar dan ganas. Khalid Ibn Walid dan anak Abu Jahal, Ikrimah meratah bagaikan harimau yang lapar.

"Kita bunuh semua, jangan biarkan siapa pun yang tinggal hidup," seru Khalid dengan bengisnya.

"Ayuh... ayuh semua jangan biarkan Muhammad hidup!" Ikrimah mengambil tempat di kedudukan yang strategik.

Perang berlaku dengan sungguh hebat. Keadaan di Bukit Uhud seolah-olah gelap dengan debu bertebaran di udara, dari pergerakan kuda-kuda dan pahlawan di kedua-dua belah pihak.

Serangan demi serangan berlaku. Tikaman dengan pedang, tombak serta pisau bersilih ganti. Masing-masing perlu mempertahankan diri, dari terbunuh. Perlu membunuh sebelum dibunuh musuh.

Hamzah bin Abdul Mutalib, seorang pahlawan berkarisma dari kaum Muslimin, lahir dalam tahun hampir sama dengan Rasulullah, seorang yang cekap menunggang kuda dan memanah telah dipertanggungjawab mengetuai perang itu. Asadullah (Singa Allah) berjuang berhabis-habisan sehingga titisan darah terakhir.

Sebelum perang berlangsung, Hindon yang bapanya Utbah telah terbunuh dalam peperangan Badar, menyimpan dendam kesumat terhadap Hamzah bin Abdul Mutalib. Hamzah mesti dibunuh dengan apa cara sekalipun.

"Kita perlukan seorang yang cekap untuk melepaskan tombak ke dada Hamzah,” Hindun berkata kepada suaminya, Abu Sufian.

"Ada, kita ada seorang yang bagus di kalangan kita, yang cekap bermain tombak,” jelas Abu Sufian.

Abu Sufian kemudiannya menghantar wakil berjumpa Jubair Ibnu Muthim untuk berbincang sesuatu.

"Washyi ibu Harb, tuanmu memanggilmu, ada tugas untukmu," pesan seorang orang suruhan Hindon binti Utbah kepada Wahsyi, seorang hamba berketurunan Habsyi.

Wahsyi juga adalah hamba kepada Jubair Ibnu Muthim, seorang pemuka kafir Quraisy. Hindun dan Jubair masing-masing menaruh dendam untuk membalas dendam kematian keluarga mereka dalam Perang Badar. Jubair berdendam dengan Hamzah kerana membunuh bapa saudaranya dalam Perang Badar.

Wahsyi bergegas ke rumah kawan tuannya, Hindun.

"Ya Puan, saya datang," bersegera Wahsyi mengadap kawan tuannya.

"Aku mahu engkau melaksanakan tugas yang penting untukku," Hindun menjelaskan tujuan Wahsyi dipanggil.

"Ada apa Puan?" Wahsyi bertanya sambil menundukkan kepalanya.

"Aku ada tugas untukmu. Jika kamu membunuh musuhku, ganjaran besar untukmu menanti, “Hindun memancing keinginan Wahsyi untuk lebih tahu tujuannya dipanggil.

"Aku tahu, tuan Jubair juga telah berpesan kepadaku,” jelas Wahsyi.

"Apa yang dipesan untukmu?" Hindun berkata kerana ingin tahu.

Wahsyi bergerak sedikit menghampiri Hindon dan membisikkan sesuatu. Bisikan itu membuat Hindun mengangguk tanda faham.

"Bagus...bagus,” balas Hindun.

"Aku bersedia memerdekakanmu dan menyerahkan seluruh hartaku kepadamu dengan satu syarat," Hindun menambah tawaran.

"Apa syaratnya?" Wahsyi berminat dengan tawaran itu.

Hindun pun berkata "Hendaklah kamu membunuh Hamzah, bapa saudara Muhammad dengan tombak."

Sejak hari itu Wahsyi membeli sebatang tombak dan berlatih setiap hari. Sasarannya adalah dada Hamzah Ibnu Abdul Mutalib. Dia berlatih bagi menambahkan kemahirannya.

Sebenarnya ketika kaum Musyrikin sedang bersiap sedia melakukan serangan terhadap kaum Muslimin, Jubair Ibnu Muthim telah memanggil hambanya yang bernama Wahsyi.

"Jika engkau dapat membunuh Hamzah, aku akan memerdekakan kamu," Jubair menaruh tawaran yang tinggi kepada Wahsyi.

Serangan bermula. Kaum Muslimin yang dipimpin oleh Nabi Muhammad serta dibantu oleh Hamzah Ibnu Abdul Mutalib serta Ali Ibnu Abu Talib berbaris di kaki Bukit Uhud. Seorang pemuda bernama Abdullah dilantik oleh Nabi Muhammad untuk mengetuai pasukan pemanah di puncak Uhud.

Perang dimulakan dengan satu lawan satu dan kemudiannya diikuti dengan pertempuran terbuka. Hamzah dapat memenggal leher seramai tujuh orang pembawa bendera Quraisy yang mengenderai unta, sedangkan Hamzah hanya berjalan kaki di medan peperangan.

Hamzah bertempur dengan penuh membara dengan penuh gagah berani. Mengikut riwayat Hamzah telah tahu bahawa dirinya akan gugur dalam peperangan itu. Nabi Muhammad telah memaklumkan kepadanya . Pada malam akan berlakunya Perang Uhud Nabi telah mendapat tahu bahawa bapa saudaranya akan gugur syahid.

Pasukan musyrikin mengalami kekalahan dan terus lari bercempera menyelamatkan diri. Tentera Muslimin dari kalangan pasukan pemanah yang berada di atas puncak bukit, lupa pesan Nabi Muhammad. Mereka meninggalkan posisi sebagai pasukan pemanah serta turun memungut harta rampasan perang yang ditinggalkan di lembah Uhud. Serangan balas dari kaum Musyrikin menyebabkan mereka yang sedang memungut harta kucar-kacir.

Wahsyi yang diberikan tugas besar terus mengintai peluang yang ada untuk merobek dada Hamzah dengan tombak yang tersedia.

Pertempuran berlaku dengan sungguh hebat, Hamzah diriwayatkan dapat membunuh seramai 31 orang tentera kafir Quraisy. Akhirnya tersingkap baju besi yang melindunginya ketika memenggal kepala Siba' Ibnu Abdul Uzza. Ketika itu, Wahsyi yang sedang bersembunyi di balik pokok melepaskan tombak tepat menusuk dari arah belakang hingga menembusi pusat.

Hamzah cuba mengejar Wahsyi yang berselindung di sebalik pokok, tapi darah yang mengalir dari tubuhnya menjadikannya tidak bermaya, lalu gugur ke bumi.

Ketika itu Hindun yang menyimpan dendam kesumat mengambil peluang yang tersedia. Telinga dan hidung Hamzah dipotong. Kemudian dada Hamzah dibelah dengan belati yang ada ditangannya. Dia cuba memamah jantung dan hati Hamzah yang masih bergerak-gerak. Namun dia gagal berbuat demikian. Mengikut Imam Bukhari seramai 70 orang Quraisy terbunuh dalam Perang Badar dan 70 lagi menjadi tawanan perang. Seramai 14 orang tentera muslimin gugur syahid.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.