Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,581
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 17: DON’T USE CAMERA….SALAM….SALAM

BAB 17: DON’T USE CAMERA….SALAM….SALAM

Hari ke-tiga berada di bumi Madinah.

Selesai makan tengahari di Hotel Mawaddah As-safwa yang disediakan pada jam 12.30 tengahari, kami berehat sebentar di hotel sebelum bergerak semula ke Masjidil Nabawi bagi menunaikan solat Zohor pada jam 1.30 tengahari waktu tempatan. Tinggal di bumi Madinah yang terlalu dekat dengan tempat-tempat sejarah terutama Masjidil Nabawi, memang rugi tidak melakukan ziarah dan beritikaf di dalam masjid.

Sementelah amat hampir dengan makam Rasulullah dan para sahabat, membuatkan rasa ingin sentiasa berada di dalam Masjidil Nabawi, melakukan iktikaf, membaca Quran dan lain-lain ibadat sunat. Yang paling utama ialah dapat menziarahi makam Rasullah , Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, apabila selesai waktu Solat fardhu.

Kerana ketika itu sudah menjadi kebiasaan para jemaah dari seluruh pelusuk dunia akan bersesak-sesak dan berbaris melintasi makam sambil mengucapkan salam dan berdoa. Jika mahu boleh diulang kembali dengan memasuki Babussalam (Pintu Salam), sebanyak yang mungkin. Kerana peluang berada di tanah haram Madinah, bukan selalu diperolehi oleh sesiapa pun.

Anakku Iris tinggal bersama ibunya di hotel penginapan. Manakala Syafiqah dan Iman mengikut Mak Cik yang tinggal di bilik bersebelahan dengan kami. Ibu mereka, Haida masih tidak boleh menunaikan Solat kerana masih uzur.

Telah menjadi rezeki Iris, untuk dijaga oleh ibunya sendiri. Jika tidak, mungkin Syafiqah dan Iman perlu mengambilalih tugas menjaga Iris kerana ibunya perlu ke Masjidil Nabawi. Ini adalah sebab musabab yang tidak diprogramkan. Semuanya adalah ketentuan Allah di bumi tanah haram Madinah.

Seperti biasa aku dan anakku Syauqi bergerak ke Masjidil Nabawi untuk menunaikan solat Zohor. Kami tiba lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di Babussalam. Hari itu seolah-olah terdapat kebanjiran jemaah dari pelusuk dunia yang datang setelah mengerjakan umrah di Makkah.

Selain daripada itu terdapat jemaah yang akan meninggalkan Madinah bagi mengerjakan umrah di Makkah. Mereka boleh dilihat dari pakaian Ihram yang dipakai. Biasanya jemaah akan bersolat musafir di Masjidil Nabawi sebelum bertolak ke Makkah. Samada melakukan solat Qasar atau solat Jama’ Taqdim bagi waktu Zohor dan Asar.

Mereka perlu segera bertolak ke Makkah kerana perjalanan seterusnya akan mengambil masa selama tujuh jam dengan menaiki bas. Jemaah yang memakai ihram akan singgah di Masjid Bir Ali yang terletak sejauh tujuh kilometer dari sempadan tanah haram Makkah untuk berniat umrah dan melakukan solat Sunat Ihram.

Kami masuk melalui Pintu Salam (Babussalam). Ketika itu ramai yang sedang bersesak-sesak di kawasan Mihrab Uthmani. Ada yang sedang tidur mungkin kerana keletihan, dan ada yang melakukan amal ibadat. Setelah masuk seperti biasa kami berniat iktikaf di dalam masjid dan mendapat barisan di bahagian belakang, jauh daripada Mihrab Hanafi yang bersebelahan dengan tempat muazzin mengalunkan azan.

Azan Zohor dilaungkan, suasana sunyi sepi seketika. Azan dilaungkan dari atas platform mengadap ke Mimbar Nabi. Beberapa Syeikh yang bertugas kelihatan berada di atas platform tersebut. Sekali lagi, laungan azan itu adalah laungan azan yang paling merdu pernah didengar, Masya’Allah. Tabarakallah. Kemudian semua jemaah menunaikan solat Zohor apabila iqamah dialunkan.

Selesai solat Zohor, kami membaca Al-Quran. Al Quran banyak disediakan di atas rak-rak khas di ruangan solat. Al-Quran disusun cantik pada rak-rak yang terdapat pada tiang-tiang masjid dan rak-rak khas yang ada pada dinding masjid. Selain daripada itu terdapat juga rak-rak penyimpanan Al-Quran di ruang-ruang solat.

Bagi penyimpanan Al-Quran pada tiang-tiang, Kitab suci itu disusun mengelilingi beberapa tiang utama di dalam masjid. Untuk mendapatkan Al-Quran tidaklah susah walaupun kita berada jauh dari rak penyimpanan Al- Quran. Kita boleh memohon pertolongan dengan memberi isyarat kepada jemaah yang lain yang berada berdekatan dengan rak. Kebanyakkan mereka bersedia membantu kerana apa sahaja amalan baik digandakan pahalanya di Masjidil Nabawi.

Oleh itu, terdapat jemaah yang sukarela membantu di tempat-tempat pengedaran air Zam-Zam. Ada yang menolong mengambil dan menuangkan air Zam-Zam kepada jemaah, dan ada yang membantu mengedarkan roti serta kurma kepada para Jemaah setelah selesai solat. Roti dan kurma itu biasanya diletakkan di hadapan saf, di ruang-ruang tertentu di dalam masjid.

Setelah keadaan reda di kawasan itu, kami bergerak ke hadapan makam dari kawasan tempat solat di hadapan Mimbar Nabi. Walaupun telah reda, masih ramai jemaah bersesak-sesak tetapi tidaklah sepertimana ketika selesai waktu Zohor. Terdapat ruang yang kelihatan lengang di bahagian hadapan laluan makam mengadap ke dinding masjid mengikut arah kiblat.

Kawasan itu adalah kawasan yang tidak dibenarkan berhenti. Biasa ditempatkan polis pengawal yang mengawal aliran jemaah di hadapan makam Nabi. Aku dan Syauqi mengambil kesempatan mengeluarkan telefon berkamera dan merakamkan aliran perjalanan jemaah di hadapan makam. Rakaman itu dilakukan hampir 20 minit sebelum dihalang oleh anggota polis pengawal yang bertugas.

Setelah kembali ke hotel, melalui rakaman video itu, kelihatan berbagai ragam jemaah ketika melintasi kawasan hadapan makam. Ada yang menangis, berdoa, menyapu pagar makam dengan tangan, kain atau baju, sebelum dihalang oleh polis pengawal yang sedang bertugas.

Terdapat juga jemaah yang sempat memujuk polis bergambar ketika bertugas. Kelihatannya seperti orang tempatan, melihatkan dari segi percakapan dan keakraban dia dengan polis bertugas.

Patah-patah perkataan polis dan rakan-rakannya yang sedang berbual boleh difahami kerana aku telah pun berkawan dengan rakan-rakan pelajar dari Arab Saudi, Qatar dan seumpamanya yang membanjiri tempat menuntutku di Tanah Ratu (Queensland), beberapa tahun yang lalu.

Ketika itu kebanyakkan daripada mereka mendapat biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi untuk melanjutkan pelajaran di Australia. Slah Al Saleh, Malik, Suhail dan seumpamanya menjadi rakan-rakan pengajianku. Kami sama-sama bersolat waktu di Tingkat 13, bangunan QUT di Margaret Street, Brisbane. Malik dan rakannya mengusahakan permohonan mendapatkan ruangan solat di Tingkat 13 bangunan itu sebagai Musolla.

Ketika mendengar perbualan polis dan jemaah itu, aku mendapati bahawa ternyata dia adalah rakyat tempatan. Ketika itu juga rasa sesal kerana tidak mendalami Bahasa Arab. Bahasa Al-Quran. Bahasa Arab sangat indah sepertimana indahnya Al-Quran yang diturunkan dalam Bahasa Arab. Bahasa Arab amat penting tertamanya ketika berada di Madinah dan Makkah.

Melihatkan anakku sedang merakamkan pergerakan jemaah, anggota polis yang sedang berbual dengan rakannya itu datang dan berkata “Don’t, don’t use Camera”, dalam telor Arab. “Salam … salam …” dan beberapa perkataan Arab yang tidak difahami oleh kami.

Menggunakan kamera memang amat dilarang di dalam masjid. Bagaimanapun perkembangan teknologi yang menyediakan telefon berkamera atau gadjet-gadjet berkamera, yang mudah dibawa menyebabkan telah menjadi trend di mana sahaja. Melihat para jemaah membuat rakaman video atau mengambil gambar dengan menggunakan telefon bimbit atau tablet adalah perkara biasa, di mana-mana saja pada masa ini.

Sehari sebelumnya, telefon berkamera aku telah dipukul hingga jatuh ketika aku sedang merakamkan suasana jemaah di Makam Jibril dan bahagian belakang makam Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasallam. Ketika itu kami sedang menunggu waktu zohor dan aku cuba untuk memasuki kawasan Raudhah.

La Yu kau ni yahudi yan!” kata seorang Syeikh yang bertugas, yang bermaksud jangan jadi seperti Yahudi.

Syeikh itu kemudiannya membaca beberapa hadith dan menghuraikannya di dalam Bahasa Arab. Syarahan dan nasihatnya ditumpukan kepada semua jemaah yang sedang leka dan menggunakan kamera di dalam masjid.

Ini kerana pada zaman ini sudah menjadi kemestian jemaah menggunakan kamera di mana sahaja, di ruang solat dan lain-lain tempat di dalam dan sekitar masjid. Mereka akan merakamkan suasana di dalam masjid, di luar masjid dan sebagainya. Kegilaan menggunakan kamera sekarang berlaku hampir di seluruh dunia.

Samalah seperti di Malaysia, jemaah dan pengunjung dari luar negara yang datang ke Masjid Putrajaya akan merakamkan kehadiran mereka di sana. Apatah lagi kita yang berpeluang berada di tanah haram. Merakamkan detik-detik berada di sini, berkongsi gambar dan video di laman media sosial dan sebagainya.

Bahkan mulai musim haji tahun 2013, pihak Tabung Haji menyediakan laman Facebookdan Twittersesuai dengan perkembangan teknologi, bagi membolehkan jemaah yang mahir menggunakan gadjet-gadjet seperti telefon pintar dan tablet berkongsi maklumat dengan jemaah yang lain serta saudara-mara di tanahair.

Jika di tahun-tahun 70an dan 80an sehingga 90an, jemaah haji akan mendapatkan ‘Kamera Mekah’ untuk dibawa balik sebagai buah tangan kepada anak-cucu, sebaliknya sekarang mungkin semua jemaah membawa telefon pintar berkamera, Android tablet atau pun iPadke Makkah dan Madinah, atau sepanjang mengerjakan ibadah haji.

“Kamera Makkah” sebenarnya adalah seperti sebuah teropong yang memaparkan slaid-slaid bergambar tanah haram Madinah dan Makkah yang amat popular pada suatu ketika dahulu. Ianya sebenarnya adalah keluaran dari negara China, atau “Made in China”. Pun begitu, ianya tetap dikenali oleh orang Kedah sebagai “Kamera Mekah”. Ketika kami berada di Mekah, kami dapati masih terdapat “Kamera Mekah” itu dijual dalam bentuk dan rekaan terbaru yang lebih moden.

Aku mengesyorkan kepada anakku “Syauqi, kita masuk semula ke dalam Masjid. Kali ini kita ke Raudah.” Kami akan cuba masuk ke Raudah untuk ke sekian kalinya.

“Kali ini kita mesti beriktikaf dalam Raudhah lama-lama. Bukan senang nak dapat peluang macam ini,” aku terus meyakinkan anakku.

Dia akur dengan sarananku. Setelah masuk semula melalui Babussalam, kami terus ke kawasan di mana terletaknya pintu kepungan yang dibuka. Seorang polis menarik aku ke kawasan Raudhah sebelum sempat aku melangkah masuk. Aku dan Syauqi dapat masuk ke Raudhah buat kali kedua.

Ruang yang ada di dalam Raudhah hanya cukup-cukup untuk mengerjakan solat sunat kerana ramai jemaah bertumpu di situ. Ada yang bersujud lama-lama tidak bangun-bangun. Terlalu lama, mungkin untuk mengelak diarah keluar oleh polis yang mengawal. Kesempatan yang ada seperti biasa harus diambil dengan menunaikan solat sunat dua rakaat dan berdoa semahunya. Sepertimana masuk ke Raudhah kali pertama, begitu jugalah kesempatan yang ada sebelum waktu Asar digunakan sepenuhnya. Berdoa dan berdoa di Raudah.

Fasallu rak’atain.”

Fasallu rak’atain.”

Fasallu rak’atain.”

Suara pengawal keselamatan yang mengawal menyuruh jemaah menunaikan solat sunat dua rakaat ketika di dalam Raudhah, sambil mengarahkan jemaah lain yang berada di luar kawasan masuk ke dalam kawasan Raudhah. Jika telah selesai solat dua rakaat, jemaah tidak boleh menunggu lama-lama kerana pengawal keselamatanyang mengawal akan mengarahkan jemaah bergerak ke hadapan dan meninggalkan kawasan Raudhah, kerana ramai lagi jemaah yang akan masuk.

Dalam tempoh hampir 30 minit berada di Raudhah dan ketika sedang asyik memanjatkan doa, belakangku ditolak oleh seseorang. Seorang jemaah warga tua, kelihatannya seperti dari India atau Pakistan jika melihatkan dari segi pakaian kurta dan serban yang dipakainya. Dia menolak dan mengatakan sesuatu kepadaku.

Aku tidak memahami apa yang dikatakannya tetapi bolehlah diagak bahawa jemaah itu meminta ruang di tempat aku sedang berada. Jemaah itu sebelum ini kelihatan telah melanggar beberapa orang jemaah di hadapannya untuk ke depan, telah berada betul-betul di belakangku, di tepi sebelah kanan.

Dengan menjinjing beg kain dan seolah-olah meminta ruang di situ. Seorang jemaah kelihatannya warga emas yang berada di kiriku memberi isyarat supaya aku menetap di tempat di mana kami duduk sekarang, tidak perlu berganjak dari kedudukan sekarang.

Di bahagian tengah kelihatan ramai jemaah yang telah duduk terlalu lama. Mereka berada jauh dari pengawal keselamatan yang mengawal. Mereka mungkin sudah terlalu lama berada di situ, mungkin menunggu masuk waktu Asar, kerana ketika itu 40 minit lagi azan Asar akan dilaungkan. Jemaah warga emas yang menjinjing berg tersebut tidak terus bergerak ke hadapan, kerana mungkin dia tidak berpeluang mendapat ruang kepadanya untuk bergerak ke hadapan.

Jemaah tua yang menjinjing beg itu terus menolak belakangku meminta ruang. Kemudian dia bersuara dengan agak keras, mungkin marah agaknya. Adalah sukar untuk kami bergerak ke hadapan melainkan terus keluar dari kawasan Raudhah. Ini kerana jika kelihatan tercari-cari tempat di dalam Raudhah sambil berdiri, polis pengawal akan mengarahkan supaya keluar dari kawasan Raudhah.

Aku terpaksa akur dengan kemahuan jemaah tua yang datang menghampiriku itu. Aku kemudiannya bergerak ke hadapan sedikit dari kedudukan asalku. Syauqi turut mengikutku dari belakang. Kemudian, jemaah tua itu mengambil kedudukanku, di sebelahnya seorang jemaah menggeleng-gelengkan kepala mungkin hairan dengan tindakan jemaah tua tadi, kepada kami.

Setelah bergerak di hadapan, tiada ruang langsung diberikan oleh jemaah yang telah lama berada di ruang hadapan kami. Aku terpaksa berdiri sambil tercari-cari tempat untuk bersolat dan terus kekal di dalam ka. Seperti dijangka polis pengawal memanggil dan mengarahkan kami keluar dari Raudah melalui laluan tepi Mihrab Nabi. Kami akhirnya keluar melalui makam Nabi dan seterusnya melalui pintu hadapan.

Banyak yang perlu diambil perhatian. Perlu banyak bersabar dengan karenah jemaah. Ini semua adalah ketentuan dan cubaan yang perlu dihadapi. Mendapat sesuatu yang terbaik bukanlah sesuatu yang mudah. Bayangkan banyak lagi halangan dan cubaan ketika melakukan ibadah umrah di Makkah nanti.

Kami masuk semula ke dalam masjid melalui Pintu Mesir dan menunaikan solat Asar apabila masuk waktunya. Di ruang solat melalui pintu ini disediakan sedikit makanan seperti kurma dan roti. Maka air Zam-Zam yang tersedia di tempatnya diteguk bersama sedikit kurma bagi mengisi perut.

Kesal kerana tidak dapat bersolat Asar dalam kawasan Raudhah. Bagaimanapun rasa puas juga kerana dapat berada di dalam kawasan Raudhah bagi kali ke-dua untuk bersolat sunat dan berdoa.

Dapat memohon keampunan atas dosa-dosa yang telah lalu. Selain dari itu juga turut memohon keampunan kepada kedua-dua ibu dan bapa. Untuk kali kedua dapat masuk ke Raudhah dalam tempoh yang agak lama, hampir 40 minit.

Bersyukur, itu yang mampu dizahirkan. Bersyukur kerana membandingkan dengan nasib ramai jemaah yang beberapa kali mencuba untuk masuk tetapi tidak berjaya. Tempoh empat hari berada di Masjidil Nabawi terlalu singkat bagi mereka yang uzur, kerana adakalanya terpaksa berebut-rebut di hadapan makam Nabi dan Raudhah.

Kami seterusnya cepat-cepat kembali ke hotel. Aku terkenangkan anak syurga kami, Iris yang telah ditinggalkan bersama ibunya sejak sebelum waktu Zohor hinggalah ke waktu Asar.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.