Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,570
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 2: JIKA ALLAH MENOLONG, TELUR JADI INTAN

BAB 2: JIKA ALLAH MENOLONG, TELUR JADI INTAN

Allahummarzuqna Halalan Tayyiba Warzuqna Min Hai Sula Yah Tasib

Ya Allah Limpahkan Rezeki Yang Halal Dan Rezeki Yang Baik Buat Kami. Dan Kurniakanlah Rezeki Ini Daripada Sumber-Sumber Yang Datangnya Dari Arah Yang Tidak Kami Sangka-Sangka Rezeki.

Aku terkenangkan apa yang diceritakan dalam koleksi cerpen karangan Allahyarham Rahim Kajai dalam cerpen "Kalau Allah menolong telur pun jadi Intan". Kisah ini telah dimuatkan dalam sebuah koleksi yang dikenali sebagai “Satira Kajai"[1]. Mungkin inilah yang juga berlaku kepada kami sekeluarga.

Tempoh untuk pergi ke tanah suci hanya tinggal kira-kira 15 hari saja lagi. Banyak persiapan perlu dilakukan. Banyak persediaan juga perlu diambilkira kerana kami akan melaksanakan umrah satu keluarga, beserta empat orang anak termasuk yang bongsu, yang bernama Iris. Iris adalah seorang anak yang dilahirkan istimewa, yang juga dikenali sebagai “Anak Syurga”.

Aku menefon ibuku di kampung dan memberitahu khabar gembira bahawa aku telah mendaftar sebagai jemaah umrah. Semuanya berjalan lancar, ibuku turut bersyukur kerana kami sekeluarga akan mengunjungi Baitullah dalam masa yang terdekat itu.

Memang sudah ribuan, malahan mungkin jutaan jemaah telah mengunjungi Baitullah untuk mengerjakan umrah. Bahkan ramai yang telah berulangkali melakukannya. Mengerjakan umrah bagi kali pertama adalah wajib. Manakala umrah yang berikutnya menjadi umrah sunat.

Pun begitu, para ulama' berselisih pendapat. Pendapat yang pertama mengatakan bahawa umrah adalah wajib dan menjadi fardhu ke atas mereka yang di wajibkan haji. Pendapat ini disandarkan kepada Umar, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Thabit, Abdullah bin Umar, Aisyah, Saied bin Musaiyyib, Saied bin Jubair, Ato’, Towuss, Mujahid, Asyafie, Ahmad dan al-Bukhary. Imam al-Bukhary telah menamakan satu bab dalam kitabnya dengan nama “Wajib Umrah Dan Kelebihannya”. Pendapat ini mengambil dalil dari Ayat ke 196 Surah Al-Baqarah yang bermaksud "Dan tunaikanlah Haji dan Umrah kerana Allah.”

Pendapat kedua pula mengatakan umrah adalah tidak wajib, pendapat ini disandarkan kepada Abdullah bin Masu’d, Malik, Abu Hanifah, Abu Saur, Syafie dalam pendapatnya yang lama dan ianya menjadi pilihan kepada Ibnu Taimiyyah, Sonaani serta Syaukani.

Dalil kepada pendapat ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah. Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud "Nabiditanya tentang umrah adakah ianya wajib? Jawab Nabi: tidak, tetapi mengerjakan umrah itu adalah baik.”[2]

Bagaimanapun, para ulama' lebih bersependapat mengenai pandangan yang pertama iaitu umrah (haji kecil) adalah wajib bagi kali pertama jika seseorang itu mampu. Umrah kali kedua dan seterusnya menjadi umrah sunat. Inilah juga yang disampaikan oleh mutawif[3] umrah.

Tapi bagi kami yang hanya mempunyai kira-kira 15 hari dari tarikh berlepas, adalah sesuatu yang masih sukar dipercayai. Ini kerana mengunjungi tanah suci untuk mengerjakan umrah atau haji bukanlah seperti kunjungan biasa ke mana-mana tempat lain di dalam dunia ini.

Menghadirkan diri di hadapan Baitullah tidak sama seperti mengunjunjungi kotaraya-kotaraya dunia seperti Brisbane, Sydney, Tokyo atau Bangkok yang telah aku kunjungi ketika bertugas. Mengunjungi Masjidil Nabawi di mana terletaknya Makam Rasulullah juga tidak sama dengan melawat mana-mana tempat di seluruh dunia ini.

Tidak semua orang diberi peluang mengunjungi Baitullah, menjejakkan kaki ke bumi tanah haram. Bahkan, mereka yang sudah mempunyai sumber kewangan yang mencukupi pun tidak akan sampai di sana kerana semuanya adalah di atas jemputan dan izin Allah pencipta seluruh alam.

Aku masih teringat satu kisah yang disampaikan oleh Ustaz Othman, ketika menyampaikan kuliah Maghrib di surau, di tempat kediamanku dan keluarga iaitu di Taman Mutiara Naga, Kepala Batas, Kedah.

Kisah bagaimana sekumpulan jemaah haji dari Malaysia yang akan ke tanah suci atas jemputan Raja Arab Saudi. Mereka adalah kumpulan ahli perniagaan yang telah berjaya atau disebut “Ahli Korporat”. Mereka mendapat jemputan khas dari Raja Arab Saudi bagi mengerjakan haji di suatu musim haji.

Kata mereka “Kami tidak perlu bersusah payah dan tak perlu lama di Makkah." Ustaz Othman memulakan kisah benar dalam pengetahuannya.

Kata mereka lagi “Kami dijemput oleh Raja Saudi, semua telah disediakan." jelas Ustaz Othman untuk menggambarkan bahawa kumpulan itu langsung tidak bimbang tetapi lebih yakin dapat melakukan ibadah wukuf di Padang Arafah, pada musim haji tahun itu.

Dipendekkan kisah, sekumpulan lima orang berkenaan berlepas ke tanah suci sehari sebelum Hari Wukuf, yang jatuh pada 10 Zulhijjah setiap tahun mengikut kalendar Hijrah. Dari Malaysia kumpulan tersebut dapat berlepas dengan jayanya kerana semua telah tersedia, dari segi urusan imigresen, visa haji dan apa saja yang berkaitan.

Bagaimanapun, apabila mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA)[4] Jeddah, kumpulan ini menghadapi masalah berkaitan dengan urusan Imigresen. Mereka perlu menghadapi pemeriksaan yang ketat dan dalam keadaan bersesak-sesak, tambahan pula jumlah jemaah yang semakin bertambah di lapangan terbang.

Ini kerana masih terdapat jemaah yang lain yang tiba pada hari yang sama. Dengan masalah itu mereka tersadai di lapangan terbang dan akhirnya gagal untuk melaksanakan ibadat wukuf di Padang Arafah.

Tuntasnya, mereka tidak dapat melaksanakan Rukun Islam yang ke lima itu kerana berdasarkan rukun haji, tanpa wukuf di Padang Arafah, haji dikira tidak sah.

Daripada kisah ini menunjukkan bahawa walaupun Raja Arab Saudi yang menjemput, tetapi jika Allah tidak menyeru dan menjemput, siapa pun tidak akan berjaya menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah.

Oleh sebab itu, apabila seseorang bakal menjejakkan kaki ke tanah suci, dia juga dikatakan sebagai “sudah sampai seru”. Bagaimanapun, kadang-kadang mereka yang naif akan berkata “belum sampai seru” sebagai alasan, jika masih belum bersedia ke tanah suci beserta alasan-alasan yang lain.

Selain daripada persiapan dari segi fizikal dan spiritual, beberapa persiapan mengenai dokumen adalah amat diperlukan bagi urusan visa umrah seperti berikut:

• Satu salinan kad pengenalan.

• Salinan surat nikah yang disahkan oleh Pejabat Agama.

Empat keping gambar bersaiz passport.

• Salinan surat lahir bagi kanak-kanak dan disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

• Passport antarabangsa Malaysia.

Sebagai tambahan kad suntikan kesihatan yang diperlukan oleh Kementerian Haji dan Wakaf, Arab Saudi perlu disediakan. Kad ini diperolehi apabila suntikan kesihatan dilakukan di mana-mana klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan suntikan kesihatan.

Bayaran perkhidmatan beserta kad suntikan akan dikenakan bergantung kepada klinik tertentu. Kami membayar sebanyak RM50.00 setiap orang untuk mendapatkan kad suntikan, di Klinik Mutiara yang terletak di Jalan Sultanah, Alor setar.



[1] Satira Kajai adalah kumpulan cerpen Abdul Rahim Kajai (1894-1943) yang diselenggarakan oleh Hashim Awang dan diterbitkan oleh Penerbitan Fajar Bakti, 1985.

[2] Hadith ini dipegang oleh Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki berhubung dengan umrah sebagai sunat yang dituntut.

[3] Mengikut daftar ejaan DBP, Mutawif ialah pemandu orang yg mengerjakan tawaf (biasanya dirujuk juga kepada mereka yg membuat kebajikan kepada orang yg mengerja­kan haji).

[4] Selepas ini akan disebut sebagai LTA yang bermaksud Lapangan Terbang Antarabangsa

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.