Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,581
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 26: SUBUH PERTAMA DI MASJIDIL HARAM

BAB 26: SUBUH PERTAMA DI MASJIDIL HARAM

Setelah beberapa jam berehat di hotel kedengaran azan subuh dilaungkan. Suara azan sungguh syahdu mengejutkan penduduk Makkah dan jemaah bangun beribadat. Azan ini adalah azan pertama, azan kedua yang dilaungkan adalah azan Subuh. Selepas azan Subuh dilaungkan ada kira-kira 20 minit sebelum iqamah, menandakan bermulanya solat Subuh. Dalam masa 20 minit, dalam musim umrah masih boleh sampai di Dataran Haram, di hadapan Baitullah.

Sana-sini otot terasa sakit, juga kelihatan pecah di tumit, mungkin terkena serpihan batu di jalanan atau bahan pencuci yang digunakan di Dataran Haram dan laluan Sa’i. Badan juga terasa sakit, mungkin terperanjat dengan “exercise” malam tadi.

Bagaimanapun keterujaan tawaran 100,000 kali gandaan pahala serta laungan azan yang mendayu, menolak segala kesakitan yang dialami. Kesakitan sedikit sahaja, bukan keuzuran sehingga tidak mampu berjalan.

Aku dan Syauqi bergegas ke Masjidil Haram, melalui jalan yang sama, berdebu dan berbatu, melalui kompleks perniagaan safwa, dan akhirnya masuk ke dataran masjid terusnya melalui pintu No.1 King Abdul Aziz. Masih ada enam hari untuk menjelajah Masjidil Haram.

Di hadapan kompleks perniagaan laluan menuju Masjidil Haram, disediakan gulungan plastic pada mesin. Plastik boleh ditarik sepertimana menarik plastik untuk membungkus sayur-sayuran dan ikan di supermarket. Plastik itu akan digunakan untuk memasukkan selipar, dan dibawa bungkusan itu ke dalam ruang solat.

Jika tidak mendapatkan plastik di jalanan, boleh mendapatkannya di dalam ruang solat, di tepi dinding bahagian dalam Masjid. Tanpa plastik ini sukar untuk menyimpan selipar, yang amat penting dalam perjalanan di jalan serta di kawasan masjid. Bayangkan berjuta selipar, kasut dipakai oleh jemaah. Mustahil untuk mengenali selipar jika diletak di luar masjid. Sedangkan ketika bersolat Jumaat di Malaysia pun kadang-kadang pulang berkaki ayam, kerana selipar hilang atau salah ambil oleh jemaah yang lain.

Kami hanya berhenti di kawasan dalam masjid, tetapi tidak sempat ke Dataran Haram, di mana letaknya Kaabah, kerana polis pengawal telah mula menyekat kebanjiran jemaah ke Dataran Haram. Lagi pun masih belum mahir untuk segera ke sana kerana masih tercari-cari laluan tangga arah bawah menuju ke Dataran Haram.

Kali pertama bersolat Subuh berjemaah di Masjidill Haram. Solat diimamkan oleh Syeikh Abd Rahman As-Sudais, yang merupakan Imam Besar Masjidil Haram. Suara yang biasa didengar ketika siaran langsung dari Masjidil Haram di TV atau radio di tanahair, juga rakaman video di laman Youtube.

Sungguh teruja solat Subuh pertama. Sungguh tidak percaya bersolat di Masjidil Haram. Solat Subuh tanpa bacaan Qunut, seperti yang diamalkan oleh ‘Kaum Muda’ dan kebanyakkan masjid di Negeri Perlis dengan bacaan surah lazim dari Al-Quran. Ayat yang dibaca adalah dari Surah Al-Baqarah mengenai Masjidil Haram.

Selesai solat Subuh seperti biasa berdoa. Sama seperti di Raudhah di Masjidil Nabawi, Madinah, air mata mengalir panas tanpa dipaksa. Indahnya perasaan keluarnya air mata keinsafan dan kekesalan. Professor Muhammad Kamil Ibrahim dalam bukunya “Travelog Haji”, menyatakan Raudah adalah tempat, mudahnya keluar air mata keinsafan, sama seperti di Masjidil Haram.

Selesai solat, ada jemaah yang bergerak menuju ke Dataran Haram untuk melakukan tawaf sunat, ada yang membaca Al-Quran serta melakukan ibadat. Terdapat juga yang ke anjung ruang solat mengadap ke dataran Haram, melihat Kaabah.

Ada juga yang merebahkan badan berehat seketika sebelum waktu isyra’ tiba. Isyra’ adalah waktu naik matahari dan disunatkan solat sunat dua rakaat, solat isyra’. Ustaz Zainul Asri dalam ceramahnya mengatakan bahawa orang kedah menyebut ‘menyorok’ iaitu makan di awal pagi, mengambil sempena waktu isyra’.

Aku terlelap seketika kerana keletihan. Kemudian diteruskan dengan Solat Isyra’ dan Solat Dhuha. Kemudian solat sunat taubat, solat hajat dan membaca Al-Quran.

Kembali ke Hotel penginapan setelah jam 10.30 pagi. Sarapan telah disediakan, menuju ke dewan makan di tingkat 2 untuk menjamu selera.

“Semalam ada orang hilang, jumpa dak,” Ustaz Zul bertanya sambil berseloroh.

Jumpa, depa tunggu di Hotel”.

“Saya minta depa tunggu di Hotel. Takkan kemana-mana, habis-habis balik ke Hotel”.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.