Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,549
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 15: KISAH BEBERAPA SAHABAT DI MADINAH

BAB 15: KISAH BEBERAPA SAHABAT DI MADINAH

Ketika di Madinah aku terkenangkan kisah-kisah para sahabat Nabi Muhammad yang mulia. Sahabat-sahabat ini amat kasih kepada Nabi Muhammad . Tapi bukan macam kebanyakkan kita yang menyanjungi Nabi Muhammad .

Kita hanya ingat Nabi Muhammad ketika Maulud Nabi, atau ketika Isra’ Mikraj, Maal Hijrah atau ketika khatib di mimbar berkata “Innallah hawamala ikatahu sollu…” Ketika sambutan hari kebesaran itu, kebanyakkan masjid akan mengisahkan tentang Nabi Muhammad melalui ceramah-ceramah khas.

Di antara sahabat Nabi Muhammad adalah seperti berikut:

Abu Bakar As-Sidik

Ketika Nabi telah wafat Saidina Abu Bakar mendapatkan Aishah, anaknya bertanyakan tentang apa lagi perkara yang Nabi buat tapi dia tidak buat.

“Wahai Aishah, apa lagi yang Muhammad amal aku tidak amal?” kata Abu Bakar bertanyakan anaknya Aishah tentang amalan Nabi.

Ayahku, ayah telah amalkan apa yang Muhammad buat,” kata Aishah.

“Tidak, ada lagi amalan yang Muhammad buat, tapi akau tidak lakukan,”balas Abu Bakar.

“Ada satu yang diamalkan oleh Muhammad. Di hujung pekan Madinah ini ada seorang lelaki Yahudi yang telah uzur. Yahudi ini selalu menghina dan mengutuk Muhammad. Setiap selepas Subuh, Muhammad akan menyuapkan makanan kepada lelaki Yahudi itu. Itulah perkara yang ayah belum buat,”balas Aishah.

Mengikut sirah, walaupun Nabi Muhammad dihina, Nabi tetap menyuapkan makanan kepada Yahudi, serta menunjukkan kebaikan kepada lelaki Yahudi itu.

Keesokan harinya, selepas Subuh, Abu Bakarmembawa makanan dan menyuapkan makanan kepada Yahudi itu. Tiba-tiba lelaki Yahudi itu meludah makanan yang disuap.

“Pak Cik mengapa meluahkan makanan yang saya suap?” Tanya Abu Bakar kepada leleki Yahudi itu.

“Kamu bukanlah lelaki yang menyuapkan makanan ke mulut aku,”kata lelaki itu.

“Tidak, sayalah lelaki itu,” terang Abu Bakar .

Tidak, bukan kamu. Kamu suapkan makanan kepadaku tidak seperti lelaki itu. Dia berhemah,” jawab lelaki itu.

“Kamu bukan lelaki yang suapkan makanan kepadaku. Di manakah lelaki itu?” tambah lelaki Yahudi sambil mengemukakan soalan yang berat untuk dijawab oleh Abu Bakar.

Untuk menyebut bahawa Nabi Muhammad telah wafat, Abu Bakar tidak sampai hati. Begitu kasihnya kepada Rasulullah . Dia sebak apabila hendak menyebut Muhammad kerana kasihnya kepada Rasulullah .

Siapakah lelaki itu? Di manakah lelaki itu?”

“Dialah Muhammad Rasulullah,” kata Abu Bakar dengan sebak.

Di manakah dia?”

“Dia sudah meninggal dunia,”

Maka menangislah lelaki Yahudi itu. Setelah menyedari siapa sebenarnya lelaki yang selalu menyuapkan makanan kepadanya setiap hari. Walaupun dihina dan dikutuk serta dicacinya. Yahudi itu juga tidak tahu bahawa Muhammad telah meninggal dunia.

Apakah lelaki yang aku hina dan kutuk itu, Muhammad?”

“Ya, lelaki itu adalah Muhammad Rasulullah,”tegas Abu Bakar.

“Wahai orang muda, ajarkan aku ajaran Muhammad. Aku hendak beriman dengannya,”

Ini menunjukkan bahawa sesiapa yang mengamalkan sunah Nabi Muhammad ,walaupun Nabi Muhammad sudah meninggal dunia, dapat membuka pintu hidayah hingga menyebabkan seorang Yahudi beriman dengan Allah.

Bilai bin Rabah

Saidina Bilal adalah seorang muazzin (bilal) di Masjidil Nabawi ketika Nabi masih hidup. Bilal juga pernah disiksa oleh kafir Quraisy[1] di awal penyebaran Islam. Setelah Nabi Muhammad wafat, Bilal enggan mengalunkan lagi azan di Masjidil Nabawi.

Sewaktu Saidina Abu Bakar memujuk Bilal untuk mengalunkan azan, Bilal tetap enggan. Dia berkata “Aku bukanlah muazzin untuk kamu, tapi muazzin Rasulullah.”

Bilal tetap enggan mengalunkan azan, walaupun dipujuk oleh sahabat-sahabat Nabi sehinggalah Bilal berpindah ke Damsyik. Ketika zaman Khalifah Umar Al-Khattab, Bilal datang ke Madinah. Dia datang ke Madinah setelah dikatakan bertemu Nabi melalui mimpinya[2].

Saidina Umar tetap memujuk Bilal untuk mengalunkan azan.

“Wahai Bilal, lama kami tidak mendengar engkau mengalunkan azan,” kata Saidina Umar sambil memujuk.

Bilal tetap menjawab “Aku bukanlah muazzin kamu, aku adalah muazzin Rasulullah.”

Kemudian datang pula dua orang cucu Rasulullah, Saidina Hassan dan Hussin yang juga anak kepada Saidina Ali. Mereka memujuk Bilal. Bila terpandangkan wajah kedua-dua cucu Rasulullah , Bilal terharu kerana diriwayatkan wajah kedua-dua cucu Rasulullah itu seiras baginda[3].

Setelah dipujuk berkali-kali, Bilal pun berkata “Jika kamu berdua bukan cucu Rasulullah, aku tidak akan penuhi permintaan kamu.”

Bilal kemudiannya naik ke atas menara di masjid dan mengalunkan azan. Di permulaan azannya, semua sahabat menangis apabila Bilal mengalunkan azan. Mereka terkenangkan saat-saat ketika Rasulullah masih hidup[4].

Bagaimanapun, alunan azannya tersekat-sekat ketika hendak menyebut “Muhammad” dalam kalimah azannya itu. Dia menangis semahu-mahunya, hingga didengari oleh semua sahabat yang ada.

“Wahai Bilal kenapa engkau menangis? Engkau tidak menghabiskan azanmu. Engkau menangis?” kata Saidina Umar.

“Wahai Amirul Mukminin, aku kasihkan Rasulullah. Aku tidak mampu menyebut nama Rasulullah. Ketika aku azan, aku lihat seolah-olah bunyi tapak kaki Rasulullah keluar dari rumahnya datang ke Masjidil Nabawi,” kata Bilal sambil menangis.

“Aku seperti nampak Rasulullah datang untuk bersolat bersama kita,” tambah Bilal lagi yang membuatkan Saidina Umar dan sahabat yang ada turut menangis.

Apakah kita pernah menangis kerana rindukan Rasulullah? Kita tidak berkesempatan hidup bersama Rasulullah , tapi kita boleh mendapat syafaat jika kita mengamalkan sunah-sunah Rasulullah , Insya-Allah.

Jabir bin Abdullah

Saidina Jabir adalah sahabat Rasulullah yang memainkan peranan penting dalam Perang Khandak. Ketika itu Nabi Muhammad bersama-sama sahabat menggali parit sejauh 30 kilometer, menggunakan tenaga tulang empat kerat dan sedikit peralatan.

Dalam penggalian parit itu, sahabat menghadapi masalah kerana terdapat batu yang besar yang sukar dipecahkan. Rasulullah kemudiannya pergi ke tempat itu bersama Jabir. Nabi Muhammad kemudiannya berjaya memecahkan ketulan batu tersebut. Ketika Nabi Muhammad memukul batu, Abdullah bin Jabir terlihat ada dua ketul batu diikat pada perut Nabi. Jabir pun bertanya.

“Ya Rasulullah, kenapa tuan mengikat dua ketul batu diperutmu?”

Jawab Nabi “Wahai Jabir, aku sudah tidak menjamah makanan selama tiga hari.”[5]

Jabir kemudian berlari balik ke rumahnya untuk mendapatkan apa-apa makanan untuk Nabi Muhammad . Dia bertanya kepada isterinya, tentang makanan yang ada.

“Wahai isteriku, apa makanan yang kita ada?” kata Jabir.

“Ada dua keping roti di dalam bakul, untuk kita berdua,”balas isterinya.

“Di belakang rumah ada seekor kambing[6],”tambah isterinya.

Jabir kemudiannya menyembelih kambing tersebut dan meminta isterinya memasak kambing tersebut.

“Wahai isteriku, masak sedap-sedap. Rasulullah sudah tidak menjamah makanan tiga hari,”

Jabir kemudiannya apabila sampai ke tempat Nabi Muhammad , beliau berkata secara berbisik kepada Nabi Muhammad .

“Ya Rasulullah, ada dua keping roti dan kambing yang sedang dimasak oleh isteriku. Selepas solat Zohor, silalah ke rumah saya,”

Tiba-tiba, Nabi Muhammad naik ke suatu tempat yang tinggi dan menjemput semua yang sedang menggali parit itu ke rumah Jabir untuk jamuan roti dan kambing. Jabir agak terperanjat dengan keadaan itu. Dia kemudiannya berlari dengan cemas ke rumahnya, mendapatkan isterinya.

“Wahai isteriku, nanti ramai akan datang untuk jamuan di rumah kita. Apa kita hendak buat? Kita hanya ada dua keping roti dan sedikit kambing,”berkata Jabir dengan cemasnya.

Jawab isterinya dengan tenang “Wahai suamiku, janganlah engkau bimbang, Muhammad itu Rasulullah. Allah akan bantu dia.”

Kata-kata isterinya seolah-olah satu suntikan semangat kepadanya. Bagaimanapun dia tetap risau dengan kedatangan lebih kurang seribu orang tetamu. Sungguh hebat peranan yang dimainkan oleh seorang isteri ketika itu, untuk menenangkan suami.

Beberapa lama selepas itu, tepat masa yang dijanjikan. Rasulullah dan tetamu pun datang. Jabir semakin cemas. Rasulullahkemudiannya mengedarkan roti dan kambing yang ada kepada semua tetamu yang hadir. Semua yang hadir dapat menjamu selera dengan makanan yang ada.

Kemudian Rasulullah pun menjamah hidangan dan berkata “Wahai Jabir tuan rumah, sekarang engkau dan aku pula menjamah hidangan.”

Apabila Jabir membuka bekas roti dan kambing, dia hairan melihat dua keping roti di dalam bekas masih ada seolah-olah langsung tidak diusik. Begitu juga dengan kambing di dalam bekas hidangan juga tidak berkurang.

Jabir kemudiannya mendapatkan Rasulullah lalu duduk berhadapan dengan Rasulullah. Dalam sirah diceritakan Jabir duduk sehingga lututnya bertemu lutut Nabi Muhammad . Kemudian dengan penuh terharu Jabir meluahkan perasaannya kepada Nabi.

Jabir berkata “Kalau bukti yang begini aku tidak yakin lagi denganmu, siapalah aku ya Rasulullah?”

Begitulah serba sedikit kisah sahabat-sahabat yang mencintai Nabi Muhammad . Mereka semua telah dijanjikan syurga Allah. Berbagai kisah mengenai sikap dan peranan yang dimainkan oleh sahabat-sahabat yang lain seperti yang diceritakan dalam kitab “Qisasul Anbiya” seperti Abu Ayub Al-Ansari, Salman Al-Farisi, Umar Al-Khatab dan lain-lain sahabat.



[1]Bilal adalah hamba kepada sahabat Abu Jahal, Umaiyyah bin Khalaf. Apabila diketahui bahawa Bilal telah mengikut ajaran Nabi Muhammad, Bilal telah disiksa dengan kejam, seketul batu yang besar diletakkan di atas dadanya. Dia di jemur di atas padang pasir yang panas terik, supaya dia kembali ke agama asalnya. Tapi, dia tetap beriman dengan ajaran Nabi.

[2] Suatu ketika Bilal bermimpi bertemu Rasulullah. Dalam mimpinya dikatakan Nabi bertanya kepadanya mengapa Bilal tidak menziarahi makam Nabi di Madinah

[3] Selain daripada Hassan dan Hussin yang mempunyai wajah seiras Rasulullah adalah Abu Sufian bin Harith. Abu Sufian adalah saudara susu Nabi ketika Nabi menyusu dengan Hamilatul Saadiah, ibu susu baginda.

[4] Bilal bin Rabah pun memulakan azan dengan menyebut الله أكبر الله أكبر , seluruh penduduk terdiam . Kali kedua Bilal sebut الله أكبر الله أكبر , bercucuran air mata para sahabat :') . mereka merasakan seperti Rasulullah ada bersama mereka ketika tu . Bilal kemudiannya menyebut أشهد أن لا إ له إلا الله , dan bila Bilal sebut أشهد أن محمدا رسول الله , Beliau terus terduduk dan menangis teresak esak . Para sahabat datang kepada Bilal , tanya kenapa dangan beliau . Beliau berkata "aku amat merindui Rasulullah . Dan sewaktu aku menyebut أشهد أن محمدا رسول الله aku seperti ternampak nampak Rasulullah sedang datang untuk solat bersama sama kita" .

[5] Mengikut Dr. ‘Aidh Bin Abdullah Al-Qarni, Perang Ahzab (Khandak) adalah perang yang paling getir kerana Kota Madinah dikepung oleh Pasukan Bersekutu yang terdiri daripada berbagai bangsa Arab yang kafir serta bangsa Yahudi dari Bani Ghathfan dan Bani Quraidzah. Mereka mengsytiharkan perang terhadap kaum muslimin di Madinah. Bekalan makanan dan seumpamanya terputus untuk penduduk Madinah.

[6] Ada yang menceritakan seekor unta atau ayam. Tetapi sejarahwan bersepakat bahawa haiwan yang dimilik oleh Jabir bin Abdullah ketika itu adalah kambing

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.