Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,578
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 3: KURSUS DAN PERSIAPAN

BAB 3: KURSUS DAN PERSIAPAN

Oleh kerana kesuntukan masa yang tinggal hanya kira-kira 15 hari sahaja sebelum berlepas ke tanah suci, aku perlu menguruskan masa bagi membuat persiapan fizikal dan menghadiri kursus yang disediakan oleh Tiram Travel. Dari jadual yang diperolehi kami mungkin sempat mengikuti sebanyak dua siri kursus yang dianjurkan di Muslimah Secret, Amanjaya, Sungai Petani.

Aku sendiri memang kesuntukan masa. Perjalanan setiap minggu dari Putrajaya ke Alor Setar dan seterusnya ke rumah kediamanku di Taman Mutiara Naga, Kepala Batas mengambil masa kira-kira hampir sepuluh jam, jika dihitung masa berlepas dari Putrajaya Sentral menaiki Bas E1 RapidKL yang berhenti di hadapan pasaraya Maidin di tengah jantung ibu kota, dicampur dengan masa menunggu bas Plusliner atau Transnasionaluntuk berlepas dari Pudu Sentral yang kemudiannya berhenti di Hentian Duta, sebelum meneruskan perjalanan hingga sampai di Terminal Shahab Perdana, Alor Setar.

Kebiasaannya, aku hanya sampai pada jam 5.30 pagi setiap kali balik ke Kedah dari Putrajaya. Habis waktu malamku pada setiap hari Jumaat di dalam perjalanan. Inilah rutin mingguanku setelah ditukarkan dari Langkawi ke Putrajaya untk meneruskan khidmat di Bahagian Perancangan Korporat, Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya.

Aku perlu membuat persiapan perlu. Membeli apa-apa keperluan yang patut untuk mengerjakan umrah, seperti membeli jubah yang akan dipakai ketika tidak berihram, kain ihram, jubah untuk isteri, anak-anak dan lain-lain peralatan yang perlu sebagai persediaan. Dengan masa yang amat terhad aku perlu membuat persiapan bekalan kepada diriku serta ahli keluargaku seramai enam orang kesemuanya.

Isteri dan anak-anakku tinggal di Kedah dan hujung minggu menjadi masa kualiti bagiku dan keluarga. Hujung minggu menjadi masa yang berbaki untuk kami menjenguk kedai persiapan barang haji. Sebuah kedai yang bernama “Umrah”, telah wujud sejak sekian lama di Jalan Ibrahim, Alor Setar menjadi tumpuan jemaah haji, juga kami kunjungi untuk mendapatkan bekalan yang perlu. Hampir semua bekalan pakaian telah siap dibeli.

Mengikut pengamatan aku, bukan semua yang terjual perlu dibeli. Kerana jika ke kedai yang menyediakan perlatan dan kelengkapan haji, semua disediakan untuk dibeli dan harganya juga bolehlah tahan. Dari hujung rambut hingga ke kaki barangan keperluan haji dan umrah dijual di situ. Bayangkan jika semuanya hendak dibeli.

Sebagai panduan jika ke kedai kelengkapan haji dan berhasrat untuk mengerjakan umrah, pakaian dan peralatan ini adalah amat mustahak diberi perhatian:

Jubah bagi lelaki yang akan digunakan ketika tidak di dalam ihram umrah di Makkah. Jumlahnya bergantung kepada kesesuaian kerana jubah yang dijual di sekitar Masjidil Nabawi di Madinah lebih murah.

Baju singlet diperlukan sekurang-kurang dua helai setiap seorang. Singlet seperti “T-shirt Pagoda” tetapi mempunyai poket berzip di hadapannya untuk menyimpan wang kertas dan lain-lain benda.

Botol semburan air yang digunakan untuk mengambil wudu’ jika tiada wudu’ atau wudu’ terbatal ketika di Masjidil Haram, Makkah.

Kain ihram. Sekurang-kurangnya dua set perlu dibeli kerana mungkin tidak sempat basuh jika melaksanakan umrah berulangkali.

Pakaian-pakaian bagi wanita, kanak-kanak wanita yang sesuai mengikut keperluan seperti telekung, tudung, jubah dan sebagainya.

Lain-lain keperluan seperti buku doa, tasbih dan sebagainya bolehlah dibeli mengikut keperluan sahaja. Tasbih banyak dijual oleh penjual-penjual di sekitar Masjidil Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram, di Makkah.

Setelah persiapan bekalan pakaian dan peralatan diselesaikan maka langkah yang seterusnya adalah menghadiri kursus bagi bakal jemaah umrah. Maka minggu berkutnya dipenuhi dengan acara menghadiri kursus umrah yang diadakan oleh pihak Tiram Travel di Muslimah Secret, Amanajaya, Sungai Petani.

Kursus yang disediakan ini adalah percuma dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin mengikutinya. Jadi di dalam sesuatu siri kurus tersebut, pesertanya akan terdiri daripada berbagai kategori seperti yang bakal menunaikan umrah, dan mereka yang hanya ingin mendapatkan ilmu sahaja.

Kata Ustaz Zul “Semua persiapan perlu, cuma yang paling penting adalah persiapan hati, hati perlu dibersihkan. Kita nak mengunjungi rumah Allah, hati kena bersih.”

“Ubat nak bersih hati tidak dijual di farmasi, tak boleh guna sabun, fab berbuku, “Ustaz Zul menambah.

Beliau telah ke tanah suci sebanyak 13 kali membimbing jemaah haji dan umrah.

“Apa yang perlu untuk sucikan hati kita? Kalau Sultan jemput makan malam, atau jemput ke istana, bagaimana persiapan kita?” Ustaz Zul melontarkan pertanyaan kepada mereka yang sedang mengikuti kursus itu, dengan membandingkan bagaimana persiapan untuk mengunjungi Baitullah dan jika dijemput oleh sultan.

Satu tamsilan sebenarnya, bagaimana kita perlu bersedia sepenuhnya, menyucikan hati dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah ketika di tanah suci.

“Ubat cuci hati adalah sabra, Hadith Nabi menyebut bahawa sabar itu separuh dari Iman, “ sambung Ustaz Zul.

“Sabar atas apa saja dugaan yang ada di tanah suci nanti. Nanti akan ditolak, ditepis, dipijak bukan sahaja orang lelaki yang perempuan pun kena, tambahan lagi ibu Arab, Pakistan dia lanyak kita macam tu saja, “kata Ustaz Zul menggambarkan suasana mengerjakan umrah terutamanya ketika melakukan ibadat tawaf.

“Lagi … nak sucikan hati kita kena banyak berdoa. Ada doa yang yang perlu diamalkan. Nak amalkan bila? Amalkan sekarang dan sehinggalah habis kerja umrah, “tambah Ustaz Zul. Cara penyampaiannya adalah mudah difahami memang beliau seorang mutawif yang berpengalaman dan berpengetahuan.

Kata Ustaz Zul “, baca doa ini minta Allah tetapkan hati kita semua, tetapkan hati jangan pesongkan ke arah tarikan lain. Hanya menyerahkan diri kepada Allah.”

“Bukan apa, nanti yang lelaki termasuk sayalah, tengok perempuan Arab, Pakistan yang comel-comel masa bertawaf, kalut, silap-silap bukan melakukan tawaf tapi mengikut perempuan Arab,” nasihat Ustaz Zul.

“ Memang … di sana nanti godaan dan cubaan cukup banyak. Kena tahan, “ kata Ustaz Zul, disambut dengan deraian ketawa oleh para bakal jemaah.

Ustaz Zul yang baru dikenali pada kursus itu kelihatan seolah-olah lama dikenali. Bahkan wajahnya bagai pernah dilihat sebelum ini tapi tidak tahu di mana. Apabila berbual dengannya barulah diketahui bahawa beliau pernah bersekolah di sekolah Arab, Guar Chempedak, Pondok Pakya[1] dan seterusnya belajar di Pakistan selama hampir tujuh tahun.

“Saya dulu pun nakal, pernah kerat telinga orang”, kata Ustaz Zul sambil cuba menggambarkan keadaan beliau sebelum menjadi mutawif.

Tapi aku percaya itu hanya selorohnya sahaja, kerana di Kedah tahap “kerat telinga” itu memang ada di zaman dulu dan boleh setaraf dengan kongsi gelap atau mafia.

Kursus yang diikuti itu Insya-Allah mudah difahami jika panduan umrah dibaca terlebih dahulu sebelum berkursus. Berbagai jenis buku panduan dikarang dan dijual di kedai buku. Boleh dipilih dan dibeli mana yang sesuai. Kebiasannya syarikat penyedia perjalanan umrah akan membekalkan buku panduan setelah mendaftar dengan mereka. Buku yang lengkap berkaitan falsafah haji dan umrah termasuk catatan perjalanan juga boleh diperolehi di mana-mana kedai buku yang menjual buku-buku agama.

Kami faham apa yang telah disampaikan. Cuma hatiku terbuku. Satu persoalan masih belum terjawab. Aku akan membawa seoarang anak perempuan berumur tiga tahun. Anakku adalah seorang anak istimewa, seorang anak syurga yang mengidapi autisma.

Dua persoalanku adalah seperti berikut:

Pertama, perlukah aku berniat ihram di miqat untuknya ketika berihram umrah dan membawanya bersama-sama. Apabila berniat ihram umrah, segala pantang larang ihram perlu dijauhkan seperti menanggalkan bulu-bulu di badan termasuk rambut. Jika tidak, akan dikenakan bayaran dam (denda).

Kedua, aku tidak perlu berniat ihram umrah untuk anakku dan umrahnya menjadi umrah sunat. Ini kerana anakku juga tidak tertakluk kepada pantang larang semasa berihram.

Ustaz Zul memberi jawapan yang baik sekali dan mudah difahami. Oleh kerana keadaan anakku yang sukar dikawal di mana perbuatannya yang suka menarik-narik rambut di kepala, lebih baik tidak berniat ihram umrah bagi memudahkan kawalan. Lagi pun anakku belum cukup umur.

Jika aku berniat ihram untuknya maka aku perlu melaksanakan ibadat tawaf untuk diriku terlebih dahulu sebelum melakukan tawaf untuk anaku. Ini akan mengambil masa yang agak lama.



[1] Madrasah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Padang Lumat, Kedah. Siaran Astro ada menyediakan sebuah dokumentari khas pada bulan 19 November 2013, bertajuk “Tragedi Pondok Pak Ya” bagi mengenangkan peristiwa kebakaran yang menyayat hati di sekolah tersebut di mana seramai 27 orang murid telah terkorban pada tahun 1989 dalam satu kebakaran.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.