Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 13- MIERA

Hari pertama di Italia Pasticceria Café – Seperti orang dungu kalau tak kena gaya. Jajaran gadis-gadis cantik, hebat bergaya setia menanti.

Sufie melangkah tenang. Mata-mata yang memandang kehairanan.

“Ada hati nak rampas Corrado. Mimpi agaknya.” Seorang gadis bersuara deras.

Terus juga Sufie melangkah, hatinya berdetik. “Kamu semua boleh hina aku seberapa banyak yang kamu mampu. Tapi tak akan pernah, aku hina diri sendiri. Mungkin aku tak sempurna di mata kamu. Tapi di mata Allah. InsyaAllah aku sempurna, sama seperti kamu semua. “ Sufie berpaling. Seorang gadis berwajah bundar dengan alis lentik sedang merenung geram.

“Subhanallah. Cantik gadis tu. YaAllah. Cantikkanlah hatinya, sebagaimana kau telah cantikkan wajahnya.” Sufie menguntum senyum, namun dijeling gadis itu. Sufie kembali melangkah.

“Hati milik Allah. Bukan boleh paksa-paksa. Nanti bila dah kenal oklah tu. Yang penting aku tak benci orang. Itu lebih dari cukup.” Sufie berhenti di tepi bangku bila melihat seorang gadis.

Seorang gadis berjalan menghampiri. Masih dia ingat wajah itu. Gadis itulah yang berlari kelmarin bersama beg plastik berisi makanan yang sungguh enak. Makanan Itali pertama dirasai. Mulanya dia agak mual, namun sdikit demi sedikit, mual itu bertukar enak. Sehingga menjilat jari.

Senyum riang gadis itu, semakin mengusap hati. Sufie membalas senyuman.

“Hai, kak. Ingat lagi kat saya tak?” Wajah comel itu menyapa.

“Alhamdullilah, masih ingat. Rozita bukan?”

“Kak tahu nama saya? Saya sendiri tak tahu nama kakak.” Kembang hidung gadis itu. Gembira kerana merasakan dirinya popular.

“Panggil saja Kak Sufie.”

“Kak Sufie ambil part timekan?”

“Ya.”

“Kak Sufie kerja kat mana?”

“Kat hospital ni juga.”

Nurse ke?”

“Cikgu. Bertugas di sekolah dalam hospital.”

“Wah! Hebatlah. Saya dulu pun nak jadi cikgu. Tapi tulah terlebih bijak pula. Last-last Jadi krew kat sini.” Rozita ketawa. Mengundang pandangan gadis-gadis di sekitar.

“ InsayALLAH. Dengan izinNya. Mana tahu nanti Rozita jadi cikgu pulak” Sufie senyum kecil. “Kenapa tak dibuka lagi kafe?”

“Itu lah pasal. Selalunya pukul tujuh pagi semua krew dah boleh masuk. Sebab pukul sembilan kafe nak buka. Tapi hari ini lambat pula.”

Sufie melihat jam tangannya. Sedikit berkerut.

“Baru pukul tujuh lebih. Tapi dah ramai customer yang tunggu. Mesti sedap pastri kat kafe ni.”

“Memang betul tu Kak Sufie. Tapi yang paling betul, dia orang duk tunggu Corrado. Saya pun tergila-gilakan dia. Hensemmm.” Rozita pejam mata dan senyum meleret.

Bunyi derap kaki kedengaran. Seorang lelaki bertubuh dempak kelihatan. Bila mendekat, barulah Sufie perasan yang misainya sedang terbuai-buai disisir angin.

“Alamak! Serigala jadian dah mari. Cepat Kak Sufie kita kena tunggu kat depan pintu kafe. Kalau tak nayalah jawabnya.”

Belum sempat Sufie bertanya kenapa. Pantas tangannya ditarik oleh Rozita. Agak payah Sufie mengikut rentaknya. Gadis itu terlalu lincah.

Lelaki dempak itu merenung Sufie bila sahaja sampai di pintu kafe. Lima orang krew yang sedang berdiri diam tanpa kata. Sufie bijak membaca keadaan, serta- merta dia tahu yang lelaki itu adalah seorang yang tegas.

“Pekerja baru?” Lelaki itu bernada tegas.

“Ya! Saya Sufie encik….” Belum sempat diteruskan ayat, sudah dipintas oleh Arturo.

“Saya tak berminat dengan nama awak. Kita lihat berapa jam awak mampu bertahan, sejam, seminit atau sesaat. Selepas itu baru awak beritahu nama.” Sinis nada Arturo.

Tersentak Sufie. Hari pertama sahaja sudah setegas ini, bagaimana pula hari seterusnya. Namun hatinya pandai memujuk.

“Semalan aku mampu bertahan, kenapa tak hari ni? Aku tak akan sekali-kali benarkan diri aku jatuh hanya kerana sikap orang lain.” Sufie senyum. Arturo mengangkat kening. Dia merasakan Sufie sedang mempersenda-sendakannya. Wajah beruang kutub dia menjelma. Krew lain yang sudah masak dengan ekspresi wajah Arturo kecut perut.

“Saya tak suka krew yang biadap. Kalau nak kerja lama, jangan berani persendakan saya. FAHAM!” Arturo mengeraskan suara. Namum masih kelihatan sopan di mata para pelanggan. Memang lelaki yang pandai menukar topeng. Bab berlakon watak baik dialah aktornya. Tapi di belakang pelanggan mulalah dia menyalak macam serigala jadian terlihat bulan.

Sebaik pintu dibuka, semua krew bergegas ke bahagian masing-masing, hanya Sufie yang tercegat. Walaupun shellter sudah dinaikkan, Arturo masih perlu mengunci pintu dari dalam dan mengangtung tanda ‘close’ pada cermin kaca. Menandakan yang kafe itu masih belum beroperasi.

Hati Arturo kembali membara, bila melihat Sufie terpaku.

“Kafe ini tak perlukan patung pameran. Kamu nak kerja atau tidak?” Arturo meradang.

“Ini hari pertama. Saya perlu tunjuk ajar untuk hari pertama.” Sufie bernada lembut.

“Dah takde mulut nak tanya. Takkan nak orang mari jemput buat kerja. Wah… Wah… kamu ini dah macam anak raja sekali aku tengok.” Arturo tidak mahu mangalah.

“Kak Sufie tolong saya saja lah.” Rozita muncul sejurus itu.

“Jangan lupa, salin baju tu. Kita bukan nak buat dinner event sampai nak kena pakai baju macam kelawar. Kafe ini tak perlukan mascot pun.”

“Mari Kak Sufie. Kita pilih uniform.”

Mereka berdua bergerak menuju ke bilik persalinan. Setibanya di situ, Rozita menuju ke sebuah almari kayu. Bila saja dibuka, kelihatan susunan topi koki, baju double breasted dan seluar. Di rak paling bawah pula ada uniform berwarna biru tua dengan belang putih.

“Kak Sufie pakai saiz apa?” Rozita membelek-belek uniform itu.

“Saiz M” Sufie senyum tenang.

“Kak Sufie jangan layan sangat Chef Arturo. Dia tu bukan betul sangat. Habis orang nak dilazerkan. Macam dialah yang paling bagus. Huh….” Rozita bernada meluat.

“Tak apalah. Kak Sufie tak ambil hati pun.”

“Baguslah kalau macam tu.” Rozita senyum lalu menarik keluar sehelai uniformbersaiz M. Senyum terukir di bibir.

“Kak Sufie pergi salin baju kat belakang. Ada bilik persalinan kat sebelah bilik air.”

Sufie mencapai uniform itu dan bergerak ke belakang. Bila sudah disalin dia muncul semula.

“Wah. Sesuai dengan Kak Sufie.”

“Alhamdullilah. Dengan izin ALLAH juga.”

“Jom Kak Sufie. Nanti tak pasal-pasal kena marah. Kita kena kejar masa, semua pastri kena siap dibakar sebelum pukul sembilan pagi. Hari ni mesti terkejar-kejar, semuanya sebab kafe buka lewat.”

Mereka bergegas ke dapur. Bau tepung, mentega, vanilla, kekacang yang dipanggang mengitari suasana sibuk itu. Para krew sedang sibuk di bahagian masing-masing. Arturo masuk sejurus itu.

Ancorastorditi !” Masih tercegat!

“Maaf.” Rozita terkejut, mujurlah dipekup mulut, kalau tidak tentulah perkataan yang bukan-bukan bakal keluar.

“Rozita, ajar budak baru ini, cara serve customers. Saya tak mahu perkara yang bukan-bukan berlaku. tutto deve essere perfetto.”‘Semua mesti sempurna.’

“Baik Chef.” Rozita menghayun langkah, diikuti Sufie. Pagi hari yang tidak dijangka sama sekali oleh gadis albino itu.

Seorang lelaki keluar dari dapur, melihat pada susuk tubuh dan wajahnya serta merta Sufie tahu yang budak itu juga sebaya Rozita. Dia menatang sebuah dulang berisi sfogliatelle. Sambil itu sempat ditenung jarum jam yang sedang berdetik, kemudian ia menjerit kecil dengan wajah semakin cemas.

“Mampus! Dah pukul lapan, matilah kalau tak sempat siapkan tempahan tat buah tu pagi ni.”

Budak lelaki tu makin pantas berjalan, sehingga tidak menyedari bajunya tersangkut pada bucu rak pameran makanan. Apa lagi habis bertaburan sfogliatelle. Bunyi bising dulang yang jatuh menyebabkan Arturo berlari pantas ke ruang utama. Tiba sahaja terus dia menjerit marah. Menyebabkan para krew memanjangkan leher masing-masing, cuba mengambil tahu.

I bancarotta. Che vogliono risparmiare” ‘Bankrup aku. Siapa mahu ganti’ Lelaki berbadan dempak itu masih marah-marah. Sufie geli hati bila melihat misainya yang beralun-alun. Dia agak pelik, kenapalah misai itu tidak dipotong saja.

“Saya potong gaji kamu. Cepat bersih dan sambung kerja. Jangan nak naikkan darah saya pagi-pagi hari.”

Budak lelaki itu tunduk dan mula merendahkan badan, mengutip satu persatu sfogliatelle. Hati Sufei tersentuh. Ringan kaki dihayun. Dia meluru dan turut mengutip sfogliatelle . Kepingan pastri yang nipis dan rangup berderai di lantai. Sufie mengarahkan budak lelaki itu mendapatkan penyapu. Pantas budak itu bangun dan hilang.

Sebaik dia muncul, sfogliatelle sudah habis dikutip oleh Sufie. Kesemua sfogliatelleitu diletakkan kembali dalam dulang. Tanpa dipaksa, Sufie mencapai penyapu dan menyapu sisa-sisa yang bertaburan. Ketekunannya menyebabkan dia hampir terlupa yang Arturo masih tercegat di situ dengan wajah merah marah.

“Kamu ketua chef disini ke?” Arturo bernada tinggi. Muka beruangnya mencemik marah.

Sufie tersentak dan berpaling pantas. “Tidak tuan.”

“Jadi kenapa kamu pandai-pandai tolong dia. Saya tak suruh pun. Kamu ini memang jenis gila kuasa,” tuduh Arturo.

“Menolong orang tak perlu kena suruh. Itu memang tanggunjawab setiap insan.” Sufie bernada lembut dan tenang.

“Kamu nak mengajar saya? Kamu ingat, kamu siapa?” Arturo berang.

“Maaf. Saya tak berniat nak ajar tuan. Itu Cuma pendapat saya saja.” Sufie masih tenang. Tidak terkesan langsung dengan kemarahan Arturo.

Last warning. Jangan suka persendakan saya, nanti saya pecat awak. TAHU!” Arturo mengangkat jari telunjuk, tanda memberi amaran.

“Lagi satu. Jangan panggil saya tuan. Tapi Chef.” Arturo berlalu pergi. Dia merengus marah. Para krew yang memerhati, kembali melakukan kerja mereka semula.

“Maaf sebab saya Kak Sufie kena marah.” Budak lelaki itu berkata dalam. Matanya layu.

“Tak apalah. Bila kita bantu orang, nanti ALLAH akan bantu dan merahmati kita. Bila kita kasihani mereka yang berada di bumi, nanti kita pasti akan dikasihi yang berada di langit. Sudahlah perkara kecil saja.” Sufie senyum.”

“Saya dengar Rozita panggil Akak, Kak Sufie. Boleh ke saya panggil Kak Sufie?” Budak lelaki itu bertanya girang.

“Boleh! Nama adik siapa?”

“Panggil Boy pun ok.” Budak itu menyebut bangga. “Nama betul Adam. Nama Inggeris Boy.”

Sufie senyum lagi. “Adam tu lagi manis. Sama dengan nama Nabi. Tapi Kak Sufie akan panggil Boy, walaupun Kak Sufie lebih suka nama Adam. Tapi, bila Boy teringin nak suruh Kak Sufie panggil Adam beritahu, ya.”

“Tak mungkinlah. Dari kecil lagi orang panggil saya Boy. Dah serasi pun. Sambung kerja dulu Kak Sufie. Tempahan belum siap.”

Cepat-cepat budak lelaki itu ke dapur. Bunyi bising di luar kafe menarik perhatian Sufie dan Rozita. Dia berjalan menghampiri Rozita.

“Kenapa riuh semacam tu?”

“Apa lagi. Corrado punya hal la tu. Hari tu sampai gaduh-gaduh sebab Corrado.”

“La. Sampai macam tu sekali. Playboy ke Corrado tu?” Sufie sedikit ragu.

“Taklah. Corrado tu pendiam sangat. Berat mulut. Tapi dengan Kak Sufie banyak mulut pulak dia. Jangan-jangan dia dah terjatuh hati kot.” Rozita mengusik.

“Issh... Jangan serkap jarang. Nanti tak pasal-pasal jadi artis pula Kak Sufie. Silap hari bulan kena serang dengan buah hati Corrado.” Sufie pula mengusik. Tangannya sedang menyalin air di dalam pasu bunga. Air itu harus ditukar bagi mengelak jentik-jentik.

“Saya berani kerat jari yang dia tu bujang. Tak caya cuba Kak Sufie tanya.” Rozita memberi cadangan.

“Buat apa nak tanya. Tak mahulah sibuk-sibuk hal orang lain. Itukan hal peribadi dia.”

“Bukan menyibuk, Cuma ambil tahu. Kalau bujang, Kak Sufie boleh masuk jarum. Tak ke bestdapat pakwe hensem. Mata hijau, bibir merah, rambut coklat. Badan sasa. Comfirm bahagia.” Rozita meluahkan ketakjubannya kepada Sufie.

“Bahagia tu bila kita selalu rasa bersyukur. Sikit, banyak, sakit, sihat, senang, susah. Semua keadaan bila kita bersyukur, maka bahagia akan singgah. Bahagia ialah bila kita kaya hati dan besar hati.” Lembut sufie berbicara. Rozita terlopong sekejap.

“Tak sangka yek, Kak Sufie pakar motivasilah.” Rozita ketawa laju.

“Bukan pakar motivasi. Cuma berkongsi inspirasi dengan si come lote, Rozita.” Sufie pula ketawa kecil, hampir tidak didengari.

“Masuk akal juga apa yang Kak Sufie kata tu.”

“Dahlah, kita sambung kerja, dah dekat pukul sembilan ni.”

Semakin pantas mereka berkerja. Namun Sufie tidak sepantas Rozita. Ada sesuatu yang tidak kena dengan matanya. Namun diabaikan sahaja.

Kerusi meja diturunkan, alas meja dihampar. Mana yang berdebu, digilap. Bunga-bunga mawar yang layu turut diganti.

Makin menghampiri pukul sembilan pagi, semakin berdebar para krew. Detik masa ibarat pembunuh upahan yang menyelinap dalam gelap, memerhati tajam dan menikam tanpa sedar. Tahu-tahu sahaja sudah terguling tanpa nyawa. Sudah beberapa kali Boy keluar bersama kotak-kotak comel. Bilangannya hampir mencecah lima ratus kotak. Sufie agak teruja.

“Pastri apa kat dalam kotak tu? Comellah kotak-kotak tu.” Sufie teruja.

“Tat buah. Paling laku dan paling terkenal kat area KL.”

“Banyaknya. Ada feast ke?”

“Pihak hospital tempah. Ada jamuan pagi ni. Tu yang Boy kelam-kabut semacam.” Rozita kembali ketawa.

Pintu kafe diketuk. Corrado tercegat. Arturo datang. Tidak sukar untuk dia kesan kedatangan anaknya itu. Bila telinga dia menangkap pekikan dan sorakan gembira gadis-gadis di luar kafe, itu bermakna Corrado sudah sampai.

Sempre in ritardo” ‘Selalu lambat’ Arturo membebel. Wajahnya mencuka. Corrado masih tersenyum. Senyuman yang hambar.

“Berbeza senyuman dia pagi ni. Tak macam kelmarin.” Sufie gumam kecil, namun didengari Rozita.

“Macam tulah dia hari-hari. Sebab tu saya kata, dengan Kak Sufie bukan main meriah dia senyum, macam kekasih pulak saya tengok.” Rozita mencuit bahu Sufie.

“Dahlah. Mari kita sambung kerja.”

Corrado melangkah, terus dia ke dapur. Masih sempat dia senyum kepada Sufie. Rozita naik cemburu. Manakan tidak. Tak pernah-pernah Corrado senyum kepada sesiapa, alih-alih pagi ini disenyumnya kepada Sufie. Arturo masih membebel. Dia juga ikut ke dapur. Tepat pukul sembilan pagi pintu kafe dibuka. Seperti jualan murah sedang berlangsung, gadis-gadis itu berebut masuk.

Seperti biasa meja-meja di ruang utama dipenuhi gadis-gadis sekelip mata. Yang lelaki lebih senang berada di bahagian luar sambil menikmati air pancut dan keindahan bunga-bunga yang sedang mekar. Rozita pula ke kaunter mengambil buku catatan, kemudian menghampiri Sufie.

“Kak Sufie ikut saya. Kita belajar ambil pesanan. Mula-mula mesti pening, sebab nama makanan pelik-pelik. Tapi tak payah risau, saya ajar.”

Sufie mengangguk tanda faham. Mereka menghampiri meja pertama. Ah! Hatinya berdegup sejurus itu bila melihat pelanggan meja itu. Gadis yang telah menyindirnya tadi.

“Selamat pagi. Saya Rozita. Boleh saya ambil pesanan cik.” Rozita mengukir senyuman.

“Tiba-tiba rasa tak berselera pula. Kenapa agaknya, ya?” Gadis itu berwajah tawar.

“Mahu cuba kek keju lemon, menu terbaru kafe kami.” Rozita memberi cadangan. Disuakan sehelai kertas bersaiz A4 yang terpampang gambar kek keju lemon.

“Hati aku dah masam, lagi kau nak aku telan kek masam tu?” Gadis itu mencemik. Ditenung Sufie dengan geram.

“Kalau macam tu, cubalah belek-belek menu. Pasti ada yang berkenan.” Rozita berhemah.

“Aku nak tat buah. Tapi sekeping saja. Kau pergi ambil.” Gadis itu menunding jari kepada Sufie.

“Minum cik?” Rozita bertanya. Geram hatinya makin menjadi-jadi, namun kerana kerja disabarkan juga hati. “Nasib baik aku tengah kerja, kalau tak jadi tepunglah kau kena uli.”

“Tak payah. Kalau aku nak minum aku panggil.” Gadis itu bernada sombong.

Sufie terus ke rak pameran. Diambil sekeping tat buah yang begitu menyelerakan kemudian kembali. Ketika meletakkan piring, tat itu bergerak lalu tersentuh jarinya menyebabkan gadis itu menjerit nyaring.

“Apa kau buat ni? Nak racun aku ke.” Seisi kafe memandang ke arah mereka. Rozita cuba menenagkan keadaan, namun tidak berjaya.

“Maaf cik. Dia krew baru. Nanti saya ganti dengan yang lain.”

“GANTI! Apa kau ingat aku tiada kerja lain, selain duk menunggu macam orang bodoh.” Gadis itu menyinga. Sekali lagi Arturo keluar, diikuti Corrado. Di sudut meja lelaki bercermin mata sedang memerhati. Ternyata masih ada seorang lelaki yang berada di ruang utama kafe.

“Kenapa cik? Boleh saya bantu.” Arturo senyum manis. Lembut tutur katanya, berbeza dengan sifat sebenar.

Pertanyaan Arturo diabaikan . Gadis itu sebaliknya meluahkan rasa kepada Corrado.

“Budak balar tu nak racun saya Corrado. Dia sentuh tat kesukaan saya dengan jari. Saya bukan benci dia. Tapi saya berhak dilayan secara terhormat sebab saya pelanggan. Dahlah tu dia maki saya pula. Kata saya perempuan murah. Mentang-mentanglah dia pakai baju kurung pagi tadi.” Gadis itu bersuara manja. Ditenung Corrado, cuba meraih simpati. Namun Corrado hanya membisu.

“Kamu! Cepat minta maaf. Kamu tahu siapa cik ini? Berani kamu hina dia, cakap yang bukan-bukan. Sekarang minta maaf atau kamu saya pecat.” Arturo kembali berang. Tidak dia sangka Sufie sebiadap itu.

“Tak mengapa lah chef. Saya maafkan dia. Saya tak sampai hati kalau dia kena buang, nanti keluarga dia nak makan apa. Kasihan orang miskin. Tentu dia nak sangat kerja kat kafe terkenal macam Italian Pasticceria Cafe.”

Kembang hidung Arturo dipuji. Lubang hidung dia terbuka luas. Agak-agaknya, bola ping pong pun lepas masuk.

Gadis itu kemudian memandang Corrado. “Demi awak Corrado, saya maafkan dia. Saya ikhlas. Boleh saya tukar tat baru. Saya takutlah nak makan.” Gadis itu senyum sinis kepada Sufie.

Hati Sufie berlari kencang. “YaALLAH. Engkau benar-benar mahu mengujiku. Aku buntu, tidak mampu berfikir sekarang. Bantulah aku melawan nafsuku disaat ini. Aku tidak mahu bertindak di luar kehendakMu.” Sufie menjadi malu. Ya, malu. Dia sedang diperhatikan saat itu. Ada yang simpati, tidak kurang yang turut senyum gembira. Dia sendiri tidak pasti kenapakah gadis itu seakan-akan benci kepadanya.

“Maaf cik Miera. Saya sendiri yang akan tukar.” Corrado senyum dan Miera terpana dengan senyuman tersebut, walaupun senyuman itu tidak seikhlas senyuman Corrado kepada Sufie.

“Ah... Terima kasih Corrado. Awak bersusah payah kerana saya.” Makin menggoda lenggok Miera. Manja dia saja dah serupa kucing siam gatal yang lapar jantan.

Sufie masih diam. Dia memerhati Corrado. Lelaki itu menggambil piring dan berlalu, namun berpatah semula. Diambil tat buah itu lalu dikunyah sambil menutup mata, dia mengunyah penuh nikmat. Habis sahaja dikunyah dia senyum meleret kepada Sufie.

“Boleh tak awak sentuh beberapa tat buah lagi untuk saya. Air jari awak menjadikan tat buah ini makin sedaplah Sufie.” Corrado kemudian berlalu.

Rozita tersengih dan berkata perlahan. “Yes… Padan muka kau. Kau ingat, kau lawa boleh jual minyak kat sini.”

Miera mendengus marah. Tidak disangka Corrado sanggup membela, sekaligus memalukan dia di khalayak ramai. Merasakan bedak compaknya tidak lagi mampu melindungi muka tebalnya dia berlalu. Itu pun selepas dia mengancam Sufie. Sufie masih kelu. Hari yang tidak diduganya. Arturo kembali membebel, malah lebih tinggi nadanya kali ini. Tidak dia sangka Corrado sanggup memalukan Miera sebegitu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.