Home Cerpen Umum KAWANKU SI HANTU PUTIH
KAWANKU SI HANTU PUTIH
Sufi Abqari
27/10/2013 23:25:21
2,265
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Saya tidak berani lagi merayau-rayau pada waktu malam. Malah untuk ke kedai terdekat pun sudah meremangkan bulu tengkuk. Perasaan yang juga dirasai penduduk kawasan perumahan ini. Perkara itu berlaku semenjak beberapa bulan yang lalu, semenjak rumah agam di hujung kawasan perumahan itu diduduki semula.

Hampir berpuluh-puluh ustaz dijemput untuk menawar kawasan kejiranan ini, namun selang beberapa hari kelibat hantu itu muncul kembali. Kawasan yang dahulunya aman dan meriah kini tidak ubah seperti pekan koboi bila malam menyerkupkan jubahnya, malah jemaah surau yang menghadiri solat magrib dan insyak juga berkurangan, Nampak sangat jemaah lebih takutkan hantu berbanding Allah SWT.

Para suri rumah akan keluh- kesah jika anak-anak mereka masih belum pulang menjelang petang tidak kurang juga anak-anak yang dikurung. Lebih hebat para wartawan berpusu-pusu berkampung berhampiran taman permainan yang dikatakan berhantu itu, namun, hantu yang ditunggu tidak muncul-muncul menyebabkan mereka hanya bertahan selama tiga hari sahaja di situ. Cerita itu senyap tanpa noktah akhirnya.

Malam itu, ketika hujan renyai-renyai, bulan mengambang penuh dan suasana yang kebiasaannya sunyi pecah kerana jeritan garau seorang wanita. Saya dan orang-orang yang sedang bersantai di ‘Salt Water Café’ menjerlangkan mata masing-masing. Pelbagai andaian yang muncul. Adakah itu jeritan meminta tolong? Adakah jeritan itu dari hantu putih yang sedang merayau-rayau di taman? Adakah hantu putih itu mahukan korban?

‘Salt Water Café’ semakin gamat dengan pelbagai andaian dan prasangka. Lebih hebat, ada yang begitu yakin perkara yang berlaku disebabkan oleh keluarga di hujung kawasan perumahan itu.

Memandangkan kawasan perumahan itu agak mewah sudah semestinyalah kawasannya agak merimbun dengan kehijauan pohon-pohon hutan yang sengaja tidak ditebang agar udara dan persekitarannya lebih segar. Jika dahulu penduduk kawasan perumahan itu bangga kerana mampu memiliki rumah di kawasan yang menghijau itu, namun kini jika ditanya rata-rata mahu hutan-hutan yang mengitari kawasan perumahan itu ditebang. Biar terang-benderang.

Seorang wanita tua menghampiri, badannya terbongkok-bongkok. Pada tangannya ada sebatang tongkat. Dia masih menjerit ketika tiba di anjung ‘Salt Water Café’ Saya kasihan melihatnya, mungkin hantu putih itu benar-benar telah menakutkan dia. Saya merenung Doktor Adi dengan wajah muram, lalu berkata.

“Bukan saja sakit fizikalnya, hatinya juga tentu sakit. Kasihan wanita tua itu terpaksa berlari dan dalam masa yang sama ketakutan yang amat sangat. Tidak henti-henti dia menggigil ketakutan.

Doktor Adi mengamati wanita tua itu, kemudian dia senyum sebelum bangun menghampiri wanita itu. Ketika Doktor Adi memimpin wanita tua itu ke meja kami, seluruh mata memerhatikannya seperti seekor helang yang ingin menyambar mangsa.

Sebaik wanita itu duduk bersebelahan saya, Doktor Adi memesan secawan teh panas untuknya. Wanita itu masih menggigil ketakutan. Saya semakin bersimpati. Sejurus itu Doktor Adi ketawa, mungkin dia telah memerhati telatah saya agak lama sebelum dia ketawa.

“Dia memang ketakutan kerana terserempak dengan hantu tadi.” Hampir sebahagian pelanggan ‘Salt Water Café’ ternganga bila Doktor Adi menyebut hantu putih, malah ada yang cepat-cepat beredar meninggalkan kafe, namun masih ada yang sibuk menjadi wartawan tidak bertauliah dan pelbagai soalan diajukan kepada wanita tua itu. Seperti artis terkenal wanita tua itu rancak bercerita, namun dia tetap menggigil, menghairankan saya.

“Datin Anum itu patients saya. Dia memang ketakutan, tapi itu bukanlah sebab utama dia menggigil.”

Saya semakin pelik. Saya rasakan malam itu penuh persoalan dan misteri. Saya kemudiannya bertanya kembali kepada Doktor Adi. Dia ketawa kecil sebelum menjawab, sedang tangannya mengitari permukaan cawan ‘espresso’

“Datin Anum menghidap variasi myasthenia, penyakit yang menyebabkan otot-otot tubuhnya sukar untuk dikawal. Suaranya juga garau kerana tidak dapat mengendalikan otot dalam kotak suaranya. Bila bergerak, ototnya akan kembang kuncup secara rawak, menyebabkan dia kelihatan seperti menggigil.”

Saya anguk kecil, tanda faham. Seakan terkejut, saya menyoal pula soalan yang paling penting. “Kenapa dia menjerit? Betulkah dia terserempak dengan hantu putih? Kenapa dia berlari sendirian di malam hari?

Doktor Adi tenang menjawab. “Datin Anum ke pasar raya dengan pemandu peribadinya. Sampai sahaja di kawasan permainan itu, kereta mereka kehabisan minyak. Ketika pemandunya sedang memeriksa tangki minyak, mereka disapa oleh hantu putih. Pemandu peribadinya melarikan diri begitu juga dengannya. Kerana usianya dia ditinggalkan pemandu peribadinya dan dia sudah berkira-kira mahu memecat pemandu peribadinya esok.”

“Saya kena pulang dahulu. Mahu hantarkan Datin Anum. Kamu pulang dengan siapa?”

Saya memandang basikal yang tersandar pada tiang kafe, kemudian menjawab.

“Saya pulang sendiri dengan basikal.”

“Hati-hati bila melintasi taman permainan itu nanti.” Doktor Adi senyum kemudian kembali berkata. “Saya kurang percaya pasal hantu, tapi kalau pasal jin saya percaya, sebab sudah termaktub dalam Al-Quran.” Dia kemudiannya meninggalkan saya terkontang-kanting memikirkan keadaan saya malam itu.

Saya tinggalkan meja bulat itu, tanpa membayar kerana bil sudah dijelaskan oleh Doktor Adi. Saya berlari anak dan bila sampai pada basikal, terus saya capai dan memecut seperti pelumba pecut yang sedang mengejar mata.

Jarum jam tangan saya menunjukkan tepat pukul 12 malam. Peluh keletihan dan ketakutan bercampur menjadikan saya bermandi peluh. Menghampiri kawasan permainan, basikal dikayuh agak berat kerana kawasan itu berbukit. Hampir lima minit saya ketakutan, seakan pundi kencing saya menjerit minta dilepaskan. Bunyi burung hantu kedegaran menyihir suasana supaya semakin menakutkan.

Bila sampai sahaja di kawasan permainan itu, samar-samar kelihatan kereta BMW Datin Anum yang tersadai di lereng bukit. Bunyi riuh-rendah kedengaran, diikuti suluhan lampu suluh, beberapa motorsikal yang mengekori dan sekumpulan lelaki yang melaungkan “Allahhuakbar…Allahhuakbar!”

Sedikt lega namun kembali cemas bila kumpulan itu menuju laju ke arah saya dan menjerit “Hantu..hantu..Bunuh dia!” Ketakutan menyebabkan saya mengayuh laju, membelok dan menuju ke arah bukit. Bila hampir pada sebatang pokok, saya menyorong basikal dan bersembunyi. Saya kembali berfikir.

“Kenapa mereka mengejar saya. Adakah saya telah menyebabkan mereka salah faham?”

Sedang saya memikirkan persoalan itu, terasa jari-jari sejuk menjamah bahu saya, kaget dan kelu saya. Sejurus itu kedengaran suara separuh berbisik yang menyebabkan saya terjongkok ke hadapan.

“Tolong aku! Tolong hantar aku pulang. Mereka mengejar aku. Kalau kamu tidak tolong mungkin aku dibunuh mereka.”

“Han..” Belum sempat menjerit, tangan sejuk itu telah menutup mulut saya. Dengan keberanian yang tersisa, saya menoleh ke belakang dan sisa kekuatan itu surut tiba-tiba.

Hantu putih itu merenung saya dengan pandangan sayu yang menakutkan. Gaun kembang putihnya kelihatan sepadan dengan rambut putihnya. Hantu itu sedang memegang seekor patung beruang hitam. Saya hanya memerhati, hendak membaca surah tetapi lidah telah bertukar kelu, mungkin nyawa saya bakal berakhir malam ini. Ketika inilah saya teringatkan solat yang masih belum diganti dan benarlah janji Allah bahawa maut itu tidak akan lewat, atau cepat walau sesaat.

Hantu putih itu mencangkung di hadapan saya kemudian kembali merayu. “Tolong aku! Hantarkan aku pulang jika tidak mereka akan bunuh aku.” Entah bagaimana keberanian saya kembali dan terus bertanya. “Siapa tuan kamu? Di mana rumah kamu?

Hantu itu menjawab pantas. “ Aku tinggal di rumah agam hujung perumahan ini bersama keluarga.” Dia diam, kemudian kembali berkata. “Aku janji tidak akan kembali lagi ke taman permainan ini.”

Tanpa disedari atau mungkin kerana terlalu takut saya bersetuju untuk menghantarnya pulang. Namun di dalam hati, saya begitu menyesal kerana telah bersepakat dengan jin dan tentunya perbuatan ini akan dimurkai Allah. ‘HATI SAYA BERDETAK LAJU’

Beberapa kali saya cuba bangun dan akhirnya berjaya, namun kaki saya masih menggigil. Hantu putih itu membonceng basikal saya. Beberapa orang penunggang motosikal hampir kemalangan akibat terkejut bila menyedari ada hantu sedang membonceng basikal saya.

Sampai di hujung jalan, saya membelok ke kanan. Hantu putih itu kemudian bersuara, nada suaranya dalam dan suram. “Kamu salah jalan. Rumah aku di depan, berhampiran pohon beringin itu.” Tangannya di angkat dan di arahkan pada pohon beringin. Saya bersuara laju. Risau, jika hantu putih itu marah. “ Tadi kita sudah terserempak dengan beberapa orang, saya risau jika mereka sudah menunggu kamu berhampiran pokok beringin tua itu. Kita guna jalan belakang, lebih selamat.”

Bau tengit mula keluar dari celah ketiak saya dan itu tandanya baju saya sudah bash kuyup bermandi peluh dan embun pagi. Jalan belakang lebih sunyi dan tebal hutannya. Tidak lama dalam dua minit kami sampai di rumah agam itu. Rumah itu sangat tua dan pasti menakutkan sesiapa sahaja yang melihat, ditambah dengan bulan mengambang dan bunyi pungguk yang kedengaran.

“Mari masuk. Saya kenalkan kamu dengan keluarga saya.”

Saya kelu. Namun menurut sahaja, mungkin kerana suasana yang begitu menyeramkan dan risau jika hantu putih itu benar-benar marah.

Pintu belakang itu tidak berkunci dan sebaik pintu itu dibuka, kelihatan seorang perempuan berjalan ke hulu hilir, seakan mencari sesuatu. Bila sahaja melihat kami wanita itu berlari, tanpa bertanya satu penampar singgah di pipi saya. Wanita itu kemudian menjerit, membingitkan telinga saya.

“Berani kamu curi-curi bawa Ayu keluar. Sudah berapa lama kamu buat kerja ini?” Kini aku tahu hantu belaan itu bernama Ayu. Bila sedikit reda hantu putih itu bersuara.

“Dia selamatkan saya! Jangan marahkan dia. Jika tidak kerana dia, mungkin saya sudah tidak bernyawa.” Hantu putih itu terus memeluk wanita itu. Pandangan tajam dengan mata yang mencerlang wanita itu redup kini, malah intonasi suaranya juga berubah lembut.

“Maafkan Mak cik! Mari masuk makan bersama, nanti kamu berdua boleh ceritakan apa yang telah berlaku.”

Di dalam rumah wanita itu ketawa nyaring, malah semakin menyeramkan bila bunyi suaranya bergema memenuhi ruang tamu yang luas. “Jadi Ayu hampir dibunuh kerana disangka hantu putih. Wanita itu kembali ketawa nyaring, sedangkan Ayu kelihatan sedih. Menyedari perubahan Ayu wanita itu diam. Agak lama dia kembali berkata.

“Ayu ialah anak saudara mak cik. Ibu dan bapanya sudah setahun meninggal dunia.Supaya dia tidak bersedih mak cik putuskan membeli dan berpindah ke rumah ini. Sebenarnya Ayu menghidap penyakit albino. Kamu lihat daripada hujung rambut hingga ke kaki semuanya putih. Rambut, kulit, bulu mata malah semuanya boleh dikatakan putih.” Ayu bangun kemudian ke dapur.

“Penyakitnya menyebabkan dia tidak boleh terkena cahaya matahari, risau jika terkena kanser kulit. Mungkin kerana itu dia hanya keluar pada waktu malam.”

Wanita itu memandang ke arah dapur, bagi memastikan sesuatu. Bila sudah yakin, dia kembali berkata. “Jadikan Ayu kawan kamu. Berkawanlah dengan dia. Sejak kecil dia dipulaukan, tiada kawan, tiada yang sudi berkawan. Dia gadis yang cantik, malah hati dia juga cantik, Cuma dia agak rendah diri. Kehidupan lalu memaksa dia bersendirian.”

Saya kaget, perkara yang berlaku benar-benar di luar jangkaan. Sejurus kemudian Ayu keluar, kulit putih wajahnya merah padam. Dia menatang dulang berisi tiga gelas air minuman dan sepinggan biskut. Setelah meletakkan pinggan itu, dia bingkas bangun dan berlalu. Wanita itu masih memerhatikan Saya dengan pandangan penuh harapan.

“Esok malam saya temankan kamu ke taman permainan. Kamu mahu atau tidak?” Saya bertanya gugup. Ayu berhenti melangkah.

“Jangan risau, saya bawa kakak saya sekali. Kemudian kita ke kafe paling hebat di kawasan perumahan ini ‘Salt Water Café’ Nanti saya perkenalkan kamu dengan semua kawan saya. Mereka baik dan yang paling penting tidak pernah memandang rendah pada orang lain. Nanti di sana kita boleh terangkan kejadian yang sebenar agar kawasan perumahan ini kembali aman.” Ayu kemudian menoleh. Air matanya mengalir, namun bibirnya mengukir senyum dan aku faham isi hatinya ketika itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.