Home Cerpen Keluarga Adam
Adam
Sufi Abqari
15/5/2013 21:03:04
3,230
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

ADAM (CERITA 4)

“Benarkah wanita dan lelaki tidak seharusnya bersahabat?”

“Kenapa?”

“Lambat laun pasti akan jatuh.”

“Maksud kau..jatuh cinta ya.”

“Ya…Betulkah?”

“Karut, tak mungkinlah. Kalau mungkin, aku bukanlah di antaranya.” Aku ketawa pecah perut, sedang Aminah merah padam wajahnya. Mungkin geram ataupun mungkin malu. Kalau malu kenapa pula?

Pagi itu adalah kali terakhir aku berjumpa sahabatku Aminah. Dia hilang entah ke mana. Kenapa, mengapa sebabnya tidaklah aku tahu.

“Kau tak rindu Aminah?” Ali merenung tajam.

Aku tidak mengendahkan soalan Ali, tanganku pantas menaip. Seorang yang memegang jawatan sebagai pengurus cawangan sepertiku pasti waktu sentiasa menghambat. Mataku ralit memerhati skrin computer. Nampaknya akaun kredit ada kesalahan, aku resah. Aliran tunai kurang berbanding kredit yang ditanggung syarikat, ini bermakna syarikat menghadapi masalah bagi tahun kedua berturut-turut.

“Kenapa kau senyap? Aku lihat gambar kau dan Aminah masa di asrama dulu.”

Aku masih memikirkan apakah yang harus aku laporkan kepada Board director. Tahun kedua kegagalan bermakna aku bukanlah pengurus cawangan yang cekap. Aku cuba meneliti mengesan kemungkinan jalan keluar dari kemelut yang dihadapi.

Hello..ada orang di sana tidak?” Ali mengetuk-ngetuk kecil mejaku. Aku ketawa, sudah lumrah Ali suka menyakat. Dialah teman pengganti ketika Aminah menghilang dahulu.

Rata-rata berkata Aminah pindah semula ke kampung halamannya di pantai timur, aku tidak terkejut kerana aku tahu ayahnya datang ke bandar ini pun tanpa sebarang kelulusan atau kenalan, mereka datang hanya sekadar mencuba nasib di rantau orang. Aminah sahabatku, sukar sekali untuk aku nyatakan seperti apakah dia. Dialah sahabat yang paling memahami aku. Orangnya cantik, persis gadis arab dengan alis lentik bulan sabit, matanya bundar sayu, mungkin kemiskinan menyembunyikan kegembiraannya, bibirnya merah merekah. Pendek kata dia sememangnya cantik, rebutan pelajar asrama.

Berbeza dengan aku ketampanan menjadi bala terbesar dalam hidupku. Bila aku kata begitu ramai yang terkejut malah menyangka aku hanya bercanda merendah diri. Aku dipulau adik-beradik malah ayah kandungku hanya kerana ketampananku. Di asrama aku dipulau teman-teman juga kerana parasku. Mujurlah hadir Aminah. Bila aku dekat dengannya hatiku senang sekali. Bukan kerana wajahnya tetapi pertuturannya malah tingkahnya begitu suci bagiku.

Di hari dia bertanyakan aku, benarkah wanita dan lelaki tidak harus bersahabat kerana akhirnya mereka akan jatuh cinta. Aku sebenarnya kelu tidak tahu apakah yang harus aku katakan padanya. Apakah aku sudah jatuh cinta padanya?

“Menung..pulak. Dengar tidak aku tanya tadi?” Ali mengetuk kepalaku dengan gulungan akhbar.

“Barang yang lepas jangan dikenang kawan.” Aku kenyitkan mata.

“Jadi gambar tu?” Giliran Ali mengenyitkan mata.

Aku hanya senyum. Telefonku berbunyi, tertera nama Tan Sri Hassan, dengan pantas aku menekan punat hijau dan berkata “hello Tan Sri.”

Ali senyap tiba-tiba.

“Hello Adam. Mesyuarat minggu depan ditunda, kita akan adakan mesyuarat minggu seterusnya di Pulau Wan Man. Kamu datang dua hari awal, saya mahu tunjukan tapak projek baru.” Telefon dimatikan serta merta. Itulah sikap Tan Sri Hassan, hanya memberi arahan kemudian mematikan perhubungan. Aku terduduk masih cuba mencari penyelesaian, ternyata kali ini kadudukan aku goyah.

“Macam mana Pasaran Saham hari ini?” Aku menukar topik.

“Komoditi masih utuh.” Ali kemudiannya berlalu pergi.

Malam terakhir sebelum aku bertolak ke Kuala Terengganu, aku sempat bersembang dengan mamaku. Dia memandangku seolah-olah aku tidak pernah berpisah dengannya. Aku tidak meghiraukan tigkahnya, mungkin kerana aku sudah terbiasa sendirian.

“Adam mahu mama masukan kamera sekali?” Mama memasukan kameraku ke dalam bagasi.

“Adam mahu pegang saja. Senang buat tangkap gambar.” Aku mengeluarkan semula kamera dari bagasi.

Mama masih memandang, membuatkan aku hairan. Jarang benar dia disamping jika aku terpaksa ke luar daerah atau negeri.

“Ada sesuatu mama mahukan?” Aku renungi wajah tua mama, kedut pada wajahnya bergerak-gerak seolah-olah menghalang dia menyatakan rasanya.

“Ada sesuatu yang mama mahu katakan?” Aku mendesak lembut.

“Mama mahu kamu cari abang kamu.” Laju ayat itu meluncur daripada bibir mama.

“Abang! Maksud mama?” Aku ketawa kecil, mungkin mama mahu menyakat tetapi wajahnya kelihatan keruh.

Aku hanya diam dan kembali mengemas bagasiku, namun hati kecilku masih bersoal jawab. Aku bukanlah seorang yang gemar bercakap, mungkin kerana dipulau keluarga sendiri menjadikan aku begitu.

“Kamu ada abang. Mama berikan dia kepada orang. Dia anak daripada suami terdahulu mama. Selepas mama berkahwin dengan ayah kamu, mama serahkannya kepada orang lain.”

“Mama... Ingat cerita Melayu ke? Mama berseloroh ya?”Aku ketawa kecil dan yang pasti ketawa itu hanya dibuat-buat.

Mama hanya diam. Kain pelikat dan kemeja polo adalah pelengkap bagasiku. Selesai berkemas aku renungi lagi wajah mama, wanita itu hanya senyum kelat. Aku tidak tahu mengapa. Mama bangun lalu beredar tanpa sebarang kata, namun itu bukanlah keganjilan bagiku. Selesai mandi aku kembali menyemak laporan yang bakal aku bentangkan lagi tiga hari. Esok pagi-pagi lagi aku akan bertolak, jika lewat pasti akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Aku tarik laci, sesuatu membuatkan aku kembali senyum, terasa serabut kepalaku hilang entah ke mana. Senyuman pada gambar itu cukup menyamankan hatiku. Wajah sahabatku Aminah, wajah yang aku gelar wajah kesucian.

Sedar-sedar sudah pukul lima setengah pagi. Aku sendiri tidak tahu bila aku tertidur. Gambar Aminah kembali aku simpan, aku lurut-lurutkan gambar itu agar tiada kesan renyuk akibat ditindih aku sewaktu tidur.

Selesai solat aku berdoa agar Allah mudahkan segala urusanku. Aku turun laju dari tingkat dua, sedikit terkejut aku pagi itu. Apabila pintu rumah kukuak, mama sedang duduk di halaman dengan wajah kelat. Bingkas dia bangun bila melihatku. Cepat-cepat dia serahkan sekeping gambar. Sesuatu tercatit di belakang gambar itu, belum sempatku baca, mama berkata.

“Mama merayu..Tolonglah carikan abang kamu. Mama rasa bersalah kerana tinggalkan dia. Mama kejarkan harta, itu sebab mama tinggalkan dia.” Mama berlari masuk ke dalam rumah.

Aku kelu di antara percaya dengan tidak. Mana mungkin skrip drama bertukar menjadi realiti. Aku larut seketika, kemudian tersedar bahawa aku harus cepat jika tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Proton Pesona aku hidupkan, aku panaskan dahulu enjinnya, banyak kawanku menegur kenapakah aku menggunakan kereta murah, tidak setanding jawatanku? Aku senyum dan menjawab

“Aku bangga dengan ciptaan negaraku.”

“Kenapa Pesona, tidak yang lain.” Temanku menduga.

“Andai aku guna yang lain pasti kau akan bertanya soalan yang sama.” Aku senyum.

Tanda biru pada pemuka kereta sudah menghilang, bermakna aku sudah boleh bertolak, seperti biasa tiada yang melambai mahupun menghadiahkan peluk cium. “Ah..Aku tidak kisah sedikit pun. Selama ini aku memang sendiri.”

Kuala Terengganu, Bandaraya Pesisir Pantai, Dimana bumi dipayungi adat. Cantik bandarnya, namun aku harus cepat mencari hotel penginapan kerana hari sudah gelap. Berpandukan GPSaku menemui hotel yang di tuju, sememangnya kemodenan telah membawa bersamanya kemajuan dari segala segi, inilah yang dinamakan kemajuan seiring pembangunan. Selesai mendaftar dan bila sampai di bilik, pertama yang aku lakukan adalah tidur. Aku seorang yang lasak, jadi tidur bukanlah sesuatu yang patut aku lakukan, namun mungkin akalku yang letih sebenarnya. Aku lelap tiba-tiba.

*******

“Ya! Tan Sri, maaf terlelap.” Aku bingkas bangun. Hari sudah siang, matahari memancar lembut.

“Kamu sudah siap, saya tunggu di lobi hotel.” Tan Sri Hassan mematikan telefon bimbitnya. Walaupun sudah mandi sebelum solat subuh , namun aku lebih gemar mandi semula jika ada urusan di sebelah siang. Setelah siap berpakaian, aku rapikan rambut, ternyata wajahku menahan getir, mungkin berjumpa Tan Sri Hassan mengunkit keresahanku.

Lobi hotel dengan marmar bercorak itu kelihatan mewah, Pada sudut kolam kelibat Tan Sri Hassan aku perhatikan. Lelaki tegas yang sentiasa mementingkan masa, baginya falsafah Kaizen sudah mendarah daging di dalam jasadnya. Aku menuju ke arahnya, semakin jelas baju kemeja polka dot yang dipakai. Tidak rasmi namun masih segak bagi seorang yang bergelar Tan Sri.

“Assalamualaikum Tan Sri.” Beliau memandang serius. Aku menghulurkan tangan dan segera disalami beliau.

“Kita bertolak sekarang. Saya jenis yang tak suka bertangguh.” Laju Tan Sri Hassan bangun dan beredar.

Belum sempat aku melangkah, perutku berbunyi sekaligus menyebabkan Tan Sri Hassan senyum sinis.

“Kamu ok?”

“ok..Tan Sri.”

“Kalau begitu kita teruskan kerja kita.” Beliau kembali melangkah.

Sepanjang perjalanan sudah beberapa kali perutku berlagu, namun tidak diendahkan Tan Sri Hassan seolah-olah beliau tidak mendengar walau sekalipun permintaan perutku. Perjalanan menyelusuri jalan persisir pantai itu menyajikan keindahan yang tiada ganti. Langit begitu biru bagiku pada hari ini, dipadankan dengan hijaunya laut menjadikan suasana begitu menyenangkan. Sengaja tingkap kereta aku buka begitu juga Tan Sri Hassan. Segar bila angin laju bertiup memasuki kereta ‘BMW’ milik Tan Sri Hassan. Lebih kurang setengah jam perjalanan kami sampai ke destinasi, oleh kerana tidak mahu menanggung risiko tayar kereta terbenam pada pasir maka aku letakkannya di bawah pokok ru, agak jauh dari pantai.

Aku capai kamera kemudian turun dari kereta, begitu juga Tan Sri Hassan. Kami berjalan beiringan menuju ke tepian pantai. “Sungguh damai.” Aku mendongak kepala memerhati langit kemudian senyum.

“Kenapa?” Tan Sri Hassan bertanya.

“Saya teringat sahabat lama bila lihat langit.”

“Maksud kamu?”

“Kita mungkin terpisah beribu batu jauh, mungkin juga keadaan sekeliling banyak berubah sehingga menyesakkan hati. Namun kita masih berkongsi langit yang sama, langit yang tidak pernah berubah. Jadi bila rindu dongaklah kepala melihat langit. Siapa tahu kita berkongsi rindu yang sama.” Ralit mataku memerhati langit sambil mengungkap kembali kata-kata Aminah.

Dari jauh seorang budak menghampiri. Dia menjinjing bungkusan plastik, semakin menghampiri aku semakin pasti isinya empat bungkusan kecil, mungkin nasi lemak. Sebaik budak itu berdepan denganku, dia berhenti lalu tersengih.

“Apa tu?” Budak itu menunding jari pada kemera di leherku.

“Itu pula apa? Aku menunjuk pada isi bungkusan plastik yang dijinjing budak itu.

“Nasi lemak sambal kupang! Kakak bungkus bagi adik. Dua buat makan pagi, lagi dua buat makan tengah hari.” Budak itu membilang jari-jarinya.

‘Nasi lemak kupang’ aku kembali teringat Aminah, saban minggu ibunya membawa nasi lemak kupang buat aku dan Aminah. Sememangnya lazat dan aku masih ingat kepekatan sambal kupang itu dan lemaknya nasi itu. Aku merapati budak itu kemudian membongkok. Aku kembali bertanya.

“Abang beli dua, boleh?”

“Boleh! Tapi adik nak tangkap gambar adik.” Budak itu sengih lagi.

“Boleh! Kita makan dulu ya.” Aku menunjuk pada bungkusan nasi lemaknya.

Tanpa berlengah budak itu mengeluarkan tiga bungkus nasi lemak daripada plastiknya. Aku yang sememangnya kelaparan laju menjamah tanpa mempedulikan Tan Sri Hassan dan budak itu, ternyata tekaanku tepat rasa nasi lemak itu serupa benar seperti nasi lemak ibu Aminah. Sekali lagi ingatanku kepada Aminah datang, namun akalku sukar menerima rumusan hatiku. Mana mungkin aku ingat rasa yang sudah bertahun aku tinggalkan. Sedang aku menjamah, budak itu menghulurkan bungkusan terakhir kepadaku. Tan Sri Hassan senyum isyarat memahami kehendak perutku. Apalagi aku terus menyambut bungkusan terakhir itu dan menghabiskannya. "Puas," itulah yang mampu aku katakan.

“Dekat kampung ni, ibu dengan kakak je pandai buat nasi lemak sambal kupang. Orang lain tak pernah buat.” Budak itu berkata bila dia lihat aku begitu menyukai nasi lemak itu.

“Mari abang ambil gambar kamu” Aku bangun diikuti budak itu. Beberapa keping figura budak itu aku rakam, walaupun tersenyum gembira tetapi wajah pucat budak itu menjadi tanda tanya buatku. Pergerakannya agak lambat dengan rambut yang semakin menipis. Kegusaran tiba-tiba singgah di hatiku. Pelbagai kemungkinan yang bermain di benakku.

“Abang hantar pulang.” Aku menawar.

“Tak mahu!” Budak itu mencebik bibirnya.

“Kenapa?”

“Kakak marah ikut orang yang adik tak kenal.”

“Nama adik siapa? Di mana rumah?” Tan Sri Hassan menghampiri kami.

“Suri..Rumah hujung sana dekat Kampung Jeti Dua.” Kakinya sedang menguis-nguis pasir.

“Marilah abang hantarkan.” Aku kembali memujuk, entah kenapa aku begitu risaukan Suri mungkin kerana nasi lemak sambal kupangnya yang lazat. Aku sendiri tidak pasti.

“Tak mahu! Kakak tak bagi.” Suri masih menolak. Aku terus juga memujuk, entah kenapa hatiku begitu degil hari ini, hajatku mahu menghantar Suri pulang. Tan Sri Hassan hanya memerhati kelakuan aku dan Suri. Akibat desakanku, Suri menjadi tidak selesa dan terus melarikan diri. Berkali-kali aku memanggilnya, namun tetap dia tidak berhenti dan semakin lama, semakin menghilang daripada pandanganku. Tan Sri Hassan ketawa besar melihat kejadian itu. Ini merupakan kali pertama aku lihat beliau ketawa sebegitu, akhirnya aku senyum.

“Sudahlah tu. Kamu terlalu memaksa sampai budak itu lari ketakutan.” Tan Sri Hassan menepuk-nepuk bahuku.

“Kawasan ini bakal dimajukan. Suatu projek yang angkanya sukar saya nyatakan. Bagaimanapun ianya menjadi rebutan beberapa syarikat besar, termasuk syarikat saya.”

“Syarikat kita telah terpilih untuk memajukan dan membangunkan taman laut di sini. Saya pasti kamu adalah calon terbaik untuk projek ini.” Tan Sri Hassan merenungku, meminta kepastian.

Tidak dapat aku gambarkan perasaan aku ketika itu adakah patut aku melompat kegembiraan atau adakah patut aku memeluk Tan Sri Hassan dan mengatakan betapa gembiranya aku. Namun yang pasti aku bersyukur kepada Allah s.w.t atas rahmatNya. Tanpa bertangguh, terus aku bersetuju dengan tawaran beliau.

Pesisir pantai itu aku jelajahi lagi, berhadapannya sebuah pulau kelihatan. Aku belum pasti namanya. Bagaimanapun pulau itu termasuk lingkungan kawasan yang akan diwartakan sebagai taman laut. Aku senyum tak sudah begitu juga dengan Tan Sri Hassan. Langit biru aku renung, terus aku kirimkan salam gembira itu kepada Aminah. Moga-moga dia juga memandang langit ketika ini dan merasai apa yang aku rasa.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.