Home Novelet Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT - PUTERI ULEK
KISAH SERAM MALAM JUMAAT - PUTERI ULEK
Sufi Abqari
2/12/2016 22:05:39
6,849
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 2
 

BAB2

I

Datin Melly merenung jasad Adura, tidak berganjak walau seinci. Hanya sesekali digigit bibir tipisnya. Dia kini di bilik menantunya, tersandar lesu di atas kerusi goyang. Dirinya sedang terbuai-buai dengan fikiran yang melayang entah ke mana. Bila dirasakan fikirannya semakin mengarut, maka dipaksa akalnya untuk fokus kembali. Namun tidak lama, fikirannya kembali menerawang.

“Cisss...” sumpah Datin Melly sendirian.

Tatkala itu jemarinya kemas mencengkam kerusi goyang. Dia menyesali kerana telah memarahi Ramona dan bertindak kasar semalam.

“Memalukan! Wanita seanggun dan sesempurna aku bertindak melulu. Tak boleh dimaafkan... Aku sepatutnya lebih tenang dan sempurna di mata semua orang,” rungut Datin Melly.

Tubuh kecil Adura yang masih berkeringat ditatap kembali setelah pandangannya dikalih pada sejadah yang tersidai di lengan kerusi. Ternyata pendingin hawa tak mampu mengeringkan keringat menantunya itu. Dari pandangan Datin Melly, Adura sedang mengalami mimpi yang menakutkan. Sungguhpun begitu Datin Melly menyangkal itu semua. Baginya keringat itu disebabkan cadar tebal yang menyelimuti Adura. Malah bila dikerling pendingin hawa suhunya adalah 26 darjah.

“Patutlah...”

Sebaik itu dilihat jam tangan yang melilit pergelangan tangannya.

“Masih tak sedar lagi... Dah tengah hari pun... Huhhhh. Kau pasti pandang aku sebelah mata lepas ni. Mak mertua yang pemarah, bukan penyabar dan ceria macam yang kau harapkan.”

Matahari memancar masuk menerusi celahan langsir yang terkuak. Cahayanya berbalam-balam, terhalang oleh langsir tebal. Datin Melly berkira-kira mahu bangun meninggalkan Adura. Dia tidak tahan apabila sesekali teriakan nyaring Ramona dari tingkat bawah menyapa telinganya. Perasaan hairan sudah beberapa kali mengasak hati. Dia hairan bagaimana Ramona mampu menjerit sekuat itu. Yalah, hingga ke tingkat dua suara menantunya itu mampu melayang.

“Ishh...” dengus Datin Melly. Dipejam mata rapat-rapat, cuba mengumpul kesabaran yang kian menghilang.

Namun langkah Datin Melly terbantut. Kedengaran tangga dipijak. Ada seseorang sedang mendaki tangga. Tidak lama kemudian wajah Haikal tersembul sebaik tombol pintu dipulas. Wajah getir Haikal membuatkan Datin Melly tersentak seketika. Dia paling tidak tahan melihat wajah muram anaknya. Seolah, seluruh kebahagiannya diragut pergi.

“Sebab engkau anak aku susah,” guman Datin Melly sendirian. Entah mengapa dia jadi benci melihat Adura.

Namun, wajah amarah itu dibiarkan terpadam bila teringatkan yang dia harus sentiasa tenang. Baginya wanita yang tenang itu adalah sangat cantik dan anggun. Datin Melly mahu bangun. Tetapi kakinya kebas kerana bersandar agak lama dalam satu posisi. Kakinya diunjur beberapa kali bagi melalikan rasa kebas. Kemudian dia bangun.

“Masih belum bangun. Letih sangat agaknya, tu...” Datin Melly tepuk lembut bahu Haikal. Kemudian dia kembali berkata.

“Haikal jaga Dura. Mama nak ke bawah tengok Mona.” Datin Melly berlalu sejurus itu.

Haikal tercegat seketika, merayapi seluruh tubuh Adura. Sebaik  nafas tertahan dilepaskan  terus dirapati isterinya. Diramas dan dicium ubun-ubun isterinya berulang kali. Perbuatan itu terhenti bila dia sedari sesuatu sedang memandangnya dari penjuru dinding. Dia terkejut, kelibat seorang wanita dalam busana seorang puteri sedang memerhati.

“Ah! Mustahillah.” Haikal tenyeh mata berkali-kali. Dia yakin dia salah lihat disebabkan bilik tidurnya suram dan gelap.

Kali ini ditenung bersungguh-sungguh ke penjuru dinding. Dia sengih sendirian, memikirkan kebodohan sendiri. Ya! Dia pasti perkara itu berlaku kerana salah pandang. Buktinya yang dipandang hanyalah sepasang baju kurung Adura yang tergantung di dinding.

“Mama ni, sayang sangat dekat Dura...” Haikal sengih lagi. Kali ini meleret-leret. Dia beranggapan ibunya sengaja melabuhkan kembali langsir agar Adura dapat tidur dengan lena. Yalah! Tidur dalam gelap lebih nyaman dan lena. Sungguhpun begitu tidak bagi Datin Melly. Niatnya hanya satu, agar wajah mencukanya tidak terlihat jelas. Sungguhpun dia berusaha untuk tenang, namun dia pasti wajah masamnya akan tetap terkesan oleh sesiapa yang masuk ke bilik itu. Jadi cara terbaik adalah dengan memastikan bilik suram. Bermakna dia mempunyai kesempatan untuk bersedia sebelum kelemahannya tersingkap.

“Nenda... Nenda... Dura tak mahu pergi.” Adura meracau. Haikal resah. Tangan Adura yang diramas-ramas tadi kini menggengam erat tangannya. NafasAdura berombak-ombak malah badannya sedikit terjungkit naik, sekaligus menakutkan Haikal. Seolah-olah isterinya sedang ketakutan dalam dakapan syaitan.

“Sayang...sayang...sayangggg...” Haikal seru nama isterinya berkali-kali. Tangannya menampar lembut pipi Adura, juga berulang kali. Dengan harapan Adura akan terjaga.

“Ne...N...Nen...Da... D-Dura...Tak...M-Ma...Hu....”Tersekat-sekat suara Adura.

Makin resah Haikal. Makin terasa hibanya.Lelaki manalah yang tahan melihat derita isteri sendiri. Dia nekad berlari ke bawah menelefon kembali ambulan. Namun genggaman kuat Adura membuatkan dia membatalkan niat. Sukar untuk dia lepaskan genggaman tangan isterinya. Sebenarnya dia sempat menelefon ambulan sebelum naik menjenguk Adura.

“Dura sayang. Bangun... Jangan buat abang risau. Abang percayakan sayang. Jangan takut. Abang tahu Ramona sengaja nak kenakan sayang,” rayu haikal.

Kini jeritan Ramona pula meresahkan Haikal. Jeritan melengking iparnya itu bertingkah dengan kelakuan Adura. Walau tampak berbeza, namun Haikal pasti kedua-duanya sedang mengalami situasi yang sama. TERSIKSA.

“Apa yang dah terjadi?” Tanya Haikal sendirian. Dia cuba berfikir secara waras, adapun nafas keras Adura dan teriakan nyaring Ramona membuat dia tidak keruan.

Dalam resah, kedengaran siren ambulan. Hati Haikal lega. Dia pasti ambulan ke mari untuk menggambil Ramona dan Adura. Nafas Haikal tertahan-tahan bilamana perlu mengumpil jari-jemari Adura satu-persatu. Dirasakan genggaman Adura sepadu akar-akar pokok yang menyelinap dicelahan batu. Dia nekat mahu turun ke bawah dan mendapatkan petugas yang datang. Mahu dibawa ketingkat atas dahulu memeriksa isterinya sebelum Ramona. Baginya Adura lebih berharga. Malah lebih berharga berbanding nyawa sendiri.

II

Sebaik tiba di kaki tangga, Haikal lihat dua orang petugas dalam seragam putih sedang pegun menghadap Ramona. Ramona hanya bisu, tidak bergerak. Nanah dan darah masih memenuhi lidahnya. Berjejeran air bisa menuruni lidah berkudis itu. Bau hamis darah dan nanah memenuhi ruang tamu. Bau yang sangat pekat. Pada sofa dan lantai kelihatan tompokan darah dan titisan nanah yang mampu memutuskan selera makan sesiapa sahaja. Di antara mereka berdiri seorang lelaki yang mulutnya terkumat-kamit. Haikal penasaran. Lelaki tua itu berbaju kuning dengan selempang merah yang melintang di dada.

Baru beberapa tapak melangkah, Haikal ternganga. Suara berat lelaki itu membuatkan roma halusnya meremang. Bahkan bahasa yang diungkap lelaki tua itu juga tidak dia fahami.

Bila suara lelaki itu mengendur Haikal rapati bibik.

“Kenalan bibik?” Tanya Haikal.

“Bukanlah! Katanya, dia sudah bermimpi petaka ini beberapa hari sudah. Makanya dia langsung kemari,” bisik bibik.

“Bibik buat lawak, ek? Mana ada orang boleh tahu apa yang bakal terjadi. Semua ni mengarut,” cantas Haikal.

“Yah! udah kalau ngak percaya. Tapi jangan bilang sebarangan. Itu pasti dukun sakti,bisa tahu yang terhijab. Isi hati nak Haikal juga bisa dia tebak.” Bibik berkata tanpa berpaling kepada Haikal. Wanita itu seperti takjub dengan dukun berkumis tipis dengan janggut separa dada itu.

“Mana mama?” Aju Haikal bila kelibat Datin Melly tidak kelihatan.

“Mandi” jawab bibik.

“Baru mandi! Matahari dah tegak atas kepala.” Rungut Haikal. Sebenarnya dia berharap yang mamanya ada ketika itu. Dan dia percaya mamanya akan menghalau lelaki yang muncul tanpa diundang itu.

“Baju datin terpalit nanah dan darah Puan Mona,” terang Bibik dengan mata tak lepas dari dukun. Ada kekaguman yang semakin marak dalam bebola matanya.

“Ni sorang lagi...” rungut Haikal sendirian.

Dia berkata kembali dalam nada menyakat bibik.

“Bik...Bik... tenung apa tu. Hati-hati, pak dukun tahu isi hati bibik. Nanti tak pasal-pasal bibik bersuamikan dukun.”

“Ada-ada saja anak Haikal ini. Bibik hanya kagum. Ngak ada selainya.”

Derap langkah dari belakang menghentikan usikan Haikal. Tanpa berpaling dia sudah tahu siapakah orangnya. Pastilah mamanya yang sedang melangkah anggun. Derap langkahnya sentiasa sekata, tidak lambat mahupun laju.

“Siapa lelaki pelik tu? Mama tak suka Haikal atau sesiapa jemput orang sebarangan ke dalam,” luah Datin Melly.

“Pakwe bibik,” usik Haikal. Hambar, tidak seceria biasa. Dia masih memikirkan Adura.

“Bukan! Tahu-tahu dia sudah ke mari. Katanya dia tahu tempat ini melalui mimpi,” bela bibik.

“Dah, yang petugas ambulan duk berdiri macam patung kenapa pula?” aju Datin Melly lagi.

“Entahlah mama.”

Datin Melly merapati petugas dan berkata sesuatu. Nadanya mendalam, namun terkesan kesantunan yang tinggi. Tergagap-gagap kedua-dua petugas itu. Mereka menafikan datang bersama dukun itu. Menurut mereka sewaktu tiba dan ketika dibuka pintu belakang ambulan, si dukun sudah berada di dalam.

Makin dalam suara Datin Melly. Dia tak mampu menerima alasan sebodoh itu. Baginya mereka bertiga adalah penipu. Mustahillah kalau lelaki yang digelar dukun itu boleh masuk ke dalam ambulan dengan sendiri atau mencuri masuk tanpa disedari.

“Wanita ini terkena tulah. Kalau dibiarkan bakal jadi tumbal hidup.”

“Maaf! Saya tak berminat dengan hal-hal mistik...Jangan kata kamu bertiga sedang shooting drama seram,” bidas Datin Melly dalam nada melawak. Sukar untuk dia mengawal emosi dalam waktu sebegitu, buktinya dahinya melarik kedut.

“Ada waris puteri ulek dalam rumah ini. Jasadnya ditempa dari dua alam. Aku mahukan dia sebagai penawar.” Si dukun berpaling. Wajahnya tegang.

“Saya berhak telefon polis. Dan dakwa awak menceroboh...” ugut Datin Melly.

“Hanya darah waris puteri ulek boleh selamatkan wanita ini.” Si dukun bersuara keras. Matanya membutang. Dia marah bila diugut. Bagaimanapun si dukun kembali bersuara usai merenung Datin Melly.

“Orang panggil aku, Tok Ayah. Asal aku dari Pantai Timur. Aku datang menurut firasat mimpi. Ada keturunan puteri yang mendiam dalam rumah ini. Harus dinyah atau sumpahan bakal menyusul.”

Haikal ketawa sinis. Terus –terang dia ralat melihat gelagat Tok Ayah.

“Jangan biadap orang muda. Aku dapat lihat kegelapan mengekorimu. Kau akan dimamah bencana. Hidupmu akan porak-peranda,” Tok Ayah bersuara lantang. Giginya diketap-ketap.

Berdesing telinga Datin Melly mendengarkan kata-kata Tok Ayah. Kulit mulusnya mula merona merah dengan mata mencerlang.

“Kau jangan nak ugut anak aku... Pantang kalau anak-anak aku diapa-apakan.”

“Ini adalah kenyataan... Aku dapat rasa wanita laut itu ada di atas,” balas Tok Ayah, berang.

“Mana! Tunjuk dekat aku,” sergah Datin Melly. Sejurus itu dipicit-picit kepala yang tak pening. Dia kesal kerana menuruti amarah sendiri. Dia kembali mengigatkan diri supaya sentiasa bertingkah sempurna.

“Ma, jangan hiraukan lelaki ni. Kita bukan kenal siapa dia.” Haikal bersuara.

Datin Melly mendengus. Geramnya sukar dibendung. Sungguhpun begitu dia sedikit takut. Entah mengapa dia gerun melihat Tok Ayah. Bukan dia saja malah kedua-dua petugas itu pun naik gerun. Kalau tak, mana mungkin mereka kaku sejak tadi.

Namun menzahirkan perasaan takut adalah ketidaksempurnaan buat Datin Melly. Bibirnya kembali bergerak.

“Saya izinkan Tok Ayah geledah rumah saya. Tapi... kalau tak jumpa wanita laut tu...Faham-faham ajelah. Sila masuk ke lokap dengan tenang,” sindir Datin Melly.

“Macam tu aje!!” luah Haikal. Berkerut dahinya.

“Mama tahu apa yang mama buat.”

Tok Ayah mengarahkan kedua-dua petugas membawa Ramona ke hospital. Melihatkan Ramona yang semakin lemah Datin Melly hanya berdiam tanda setuju dengan tindakan Tok Ayah, walaupun hatinya sebal dengan tindakan yang dirasakan melebihi tuan rumah.

“Aku tak mampu hapuskan tulah yang melekat pada budak tu. Hanya darah keturunan puteri ulek yang mampu batalkan tulah.”

Satu persatu wajah ditatap oleh Tok Ayah sebelum dia kembali berkata.

“Tapi jangan risau, aku dah sekat daripada tulah tu merebak,” luah Tok Ayah.

Tok Ayah renung tajam ke dalam bebola mata Haikal. Dia tahu Haikal mahu menghalaunya secara kasar. Dan renungan tajamnya membawa isyarat kepada Haikal yang isi hatinya sudah diketahui. Membuatkan Haikal telan liur. Rasa gugup merayapi ke segenap urat sarafnya. Bagi Haikal renungan Tok Ayah sayu tetapi meradang, bagai tersimpan kekejaman yang tak terluah.

“Aku bukan lelaki tua yang suka menipu,” kata Tok Ayah kepada Haikal.

Lelaki tua itu mengalihkan pandangan. Dia memerhati tangga ke tingkat atas, lalu mengatur langkah dengan cermat. Lagaknya umpama seorang pahlawan yang sedang dihendap musuh terhebat. Satu-persatu anak tangga dipijak. Datin Melly dan Haikal mengekor dari belakang, meninggalakan petugas yang mula membaringkan Ramona di atas pengusung. Bibik pula sudah merangka akan menyusul Tok Ayah sebaik ambulan pergi.

III

Dahi Haikal berkerut bilamana Tok Ayah menyeringai di hadapan pintu bilik tidurnya. Malah makin terkumat-kamit mulut lelaki tua itu dengan mata terpejam. Beberapa kali bahu lelaki tua itu terhenjut-henjut. Sukar ditebak apa yang sedang dibaca Tok Ayah. Namun gerakannya yang seperti pesilat memualakn Haikal. Walaupun begitu kelincahan kudrat tua Tok Ayah mengagumkan Datin Melly dan Haikal.

“Gila!” sumpah Haikal. Cuba menepis rasa kagum yang bersarang.

Dari balik poket baju, Tok Ayah keluarkan kantung kain berwarna hitam. Bertih beras dari dalam kantung dilempar ke muka pintu. Kemudian tombol pintu dipulas dan bertih beras dilempar ke dalam bilik. Haikal mahu membantah. Namun dihalang Datin Melly. Ibunya hanya sengih kecil melihat kelakuan Tok Ayah. Dia pasti yang lelaki tua itu hanyalah penipu murahan. Dan sengihannya makin lebar bila membayangkan muka cemberut Tok Ayah di dalam lokap.

“Taktik murahan. Kau ingat senang-senang nak bodohkan aku.”

Haikal terkebil-kebil melihat selimut yang terlipat kemas di penjuru katil. Cadar dan bantal juga sudah dikemaskan. Adura sudah tiada. Sungguhpun begitu dia lega sebaik mendengar bunyi air pancuran dari bilik air. Dia tahu isterinya sedang mandi.

“Tok! Tak manis duduk dalam ni...Isteri saya tengah mandi.” Haikal bernada riang. Dia benar-benar riang kerana Adura sudah sedar dan mampu ke bilik air. Itu bermakna isterinya sudah sihat.

Kata-kata Haikal tidak dilayan. Kepala Tok Ayah terteleng-teleng, cuba mengesan sesuatu. Seketika hidungnya kembang-kempis menghidu udara. Dapat dia bau kemasinan angin laut. Kemudian dia pejam mata. Mulutnya masih terkumat-kamit. Lebih lantang dari sebelumnya, hinggakan Haikal dan Datin Melly dapat mendengar walaupun tak faham apa yang dikata. Ternyata mentera yang dibaca dalam dialek pantai timur.

“Ishhh...Sengal orang tua ni. Tak faham bahasa bandar agaknya. TOK!” ucap Haikal geram. Dapat dia bayang wajah terkejut beruk Adura bila keluar dari bilik air. Silap hari bulan isterinya hanya berbalut sehelai tuala.

Hampir-hampir lengan lelaki tua itu disentap Haikal. Namun sempat ditempis Datin Melly. Wanita itu mahu turutkan rentak Tok Ayah sebelum lelaki itu disumbat ke dalam lokap.

IV

Sementara itu di dalam bilik air Adura masih melanggut di birai tub mandi, berfikir mengenai mimpinya ketika tidak sedarkan diri. Sengaja dibiarkan air pancuran mengalir agar Haikal menyangka dia sedang mandi.

Dalam mimpinya tadi, dia berada di celahan juram laut yang sangat dalam dan gelap. Hampir kesemua terlihat hitam kerana tiada cahaya. Dalam dia bersusah payah bernafas muncul kelibat tujuh puteri ulek dari balik karang-karang besar. Dia tahu itu adalah mereka kerana perhiasan yang dipakai mereka bergemercing. Mereka berenang ke arahnya. Dalam kekalutan dia berusaha meloloskan diri sebaik dikepung ketujuh-tujuh puteri ulek.

“Belum masanya kamu ke mari. Pulanglah ke darat,” arah puteri sulung. Suaranya tenang, namun terpalit gusar. Adura tidak tahu mengapa. Cuma yang pasti, buih-buih kecil mula timbul dari dasar laut yang paling gelap dan dalam. Sedikit demi sedikit buih-buih itu bertukar kasar dan besar. Bayang-bayang yang lebih gelap muncul bersama bebola cahaya. Bayang –bayang yang menyerupai seekor lembaga meluru ke arah mereka.

Sedikit demi sedikit Adura dapat menduga lembaga itu adalah seekor dragonfish. Dragonfish yang hanya sebesar bangsal kecil dengan sesungut bercahaya. Kuakan sirip si ikan membuatkan air bergelora, sekaligus membanting ketujuh-tujuh puteri. Jeritan melengking mereka melantun-lantun pada dinding juram yang sunyi lagi sepi. Adura pula meliang-liuk bak lalang. Dia berusaha menyeimbangkan badan. Belum sempat kedudukan badannya seimbang si ikan sudah menyambar baju Adura dan menghilang. Ketika dilarikan Adura tercungap-cungap, malah tertelan air masin dengan banyak. Tetapi dia tetap hidup. Mungkin darah laut yang mengalir membuatkan dia selamat. Dia dibawa ke sebuah gua. Kelihatan lampu-lampu kecil menyala di hujung dagu ikan-ikan dragon fish yang bersaiz lebih kecil.

Ikan jenis ini biasa hidup di kedalaman hingga dua kilometer di bawah permukaan laut. Ikan ini mempunyai kemampuan menghasilkan cahaya sendiri di “belalai” yang terdapat di dagunya. Kemampuan ini disebut bioluminescent dan biasa dimiliki oleh hewan-hewan yang hidup di tempat yang minim cahaya. Belalai tersebut akan memancarkan cahaya untuk memancing ikan mangsanya.

“Bersatulah denganku dan kau akan kuasai segalanya. Di darat akan menurut dan di laut akan patuh,”

Mata Adura melingas. Suara sayu itu kedengaran dingin, sedingin air yang sedang mengasak dirinya. Dan suara itu bertali arus dari semua penjuru, membuatkan dia ketakutan. Si ikan besar sudah melarikan diri sebaik dia ditinggalkan di sisi sebuah batu.

“Siapa! Siapa! Aku di mana,” teriak Adura.

“Aku nendamu, puteri lapan. Semangatku tertahan di sini. Hanya cucunda yang mampu leraikan belenggu nenda,” ucap suara yang mengaku sebagai puteri lapan.

“Kalau betul kau moyang aku. Hantarkan aku pulang.” Adura meraba-raba cuba bergerak ke arah suara yang didengar.

“Bersatulah dengan nenda dan cucunda akan pulang. Atau menolak. Dan selamanya cucunda di sini.”

Ketika itulah dia mula merasakan kesakitan yang menyulap urat sarafnya. Rasa seolah-olah dirinya dipanggang di atas bara. Air laut disekitarnya mula memanas dan meruap, berikutnya mendidih. Ketika itu dia merayu-rayu kepada nendanya puteri lapan. Dia menjerit-jerit mengatakan tidak mahu. Namun hanya bunyi gemercing dengan haruman cempaka yang dapat didengar dan dihidu. Lama-lama meronta dia tersedar secara mengejut. Bagaikan ada suatu kuasa yang memintas mimpinya dan memaksa dia terjaga.

“DUM! DUM! DUM!” ketukan dari balik pintu membuatkan Adura tersentak. Suara garau yang bukan milik Haikal itu membuatkan dia ketakutan.

“Keluar kau puteri ulek. Aku datang menuntut darahmu,” jerit Tok Ayah dari luar.

Adura telan air liur. Mendengarkan perkataan ‘darah’ membuatkan perutnya kecut. Wajahnya makin pucat. Dia serba-salah. Mungkinkah itu ayah Ramona yang sedang mengamuk? Atau bomoh yang dipanggil oleh Dato’ Adam dan Datin Melly? Kalau ya, pastilah mereka percaya dengan cerita yang telah direka-reka Ramona.

“Dush...” bunyi tumbukan padu kedengaran. Serentak itu jeritan Datin Melly pecah. Yang pasti maki hamun sedang meluncur laju daripada mulut Haikal. Suaminya sedang bergasak dengan seseorang. Diikuti suara Dato’ Adam. Mertuanya sedang menenagkan anak lelakinya.

‘Gluppp...’ Adura telan liur, berkira-kira mahu keluar atau tetap bertahan di dalam bilik air. Dan di luar tiada tanda-tanda perdamaian akan berlaku.

Bersambung...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.