Home Novelet Thriller/Aksi GENG VESPA
GENG VESPA
Sufi Abqari
19/5/2014 02:43:45
3,047
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB1- MAYAT TANPA KEPALA- BAHAGIAN1

Aku garu kepala. Hakimi pincingkan mata melihat gelagatku. Ganjil! Dan itulah yang mampu difikirkan bila melihat gelagatku

“Garu kepala!” terjungkit kening Hakimi.

“Kasus pembunuhan yang keempat! Modus operandi yang sama…”

“Maksud kau?” tanya Hakimi. Matanya berkalih pada sungai yang deras mengalir.

“Aku dah periksa semua mangsa sebelum ini, termasuklah juga yang ni. Terdapat tanda merah di badan mangsa. Malah semuanya terapung berhampiran jambatan ni.” Aku menghela nafas. Masih merenung sungai.

“Kita tunggu malam ni. Mana tahu si pembunuh datang lagi untuk mencampakkan mayat baru,” cadang Hakimi.

“Mustahil! Kalau si pembunuh buat begitu, itu bermakna dia sengaja cari susah.”

“Mungkin dia sengaja nak cabar polis,” rumus Hakimi.

“Untuk apa?”

Hakimi menjungkit bahu tanda buntu. Mayat tanpa kepala itu masih diperhati dari kedudukan yang agak jauh. Pihak polis sedang menyiasat, malah para wartawan juga berkerumun bagai semut menghurung gula. Kes yang mengerikan sedang berlaku di Malaysia. Kes yang berjaya menarik perhatian dunia itu amat merungsingkan para menteri. Malah bilangan pelancong juga merundum.

“Ke mana kepala-kepala mangsa di sembunyikan?” Hakimi gigit kuku. Otaknya ligat merumus konklusi.

“Atau lebih tepat, kenapa kepala disembunyikan?” pincing mataku memaku wajah Hakimi.

“Cuba kau lihat keadaan mayat,” tunding Hakimi ke arah mayat.

“Ya… mayat dalam posisi terlentang dan stabil. Tiada tanda pergelutan, mungkin mangsa sudah dilemaskan atau ditidurkan sebelum di penggal.” Aku terlompat-lompat bila seorang wartawan menghalang pandangan. “Ah… wartawan Rusia,” degusku bila melihat microphone yang dipegang. Tertera ‘ Россия утра’.

“Kau rasa mangsa di lemaskan dengan apa?” bisik Hakimi perlahan.

“Aku tak pasti, mungkin cecair chloroform.” Aku pincingkan mata, cuba mengamati, namun mayat sudah dibungkus dan diangkat.

“Kau pasti dengan Chloroform?” duga Hakimi.

“Aku kata… mungkin. Kita belum boleh pastikan sehinggalah kita siasat sampai ke akar umbi.” Aku tepuk bahu Hakimi. Kuhayun langkah mahu berlalu.

Langkahku terhenti bila namaku dijerit marah oleh seseorang. Aku menoleh, seorang lelaki berperut boroi dengan kepala botak berjalan pincang. Kot berjalur yang dipakai tidak kena dengan seluar ketat sentangnya. Aku cuba mengigati sesuatu. Hakimi di belakang lelaki itu menunding jadi ke arah kepala botak lelaki itu.

“Kepala botak dan berkilat… Oh! Hampir aku terlupa.” Bila lelaki berkulit cerah itu tiba, kelihatan kepulan asap keluar daripada cerut yang dihisap.

“Selamat pagi Bong Tat…” sapaanku tidak dihiraukan.

“Bila kau berdua boleh selesaikan kes ni? Aku bayar mahal, asal saja pembunuh isteriku tertangkap.” Bong Tat hembus asap ke wajahku.

Bibir Hakimi bergerak-gerak mencarik marah. Aku masih tenang dan senyum. “ Kalau dapat kerjasaman polis , pastilah lebih cepat dan mudah. Tetapi bukan mudah pihak polis hendak berkongsi maklumat.”

Bong Tat meludah. Sudah menjadi sifatnya suka meludah dan pastilah dia akan meludah ke sebelah kiri. Cecair putih kekuningan jatuh bertompok. Mungkin warna cerut yang dihisap bertindakbalas dengan air liur sehingga menghasilkan warna sedemikian.

“Aku tak peduli, kes ini mesti selesai secepat mungkin. Dan itu yang aku mahu tahu.” Wajah mencuka Bong Tat menghilang kemudiannya. Namun bebelan dan leterannya masih bergema. Hakimi mendengus marah, dan sememangnya dia tidak suka dengan mereka yang pemarah.

Aku membonceng vespa tua milik Hakimi, macam biasa asap hitam pekat berkepul-kepul apabila motosikal dihidupkan. Mungkin kerana itu kami dikenali sebagai Geng Vespa.

Tujuan kami tidak lain adalah ke pejabat kami. Oh! Hampir aku terlupa dan aku benar-benar berharap yang semua pelanggan kami masih mengingati yang pejabat kami hanyalah sebuah rumah ran yang kecil, sekecil bilik bujang. Namun yang pasti ia sangat selesa dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Malah kami dapat mendengar kicauan burung di pagi hari. Selalunya kicauan si murai gila, adakala membingitkan telinga. Mungkin bila sudah tidak tahan kami akan memutarkan pula lagu-lagu daripada radio kecil yang ada di pejabat.

Hakimi terbaring bila punggungnya menjamah lantai pejabat, begitu jugalah aku. Menerawang kepala kami berfikir.

“Kronologi kes pembunuhan tu macam mana sebenarnya?” Aku menyoal.

“Seperti biasa kehilangan gadis-gadis cantik. Mangsa pertama ditemukan seorang pemancing dalam keadaan mayat yang mereput dan sedang dilahap oleh beberapa ekor biawak air… memualakan.”

“Mangsa kedua dan seterusnya?” Aku mengiring.

“Mangsa kedua, ketiga dan keempat ditemukan dalam keadaan baik, namun telanjang dan tanpa kepala. Ada kesan palitan cat merah. Jadi untuk rumusan awal, diandaikan yang magsa pertama juga berkeadaan yang sama, Cuma mayatnya sudah reput.” Hakimi menahan muntah, seolah-olah terhidu bau hanyir darah yang memualkan tekak.

“kesemua mayat terapung ke?” tambahku sangsi.

“Ya, semua mayat terapung dan membengkak kecuali mayat pertama. Kau tengok kan tadi mayat tu kembung macam patung getah.” Hakimi bangun, memaku mataku dengan keterujaannya.

“Mungkin betul kata kau, kita patut ke tempat kejadian malam ni, tapi sebelum tu ada sesuatu yang kita kena lakukan.”

“Apa dia?” aju Hakimi bersungguh.

“Kita ke rumah Bong Tat.”

***

Rumah agam peninggalan zaman koloni itu hanya diubah suai seminima mungkin untuk menjaga warisanya. Dinding tepi dilatari pokok duit-duit yang melitupi hampir separuh permukaan dinding. Gerbang tua rumah itu juga masih utuh.

Kami melangkah beberapa langkah sebelum kami berundur ke belakang apabila beberapa ekor bull dog menyergah dari sangkar besi besar berhampiran.

“Kalau terlepas boleh jadi santapan di raja kita berdua hari ni,” luah Hakimi. Dia memerhati dengan mata yang berwaspada.

Aku hanya bisu, malas melayan. Sebaik loceng pintu ditekan seorang lelaki tua menjengah dengan wajah tenang, namun terpalit keangkuhan. Dia membongkok lalu mempersilakan kami masuk. Deretan kepala-kepala binatang memenuhi dinding. Kepala-kepala haiwan hasil buruan itu tentulah amat menakutkan kepada sesiapa yang lemah semangat.

Ketawa dari tangga kedengaran, Bong Tat sedang menuruni tangga bersama seseorang. Seorang wanita muda dengan rambut perang tergulung,sedang melentokkan kepala pada bahu Bong Tat. Kepulan asap bertebaran keluar dari hujung cerut jenama mewah miliknya.

Berkerut kening Bong Tat, hampir bertemu kedua hujung keningnya. Dia cuak dengan kedatangan kami.

“I-ini Lily Liew bakal isteri aku.”

Pengakuan itu menyentak kami berdua. Tidak disangka mayat isterinya baru dijumpai, dia sudah mendapat pengganti. Memang orang kaya yang mudah dijerat atau mungkin juga orang kaya yang gatal.

“Huh… memang gatal. Jangan-jangan dia yang bunuh sebab nak kahwin dengan Lily Liew tak?” aju Hakimi. Hatiku turut terdetik perkara yang sama, namun lintasan itu segera dicantas. Tidak mahu perkara itu bakal menyebabkan penyiasatan ini berat sebelah.

“Selamat pagi Encik Bong Tat. Pagi yang menarik dengan wanita yang menarik. Tentulah seperti berada di syurga,” sindir Hakimi.

“Dalam makna ayat kamu itu. Berterus-terang sajalah yang kamu mengesyaki aku. Lirikan mata kamu berdua dah dapat aku baca,” bergetar bibir Bong Tat menahan marah, malah wajahnya turut berona merah.

“Maafkan kami Encik Bong Tat… Marah tandanya sayang. Mungkin memang salah saya yang tak menyedari kesedihan encik di atas kematian isteri encik.” Hakimi memang bermulut manis. Diangkat topi sambil merendahkan sedikit kepala.

Memakai topi adalah kegemaran Hakimi, katanya bila dipakai topi itu terasa seperti Sherlock Holmes. Malah dia juga akan membawa kanta pembesar bila menyiasat.

Rona merah pada wajah Bong Tat susut. Dia senyum sindir dengan kening terjungkit, sementara Lily Liew masih terlentok sambil memaut di leher macam kucing siam gatal.

“Apa tujuan kamu datang ke mari. Kamu tak percayakan aku sampai ke mari nak menyiasat?”

“Tolong bagi kerjasama kalau nak kes ni cepat selesai. Memang kau yang bayar tapi itu tak bermakna boleh cakap lebih kurang dengan kami,” nadaku meninggi. Tepat aku panah mata lelaki berperut gendut itu.

“KAU…” Bong Tat menggengam tangan, cerutnya hampir terlepas dari bibir tipis.

“Maksud Aslan ialah kami ke mari kerana percaya dengan sedikit maklumat dan kebijaksanaan Encik Bong Tat akan memudahkan penyiasatan ini.” Hakimi bernada teratur dengan senyuman paling palsu pernah aku lihat. Tetapi aku tidak nafikan yang dia memang cekap dalam permainan emosi, berbanding denganku yang lebih telus dan tidak suka berbasi-basi.

“Baiklah aku terima cakap kau tu. Apa yang kamu mahu.” Bong Tat melepaskan rangkulan Lily Liew dan melangkah turun meninggalkan bakal isterinya itu.

“Kami mahu tahu berapa orang yang tinggal di rumah ini dan adakah sesiapa yang Encik Bong Tat curiga.”

“Saya tinggal dengan dua orang anak saya , manakala rumah di sebelah didiami bekas isteri pertama saya. Tapi tak mungkinlah dia yang bunuh isteri baru saya, sebab dia lumpuh seluruh badan dan dijaga anak pertama kami.” Bong Tat bernada pasti.

“Kenapa pasti sangat. Mungkinkah anak kau geram dengan sikap ayah mereka yang mengabaikan ibu mereka?” sinis sekali tujahan soalanku menyebabkan Hakimi menyingung lenganku. Bong Tat mengecilkan mata.

“Budak-budak tu… lagilah tak mungkin. Sofia seorang gadis penakut, selalu dibelasah suami sendiri. Kalau tak kerana aku dah mati agaknya budak tu. Aku tolong dia bercerai dan kerana terhutang budi dia sanggup menjaga ibunya.” Bong Tat tepuk peha geli hati.

“Bagaimana dengan anak kedua Encik Bong Tat. Melalui siasatan kami bekas isteri encik adalah mantan kekasihnya.” Hakimi agak teragak menyoal sebelum soalan itu terluah lancar.

“Wow!!! Patutlah orang kata Geng Vespa hebat.” Bong Tat menepuk tangan. Dia diam seketika sebelum kembali berkata.

“Budak yang sorang ni pulak susah nak kata. Hari-hari merayap. Masuk hutan keluar hutan. MEMBURU. Cuba lihat kat dinding tu semua kepala ada, yang tak ada kepala manusia.” Bong Tat kembali ketawa lucu.

“Siapa pula yang dicurigai?” Aku soal pantas. Meluat melihat keangkuhan lelaki berperut gendut itu.

“Mungkin budak lelaki tukang kebun tu?” teka Bong Tat sambil menala tangan kepada sesusuk tubuh agam yang sedang mencantas pokok. Dari balik jendela kaca yang melengkung bulat kelihatan pemuda yang berusia sekitar 20-an sedang tekun berkerja.

“Kenapa dia?” soalku lagi.

“Sebab dia anak luar nikah aku.” Bong Tat letak tangan pada bibir, isyarat supaya diam. Aku berkerut dahi. Hakimi terlopong.

“Boleh tahan kau ya. Memang lelaki miang,” sindirku.

“Kenapa Encik Bong Tat rasa begitu?” Hakimi menyoal formal.

“Dulu masa mula-mula dia bekerja aku dah rasa pelik tentang dia. Jadi aku minta orang siasat. Rupa-rupanya dia adalah anak luar nikahku dengan seorang wanita. Aku diamkan hal ini sebab takut perkara buruk berlaku. Dan selepas dia berkerja di sini makin kerap isteri baruku mengadu sering direnung dia.”

“Nama dia?” ajuku lagi.

“Micheal… kalau tak salah.” Bong Tat garu kepala, mendongak wajah cuba mengingati.

Hakimi ketawa kecil melihat kelakuan Bong Tat, aku tidak faham kenapa dia harus ketawa terhadap perlakuan yang kukira bodoh itu. Memalukan bila nama anak sendiri pun tak mampu diingati.

‘DUSSS!!!’ Lily Liew yang sejak tadi berdiri di kaki tangga jatuh tergolek tanpa kepala. Dari balkoni yang memisahkan tangga kelihatan susuk wanita bergaun kembang berlari sambil memegang kepala Lily Liew. Pandangan itu memaku Hakimi, namun aku tangkas berlari, melangkahi mayat Lily Liew dan terus memijak tangga lalu mengejar kelibat wanita bergaung kembang itu.

Aku hampir tersembam bila terpijak cecair yang terdapat di hadapan sebuah bilik. Kelibat wanita itu dilihat menyelinap masuk ke bilik yang berdekatan. Aku turuti langkah itu. Namun sebaik pintu dibuka aku hampa bila melihat langsir terbuai-buai ditiup angin.

“Cisss… dia lompat ikut tingkap.” Aku meradang.

Bong Tat muncul sambil mengurut dada, ternyata dia semput.

“Mana Hakimi?” Aku menyoal. Mataku tidak lepas memerhati keadaan bilik yang dihiasi kertas dinding biru dengan bunga neroli. Bilik itu masih menggekalkan keaslian inggeris, malah sebahagian perabut adalah yang asal termasuk begas lilin tembaga bercabang empat dengan ukiran D.A.A.R. pada setiap cabang.

“Mari turun. Makin menakutkan. Tak sangka si pembunuh sanggup ke mari. Dan tak sangka pembunuh adalah perempuan.” Bong Tat bersuara perlahan.

“Mana kau tahu pembunuh perempuan? Bukan ke kerusi kau tadi membelakangi tangga ke tingkat dua?” sangsiku bertambah. Aku mula meragui sesuatu.

“A-aku…” Bong Tat cemas.

“Ceritakan dan kau akan selamat atau sembunyikan dank au akan ke tali gantung.” Aku ugut menyebabkan dia makin cemas. Dia merayu dan berjanji menceritakan semuanya.

Bong Tat menceritakan segalanya. Namun sukar untuk aku mengaitkan Sofia adalah ‘master mind’ kasus pembunuhan yang sedang berlaku. Sungguhpun begitu kelibat wanita bergaun kembang ala wanita inggeris itu mungkin adalah buktinya.

Siren polis dengan lampu menyilaukan bergema menarik perhatian aku dan Bong Tat. Kami bergegas ke tingkat bawah. Polis tiba dan melakukan penyiasatan mereka. Seperti biasa perkara itu sudah dihidu para wartawan. Kegembiraan terpancar di wajah para pemberita bila Sofia disyakki. Wanita bertubuh kering dengan rambut mengerbang tidak terurus itu hanya bisu dengan kepala tertunduk ketika diiringi polis.

“Aku sedih… tapi dalam masa yang sama aku gembira yang pembunuh sudah berjaya ditangkap.” Bong Tat berkata ceria. Tetapi yang terkesan diwajahnya tiada sekelumut pun rasa sedih seperti yang diucapkan. Aku jadi sangsi.

Aku sudah menghampiri Kopral Sing setelah meninggalkan Bong Tat yang aku kira sedang bergembira itu. Aku dan Hakimi sebenarnya sudah sudah mendapat lampu hijau daripada kerajaan Malaysia untuk terlibat di dalam kes jenayah yang berlaku setelah berjaya menyelesaikan kes Sister Mona beberapa bulan lepas. Satu kebanggaan buat kami.

Langkahku terhenti bila terlihat Micheal sedang memegang gumpalan pakaian. “ Itu gaun kembang yang aku nampak tadi.” Aku menjerit minta diberkas Michael. Mungkin kerana terkejut, dia cuba meloloskan diri, namun satu tembakan kecil tepat mengenai betisnya. Dia meraung sebelum digari dan akan dihantar ke hospital terlebih dahulu. Aku gembira dengan penangkapan itu. Dan boleh dikatakan 80% aku yakin yang dia adalah pembunuh bersiri itu. Mungkin dia benci kepada gadis-gadis muda yang dianggap penjerat lelaki kaya.

“Mudahnya kau berpuas hati. Sikap yang tak bagus untuk penyiasat sehebat kita.” Hakimi tepuk bahuku. Ah! Mudah sungguh dia menjangka pemikiranku.

“Maksud kau?”

“Kita ada dua orang suspek sekarang. Tapi yang nampak betul belum tentu benar dan yang palsu belum tentu salah.” Hakimi menarik keluar kanta pembesarnya.

“Ceritalah… aku tak suka tertunggu-tunggu,” celahku.

“Calitan merah. Sama macam mayat-mayat yang tak berkepala yang lain. Aku jumpa calitan tu kat bawah lengan Lily Liew.”

“Cadangan kau?” aju aku.

“Aku ada bawa Glo Blood Kit. Kau tahu kan apa nak buat? Kat mana nak mula?” sinis Hakimi menyindir.

“Aku tahu kat mana nak mula. Ikut aku. Tapi kita kena alihkan perhatian Bong Tat dahulu,” cadangku.

“Koperal Sing boleh tolong rasanya,” sekali lagi Hakimi senyum.

Aku sengih. Setelah langkah pertama berjalan dengan lancar, iaitu ketika Bong Tat sibuk ditemuramah wartawan Koperal Sing pula mengawasi gerak-gerinya.

“Dekat depan bilik nilah aku hampir terjatuh tadi. Tengok lantainya masih basah, kesan tumpahan sesuatu. Mungkin air.” Aku berandaian.

Aku mencangkung diikuti Hakimi. Aku ambil cecair itu dengan picagari dan masukkan ke dalam vial bottlebersaiz 5ml.

Kemudian aku bersihkan kesan tumpahan itu. Wajah Hakimi kelat dan curiga.

“Berani kau usik… mana tahu itu bahan bukti,” adu Hakimi tidak berpuas hati dengan tindakanku.

“Kita dah ambil sample.”

Hakimi capai botol mengandungi cecair glo blood dan dengan pantas dia meratakan cecair itu bermula dari anak tangga teratas sehingga ke kawasan aku hampir tergelincir tadi. Aku pula menabur serbuk putih glo blood kit ke atas cecair yang sudah diratakan Hakimi. Bila serbuk sudah menyerap semua cecair kami suluh pula dengan lampu khas yang dibawa. Lampu itu tidaklah besar hanya bersaiz kecil. Kelihatan beberapa tompokan, kami senyum.

“Darah… “ Aku berbisik.

“Ya… darah. Nampaknya tumpahan ini mungkin kerana si pembunuh tergesa-gesa sewaktu cuba membersikan bukti,” tingkah Hakimi dengan kejipan mata, seolah-olah dia adalah Sherlock Holmes yang sudah berjaya mendapatkan satu petunjuk.

Aku memerhati sekeliling, aku terkejut bila melihat tual pada alang dengan tali halus. Aku merumuskan sesuatu.

“Kau rasa ada tak kemungkinan yang Lily Liew sudah mati sebelum kita sampai?”

“Mustahillah.”

“Mungkin seseorang cuba menjadikian kedatangan kita yang tak disangka-sangka sebagai alibi.”

Hakimi tersentak, menjuih mulutnya dengan cerlangan mata. “ Maksud kau Lily Liew dibunuh Bong Tat?”

“Mungkin ya, dan mugkin tidak. Tapi yang pasti semuanya saling berkait dengan mayat-mayat yang terapung di sungai tu… Celaka mereka bunuh manusia macam bunuh semut.” Aku sepak pintu bilik itu dan kemudian aku menjerit kesakitan. Pintu dikunci atau lebih tepat sengaja dikunci. Keyakinanku bertambah bila mendengar sesuatu jatuh dilanggar dari balik pintu. Aku senyum, begitu juga Hakimi.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.