Home Cerpen Keluarga KERANA KASIH
KERANA KASIH
Sufi Abqari
21/3/2016 02:14:59
2,372
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

“Aku tak kenal erti berkorban. Malah ayat itu tak pernah wujud dalam hatiku. Semuanya kerana sayangkan Ridwan. Tapi kenapa sanggup dia membuangku,” luah Sabariah, bungkam. Dia masih ralit merenung longgokan sampah yang membukit.

Cahaya mentari senja, telah menukar pemandangan tempat pembuangan sampah itu menjadi seperti emas berharga. Barangan tembaga memantulkan sinar mentari yang menyilaukan mata. Namun hakikatnya sampah tetap sampah, sentiasa dihina manusia. Sabariah masih mengelamun, hatinya sukar ditebak.

“Bu! Minum. Jangan dilayan usikan hati. Lepas minum ibu solat ya. Wan mahu ke surau dulu.” Ridwan mundekati dengan wajah manis.

Sabariah masih membisu. Dia menyoroti langkah Ridwan. Lamunannya makin larut. Makin mengusik hati. Laungan azan mencantas hatinya. Dia beristigfar berulang kali. Air di dalam gelas tidak dijamahnya. Dia masih memikirkan permintaan Ridwan. Anaknya mahu menghantar dia ke rumah orang-orang tua. Mungkin Ridwan malu atau mungkin batuk kerasnya di malam hari menggangu tidur Ridwan. Dia sendiri tidak pasti.

*******************

2.00 Petang-

Sabariah terbongkok-bongkok dengan sebatang kayu. Dia menguis-guis longgokan sampah berhampiran kejiranan kaya itu. Sekali sekala dia menyeka peluh di dahi. Pakaiannya yang bertampal dan berbau sudah tidak dapat dibezakan lagi dengan barangan terbuang yang dikutipnya. Dia mengukir senyuman sebaik terpandang sebuah komik.

“Mesti Wan suka! Taklah dia bosan lepas balik surau.” Meleret-leret senyuman Sabariah.

“Biar sejuk hati dia.Untung-untung aku tak dihantar ke sana,” ucap Sabaraiah.

Helaian yang kotor dikoyak. Dan kotoran yang tersisa disapu pada bajunya. Komik itu kemudian diselit di celah kain agar tidak kembali kotor. Bunyi loceng kedengaran jelas, tanda sesi persekolahan sudah tamat. Sebentar lagi jalan di situ akan riuh dengan budak-budak yang berjalan kaki untuk pulang; Ridwan juga akan melalui jalan itu.

Sabariah memercepatkan lagi kerjanya. Dia berkira-kira mahu pulang awal memasak untuk Ridwan. Sungguhpun begitu langkahnya terbatas kerana usia.

Apabila selesai Sabariah memikul guni berisi tin minuman dan sisa-sisa yang boleh dijual. Hanya beberapa langkah dia melangkah suara tuanya mendengking kesakitan.

“Aduh! Jangan…Jangan nak. Sakit mak cik,” rayu Sabariah.

Kejadian biasa yang harus dilalui Sabariah, malah semua penghuni Kampung Sampah, bila terserempak dengan anak-anak perumahan mewah di situ. Namun bukan kesemua mereka berkelakuan buruk hanya segelintir sahaja.

“Orang gila..Orang gila. Semua baling batu,” tempik mereka.

Hujan batu menujah Sabariah diikuti ketawa. Sabariah berjalan dalam payah. Dia risau jika Ridwan melihat kejadian itu tentulah anaknya akan malu mempunyai ibu sepertinya. Budak-budak itu masih mengejar dan mengekorinya. Dia tidak pedulikan semua itu yang penting Ridwan tidak melihat apa yang berlaku. JIka Ridwan tanya dia akan kata luka di badannya itu kerana sengatan tebuan.

Tujahan daripada batu yang lebih besar mengenai tepat ke betisnya menyebabkan dia menjerit nyaring. Dia menoleh dan hatinya menjerit lebih kuat, malah lebih memeritkan bila melihat Ridwan terpaku agak jauh seolah-olah cuba mengamati. Sejurus itu dia berlari mendapatkan Sabariah sambil menjerit “IBU!"

Sabariah kelu. Hujan batu sudah tidak menyakitkannya lagi. Apabila Ridwan mendekati dan cuba melindungi dengan memeluknya. Tiba-tiba tangan Sabariah melayang ringan lalu menampar pipi Ridwan. Suasana sunyi sejurus kemudian.

“Siapa kau! Memandai nak peluk aku. Pergi balik. Jangan kacau aku,” jerit Sabariah, kuat. Sengaja dikuatkan agar semua budak-budak di situ dengar. Terhincut-hincut dia meninggalkan Ridwan yang bungkam. Budak-budak yang lain ikut bungkam.

*******************

6.00 Petang-

Kerisauan Sabariah surut mendadak bila melihat kelibat Ridwan. Seperti biasa anaknya itu akan tersenyum lebar dan senyuman itulah yang menambah sayangnya kepada Ridwan. Tapi kenapakah anaknya sendiri sanggup membuangnya? Persoalan yang sama kembali menyoal hatinya.

“Assalamualaikum bu. Maaf Wan lewat hari ini,” ucap Ridwan, membuka kata, seolah-olah kejadian tadi tidak pernah berlaku.

“Wan.” Sabariah gugup.

“Pasal siang tadi.” Gugup Sabariah memuncak, tidak tergamak untuk dia meluahkan maaf.

“Bu tak salah dan Wan tak marah. Sudahlah jangan fikir yang bukan-bukan.” Ridwan senyum dan dia berharap ibunya juga akan ikut senyum.

“Bu! Malam ni Wan nak pergi basuh pinggan di restoren Abang Abdul Rahim.” Ridwan meminta kebenaran. Wajahnya sedikir gusar kerana dia tahu ibunya tidak suka dia bekerja.

“Belajar dulu Wan. Ibu tak suka anak ibu kerja, nanti letih. Belajarlah dulu Wan. Jangan jadi macam ibu. Hidup di dunia ni kena ada illmu. Nak ke akhirat pun dengan illmu. Wan kena faham betapa pentingnya illmu. Dah ibu tak izinkan,” tegah Sabariah.

“Bu izinkan Wan ya? Minggu ini saja. Buat bayar yuran peperiksaan. Minggu depan hari terakhir kalau tidak Wan tak boleh ambil periksa,” ucap Ridwan, lembut.

Sabariah termenung agak lama manakala Ridwan masih berharap ibunya memberikan keizinan. Sabariah barkalih punggung. Sebuah kotak mancis dikeluarkan dari dalam tin biskut. Dibelek-belek dengan wajah sugul. Namun dia sudah nekad biarlah Ridwan membencinya sekalipun, namun membiarkan anaknya sengsara tidak sama sekali. Dan biarlah wang itu menjadi pengorbanan terakhirnya sebelum dia dihantar ke rumah orang-orang tua.

“Janji dengan ibu.”

“Janji apa bu?”

“Bila dah cukup duit untuk bayar yuran mesti berhenti kerja.” Sabariah merenung tajam.

“Baik bu.” Ridwan senyum lebar, lega hatinya kini.

“Ambil kotak mancis ni. Dalamnya ada sedikit duit. Buat tambah bayaran yuran kamu. Janji denga ibu belajar rajin-rajin,” luah Sabariah, sebak. Tangan Ridwan digenggam erat.

“Insay-Allah! Besar nanti jika diizinkan Allah, Wan mahu bawa ibu duduk di rumah lain. Wan mahu balas jasa ibu.”

“Tak perlu. Cukuplah jika Wan dapat menolong orang yang susah. Jangan lupa bersedekah. Nanti Allah sayang.” Tawar sahaja jawapan Sabariah kerana harapannya sudah mati dikhianati Ridwan.

“Baik bu. Wan nak ke surau sekarang.”

“Masih awal. Tak makan dulu?” soal Sabariah.

“Mahu mandi di surau. Saya makan di surau bu sebab ada tahlil hari ini,” balas Ridwan. Selepas bersalaman dia menjinjing plastik yang berisi tuala dan sehelai baju melayu lusuh. Berat hatinya untuk menerima wang pemberian ibunya. Sungguhpun begitu demi menjaga hati ibunya diterima wang itu tanpa soal.

“Bila dapat bayaran membasuh pinggan aku akan pulangkan semula duit ibu. Anggaplah aku menjaga duit ibu untuk seminggu,” gumam Ridwan, sendirian.

***********************

11.00 Malam-

“Masih banyak pinggannya Wan?” soal Abang Abdul Rahim. Keningnya terangkat.

“Masih banyak. Tak putus-putus pinggan mangkuk masuk. Ramai benar pelanggannya ya?” aju Ridwan.

“Hari ni ada jamuan VVIP.” Jawab Abdul Rahim, pendek. Kemudian dia ketawa mendadak.

Wajah Ridwan diperhatikannya. Remaja itu agak dewasa berbanding usianya. Mungkin kerana kehidupan yang dilalui. Kalau diikutkan mahu sahaja diambil Ridwan atau ibunya bekerja tetapi dia risau jika diketahui pelanggannya. Mereka tentu akan pergi. Ini kerana sesiapa yang menjadi penghuni tempat pelupusan sampah akan dipinggirkan.

“Abang Abdul Rahim! Saya mahu minta tolong.” Ridwan mendongakkan wajahnya. Matanya menagih simpati sekaligus mencairkan hati Abdul Rahim.

“Ya,” dijawab Abdul Rahim.

“Hantarkan ibu saya ke rumah orang-orang tua.” Agak tergagap Ridwan berkata.

Abdul Rahim terbeliak marah. Matanya meratah setiap inci wajah Ridwan.Sungguh tidak disangka budak lelaki itu sanggup mengeluarkan ayat sebegitu.

“Anak derhaka. Tak cium bau syurga kamu nanti. Sia-sia aku ambil kamu kerja. Nampak saja baik, tapi sebenarnya berhati syaitan. Sanggup kamu hantar ibu sendiri ke rumah orang tua. Dasar anak tak kenang budi.”

Abdul Rahim berang, dan berangnya semakin menjadi-jadi bila Ridwan hanya membisu. Pekerja yang lalu tidak berani menegur kerana mereka sudah faham sikap Abdul Rahim. Namun dia kembali bertenang bila Ridwan menyuakan keratan akhbar dengan tajuk besar.

KEBURUKAN TEMPAT PEMBUANGAN SAMPAH

….Kerajaan telah memutuskan akan membina tempat pembuangan sampah atau tempat pembuangan akhir jauh dari kawasan kediaman berikutan laporan kesihatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Vektor Negeri yang melaporkan beberapa keburukan bakal dihadapi penduduk setempat…..

-Pencemaran air dan tanah

-Pelepasan gas Metana yang lebih merbahaya berbanding gas karbon dioksida, diakibatkan oleh sampah sarap yang mereput.

-Bahaya penyakit bawaan tikus, lipas, babi dan binatang liar yang berkeliaran.

Abdul Rahim tidak dapat meneruskan bacaannya. Hatinya sayu dan dia kini faham mengapakah

Ridwan berkata begitu.Namun dia masih tidak dapat menerima keputusan yang dibuat Ridwan.

“Carilah sebuah rumah murah, jika tidak sebuah bilik. Sanggup kamu berpisah dengan ibu sendiri. Atau mungkin kamu malu ada ibu seperti dia.” Abdul Rahim memberi cadangan diikuti menduga isi hati sebenar Ridwan.

“Ibu saya adalah dunia saya. Ketawanya adalah kebahagian saya dan tangisannya adalah duka saya. Ridwan menjawab dengan suara dalam kemudian dia megalihkan pandangannya.

“ Mungkin dia bukan wanita yang paling cantik, bukan yang paling cerdik, bukan yang paling hebat berpakaian dan bukan yang lain-lain juga. Tapi dialah jururawat ketika saya sakit, yang bersengkang mata di tengah malam. Penghibur yang paling memahami hati. Tukang masak yang paling handal. Guru yang telah mengajar saya erti hidup. Malah sanggup berlapar untuk memastikan saya makan. Patutkah saya malu mempunyai ibu sehebat dia,” luah Ridwan. Tangannya masih pantas membasuh dan membilas pinggan mangkuk.

“Apa yang saya lakukan mungkin nampak kejam di mata orang seperti abang. Tapi itulah yang mampu dilakukan oleh orang seperti kami. Orang yang maruah dan hatinya tidak pernah dipandang. Mungkin menghukum lebih sesuai untuk orang-orang kaya seperti abang.

Ridwan sinis, namun nadanya masih lembut menyebabkan Abdul Rahim sayu.

“Salah tu.”

Satu suara kedengaran dari pintu yang memisahkan di antara dapur dan tandas berhampiran.

Seorang lelaki separuh umur merapati Ridwan dan Abdul Rahim. Wajahnya tegas, bermisai tebal manakala pakaiannya berkot hitam legam, tentu dari jenis yang mahal. Ridwan kemudian memerhati kasut yang dipakainya.”HITAM BERKILAT”

“Maaf saya mencelah. Perbualan menarik yang tak patut saya lepaskan,” luah lelaki, ramah. Tetapi tegas.

“Dato Umar! Ada yang boleh saya bantu. Tak perlulah Dato Umar ke dapur,” tokok Abdul Rahim.

“Tak mengapa. Cuma mahu beritahu rancangan terbaharu kerajaan.”

“Rasanya Dato dah salah orang. Saya bukan orang politik,” jawab Abdul Rahim. Dia masih bingung dengan kata-kata Dato Umar.

“Saya terharu dengan kata-kata pemuda ni. Jadi saya harus menyampaikan berita gembira ini kepadanya. Sebenarnya begini. Kerajaan akan melaksanakan projek perumahan percuma untuk warga miskin. Rumahnya kecil tapi cukup selesa dan sempurna dengan dua bilik tidur. Saya akan tolong kamu dan penduduk tempat pelupusan sampah. Jadi tak perlulah kamu hantar ibu kamu ke rumah orang-orang tua,” ujar Dato Umar dengan riak wajah yang tegas.

“Alhamdullilah.” Ridwan meluahkan syukur kepada Allah s.w.t. Air matanya bergenang gembira.

“Ada lagi. Kerajaan juga sudah melancarkan rakan kerja untuk membantu mereka yang menggangur agar dapat berdikari. Nanti saya akan terangkan lusa. Tunggu saja kedatangan wakil saya. Untuk kamu saya akan minta biasiswa dan bantuan bulanan pelajar.”

“Terima kasih Dato,” ucap Ridwan. Malam itu hati dan fikirannya bebas. Dia sudah tidak sabar memberitahu ibunya malah Abdul Rahim turut senyum dan berjanji mengambil Ridwan dan ibunya sebagai keluarga angkat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.