Home Cerpen Seram/Misteri ABANG! JOM MAIN SOROK-SOROK
ABANG! JOM MAIN SOROK-SOROK
Sufi Abqari
17/4/2014 23:23:57
6,255
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Hari keempat berturut-turut aku lihat budak lelaki dekat selekoh Jalan Kemboja, berhampiran landasan keretapi lama. Aku tidak pernah ambil peduli. Manalah tahu dia sedang menunggu seseorang, dengar cerita berhampiran kawasan itu ada sebuah tadika. Tetapi apabila aku silau-silau dari dalam kereta tidak pula aku nampak. Yang tambah pelik aku habis kerja pukul enam petang dan akan tiba di selekoh Jalan Kemboja hampir magrib. Mana ada tadika buka sampai lewat petang.

“Ah… biarlah yang aku risau pasal apa pulak. Bukan urusan aku pun. Entah anak siapa pun aku tak tahu. Keluarga dia pun satu. Biarkan budak kecil tu merayap tak tentu hala. Kena culik baru padan muka. Mintak-mintak anak mereka kena culik. Baru menangis.” Aku jadi meluat tiba-tiba.

Macam biasa, aku lalui lagi Jalan Kemboja, dan macam biasa aku pasti budak kecil dengan sekaki payung dan seekor teddy bear coklat pasti berada di situ.

“Mesti budak kecil tu tengah merayap macam biasa kat situ. Nasib baik bukan adik aku. Kalau tak aku lempang dah.”

Jangkaan aku tepat seratus peratus. Budak lelaki itu masih diselekoh, bermain-main dengan kelikir halus. Terlompat-lompat macam beruk kena belacan. Hari ini agak lain kerana dia bawa beg galas.

Lima belas minit sebelum tiba ke Jalan Kemboja, suasana bertukar sunyi dan muram. Memanglah sebab kawasan itu merupakan jalan lama yang jarang dilalui. Lebuh raya sudah terbina, jalannya juga lebih selesa. Salah satu faktor kenapa Jalan Kemboja sepi. Tapi bagi yang bergaji ciput macam aku. Jalan Kemboja adalah penyelamat ekonomi.

Nyalaan lampu keretaku menagkap susuk tubuh budak itu yang meluru ke tengah jalan raya. Aku tekan pedal brek. Terdorong aku ke depan.

“Gila punya budak. Silap hari bulan arwah aku,” terbutang mataku menatap budak itu. Gigiku terketap-ketap menahan geram. “Buk…” aku buka pintu kereta. Melaju aku ke arah budak itu.

Bila aku hampiri budak itu melompat-lompat ceria. Senyum dia lebar sampai ke telinga. Makin suka dia, makin kuat dia ketawa.

“Yeh… yeh… abang datang. Yeh… yeh… abang datang nak main dengan adik.” Budak itu terus melompat.

“ Adik buat apa kat sini. Pergi balik. Orang tak merayap waktu macam ni. Nanti keluar hantu, habis disedut darah adik tahu.”

Lompatan budak kecil itu terhenti. Direnung wajahku. Dia senyum. Agak lama jugalah dia senyum. Kemudian tanpa sebab dia ketawa. Dicapai tangan teddy bearnya. Kemudian berkata.

“Abang ni orang ajak main, dia suruh kita balik. Usik hantu pula tu… macamlah dia berani sangat.” Budak itu cium teddy bear berkali-kali. Baru aku perasan teddy bear itu tiada mata. Mungkin hilang.

“Abang tak takut hantu, tapi hantu yang takut dengan abang,” nada angkuh terbit. Aku senyum mengusik. Budak itu buat muka biasa.

“Abang main dengan adik nak tak?” tanya budak kecil itu.

Aku perhati sekeliling. Makin gelap makin seram. Bunyi kersikan dedaun meremangkan bulu roma. Angin tiba-tiba bertiup laju. Aku perhati budak kecil itu. Matanya mencerlang memandang, bibirnya terkumat-kamit. Aku jadi pelik. Sebenarnya aku jadi cuak.

“Main apanya. Dah pukul berapa ni. Dah malam. Pergi balik. Karang mak adik risau,” halau aku. Budak kecil itu ketawa lucu.

“Abang takut hantu ya… kata berani… hantu suka orang penakut tahu tak?” aju budak kecil itu. Seketika dia sengih pelik. Kemudian melompat.

“Abang takut hantu? Tolong sikit. Setakat hantu tu, abang pelempang bodoh saja.” Aku masih bernada angkuh. Malulah kalau depan budak kecil pun aku tunjuk kecut.

“Adik tak nak balik. Adik nak main. Tu…” dia tala jari ke belukar berhampiran.

Baru aku perasan disebalik belukar samar cahaya memancar.

“Rumah adik ke kat situ.” Aku juih mulut. Ragu.

“Bukanlah… tadika. Jom main kat situ nak. Cikgu adik kata kalau mak lambat ambil boleh tunggu kat tadika.” Budak kecil itu cium teddy bearnya lagi.

“Main kat sini dahlah. Lampu jalan ni kan ada,” bantahku.

Budak itu masih kembali melompat. “Yeh… yeh… abang nak main.”

“Nak main apa. Cepat sikit abang nak balik rumah lekas ni,” gesaku. Aku pun pelik macam mana aku boleh setuju.

“Tapi ada syarat tau kalau nak main,” tokok budak kecil itu.

“Apa-apa lah adik oiii… abang tak boleh lama-lama. Cepatlah sikit,” desakku.

“Siapa yang menang dapat dua mata.”

“Setuju. Jangankan dua mata sepuluh mata pun abang bagi. Nak main badminton ke?” ajuku resah. Jam ditangan dah menunjukkan angka sembilan. Perut makin keroncong.

“Yeh… yeh… abang nak main dengan adik.” Budak kecil itu kembali melompat.

“Kita main sampai dua mata dah lah. Abang kan nak balik jauh.” Budak kecil itu melentokkan kepala ke kiri. Senyum pelik kemudian.

“Nak main apa?” ajuku.

“Kita main sorok-sorok nak,” pinta budak kecil.

“Sorok-sorok apanya malam-malam macam ni. Gelap tak nampak apa-apa. Kalau abang menyorok adik tak dapat cari punyalah.” Aku bantah.

“Kita main kat tadika, nak? Jomlah… abang. Kesian kat adik. Kali ni saja,” rayu budak kecil.

Aku tenung budak kecil tu. ‘Huh’ malas hendak melayan. Tapi bila tenung wajah dia tidak sampai hati pula. Alih-alih aku setuju. Budak itu apa lagi makin galak dia melompat. Sebenarnya dalam setuju aku seram sejuk, manakan tidak sunyi sepi, tiasa kenderaan yang lalu. Bulan pun tidak muncul-muncul. Gelap-gelita. Mujurlah ada deretan lampu jalan, tapi sayang hanya sebatang yang menyala. Itupun malap.

Dari jauh sudah dapat kulihat sekolah tadika. Tidak ku sangka masih wujud sekolah lama. Gerbang batu menyambut kami. Sebuah pondok menyala. Pastilah ada jaga di situ. Tekaan ku tepat. Jaga tua senyum kelat, sebelah matanya cacat. Ada parut yang menuruni dari pangkal dahi hingga ke dagu.

“Assalamualikum encik,” salam ku aju.

Tidak bersambut. Jaga itu buat tak tahu. Belum sempat aku ulang salam, budak kecil itu menarik tanganku. Aku terdorong mengikut. Aku hanya menuruti langkahnya. Kali pertama aku turutkan kemahuan budak kecil. Biasanya aku pantang dengan kerenah budak kecil.

“Dah sampai. Ni lah kelas adik. Cantik tak,” senyum seram terukir.

Sarang labah-labah memenuhi kelas itu. Kerusi dan meja patah juga banyak. Malah debu-debu halus melata. Lebih tepat kalau dikatakan sebuah stor.

“Ni stor, bukan kelas. Bau hapak, sakit hidung. Bau apa yang busuk semacam ni,” geram aku terluah. Budak kecil itu mencemik.

“Mana ada bau busuk. Bau wangi adalah. Hidung abang yang tersumbat,” rengus budak kecil itu. Dihentak kecil kakinya.

“Dah lah. Cepat mula, nanti lambat pula abang nak balik. Kamu kira.”

“Abang lah kira. Nanti abang menang dapat dua mata. Lepas tu baru adik pula kira,” rajuk budak kecil tu.

“Ok lah… cepat sikit. Aku mula mengira. Habis kira kubuka mata. Bilik darjah bertukar suram. Mentol lampu buat hal, berkedip-kedip. Dalam samar aku terkejut bila kulihat jaga tercegat di muka pintu.

“Pergi balik sekarang!” tengking jaga tua itu. Dia ludah ke kiri. Aku jadi panas dengan tingkahlaku itu.

“Aku akan balik bila aku nak. Kau siapa nak arah-arah aku?”

Jaga itu berlalu. Sempat dijeling aku. Susuk tua yang agak terbongkok itu jalan terkangkang.

“Dah macam kongkang aku tengok. Masih ada hati nak sembur aku. Ni lah masalah orang tua. Nak suruh yang muda hormat, tapi mereka macam lanun.”

Aku tersentak bila teringat permainan yang sedang berlansung. Pantas aku membuka langkah, mencari. Aku selongkar timbunan kerusi lama. Terbatuk-batuk bila debu berterbangan. Malah wajahku diselaputi sarang labah-labah. Aku menapak ke belakang.

“Sekolah apa macam ni. Aku tengok dah macam rumah hantu. Habuk penuh. Bau punyalah hapak.”

Aku masih mengomel-ngomel. Dan omelanku terhenti bila terdengar suara budak lelaki ketawa di bilik sebelah. Aku senyum kerana pasti itu suara budak lelaki itu. Apa lagi terjingkit-jingkit aku ke bilik darjah sebelah. Terintai-intai mencari kelibat budak kecil itu.

“Hah dapat jugak kau budak. Macamlah aku tak nampak kau duduk bersila atas almari buku tu.”

Sepantas kilat aku terjah.

“Dapat… abang dah dapat adik. Sekarang adik pula yang jadi.” Aku jadi bersemangat melayan. Lagi pun esok cuti. Tak salah aku temankan budak kecil itu sehingga ibunya menjemput.

Bilik darjah itu hanya disirami lampu suram. Aku jadi pelik, manakan tidak dalam kepesatan pembangunan masih ada sekolah yang daif. Hidungku menular laju. Menghidu-hidu sesuatu. Kalau boleh aku katakana ia adalah sesuatu yang amat memualkan dan berbau hanyir. Hampir termuntah aku.

Budak kecil itu ketawa tiba-tiba.Mulanya kecil, kemudian menjadi nyaring. Meremang bulu romaku. Aku tenung wajahnya. Dia balas renunganku tanpa berkelip mata. Seram meramas hati. Aku jadi resah. Air liurnya menitik.

“Abang balik dululah.” Aku berpusing.

“Abang dapat cari adik. Bermakna abang dapat dua mata. Nah… ambil ni.” Budak itu berkata sayu.

Aku berpusing. “Pritt…” Bunyi sesuatu dipijak. Aku angkat kaki. ‘Ah… mungkin lipas. Tapi terasa seperti terpijak guli. Aku rendahkan badan, ku ambil dan kutilik. Aku muntah.

“Abang tak suka ke dengan mata adik.” Budak itu berdiri dan menghentak-hentak kaki. Mendengus marah, kemudian bernada sayu.

“Abang pijak mata adik. Abang tak suka main dengan adik.”

Aku angkat kepala. Terkejut bila kulihat wajah tanpa mata. Budak itu benar-benar tidak bermata. Dua lubang hitam kelihatan.

“Tak apalah abang... adik ada mata lain,” nada seram bergetar.

Beg yang digalas, ditarik zipnya. Aku masih terpaku. Kakiku menggeletar, tidak mampu dihayun. Sebuah kotak kecil dikeluarkan. Dan aku yakin bau busuk dan memualkan itu adalah daripada kotak yang sedang dipegang.

“Kenapalah aku tak perasan dari tadi,” makin kuat gigilan badanku.

“Adik ada banyak mata. Ada yang biru, hijau, koko. Tapi yang hitam dah hancur abang pijak.” Budak itu tenung marah. Dilempar kotak yang dipegang, maka bertaburanlah bola-bola mata. Malah ada bola mata yang sudah reput dan berlendir. Baunya usah diceritakan. Tidak sanggup dibayangkan walau hanya sesaat.

“Adik pakai mata hijau. Cantik tak.” Budak itu menolak-nolak bola mata ke soket mata. Agak payah kerana sekali dua dia menjerit. “Arrr…” Amat menyeramkan.

Lendir pekat berbuih mengalir daripada alis matanya. Ada secarik daging yang terjuntai. Makin menakutkan bila dia senyum. Aku terkencing.

“Sebab abang dah pijak mata adik. Sebagai balasan abang menyorok dan adik pula yang cari. Siapa yang menang dapat dua mata.” Budak itu melompat daripada atas almari buku. Dia kini berdiri betul-betul di hadapanku. Ah! Amat meloyakan bila wajah itu dapat kulihat jelas. Mengerutu macam kulit katak. Bersiung pendek. Matanya hampir lunyai. Mungkin kerana ditekan kuat ketika dimasukkan ke soket mata.

Budak kecil itu senyum. “Adik dah nak kira ni. Abang pergilah menyorok.” Budak itu melentokkan kepala. Macam hendak patah leher dia aku lihat. “Tak sabar nak dapat dua mata.” Dia mula mengira.

Dalam payah aku pegang peha dan kuangkat. Aku hayun kaki setapak demi setapak. Gigilan badanku makin menjadi-jadi. Peluh jantan ku menyimbah keluah, lencun baju dan seluarku. Bila sahaja melangkah keluar dari pintu, semangat ku terbit sedikit. Berbekal semangat yang tersisa, aku pergi ke pintu pagar, tapi malang pagar berkunci. Lelaki tua itu berdiri di balik pagar. Aku sedikit lega.

“Tolong saya pak cik. Buka pintu pagar ni,” rayuku.

“Kau siapa nak arah aku. Aku hanya buat kalau aku mahu. Tak payah nak arah-arah aku.” Lelaki tua itu memangkah.

“Pagar ni berkawat tajam. Saya tak boleh keluar. Selamatkan saya. Ada hantu!” makin kuat rayuanku.

“Abang… abang… abang kat mana. Adik tengah cari ni,” sayu budak itu menyeru. Makin biru wajahku.

“Pergilah kau menyorok. Kau dah setuju nak main dengan dia kan. Kau tahu tak kenapa sekolah ni berkawat di sebelah atas. Supaya orang sombong macam kau tak boleh lepas. Biar budak tu dapat mata baru. Tadi aku suruh kau balik degil. Sekarang aku dah tak boleh tolong,” leter lelaki tua itu. Tiada belas ditunjukkan.

“Pak cik tak kasihankan saya.” Aku pujuk.

“Tak… cuba kau tengok parut kat muka aku. Sebab tolong orang macam kau lah aku kena serang hantu tu. Sudahlah aku nak balik. Kau terimalah nasib kau.” Lelaki tua itu menapak laju.

Aku menjerit, minta diselamatkan. Suara budak kecil itu semakin sayu, makin meratah semangat yang tersisa.

“Abang… abang… abang kat mana. Abang kat pintu pagar ya? Jangan lari, nanti adik ikut,” ketawa mengilai bertebaran.

Dari tingkap kaca tingkat dua budak kecil itu senyum. Aku berlari menuju ke tangga. Apa pun yang terjadi aku harus menyorok hingga esok pagi. Orang kata hantu tak keluar siang.

“Yeh… yeh… dah jumpa abang. Abang jangan lari. Adik dah menang dua mata,” jerit budak itu garau.

Makin laju aku berlari. Aku sudah nekad mahu kunci pintu dan berkurung hingga matahari terbit. Mungkin sudah rezeki, sebuah bilik bersebelahan pokok besar terkuak daun pintu.

“Ada juga tempat aku nak sembunyi. Aku kena cepat sebelum mata aku kena cungkil.” Aku melangkah laju. Masih menggigil. Bau hancing seluar menyengat hidung. “Kalau orang tahu aku terkencing sebab takutkan hantu. Mampuslah kena gelak sakan.”

Tergopoh-gapah aku masuk. Kukunci pintu dari dalam, malah kayu berhampiran aku guna buat sendal pintu. Makin kuat makin selamat.

Aku hampir menjerit bila berpusing, rangka-rangka berulat tergantung. Tiga kesemuanya. Bau busuk usah diceritakan. Yang pasti ketiga-tiga tidak bermata.

“Mesti setan tu punya kerja,” geram dan takut saling memaut. Aku tidak tunggu lama. Aku menyelinap di antara timbunan meja dan kerusi lama. Aku duduk diam. Aku tenang kerana merasakan aku selamat. Tapi bau busuk daging mereput dan hanyir darah betul-betul memualkan. Aku tetap bertahan.

Pintu bilik diketuk berkali-kali. Suara garau itu ketawa mengilai, kemudian bertukar kepada tangisan sayu budak kecil.

“Abang tipu adik… kata nak bagi mata kalau adik menang. Abang sama macam orang lain suka tipu. Adik benci abang…” makin nyaring suara budak itu menangis.

Tingkap kecil di sudut membenarkan cahaya bulan memancar masuk. Terhayun-hayun mayat-mayat itu. Aku tidak tahu kenapa, sedangkan angin tidak bertiup.

“Ah… sudah. Makin berat dah ni. Macam mana aku nak lari.”

Pintu bilik ditendang. Mula-mula perlahan kemudian bertukar kuat.

“Abang bukalah pintu. Adik nak mata,” tekan budak itu. Suara garaunya bergema.

“Buk!” kayu yang kusendal tergolek jatuh. Pintu dipulas berkali-kali. Akhirnya terbuka juga. Budak itu terlompat-lompat dan berpusing-pusing riang.

“Yeh… yeh… abang nak bagi mata. Yeh… Yeh… adik dapat mata.” Budak kecil itu sangat gembira. Dalam suluhan cahaya bulan dia menyeringai. Macam serigala bila kulihat barisan giginya. Matanya terbuka luas dan mencerlang merah. Bulu romaku makin meremang.

Masih terlompat-lompat dan ketawa. Akhirnya budak kecil itu berhenti menunding jari kepada setiap jasad yang tergantung.

“Satu dah mati… dua dah mati…” ketawa mengilai seketika. “Tiga pun dah mati… bila empat nak mati.”

Aku tersentak. Kali kedua aku terkencing.

“Bila empat nak mati… adik tanya ni, bila empat nak mati…” Budak kecil itu menangis sayu. Digosok matanya. Tidak lama dia memusingkan kepala ke arah kedudukanku lalu ketawa lagi, menyeringai gigi-giginya.Kemudian bagun dan melangkah.

“Abang keluarlah adik nak mata.”

Aku kelu. Pegun. Ketawa budak itu makin menggila. Kerusi dan meja, dilempar satu persatu. Sungguh luar biasa kudratnya. Akhirnya kami betul-betul bertentang mata. Dia menyeringai. Baru kuperasan, kuku-kukunya panjang meruncing. Matanya makin terbelalak gembira.

“Abang nak mata!” jerit budak itu, bau hanyir daripada mulutnya merimaskan pernafasan.

Tangan kecil dengan kuku runcingnya kini sedang menjerut leherku, tersengih-sengih dia seperti joker. Aku terdorong ke belakang dan separuh terlentang, sebaik wajahnya menghampiri , cecair busuk daripada matanya jatuh mengenai wajahku. Loya menyerang tiba-tiba, namun dengan leher yang sedang dicengkam kemas adalah mustahil untuk aku muntah.

“Abang… adik nak mata.” Jerit budak itu.

“Jangan bunuh aku… jangan ambil mata aku…” rayuku.

“Boleh!! Tapi abang kena bawa adik balik. Adik tak mahu duduk kat tadika ni. Adik nak abang.”

“Kau s-setan. Mana boleh ikut aku…” terketar-ketar aku menjawab. Tanganku meraba-raba mencari sesuatu untuk dijadikan senjata.

“Srrrrg,” satu cakaran singgah ke pipiku. Pagi itu jeritanku bergema lantang bila kuku runcing budak itu dibenamkan ke kulit wajahku. Terasa perit dan aku yakin darah pekat pasti sedang mengalir keluar. Tidak menunggu lama budak itu menjelirkan lidah.

Saling tidak ubah seperti lidah ular yang bercabang. Makin ghairah matanya mencerlang. Tidak menunggu lama budak itu medaratkan lidahnya yang luar biasa panjang itu ke pipiku. Dijilat-jilat darah yang keluar berteman dengusan nafas bernafsu. Mungkin dia begitu menikmati kemanisan darah lelaki muda.

Sedang lidahnya menjilat rakus, sebelah lagi tangan mengusap-usap mataku, sesekali dia mendecit lucu seakan-akan gembira yang mataku bakal menjadi miliknya. Namun aku sudah nekad kalaupun ini adalah akhir hidupku. Aku akan pastikan aku mati tanpa menyerah bulat-bulat.

“Hiahh..” Aku benamkan satu tusukan ke perut syaitan kecil itu.

“Arrrg…” Jeritan nyaring bergema, menggegarkan kawasan sekitar seperti gempa bumi sedang berlaku. Mayat- mayat yang bergantungan terbuai laju, timbunan kerusi meja jatuh berselerakan. Aku tendang budak kecil itu dan bingkas bangun lalu berlari keluar.

“Abangggg… adik nak mata,” jeritan budak itu makin menggila. Aku toleh sekilas ke belakang, budak itu sedang merangkak lemah.

Aku sudah nekad mahu ke pintu pagar, mahu kupecahkan rantai yang melingkar. Aku pasti aku boleh melakukannya. Walau pun ketakutan namun ini bukanlah masa terbaik untuk aku membiarkan ketakutan menghalang.

Sebaik tiba, kutarik rantai yang melingkar dengan harapan rantai itu akan terbuka, namun besi tetap besi bukan sesuatu yang ampuh.

“Abang… abang… adik nak mata,” sayu kedengaran suara budak kecil itu memanggil, kutoleh dan dalam terang bulan kulihat budak itu berjalan perlahan dengan perut tertusuk kayu.

“Matilah aku kali ni…” Makin laju tanganku merentap rantai yang melingkar. Mataku pula menyilau-nyilau memerhati keadaan sekeliling dan budak kecil itu yang menapak lemah.

“Kenapalah sial sangat rantai ni…” dengusku marah berteman takut yang makin melimpah.

Dari balik semak di hadapanku jaga tua muncul lagi dengan langkah terkangkangnya. Perlahan dan berhati-hati.

“Pak cik… tolong saya.” Aku menjerit.

Kutoleh ke belakang, syaitan kecil itu semakin menghampiri. Makin kuat jeritanku minta simpati.

“Pak cik tolong saya… saya minta maaf. Saya buat apa saja, asalkan pak cik bukakan mangga ni,” rayuku sepenuh jiwa. Aku rasa inilah rayuanku yang paling terdesak dan ikhlas.

“Betul kau nak buat apa saja yang aku mahu.”

“Ya! Pak cik. Saya buat apa saja, asalkan saya lepas.” Aku taut kedua belah tangan, merayu lagi.

Jaga tua itu senyum tanda setuju. Sebaik tiba, selaju mungkin dia meleraikan rantai yang tersimpul. Aku jadi gembira. Sebaik pintu terbuka kedengaran raungan hiba budak kecil itu.

“A-abang… kenapa tipu adik.”

Aku nekad tidak mahu menoleh, terlalu seram untuk ditatapi wajah budak kecil itu. Aku menghayun langkah selaju mungkin. Derap langkahku pantas dan laju, namun terhenti tiba-tiba. Terlalu payah untuk aku melangkah. Lelaki tua itu ketawa tiba-tiba.

Tanpa aku sedari, rupa-rupanya seutas tali telah dijerut ke leherku sewaktu aku melangkah. Aku diseret kembali melewati gerbang batu itu.

“Berani kau tusuk anak belaan aku hah.” Rungut lelaki tua marah.

Sekali lagi tawa nyaring memecah perkarangan tadika itu. Budak kecil itu berpaut pada kakiku.

“Abang dah balik… Lepas ni adik ambil mata abang ya… adik nak simpan dalam tin.”

Aku ditarik memasuki bilik tadi, nafasku semakin sesak bila budak kecil itu menindihku. Tanpa sempat aku merayu, kuku tajamnya dibenam ke soket mata. Aku meraung dan dapat aku rasakan darahku terpercik. Lelaki tua itu hanya membatu di sudut pintu. Makin gembira budak itu, semakin rakus dia mengorek mataku. Mataku tercabut. Terasa urat perutku tersentak akibat kesakitan yang tidak mungkin aku bayangkan itu.

“Yeh…yeh… dapat satu mata,” nada gembira bergema. Melalui satu mata yang tinggal bersama pandangan yang pecah aku lihat mataku dijulang tinggi. Mata itu bersalut darah dan cebisan daging terjuntai terayun-ayun bila tangan syaitan kecil itu bergerak.

Budak lelaki itu sangat gembira bila melihat kejayaannya. Aku sudah semakin lemah untuk melawan.

“Arrrrg…” itulah jeritan paling dasyat pernah aku jeritkan apabila kuku tajam itu dibenam ke dalam mataku yang terakhir. Dan jeritan kesakitan itu adalah melodi yang terindah dicuping dia. Tidak berapa lama badanku terdorong naik dengan ikatan yang semakin menjerut, aku pasti yang lelaki tua itu sedang menaikan tali melintasi alang kayu seperti apa yang telah dilakukan kepada mayat-mayat yang lain.

Aku menggelupur kecil dan itu sudah cukup untuk mengundang tawa budak kecil itu. Buktinya dia kembali terlompat-lompat.

“Yeh.. yeh… abang nak tinggal dengan adik.” Aku dapat mendengar jelas bunyi lompatan itu. Dan makin lama bunyi lompatan itu semakin menghilang bersama menghilangnya nyawaku.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.