Home Cerpen Seram/Misteri MANCIS
MANCIS
Sufi Abqari
21/4/2016 19:21:07
6,748
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang



Setiap hari kisah silih berganti. Suka, duka berputar bagai roda. Akhirnya ia menjadi kenangan. Malah kalau kena gaya boleh jadi lagenda.

Tengah hari ini matahari masih diselubungi langit hitam. Hujan sudah berlarutan hampir seminggu. Jalan-jalan raya dipenuhi kenderaan yang bergerak bagai semut, lambat. Malah kedai-kedai hampir ditutup awal. Angin menggila datang tak dijangka.

Di sebuah taman perumahan, di rumah paling hujung. Biah sedang berteleku di atas lantai dengan sekotak mancis yang baru dibeli pagi tadi.

“1,2,3,4…..25…” Biah ralit mengira.

Anaknya, Mazuin muncul dari arah dapur. Dia bersimpuh bersebelahan Biah.

“Sudah-sudahlah tu mak. Mana ada benda-benda tu semua.”

“Ish! Budak ni. Jangan kacau mak. Pergi main dekat lain.”

“Mak masih percaya cakap-cakap jiran dekat sini. Pasal gadis mancis tu?” aju Mazuin. Keningnya terjungkit. Dia masih menantikan jawapan Biah.

“Kita ni baru pindah. Apa orang kata kita buat sajalah.”

“Nak mengikut pun, biarlah bertempat.”

Tiba-tiba Biah menjerit kecil dengan wajah pucat. Tangannya menggeletar. Diperhatikan anak mancis terakhir. Dia mula bersuara.

“Ganjil… Mancis dalam kotak ni terlebih satu,” kata Biah gugup.

“Tak ada apa-apalah. Gadis mancis tu tak pernah wujud.”

Tangan Mazuin ditepis. Biah tak benarkan anaknya menyentuh kotak mancis itu. Mazuin masih pelik melihat wajah pucat ibunya. Hanya kerana kisah karut taman perumahan itu. Kisah kematian seorang gadis yang dipaksa menjual mancis oleh ibu tirinya. Mati di sebuah lorong kedai akibat kesejukan musim hujan. Dikisahkan gadis itu tidak dibenarkan masuk ke rumah selagi jualannya belum habis.

Kata jiran-jiran yang mengaku sebagai orang lama di situ. Waktu gadis itu mati, tubuhnya dirasuk jin dan hilang tanpa jejak. Hanya muncul bila bekalan elektrik putus atau kesemua lampu dipadam. Konon-kononnya setiap rumah harus membiarkan satu lampu terpasang. Kegelapan adalah jemputan buat gadis mancis. Tapi tak perlu risau. Paling teruk hanya wajah pucat hodoh dengan tubuh basah kuyupnya saja yang kelihatan. Keesokan harinya tuan rumah boleh lihat lantai mereka basah. Namun ada pantang yang harus dipatuhi. JANGAN sesekali gunakan anak mancis ganjil. Mazuin mengeluh sejurus itu. Cerita yang tak dapat dicerna akal seorang siswazah sepertinya.

“Kau pergi campak mancis ni,” arah Biah. Lamunan Mazuin dicantas.

“Kita tak beli mancis dengan air liur mak. Sayang kalau buang.” Mazuin membantah.

“Kalaulah nyawa boleh beli dekat pasar, memang aku tak buang dah.”

“Kalau benda tu wujud pun, apa yang dia boleh buat.”

“Kau jangan lancang sangat Ma. Bertapis sikit. Buatnya dia tengah dengar.”

“Kenapa? Dia nak bunuh kita. Hah… bunuhlah kalau berani.”

“Kau tak mahu, biar mak yang buang.”

Biah mula bangun, tetapi langkahnya terhenti. Mazuin menghalang.

“Biar Ma yang buang. Nanti tak pasal-pasal mak demam kena hujan.”

Sebaik mancis di tangan Biah diambil, Mazuin mula melangkah. Sempat di gores sebatang anak mancis. Dia gembira melihat wajah pucat ibunya bertambah pucat. Sekurang-kurangnya dia dapat menyakat ibunya. Angin kuat menderu masuk ketika pintu dikuak. Pastilah malam ini ribut akan melanda. Mazuin hampir tergelincir ketika melepasi tiang garaj. Mujur tangannya cepat berpaut pada tiang.

Mata Mazuin melilau sejurus itu. Nafas keras kedengaran berbolak-balik dalam udara sejuk. Nafas yang sedang menggigil. Seketika itu bau tipis belerang terbakar melular memasuki lubang hidungnya.

“Bau apalah yang pelik ni. Ah! Tak kisahlah.”

Mazuin terkejut. Rasanya jantung dia boleh tercabut. Seorang budak perempuan dengan rambut perang paras pinggang sedang mengerekot bersebelahan keretanya. Gadis itu kesejukan. Sebuah bakul terisi dengan berkotak-kotak mancis ada bersebelahannya.

“Adik ok?” aju Mazuin.

Gadis itu masih menggigil kesejukan.

“Adik ok?” tanya Mazuin lagi. Dia mula melangkah merapati. Matanya dibesarkan. Kawasan bersebelahan kereta gelap kerana agak tersorok. Lebih gelap akibat langit hitam. Hujan pula makin lebat.

Gadis itu mengesot makin ke dalam, menghampiri dinding paling hujung.

“Jangan takut dik. Mari sini,” pujuk Mazuin, tidak berhasil. Budak perempuan itu masih mengesot. Nafasnya mulai lemah. Kemudian ketawa. Mulanya perlahan sebelum bertukar nyaring.

Dari belakang bahu Mazuin ditarik. Bila berpaling, ibunya cepat-cepat menarik lengannya sekaligus memaksa dia ikut berlari ke dalam rumah. Dan pintu dihempas kuat sejurus itu.

“Apa ni mak. Nak tercabut tangan Ma mak tarik.”

Mazuin mula melangkah mahu membuka pintu.

“JANGAN!” jerit ibunya.

“Kenapa?”

“Tak ada apa-apa… Cuma… Mak takut Ma demam.”

11 MALAM

“Ingat Ma, apa pesan mak tadi. Jangan kau sahut atau tegur apa yang kau dengar, rasa atau lihat,” pesan Biah.

“Tak habis-habis lagi ke, mak ni.”

“Janji dengan mak!”

“Baiklah mak. Ma nak naik tidur dulu.”

Sebaik berbaring di atas kati, tangan Mazuin menekan-nekan punat telefon. Dia teruja menceritakan kepelikan ibunya kepada Maria. Maria ketawa terbahak-bahak. Dia tidak percaya ibu Mazuin sekolot itu. Perbualan mereka terhenti bila Mazuin tidak lagi membalas masej Maria. Dia sudah tertidur.

“Meowwwww….”

Mazuin tersentak mendadak dari tidur. Dia resah mendengarkan suara Tabby. Mungkin si kucing parsi manja itu sedang bergaduh.

“Meowww…meowww…”

Suara Tabby makin menyayat hati Mazuin. Kucing itu adalah keluarganya. Dia hairan kenapa ibunya melepaskan Tabby malam ini. Difikir-fikir ibunya memang tidak sukakan Tabby. Kata ibunya Tabby membuatkan rumah mereka berbau busuk. Tambahan pula bulu Tabby melekat hampir ke segenap perabut.

“Mak ni, sanggup dia biarkan Tabby di luar. Si Tabby tu sudahlah manja. Nampak gaya aku kena keluar ambik Tabby.”

Bau nipis belerang meyerbu masuk ke hidung sebaik pintu bilik dibuka. Kedengaran juga suara budak perempuan sedang membilang sesuatu. Diikuti jeritan Tabby. Mazuin pasti kucingnya sedang mengerang kesakitan.

Mazuin petik lampu, namun tidak menyala. Dia hairan. Mustahil bekalan elektrik terputus. Kali ini semua suiz dipetik. Ternyata bekalan elektrik benar-benar terputus.

“Menyesal tak bawa telefon tadi. Ah! Tak apa.”

Dalam gelap Mazuin meraba-raba. Mencari sesuatu. Akhirnya dia senyum bila terpegang sekotak mancis yang tidak sempat dibuangnya petang tadi. Lebih tepat, mancis itu sempat dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Seterusnya dicari lilin. Tetapi gagal dijumpai. Jadi dia putuskan akan menyalakan anak mancis secara bergantian apabila padam. Tiba-tiba dia teringatkan pesanan ibunya.

“Mengarutlah. Mana ada gadis mancis.”

Sebaik anak mancis pertama dinyalakan ketawa pecah dari halaman rumah. Mazuin yakin itu suara budak perempuan yang tumpang berteduh bersebelahan keretanya petang tadi.

“Tak balik-balik lagi budak ni. Jangan-jangan dia yang kacau kucing aku. Mesti baru pindah dekat kawasan ni. Tak boleh jadi, silap haribulan mati Tabby. Anak sapalah yang jahat sangat tu.”

Daun pintu ditolak perlahan. Mazuin takut kalau-kalau angin kuat memadamkan anak mancis yang sedang dinyalakan. Jadi dia melingkung anak mancis dengan tapak tangan. Mujur malam ini bulan terang. Kelibat budak perempuan dalam simbahan cahaya sangat cantik pada matanya. Tambah cantik bila rambutnya memantulkan kilauan cahaya. Tapi Mazuin tahan nafas tiba-tiba.

Tabby masih terjerit-jerit. Mazuin melangkah perlahan-lahan. Dia pasti Budak perempuan itu sedang melakukan sesuatu kepada Tabby. Bau belerang dan hangit bercampur. Ada sesuatu sedang dibakar. Mazuin hampir menjerit bila melihat budak perempuan itu sedang membakar bulu Tabby dengan anak mancis. Satu persatu anak mancis dibakar dan disua pada bulu Tabby. Mazuin pegun. Kakinya ketar. Tidak tahu mengapa. Sukar digambarkan samada dia marah, geram atau ketakutan. Dia hanya mampu melihat tanpa bersuara.Seolah-olah dia telah diarah untuk menyaksikan kekejaman budak perempuan itu.

Akhirnya Mazuin tersentak bila jeritan Tabby makin nyaring. Dia mula bersuara dalam payah.

“Hey… Kau buat apa tu. Lepaskan kucing aku. Pergi balik.”

“Haha…Kelakarlah, cara kucing ni ketawa. Lepas ni giliran akak dengan perempuan dalam rumah tu pulak ketawa.”

“Siapa suruh merayap rumah orang malam-malam buta ni. Pergi balik.”

Kanak-kanak perempuan itu mula mendongak, memandang Mazuin. Hampir pitam dia bila melihat bola mata kanak-kanak itu berapi-api. Dia cuba menjerit. Namun kanak-kanak itu terapung lalu meletakkan jari pada bibirnya.

“Ssss… Bila mancis digores, yang ganjil adalah aku.”


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.