Hari keempat berturut-turut aku lihat budak lelaki dekat
selekoh Jalan Kemboja, berhampiran landasan keretapi lama. Aku tidak pernah ambil
peduli. Manalah tahu dia sedang menunggu seseorang, dengar cerita berhampiran kawasan itu ada
sebuah tadika. Tetapi apabila aku silau-silau dari dalam kereta tidak pula aku
nampak. Yang tambah pelik aku habis kerja pukul enam petang dan akan tiba di
selekoh Jalan Kemboja hampir magrib.
Mana ada tadika buka sampai lewat petang.
“Ah… biarlah yang aku risau pasal apa pulak. Bukan urusan
aku pun. Entah anak siapa pun aku tak tahu. Keluarga dia pun satu. Biarkan
budak kecil tu merayap tak tentu hala. Kena culik baru padan muka.
Mintak-mintak anak mereka kena culik. Baru menangis.” Aku jadi meluat
tiba-tiba.
Macam biasa, aku lalui lagi Jalan Kemboja, dan macam biasa
aku pasti budak kecil dengan sekaki payung dan seekor teddy bear coklat pasti
berada di situ.
“Mesti budak kecil tu tengah merayap macam biasa kat situ. Nasib baik bukan adik
aku. Kalau tak aku lempang dah.”
Jangkaan aku tepat seratus peratus. Budak lelaki itu masih
diselekoh, bermain-main dengan kelikir halus. Terlompat-lompat macam beruk kena
belacan. Hari ini agak lain kerana dia bawa beg galas.
Lima belas minit sebelum tiba ke Jalan Kemboja, suasana
bertukar sunyi dan muram. Memanglah sebab kawasan itu merupakan jalan lama yang
jarang dilalui. Lebuh raya sudah terbina, jalannya juga lebih selesa. Salah satu
faktor kenapa Jalan Kemboja sepi. Tapi bagi yang bergaji ciput macam aku. Jalan
Kemboja adalah penyelamat ekonomi.
Nyalaan lampu keretaku menagkap susuk tubuh budak itu yang
meluru ke tengah jalan raya. Aku tekan pedal brek. Terdorong aku ke depan.
“Gila punya budak. Silap hari bulan arwah aku,” terbutang
mataku menatap budak itu. Gigiku terketap-ketap menahan geram. “Buk…” aku buka
pintu kereta. Melaju aku ke arah budak itu.
Bila aku hampiri budak itu melompat-lompat ceria. Senyum dia
lebar sampai ke telinga. Makin suka dia, makin kuat dia ketawa.
“Yeh… yeh… abang datang. Yeh… yeh… abang datang nak main
dengan adik.” Budak itu terus melompat.
“ Adik buat apa kat sini. Pergi balik. Orang tak merayap
waktu macam ni. Nanti keluar hantu, habis disedut darah adik tahu.”
Lompatan budak kecil itu terhenti. Direnung wajahku. Dia
senyum. Agak lama jugalah dia senyum. Kemudian tanpa sebab dia ketawa. Dicapai
tangan teddy bearnya. Kemudian berkata.
“Abang ni orang ajak main, dia suruh kita balik. Usik hantu
pula tu… macamlah dia berani sangat.” Budak itu cium teddy bear berkali-kali.
Baru aku perasan teddy bear itu tiada mata. Mungkin hilang.
“Abang tak takut hantu, tapi hantu yang takut dengan abang,”
nada angkuh terbit. Aku senyum mengusik. Budak itu buat muka biasa.
“Abang main dengan adik nak tak?” tanya budak kecil itu.
Aku perhati sekeliling. Makin gelap makin seram. Bunyi
kersikan dedaun meremangkan bulu roma. Angin tiba-tiba bertiup laju. Aku
perhati budak kecil itu. Matanya mencerlang memandang, bibirnya terkumat-kamit.
Aku jadi pelik. Sebenarnya aku jadi cuak.
“Main apanya. Dah pukul berapa ni. Dah malam. Pergi balik.
Karang mak adik risau,” halau aku. Budak kecil itu ketawa lucu.
“Abang takut hantu ya… kata berani… hantu suka orang
penakut tahu tak?” aju budak kecil itu.
Seketika dia sengih pelik. Kemudian melompat.
“Abang takut hantu? Tolong sikit. Setakat hantu tu, abang
pelempang bodoh saja.” Aku masih bernada angkuh. Malulah kalau depan budak
kecil pun aku tunjuk kecut.
“Adik tak nak balik. Adik nak main. Tu…” dia tala jari ke
belukar berhampiran.
Baru aku perasan disebalik belukar samar cahaya memancar.
“Rumah adik ke kat situ.” Aku juih mulut. Ragu.
“Bukanlah… tadika. Jom main kat situ nak. Cikgu adik kata
kalau mak lambat ambil boleh tunggu kat tadika.” Budak kecil itu cium teddy
bearnya lagi.
“Main kat sini dahlah. Lampu jalan ni kan ada,” bantahku.
Budak itu masih kembali melompat. “Yeh… yeh… abang nak
main.”
“Nak main apa. Cepat sikit abang nak balik rumah lekas ni,”
gesaku. Aku pun pelik macam mana aku boleh setuju.
“Tapi ada syarat tau kalau nak main,” tokok budak kecil itu.
“Apa-apa lah adik oiii… abang tak boleh lama-lama. Cepatlah
sikit,” desakku.
“Siapa yang menang dapat dua mata.”
“Setuju. Jangankan dua mata sepuluh mata pun abang bagi. Nak
main badminton ke?” ajuku resah. Jam ditangan dah menunjukkan angka sembilan.
Perut makin keroncong.
“Yeh… yeh… abang nak main dengan adik.” Budak kecil itu
kembali melompat.
“Kita main sampai dua mata dah lah. Abang kan nak balik
jauh.” Budak kecil itu melentokkan kepala ke kiri. Senyum pelik kemudian.
“Nak main apa?” ajuku.
“Kita main sorok-sorok nak,” pinta budak kecil.
“Sorok-sorok apanya malam-malam macam ni. Gelap tak nampak
apa-apa. Kalau abang menyorok adik tak dapat cari punyalah.” Aku bantah.
“Kita main kat tadika, nak? Jomlah… abang. Kesian kat adik.
Kali ni saja,” rayu budak kecil.
Aku tenung budak kecil tu. ‘Huh’ malas hendak melayan. Tapi
bila tenung wajah dia tidak sampai hati pula. Alih-alih aku setuju. Budak itu
apa lagi makin galak dia melompat. Sebenarnya dalam setuju aku seram sejuk,
manakan tidak sunyi sepi, tiasa kenderaan yang lalu. Bulan pun tidak
muncul-muncul. Gelap-gelita. Mujurlah ada deretan lampu jalan, tapi sayang
hanya sebatang yang menyala. Itupun malap.
Dari jauh sudah dapat kulihat sekolah tadika. Tidak ku
sangka masih wujud sekolah lama. Gerbang batu menyambut kami. Sebuah pondok
menyala. Pastilah ada jaga di situ. Tekaan ku tepat. Jaga tua senyum kelat,
sebelah matanya cacat. Ada parut yang menuruni dari pangkal dahi hingga ke
dagu.
“Assalamualikum encik,” salam ku aju.
Tidak bersambut. Jaga itu buat tak tahu. Belum sempat aku
ulang salam, budak kecil itu menarik tanganku. Aku terdorong mengikut. Aku
hanya menuruti langkahnya. Kali pertama aku turutkan kemahuan budak kecil.
Biasanya aku pantang dengan kerenah budak kecil.
“Dah sampai. Ni lah kelas adik. Cantik tak,” senyum seram
terukir.
Sarang labah-labah memenuhi kelas itu. Kerusi dan meja patah
juga banyak. Malah debu-debu halus melata. Lebih tepat kalau dikatakan sebuah
stor.
“Ni stor, bukan kelas. Bau hapak, sakit hidung. Bau apa yang
busuk semacam ni,” geram aku terluah. Budak kecil itu mencemik.
“Mana ada bau busuk. Bau wangi adalah. Hidung abang yang
tersumbat,” rengus budak kecil itu. Dihentak kecil kakinya.
“Dah lah. Cepat mula, nanti lambat pula abang nak balik.
Kamu kira.”
“Abang lah kira. Nanti abang menang dapat dua mata. Lepas tu
baru adik pula kira,” rajuk budak kecil tu.
“Ok lah… cepat sikit. Aku mula mengira. Habis kira kubuka
mata. Bilik darjah bertukar suram. Mentol lampu buat hal, berkedip-kedip. Dalam
samar aku terkejut bila kulihat jaga tercegat di muka pintu.
“Pergi balik sekarang!” tengking jaga tua itu. Dia ludah ke
kiri. Aku jadi panas dengan tingkahlaku itu.
“Aku akan balik bila aku nak. Kau siapa nak arah-arah aku?”
Jaga itu berlalu. Sempat dijeling aku. Susuk tua yang agak
terbongkok itu jalan terkangkang.
“Dah macam kongkang aku tengok. Masih ada hati nak sembur
aku. Ni lah masalah orang tua. Nak suruh yang muda hormat, tapi mereka macam
lanun.”
Aku tersentak bila teringat permainan yang sedang
berlansung. Pantas aku membuka langkah, mencari. Aku selongkar timbunan kerusi
lama. Terbatuk-batuk bila debu berterbangan. Malah wajahku diselaputi sarang
labah-labah. Aku menapak ke belakang.
“Sekolah apa macam ni. Aku tengok dah macam rumah hantu.
Habuk penuh. Bau punyalah hapak.”
Aku masih mengomel-ngomel. Dan omelanku terhenti bila
terdengar suara budak lelaki ketawa di bilik sebelah. Aku senyum kerana pasti
itu suara budak lelaki itu. Apa lagi terjingkit-jingkit aku ke bilik darjah
sebelah. Terintai-intai mencari kelibat budak kecil itu.
“Hah dapat jugak kau budak. Macamlah aku tak nampak kau
duduk bersila atas almari buku tu.”
Sepantas kilat aku terjah.
“Dapat… abang dah dapat adik. Sekarang adik pula yang jadi.”
Aku jadi bersemangat melayan. Lagi pun esok cuti. Tak salah aku temankan budak
kecil itu sehingga ibunya menjemput.
Bilik darjah itu hanya disirami lampu suram. Aku jadi pelik,
manakan tidak dalam kepesatan pembangunan masih ada sekolah yang daif. Hidungku
menular laju. Menghidu-hidu sesuatu. Kalau boleh aku katakana ia adalah sesuatu
yang amat memualkan dan berbau hanyir. Hampir termuntah aku.
Budak kecil itu ketawa tiba-tiba.Mulanya kecil, kemudian
menjadi nyaring. Meremang bulu romaku. Aku tenung wajahnya. Dia balas
renunganku tanpa berkelip mata. Seram meramas hati. Aku jadi resah. Air liurnya
menitik.
“Abang balik dululah.” Aku berpusing.
“Abang dapat cari adik. Bermakna abang dapat dua mata. Nah…
ambil ni.” Budak itu berkata sayu.
Aku berpusing. “Pritt…” Bunyi sesuatu dipijak. Aku angkat
kaki. ‘Ah… mungkin lipas. Tapi terasa seperti terpijak guli. Aku rendahkan
badan, ku ambil dan kutilik. Aku muntah.
“Abang tak suka ke dengan mata adik.” Budak itu berdiri dan
menghentak-hentak kaki. Mendengus marah, kemudian bernada sayu.
“Abang pijak mata adik. Abang tak suka main dengan adik.”
Aku angkat kepala. Terkejut bila kulihat wajah tanpa mata.
Budak itu benar-benar tidak bermata. Dua lubang hitam kelihatan.
“Tak apalah abang... adik ada mata lain,” nada seram
bergetar.
Beg yang digalas, ditarik zipnya. Aku masih terpaku. Kakiku
menggeletar, tidak mampu dihayun. Sebuah kotak kecil dikeluarkan. Dan aku yakin
bau busuk dan memualkan itu adalah daripada kotak yang sedang dipegang.
“Kenapalah aku tak perasan dari tadi,” makin kuat gigilan
badanku.
“Adik ada banyak mata. Ada yang biru, hijau, koko. Tapi yang
hitam dah hancur abang pijak.” Budak itu tenung marah. Dilempar kotak yang
dipegang, maka bertaburanlah bola-bola
mata. Malah ada bola mata yang sudah reput dan berlendir. Baunya usah
diceritakan. Tidak sanggup dibayangkan walau hanya sesaat.
“Adik pakai mata hijau. Cantik tak.” Budak itu menolak-nolak
bola mata ke soket mata. Agak payah kerana sekali dua dia menjerit. “Arrr…” Amat menyeramkan.
Lendir pekat berbuih mengalir daripada alis matanya. Ada
secarik daging yang terjuntai. Makin menakutkan bila dia senyum. Aku
terkencing.
“Sebab abang dah pijak mata adik. Sebagai balasan abang
menyorok dan adik pula yang cari. Siapa yang menang dapat dua mata.” Budak itu
melompat daripada atas almari buku. Dia kini berdiri betul-betul di hadapanku.
Ah! Amat meloyakan bila wajah itu dapat kulihat jelas. Mengerutu macam kulit
katak. Bersiung pendek. Matanya hampir lunyai. Mungkin kerana ditekan kuat
ketika dimasukkan ke soket mata.
Budak kecil itu senyum. “Adik dah nak kira ni. Abang
pergilah menyorok.” Budak itu melentokkan kepala. Macam hendak patah leher dia
aku lihat. “Tak sabar nak dapat dua mata.” Dia mula mengira.
Dalam payah aku pegang peha dan kuangkat. Aku hayun kaki
setapak demi setapak. Gigilan badanku makin menjadi-jadi. Peluh jantan ku
menyimbah keluah, lencun baju dan seluarku. Bila sahaja melangkah keluar dari
pintu, semangat ku terbit sedikit. Berbekal semangat yang tersisa, aku pergi ke
pintu pagar, tapi malang pagar berkunci. Lelaki tua itu berdiri di balik pagar.
Aku sedikit lega.
“Tolong saya pak cik. Buka pintu pagar ni,” rayuku.
“Kau siapa nak arah aku. Aku hanya buat kalau aku mahu. Tak
payah nak arah-arah aku.” Lelaki tua itu memangkah.
“Pagar ni berkawat tajam. Saya tak boleh keluar. Selamatkan
saya. Ada hantu!” makin kuat rayuanku.
“Abang… abang… abang kat mana. Adik tengah cari ni,” sayu
budak itu menyeru. Makin biru wajahku.
“Pergilah kau menyorok. Kau dah setuju nak main dengan dia
kan. Kau tahu tak kenapa sekolah ni berkawat di sebelah atas. Supaya orang
sombong macam kau tak boleh lepas. Biar budak tu dapat mata baru. Tadi aku
suruh kau balik degil. Sekarang aku dah
tak boleh tolong,” leter lelaki tua itu. Tiada belas ditunjukkan.
“Pak cik tak kasihankan saya.” Aku pujuk.
“Tak… cuba kau tengok parut kat muka aku. Sebab tolong orang
macam kau lah aku kena serang hantu tu. Sudahlah aku nak balik. Kau terimalah
nasib kau.” Lelaki tua itu menapak laju.
Aku menjerit, minta diselamatkan. Suara budak kecil itu
semakin sayu, makin meratah semangat yang tersisa.
“Abang… abang… abang kat mana. Abang kat pintu pagar ya?
Jangan lari, nanti adik ikut,” ketawa mengilai bertebaran.
Dari tingkap kaca tingkat dua budak kecil itu senyum. Aku
berlari menuju ke tangga. Apa pun yang terjadi aku harus menyorok hingga esok
pagi. Orang kata hantu tak keluar siang.
“Yeh… yeh… dah jumpa abang. Abang jangan lari. Adik dah
menang dua mata,” jerit budak itu garau.
Makin laju aku berlari. Aku sudah nekad mahu kunci pintu dan
berkurung hingga matahari terbit. Mungkin sudah rezeki, sebuah bilik
bersebelahan pokok besar terkuak daun pintu.
“Ada juga tempat aku nak sembunyi. Aku kena cepat sebelum
mata aku kena cungkil.” Aku melangkah laju. Masih menggigil. Bau hancing seluar
menyengat hidung. “Kalau orang tahu aku terkencing sebab takutkan hantu.
Mampuslah kena gelak sakan.”
Tergopoh-gapah aku masuk. Kukunci pintu dari dalam, malah
kayu berhampiran aku guna buat sendal pintu. Makin kuat makin selamat.
Aku hampir menjerit bila berpusing, rangka-rangka berulat
tergantung. Tiga kesemuanya. Bau busuk usah diceritakan. Yang pasti ketiga-tiga
tidak bermata.
“Mesti setan tu punya kerja,” geram dan takut saling memaut.
Aku tidak tunggu lama. Aku menyelinap di antara timbunan meja dan kerusi lama.
Aku duduk diam. Aku tenang kerana
merasakan aku selamat. Tapi bau busuk daging mereput dan hanyir darah betul-betul
memualkan. Aku tetap bertahan.
Pintu bilik diketuk berkali-kali. Suara garau itu ketawa
mengilai, kemudian bertukar kepada tangisan sayu budak kecil.
“Abang tipu adik… kata nak bagi mata kalau adik menang.
Abang sama macam orang lain suka tipu. Adik benci abang…” makin nyaring suara
budak itu menangis.
Tingkap kecil di sudut membenarkan cahaya bulan memancar
masuk. Terhayun-hayun mayat-mayat itu. Aku tidak tahu kenapa, sedangkan angin
tidak bertiup.
“Ah… sudah. Makin berat dah ni. Macam mana aku nak lari.”
Pintu bilik ditendang. Mula-mula perlahan kemudian bertukar
kuat.
“Abang bukalah pintu. Adik nak mata,” tekan budak itu. Suara
garaunya bergema.
“Buk!” kayu yang kusendal tergolek jatuh. Pintu dipulas
berkali-kali. Akhirnya terbuka juga. Budak itu terlompat-lompat dan
berpusing-pusing riang.
“Yeh… yeh… abang nak bagi mata. Yeh… Yeh… adik dapat mata.”
Budak kecil itu sangat gembira. Dalam suluhan cahaya bulan dia menyeringai.
Macam serigala bila kulihat barisan giginya. Matanya terbuka luas dan
mencerlang merah. Bulu romaku makin meremang.
Masih terlompat-lompat dan ketawa. Akhirnya budak kecil itu
berhenti menunding jari kepada setiap jasad yang tergantung.
“Satu dah mati… dua dah mati…” ketawa mengilai seketika.
“Tiga pun dah mati… bila empat nak mati.”
Aku tersentak. Kali kedua aku terkencing.
“Bila empat nak mati… adik tanya ni, bila empat nak mati…”
Budak kecil itu menangis sayu. Digosok matanya. Tidak lama dia memusingkan
kepala ke arah kedudukanku lalu ketawa lagi, menyeringai gigi-giginya.Kemudian
bagun dan melangkah.
“Abang keluarlah adik nak mata.”
Aku kelu. Pegun. Ketawa budak itu makin menggila. Kerusi dan
meja, dilempar satu persatu. Sungguh luar biasa kudratnya. Akhirnya kami
betul-betul bertentang mata. Dia menyeringai. Baru kuperasan, kuku-kukunya
panjang meruncing. Matanya makin terbelalak gembira.
“Abang nak mata!” jerit budak itu, bau hanyir daripada
mulutnya merimaskan pernafasan.
Tangan kecil dengan kuku runcingnya kini sedang menjerut
leherku, tersengih-sengih dia seperti joker. Aku terdorong ke belakang dan
separuh terlentang, sebaik wajahnya menghampiri , cecair busuk daripada matanya
jatuh mengenai wajahku. Loya menyerang
tiba-tiba, namun dengan leher yang sedang dicengkam kemas adalah mustahil untuk
aku muntah.
“Abang… adik nak mata.” Jerit budak itu.
“Jangan bunuh aku… jangan ambil mata aku…” rayuku.
“Boleh!! Tapi abang kena bawa adik balik. Adik tak mahu
duduk kat tadika ni. Adik nak abang.”
“Kau s-setan. Mana boleh ikut aku…” terketar-ketar aku
menjawab. Tanganku meraba-raba mencari sesuatu untuk dijadikan senjata.
“Srrrrg,” satu cakaran singgah ke pipiku. Pagi itu jeritanku
bergema lantang bila kuku runcing budak itu dibenamkan ke kulit wajahku. Terasa
perit dan aku yakin darah pekat pasti sedang mengalir keluar. Tidak menunggu
lama budak itu menjelirkan lidah.
Saling tidak ubah seperti lidah ular yang bercabang. Makin
ghairah matanya mencerlang. Tidak menunggu lama budak itu medaratkan lidahnya
yang luar biasa panjang itu ke pipiku. Dijilat-jilat darah yang keluar berteman
dengusan nafas bernafsu. Mungkin dia begitu menikmati kemanisan darah lelaki
muda.
Sedang lidahnya menjilat rakus, sebelah lagi tangan
mengusap-usap mataku, sesekali dia mendecit lucu seakan-akan gembira yang
mataku bakal menjadi miliknya. Namun aku sudah nekad kalaupun ini adalah akhir
hidupku. Aku akan pastikan aku mati tanpa menyerah bulat-bulat.
“Hiahh..” Aku benamkan satu tusukan ke perut syaitan kecil
itu.
“Arrrg…” Jeritan nyaring bergema, menggegarkan kawasan
sekitar seperti gempa bumi sedang berlaku. Mayat- mayat yang bergantungan
terbuai laju, timbunan kerusi meja jatuh berselerakan. Aku tendang budak kecil
itu dan bingkas bangun lalu berlari keluar.
“Abangggg… adik nak mata,” jeritan budak itu makin menggila.
Aku toleh sekilas ke belakang, budak itu sedang merangkak lemah.
Aku sudah nekad mahu ke pintu pagar, mahu kupecahkan rantai
yang melingkar. Aku pasti aku boleh melakukannya. Walau pun ketakutan namun ini
bukanlah masa terbaik untuk aku membiarkan ketakutan menghalang.
Sebaik tiba, kutarik rantai yang melingkar dengan harapan
rantai itu akan terbuka, namun besi
tetap besi bukan sesuatu yang ampuh.
“Abang… abang… adik nak mata,” sayu kedengaran suara budak
kecil itu memanggil, kutoleh dan dalam terang bulan kulihat budak itu berjalan
perlahan dengan perut tertusuk kayu.
“Matilah aku kali ni…” Makin laju tanganku merentap rantai
yang melingkar. Mataku pula menyilau-nyilau memerhati keadaan sekeliling dan
budak kecil itu yang menapak lemah.
“Kenapalah sial sangat rantai ni…” dengusku marah berteman
takut yang makin melimpah.
Dari balik semak di hadapanku jaga tua muncul lagi dengan
langkah terkangkangnya. Perlahan dan berhati-hati.
“Pak cik… tolong saya.” Aku menjerit.
Kutoleh ke belakang, syaitan kecil itu semakin menghampiri.
Makin kuat jeritanku minta simpati.
“Pak cik tolong saya… saya minta maaf. Saya buat apa saja,
asalkan pak cik bukakan mangga ni,” rayuku sepenuh jiwa. Aku rasa inilah
rayuanku yang paling terdesak dan ikhlas.
“Betul kau nak buat apa saja yang aku mahu.”
“Ya! Pak cik. Saya buat apa saja, asalkan saya lepas.” Aku
taut kedua belah tangan, merayu lagi.
Jaga tua itu senyum tanda setuju. Sebaik tiba, selaju
mungkin dia meleraikan rantai yang tersimpul. Aku jadi gembira. Sebaik pintu
terbuka kedengaran raungan hiba budak kecil itu.
“A-abang… kenapa tipu adik.”
Aku nekad tidak mahu menoleh, terlalu seram untuk ditatapi
wajah budak kecil itu. Aku menghayun langkah selaju mungkin. Derap langkahku
pantas dan laju, namun terhenti tiba-tiba. Terlalu payah untuk aku
melangkah. Lelaki tua itu ketawa
tiba-tiba.
Tanpa aku sedari, rupa-rupanya seutas tali telah dijerut ke
leherku sewaktu aku melangkah. Aku diseret kembali melewati gerbang batu itu.
“Berani kau tusuk anak belaan aku hah.” Rungut lelaki tua
marah.
Sekali lagi tawa nyaring memecah perkarangan tadika itu.
Budak kecil itu berpaut pada kakiku.
“Abang dah balik… Lepas ni adik ambil mata abang ya… adik
nak simpan dalam tin.”
Aku ditarik memasuki bilik tadi, nafasku semakin sesak bila
budak kecil itu menindihku. Tanpa sempat aku merayu, kuku tajamnya dibenam ke
soket mata. Aku meraung dan dapat aku rasakan darahku terpercik. Lelaki tua itu
hanya membatu di sudut pintu. Makin gembira budak itu, semakin rakus dia
mengorek mataku. Mataku tercabut. Terasa urat perutku tersentak akibat
kesakitan yang tidak mungkin aku bayangkan itu.
“Yeh…yeh… dapat satu mata,” nada gembira bergema. Melalui
satu mata yang tinggal bersama pandangan yang pecah aku lihat mataku dijulang tinggi. Mata itu
bersalut darah dan cebisan daging terjuntai terayun-ayun bila tangan syaitan
kecil itu bergerak.
Budak lelaki itu sangat gembira bila melihat
kejayaannya. Aku sudah semakin lemah
untuk melawan.
“Arrrrg…” itulah jeritan paling dasyat pernah aku jeritkan
apabila kuku tajam itu dibenam ke dalam mataku yang terakhir. Dan jeritan
kesakitan itu adalah melodi yang terindah dicuping dia. Tidak berapa lama
badanku terdorong naik dengan ikatan yang semakin menjerut, aku pasti yang lelaki
tua itu sedang menaikan tali melintasi alang kayu seperti apa yang telah
dilakukan kepada mayat-mayat yang lain.
Aku menggelupur kecil dan itu sudah cukup untuk mengundang tawa
budak kecil itu. Buktinya dia kembali terlompat-lompat.
“Yeh.. yeh… abang nak tinggal dengan adik.” Aku dapat
mendengar jelas bunyi lompatan itu. Dan
makin lama bunyi lompatan itu semakin menghilang bersama menghilangnya nyawaku.