Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 8- HANYUT

Hujan lebat di tengah malam membangunkan Rijal. Atap zink menjerit marah, dihinjak-hinjak hujan. Angin berlari-lari masuk ikut lubang layar, bunyi deruan angin ibarat jeritan gadis yang disiksa. Mengerikan.

Rijal tersedar. Dia memandang sekitar, sunyi sepi dan gelap- gelita, hanya cahaya lampu dari beranda yang mencuri masuk melalui rekahan papan. Itu pun berbalam-balam.

“Bila masa pulak aku tertidur ni? Baguslah aku tidur di luar, dia sedap-sedap tidur atas tilam empuk. Tak boleh jadi ni.” Rijal bangun, namun tidak terdaya. Dia mengerang kecil. Digagahi beberapa kali, namun ternyata tubuhnya tetap membantah. Dia tersandar di dada sofa. “Huh… Sanggup perempuan tu biarkan aku.”

Rijal terlanggar sesuatu ketika berkalih. Diambil dan diperhati, sepasang stoking dan sehelai baju panas yang berlipat cantik.

“Mesti dia yang letak,” teka Rijal.

Dia senyum gembira. Tidak lama. Cepat-cepat senyuman itu dimatikan. “Kenapa nak senyum, memang patut dia sediakan semua ni. Aku kan tetamu. So Encik Hati, duk diam-diam dan jangan fikir yang bukan-bukan. Taraf kita terlajak tinggi untuk suka pada perkara sekecil ni.”

Hujan semakin lebat, semakin kuat menghinjak-injak atap zink. Membingitkan telinga, mengundang kembali pening kepala. “ Arhh. Makin sakit kepala aku. Rasa nak pecah.” Rasa kepalanya sedang diketuk dengan tukul. Angin sejuk yang mengalir masuk tanpa henti, melalui celahan papan mencium tubuh. Rijal menggigil ngilu.

Dia masih berbungkus kemas dengan sehelai selimut. Gelas berhampirannya sudah kering.

“Sufie.” Nama itu terucap tanpa dipaksa-paksa. Sekilas wajah lembut gadis albino itu muncul, wajah yang penuh ketenangan dan kelembutan itu senyum kecil.

“Sayang… awak albino, orang kampung, bakal guru dan tidak seangun wanita-wanita yang pernah saya kenal. Mungkin sudah takdir kita berpisah. Taraf memisahkan kita.” Rijal bersuara lemah, menyesali kekurangan Sufie.

“Sufie... Awak tak ubah macam gelas kosong.” Rijal memusing-musing gelas kosong di tangan. “Gelas kosong tanpa isi, samalah macam gelas yang retak. Tiada guna.” Rijal mendengus kasar, dilepaskan ketat hati.

Rijal berpaut pada sofa, menggagahi badan. Dia bertekat mahu ke dapur, dahaganya perlu dilunasi.

Akan tetapi, angin sejuk makin kuat memeluk bila selimut dilepaskan, dia kembali duduk. Matanya mula berpinar dengan pening yang semakin memberat.

“Rasa macam orang terbuang. Tak ada yang peduli. Dahlah rumah ni seram semacam. Silap-silap keluar lang….” Ayat Rijal mati sejurus itu. Matanya terpaku.

Kelibat lembaga berpakaian putih berjalan. Muncul dari arah dapur. Tercatuk Rijal. Jantungnya kencang menendang dada. Dia cuak. Cepat-cepat dia baring. Kain selimut ditarik hingga menutupi jasad. Ibarat macam mayat, Cuma yang membezakan ialah, sepasang matanya mengintai liar, memerhati pergerakan lembaga itu.

Kelibat lembaga itu seperti pocong, namun kainnya tidak membungkus badan, malah kembang dan longgar. Lembaga itu kian menghampiri.

“Ah! Sudah. Masak aku kali ni. Kenduri besarlah hantu tu. Inilah padahnya kalau mulut tak bertapis. Adoi… kenapalah mulut aku tiada insuran.” Rijal Menggigil macam budak umur lima tahun.

Peluh menitis di wajah. Badannya usah diceritakan lagi, pastilah basah lecun. Dia menyesal tidur di sofa. Dia memerhati, ruang tamu itu lapang, hanya menempatkan sebuah sofa panjang yang sedang dibaringinya. Suasana menyeramkan itu, boleh diibaratkan seperti bersemadi di tanah perkuburan. Lembaga itu terus menghampiri, semakin hampir dan semakin menyesakkan pernafasan Rijal. Mungkin dia amat-amat memerlukan CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) saat itu.

“Memang sah-sah aku mati lepas ni. Kempunan aku nak merasa saham mama. Semua perempuan albino tu punya pasal. Kalau aku tak ikut cakap dia, tentu aku dah ada kat kl sekarang.”

Dalam samar-samar, lembaga itu jalannya tidak tentu arah, meraba-raba seperti orang buta tanpa tongkat. Lembaga itu mendepakan sebelah tangan, melekapkan tapak tangan pada dinding dan berjalan mengiring. Bila sampai bertentangan Rijal. Depaan tangannya diturunkan. Berpusing dan berjalan menghampirinya. Rijal makin ketakutan. Hampir terkencing dibuatnya.

“Apa nak jadi-jadilah. Aku tak boleh mengalah. Aku lelaki.” Dia bingkas duduk dan melaungkan azan dengan kuat, namun bertaburan entah mana ekor, entah mana pangkal. Tak perlu tanya kenapa, sebab dia sendiri malu untuk menjawab. Lembaga itu terkejut lalu tersandung dan jatuh. Berderai sesuatu pecah.

“Aduh!” Perkataan itu meluncur laju. “Abang belum tidur? Tolong buka suis lampu dekat kepala sofa.” Suara tertahan Sufie kedengaran.

Lemah Rijal memanjangkan tangan. Dipetik suis berhampiran dan ruang tamu itu didakap cahaya lagi. Titis darah menitik daripada tangan Sufie. Bingkas dia mendapatkan Sufie, namun niatnya itu mati tiba-tiba. Tiada daya yang tersisa, hanya renungan kosong dihadiahkan.

“Awak ok? Buat apa dalam gelap? Kenapa tak buka lampu?” Bertalu Rijal bertanya. Nafasnya tercungap-cungap.

Sufie tidak menghiraukan soalan Rijal. Dia bingkas bangun, meluru ke dapur dengan cermat, namun masih sempat dia senyum lembut. Seperti tadi jalannya masih tidak tentu hala. Rijal memerhati wajah tanpa kaca mata itu. “Cantik.” Spontan mulutnya memuji.

“Sayang albino.” Spontan juga ayat itu meluncur.

Sufie muncul lagi dengan tangan berbalut. Dia memegang penyapu dan tempat sampah. Matanya bergerak ke kiri dan ke kanan agak pantas. Oh! Patutlah dia jalan meraba-raba, rupa-rupanya, nistagmus datang lagi. Dia mengutip dan menyapu sepihan kaca itu seberapa pantas yang boleh, namun nistagmus menghalang kecekapannya. Dia meraba-raba lagi. Rijal memerhati dengan sebal. Dia geram, seolah telah dipermainkan Sufie.

“Awak..” Pertanyaan Rijal mati, Belum habis disoal, Sufie ke dapur lagi bersama sisa kaca yang dibersihkan.

Sejurus kemudian Sufie muncul lagi dengan sebuah jag berisi air. Rijal memandang ke arah tempat yang telah dibersihkan Sufie, ternyata ia dilinangi air. Dia faham, serta-merta sebalnya sejuk.

“Kenapa tak buka lampu?”

“Nanti abang sedar. Tentu terganggu tidur. Orang sakit perlu rehat lebih.” Sufie menghampiri, meletakkan jug berhampiran Rijal.

“Air kosong. Buat minum. Nanti tak payah susah-susah nak ke dapur.” Sufie bersuara getar.

Tersentak Rijal. Jantunnya berdengup kencang. “Setelah apa yang aku lakukan. Dia masih melayan aku sebaik ini. Betulkah aku lelaki tak guna? Ah! Bukan salah aku. Aku tak suruh pun dia layan.”

Rijal menjeling jam di dinding lalu bersuara. “Dah pukul tiga setengah! Lewat benar solat Insyak.”

Sufie tidak membalas, hanya senyum. Kemudian mematikan suis lampu. Ruang tamu kembali gelap.

“Abang boleh tidur dalam bilik kalau takut. Saya tidur kat bilik tetamu.” Sufie melayan Rijal seperti budak kecil.

“Ingat anak dara, nak takut-takut. Saya lelaki, mana-mana boleh tidur.” Terselit keangkuhan dalam nada katanya.

“Saya tahu abang berani. Saya yang salah cakap. Tapi muka abang pucat lesi. Tidur dalam bilik lebih baik, lebih selesa.” Sufie bernada lembut.

Sufie meleretkan senyuman lalu berlalu. Dia hilang sebaik melepasi dapur.

*****

Suara leteran Afiena seperti jam loceng buat Rijal. Dia tersedar tanpa dikejut. Matanya menangkap cahaya yang bertebaran masuk memenuhi ruang tamu. Hdungnya pula tajam menagkap bau sesuatu. Mengejut seleranya bangkit. Dipusing kepala ke kiri, semangkuk sup ayam bersama sebuku roti tersedia. Masih panas.

“Bangun pun. Kejut Subuh tak bangun-bangun. Kejut makan, melaju.” Afiena bersuara lantang kepada Akim, namun sebetulnya ditujukan kepada Rijal.

Rijal berwajah polos, pura-pura tak mengerti. Tetapi hatinya menyumpah-nyumpah ketajaman mulut Afiena itu.

“Start dah radio buruk ni. Pagi-pagi dah start membebel.” Lirih saja ucapan Rijal. Tidak didengari Afiena.

Sufie muncul sejurus itu, segelas sunquick dibawa. Seperti biasa dia meleretkan senyuman. Tenang dan damai hati Rijal memandang, malah sesiapa sahaja pasti sependapat. Kali pertama dia melihat senyuman Sufie tidaklah seindah sekarang. Hatinya berdetik.

‘Sayang seribu kali sayang, awak tidak setaraf saya. Kekurangan awak, kelemahan awak dan albino awak. Pemutus jodoh kita.’

Sunqiuck ni bagus. Banyak vitamin C. InsyaALLAH, elok untuk selsema dan deman.” Disuakan gelas kepada Rijal. Dia kemudia bingkas bangun dan berlalu.

“Awak nak ke mana. Tak makan sekali.”

“Tak. Saya dah sarapan lepas subuh tadi.”

Jika diikutkan hati, mahu sahaja diminta Sufie menemani, namun itu akan merendahkan maruah sendiri. Lagi pun dia bukanlah suami kepada Sufie.

Menjelang tengah hari, demamnya agak kebah. Dia lega malah seleranya juga agak baik berbanding hari sebelum. Hujan masih lebat. Harap-harap hujan tidak akan bertambah lebat.

Sufie muncul bersama sebuah beg yang agak besar lalu menghampiri Rijal. Bersimpuh dengan tertib dan berkata.

“Saya mahu ke KL. Tiket bas sudah Kamarul belikan kelmarin.” Sufie berwajah polos. Rijal mencemik muka.

“Saya tumpang lori ikan sampai ke bus station. Kalau sesiapa tanya kata awak dah izinkan. Saya dah tak sanggup menipu lagi. Makin sendat rasa hati.” Sufie kemudian bangun dan berlalu. Rijal bungkam. Tanpa dipaksa-paksa hatinya merasa kosong dan kehilangan. Rasa bagai sesuatu yang berharga telah dicuri.

“Saya hantar awak.” Rijal bernada laju, menyamai langkah Sufie.

“Terima kasih! Abang belum kebah. Lagipun saya tak mahu terhutang budi. Jangan risau Afiena dan Kamarul akan jagakan abang hingga sembuh.” Sempat Sufie meleretkan senyum sebelum berlalu.

“Nanti orang ingat kita bergaduh pula. Saya hantar, lagipun bukan jauh sangat.” Rijal cuba bangun, namun langkahnya masih lemah. Rasa seluruh uratnya disentak-sentak.

“Rehat dulu.” Sufie senyum tenang. Meresahkan Rijal. “ Sama saja, abang atau sesiapa yang hantar. Tempatnya tetap sama.” Sufie melangkah pergi.

Bukanlah dia tidak sanggup terhutang budi. Tetapi rasa cinta dan sayang pada Rijal masih tebal, dia risau jika berdekatan rasa itu akan semakin memahat hatinya. Adakah benar kata orang, cinta pertama sukar dilupa? Yang pasti rasa cinta itu sukar ditepis, malah semakin hebat menyerang hati. Sufie bermonolog sendiri. Air matanya menitis setitis, hanya setitis. Meninggalkan Rijal ibarat meninggalkan hati sendiri.

Bunyi hentakan kaki menggegarkan lantai rumah itu. Akim berlari sambil menjerit.

“Mak long… Mak long… Mek Yah, lori ikan dah sampai. Dia tunggu kat bawah… Cepatlah sikit.”

Sekali lagi hentakan kaki itu menggegarkan lantai bila Akim berlari kembali ke beranda.

Rijal memanjang-manjangkan leher, mengintai dari balik jendela. Afiena yang kebetulan di situ menyindir.

“Inilah orang lelaki…Masa ada dibuang-buang. Masa tiada dicari-cari. Nasi kalau dah jadi bubur, masak tujuh keturunan pun tak akan jadi nasi semula.”

Terkejut Rijal, tidak disangka diperhatikan. Dia kemudiannya menjadi malu. Digaru-garu kepala yang tidak gatal, wajahnya berona merah. Sejurus itu kedengaran bunyi lori ikan dihidupkan, pantas Afiena ke beranda. Sempat dijeling Rijal lalu berkata.

“Kalau rindu baik diluah sekarang, jangan bertambah penyakit sebab merindu. Masih ada masa kalau nak peluk isteri sendiri.”

Rijal masih bisu. Kalau diikutkan rasa hati mahu saja diterkam dan dipeluk Sufie, merayu agar tidak pergi. Namun itu bukanlah tujuan asalnya dan dia tidak mahu kalah kepada tuntutan hati. Dia yakin yang hatinya sedang keliru terhadap rasa cinta itu sendiri. Mujurlah akalnya masih waras dan mencantas bisikan hati.

“Jangan buat gila. Kau dengan dia macam api dengan besi. Melebur kalau bersama. Tak mungkin bahagia.”

Hatinya luruh, bagai luruh daun-daun di musim kering bila lori ikan itu mengaung meninggalkan rumah itu. Matanya bergenang. Dia berlari ke beranda, namun sudah terlewat. Afiena senyum penuh sindiran kepadanya, mek berwajah kosong, Jemi dan Akim masih melambai, Kamarul berwajah sepi dan Pak Awi senyum nipis yang dipaksa.

“Nanti sembuh, kamu susuli Sufie. Dia kena bertolak awal. Nak kena mendaftar di tempat baru. Mintak-mintak selamat semua. Kamu jangan lupa makan ubat, biar cepat sembuh. Mek nak telefon mama kamu, minta dia tengok-tengokan Sufie.” Mek berlalu, yang lain ikut sama Cuma Rijal yang masih merenung jauh. Kesal dan ego, silih berganti cuba memenangi hati.

Mek muncul lagi, tanpa disedari. Senyum nakal mula melingkari bibir tuanya.

“Nah! Surat cinta isteri kamu. Mek saja lambat beri, nak tengok reaksi kamu. Biasalah pengantin baru, nak lepas sesaat rasa macam nak lepas setahun. Mek pun pernah muda.” Wanita tua itu kemudian hilang lagi.

Surat itu digengam erat, bagai menggengam emas. Hatinya bergoncang laju, minta dibaca, namun akalnya kembali mencantas.

“Jangan dibuka, jangan dibaca. Silap-silap saham ke mana. Albino tu yang kau dapat. Malu tujuh keturunan nanti.” Surat itu dikoyak tiga dan dibuang melalui celahan lantai beranda. Sekilas hatinya menyoal.

“Kalaulah ini surat terakhir dari dia. Atau pertemuan terakhir kau dengan dia. Tak menyesal ke kau?”

Sesalan singgah mendadak, tapi pantas diusir. Dia yakin apa yang dilakukan itu betul.

*****

Rijal berpura-pura tidur ketika Afiena datang menghantar makanan. Sudah hampir Asar ketika itu.

“Bangun! Timemakan Tan Sri.” Afiena menyindir.

Rijal berpura-pura mengeliat. Dia bangun. Baru hendak disuap bubur, telinganya menagkap bunyi riuh di hadapan rumah. Pintu hadapan diketuk bertalu-talu, makin lama, semakin kuat. Mengundang denyutan di kepala. Mek berjalan pantas sambil mengelap tangan yang basah pada kain batik yang dipakai.

Suara nyaring mek menjerit kedengaran. Seisi rumah berlari, kemudian riuh rendah. Suara tangisan mek menyusul. Makin gamat, makin menarik perhatian Rijal. Nama Sufie disebut-sebut dan tangisan mek makin kuat. Belum pernah wanita itu begitu. Hatinya berdenting kencang seperti kuda dipalu.

Bingkas dia bangun, menuju ke beranda. Tidak terasa lagi sakit demam yang ditanggung.

“Kenapa? Apa yang berlaku?” Rijal cemas. Dadanya ketat, kepalanya pening. Dia tahu sesuatu yang buruk telah berlaku.

“Su… Sufie….” Mek cuba menahan sendu, namun tidak mampu. Patah katanya mati di situ.

“Kenapa… Kenapa! Sufie.” Rijal mendesak. Hatinya cemas bukan kepalang lagi.

“Hanyut… Sufie hanyut di sungai.” Mek menangis.

“Hanyut! Macam mana?” aju Rijal keras. Bagai tangkai jantung dicantas. Wajah pucatnya, semakin pucat.

“Lori ikan Mek Yah terbalik masa lalu atas lubang kat jambatan. Lori dia tenggelam. Dua-dua mungkin mati lemas.”

“Dia belum mati.” Rijal menjerit, Jangan sesiapa barani kata dia dah mati.” Semua diam serentak memandang hiba. Kasihan melihat wajah pucat Rijal.

Rijal berjalan pantas ke ruang tamu, dicapai kunci motosikal dan berlari turun. Kerana tergesa-gesa dia tergelincir di kaki tangga. Pak Awi berlari, cuba memapah.

“Jangan tolong! Saya boleh bangun sendiri.”

“Kamu demam. Biar ayah dengan yang lain cari Sufie. Kamu duduk saja kat rumah.” Pak Awi memujuk.

“Suami yang patut cari isteri. Dia tanggunjawab saya. Saya tahu, dia tengah tunggu saya. Saya mesti cepat, tentu dia tengah kesejukan.” Rijal berpaut pada tiang tangga, menggagahi kudrat. Terhincut-hincut dia mendapatkan motorsikal. Melaju dia meninggalkan halaman rumah.

Hujan semakin lebat menangis, seakan-akan berkongsi kedukaan hati. Langit pula dikelubungi jubah hitam kesedihan. Pohon-pohon turut tunduk, meratapi nasibnya. Hujan lebat bagai jarum tajam, menujah wajah. Membataskan penglihatan. Tetap juga dipecut motosikal. Dia mahu cepat tiba. Mahu memeluk dan menyatakan yang dia mencintai Sufie. Mahu dirujuk kembali sebagai isteri.

Motosikal yang dipandu laju, tergelincir kerana tanah berselut. Mujurlah tiada kecelakaan menimpa, namun kakinya semakin sakit. Merangkak-rangkak dia mendapatkan motosikal. Sudah beberapa kali dihidupkan, namun masih juga tidak mahu hidup. Dilepas geram. Dia berlari terhincut-hincut seperti bangau kepatahan kaki. Walau apa pun yang berlaku, dia harus sampai di jambatan secepat mungkin.

“Sufie… Sufie… awak tak boleh mati. Awak mesti hidup. Awak mesti teman saya untuk hayat ini. Saya janji tak sia-siakan awak. Saya janji tak hina awak.” Rijal menjerit dalam hujan sambil menahan sakit. Ngilu semakin mengigit hingga ke tulang. Dalam ketar dia terus juga berlari terhincut-hincut. Sesekali dia berdengking bila kesakitan itu tidak tertahan. “Arrg….” Nyaring dia berdengking.

Lima belas minitn terhincut-hincut, akhirnya sedikit lega menyapa. Kelihatan berduyun-duyun orang memenuhi pingiran sungai. Bot bomba kelihatan sedang meronda, beberapa anggota Unit Selam Bomba, terjun menyelam. Dia melajukan pergerakan. Sebaik sampai kelihatan lori ikan Mek Yah sedang dinaikkan. Cerita dari mulut ke mulut dengan pelbagai andaian sedang mengitari kawasan itu. Rijal menghampiri salah seorang anggota bomba.

“ Is… Isteri saya… Isteri saya macam mana?” Tercungap-cungap Rijal bertanya, lelahnya masih tebal di kerongkong.

“Tenang dan jangan kalut. Pergi ke Land Rover PDRM dan periksa adakah itu mayat isteri awak.” Bomba itu menunding jari pada Land Rover Defender di satu sudut.

Rijal berlari terhincut-hincut. Kehadiran orang ramai, membataskan langkahnya. Dia terpaksa berasak-asak untuk melepasi tetamu yang lebih sebagai pembahas tanpa undangan berbanding pembantu yang cuba membantu.

“Isteri saya bagaimana?” Rijal menyoal pantas, terketar-ketar kerana kesejukkan.

“Mayat isteri encik perlu dihantar ke hospital untuk autopsi dahulu. Sebelum boleh dituntut. Itupun selepas saya selesaikan testament

“Saya mahu lihat mayat isteri saya.” Tanpa izin, pantas dia menarik kain yang menyelimuti mayat dan buat pertama kali, setelah sekian lama dia menyebut ‘ALLAHHUAKBAR’

Mayat seperti patung itu kaku, kembung dan lebam-lebam kerana terlalu lama di dalam air. Rijal memerhati, loya melular dikerongkong. Wajah mayat itu seakan-akan berubah ke wajah Sufie. Pantas ditutup kembali mayat itu.

“Dia masih hidup. Aku tak percaya dia dah mati. Dia mesti hidup. Kami akan hidup bahagia. Ada anak-anak.” Sedaya-upaya dia melajukan langkah.

Dia berlari lagi ke gigi sungai, menghampiri anggota bomba tadi.

“Tuan! Bagaimana keadaan isteri saya. Mangsa yang masih belum ditemui tu?” Kerutan menikus menghiasi wajah Rijal. Dia benar-benar berharap.

“Kami masih berusaha. Tapi usah berharap. Kalau lemas di laut, mayat mudah timbul sebab air masin. Berbanding dengan air tawar. Tambahan sekarang musim banjir semua sampah hanyut dibawa arus. Saya khuatir jika mayat tersngkut di mana-mana atau dilarikan arus ke laut.”

Perbualan mereka terhenti bila anggota itu dipanggil. Dia senyum kelat sebelum meninggalkan Rijal.

Sekaki payung meneduhi tiba-tiba. Kamarul menepuk-nepuk kecil, bersimpati atas nasibnya.

“Sabar Rijal. Setiap detik, saat dan minit sudah dicatat. Kita bukan lawan-Nya.”

“Sufie masih hidup!” Rijal meninggikan suara. Dia kembali berlari, berulang-alik dari hujung ke hujung mencari tahu mengenai Sufie. Dia benar-benar menyesal sekarang, namun sudah tiada guna.

Kamarul hanya memerhati. Dilihat Rijal semakin lemah, wajahnya pucat, bibirnya kebiruan, malah gigilan badannya semakin kuat. Kamarul sudah tidak betah lalu. Dia berjalan laju mendapatkan Rijal.

“Kita balik dulu. Biar ayah, aku dan orang kampung yang tunggu. Kamu balik dulu. Afiena ada tunggu dekat pokok sana.” Kamarul menunding jari ke arah kedudukan Afiena.

“Dia isteri aku. Aku kena tunggu. Tentu dia kesejukan bila dijumpai nanti.Hanya aku yang boleh peluk dia. Biar dia hangat, biar dia tenang.” Rijal berdegil.

“Aku faham. Tapi kau sakit, kena rehat. Tentu Sufie juga dah nasihatkan dalam surat yang dia tinggalkan kat kau.” Kamarul memujuk.

“Surat… Surat….” Hampir gila Rijal bila teringatkan surat yang telah dikoyak dan dibuang itu. Dia berlari terhincut-hincut menuju ke arah Afiena. Dia mahu cepat pulang, mahu mencari kembali surat itu sebelum surat itu juga dihanyutkan air seperti Sufie.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.