Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 15- PENANTIAN (BAHAGIAN 2)

“Kak cepat sikit! Saya nak telefon rumah. Abang saya masuk ICU,” suara kesedihan menyapa dari belakang.

Sufie berpaling. Seorang remaja lelaki bermata redup dengan bibir terketar-ketar. Dia memandang mengharap simpati. Baju dan seluar yang dipakainya diwarnai darah hanyir yang memualkan tekak.

“Maaf dik… Kakak tak perasan adik ada kat belakang. Gunalah. Masih berbaki, gunalah telefon rumah,” senyum lembut menyapa pandangan. Lega bercambah di hati remaja itu.

“Terima kasih,” segaris senyum terbit di bibir remaja itu.

Sufie berjalan selaju yang boleh, namun langkahnya masih terbatas kerana penglihatan yang bermasalah. Mujurlah lampu-lampu jalan menyimbahi cahaya pada lantai bumi.

“Ya ALLAH kenapa dengan mataku ini. Adakah Engkau mahukannya semula?” bibir Sufie bergerak kecil, menyoal TUHAN.

Corrado mundar-mandir, resah bila memikirkan Sufie. Dia berharap Sufie berjaya menghubungi, sekaligus melampiaskan rindu pada keluarganya. Resah itu surut bila melihat kelibat Sufie dari jauh.

“Dapat ke tidak? Harap-harap dapat.” Corrado tercegat memandang.

Entah kenapa ada desir halus melintas mendebarkan dadanya, saat wajah Sufie muncul. Bukan sekali dua, malah sudah berkali-kali. Gadis albino itu begitu berbeza baginya. Tidak seperti gadis-gadis lain. Dia ibarat jinak-jinak merpati, ramah dan mesra. Namun sukar dijerat. Mungkin kerana itulah dia jatuh cinta kepada Sufie.

“Dapat tak?” tanya Corrado laju. Wajahnya berkerut.

“Belum diizinkan ALLAH. Saya telefon kemudian sajalah.” Sufie senyum, namun desir hati Corrado menyatakan gadis itu hampa.

“Nah telefon saya. Gunalah dulu.” Corrado mengeluarkan telefon bimbitnya daripada poket apron. Menyuakan kepada Sufie.

“Terima kasih! Syiling saya masih berbaki.” Sufie bernada lembut. Menolak penuh sopan.

“Kenapa selalu tolak bila saya suruh guna phone saya. Apa yang awak takutkan? Saya tak ada niat bukan-bukan pun. Saya jujur.” Corrado bernada lembut, tetapi matanya agak mencerlang garang. Tanda geram.

Sufie senyum geli hati melihat kesungguhan Corrado.

“Tak apalah, simpan saja kredit awak. Saya jenis kuat bergayut. Sekali saya guna phone awak, esok pagi belum tentu habis bercakap, Awak pun janganlah mudah terasa hati. Saya tahu awak lelaki jujur. Malah, kalau saya kena senaraikan nama lelaki jujur yang pernah saya kenal. Pasti nama Corrado di antaranya,” ketawa kecil Sufie kedengaran. Menampakkan barisan gigi putihnya, sekaligus menggeletek tawa Corrado.

Sebenarnay Sufie bimbang jika Corrado tahu nombor telefon rumahnya. Mungkin jika tersalah hari akan mengundang resah kedua orang tuanya. Maklumlah dia tidak pernah memberi nombor telefon kepada lelaki.

“Oklah… ikut suka awak.” Corrado mengalah.

Rozita datang tiba-tiba. Corrado tersengih kemudian senyum nakal. Sufie tertanya-tanya maksud senyuman itu.

“Boleh saya pergi rehat tak? Nanti lepas Insyak mesti lagi ramai pelanggan.” Rozita meminta kebenaran.

“Tentulah boleh… tapi ada syaratnya,” balas Corrado.

“Aik… sejak bila pula nak rehat kena pakai syarat-syarat ni?” aju Rozita geram.

“Baru sesaat. Dan hanya khusus untuk awak,” balas Corrado. Senyum nakal bermain dibibirnya.

“Ini dah dikira menindas pekerja. Kalau saya report kat Jabatan Buruh, silap-silap ada harapan bercuti dalam penjara tahu.” Rozita mengugut.

Corrado ketawa mendadak melihat wajah Rozita yang berang. Hatinya terhibur bercampur resah. Terhibur melihat wajah berang Rozita dan resah melihat wajah suram Sufie.

‘Tentu dia sangat rindukan keluarga. Aku risaukan dia. Aku takut hati dia pecah macam gelas. Betul ke Kau benar-benar wujud TUHAN? Kalau ya, sembuhkanlah rindu di hati Sufie.’ Getus hati Corrado yang paling dalam. Matanya terpejam seketika, kemudian direnung wajah suram Sufie.

‘Tabah sungguh hati dia. Jarang aku jumpa gadis seperti ini,’ hatinya kembali berkata.

“Lamanya tenung anak dara orang. Jangan main-main nanti jatuh cinta naya…” Rozita mengusik. Ditepuk bahu Corrado dengan kuat.

Corrado tersentak. Tidak disedari yang dia sedang merenung Suffie. Gadis albino itu menjadi malu, sedikit resah bersarang pada wajahnya akibat renungan itu.

“Kalau saya cintakan Sufie kenapa? Lagi pun kami sama-sama bujang,” balas Corrado. “Betulkan Sufie?” aju Corrado gugup. Memang sah dia tak pandai dan tak pernah memikat. Buktinya dia tergagap-gagap.

Serba salah Sufie. Gelaran janda sudah dimenanginya. Janda dara yang tidak terusik oleh sesiapa. Perlukah dia ceritakan hal itu. Ah! Hatinya membantah. Bercerita kisah hidupnya hanya akan menambah luka. Sujurus itu wajah Rijal bertandang. Senyuman yang menjengkelkan pada wajah itu, mengundang rasa hiba. Tiba-tiba tanpa disangka senyuman itu bertukar kepada senyuman paling manis yang pernah dilihat dan diingatinya.

‘Kenapa aku tak mampu membenci, sedangkan dia tak pernah mencintai. Kenapa aku masih merindui, sedangkan dia tak pernah sekalipun mengingati. Kenapa aku masih mahu setia, sedangkan dia tak pernah menanti,’ detik hati Sufie.

“Kak Sufie… Kak Sufie,” panggil Rozita. Bahunya dicuit lembut.

“Maaf, Kak Sufie tengah berfikir.” Ramah mata Sufie menyapa.

“Jangan-jangan awak tengah berfikir. Ya atau tidak saya nak jadikan awak kekasih hati. Saya ok saja kalau awak mahu.” Corrado membuat kesimpulan. Makin gagap nadanya.

Entah kenapa wajahnya merona merah, mungkin malu. Kali kedua dia jatuh cinta. Namun mencintai Sufie agak lain perasaannya. Kalau ditanya, dia sendiri tidak tahu. Perasaan yang sukar untuk diungkai dengan kata-kata.

“Ada-ada sajalah awak ni Corrado,” balas Sufie, “Suka sangat mengusik saya, buatnya saya betul-betul jatuh hati, baru haru-biru dunia awak.” Sufie senyum. Menambah sesak dada Corrado.

“Bertuah siapa yang dapat awak Corrado. Saya yakin dekat luar sana berebut-rebut gadis yang mahukan awak.” Sufie berlagak tenang.

Corrado kelu.

“Mana tidaknya. Mata dia saja dah mencairkan hati. Cukup sempurna.” Rozita menambah. Matanya tertancap pada mata Corrado.

“Tapi yang paling menarik, orangnya mempunyai hati yang penyayang. Seorang lelaki baik yang menyenangkan sesiapa sahaja. Sentiasa gembira bila melihat kegembiraan orang lain, walau hatinya terluka.” Tambah Sufie. Senyum penuh makna.

Berdebuk…. Tangkai hati Corrado putus dan hatinya jatuh. Seakan nafas terhenti. Wajah yang merona merah kini merah saga, kerana tersentuh mendengar kata-kata Sufie. Benarlah apa yang dikata orang. Bila mendengar patah kata daripada kekasih hati, seumpama mendengar suara malaikat. Dia diam membatu, pandangannya beralih ke lain.

“Huh…. Gila. Aku benar-benar sudah jatuh cinta pada dia,” desir halus Corrado.

“Ada orang dah jatuh cinta… “ Rozita mengusik. Dia benar-benar pasti yang Corrado sukakan Sufie.

“Pandailah kamu….” Corrado gagap.

“Yalah tu… sampai tergagap. Memang dah sah Corrado dah jatuh hati pada Kak Sufie.” Rozita bersuara yakin.

“Sudahlah, jangan diusik Corrado lagi. Kita masih banyak kerja yang nak diselesaikan,” balas Sufie.

“Oh ya, Rozita beri Sufie pinjam phone awak. Dia nak telefon keluarga di kampung.” Corrado bernada tegas, sedikit mengarah.

“Ok….” Rozita menghulurkan telefon bimbitnya.

“Tak apalah. Public phone masih ada. Habis pula kredit kalau Kak Sufie guna.”

“Ambil sajalah. Apa yang nak dimalukan.” Rozita mendesak.

“Betul tak menyesal ni?” soal Sufie. Minta kepastian.

“Ya…,” balas Rozita.

Tanpa berlengah, diambil telefon dari tangan Rozita. Dia memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH. Corrado lega.

“Ambil pula. Bila saya hulur phone tolak. Kenapa ya? Awak tak sukakan saya ke?” aju Corrado, sedikit terkilan.

“Sebab awak orang lelaki dan Kak Sufie perempuan baik-baik. Dia takut timbul fitnah nanti. Manalah tahu, silap hari bulan Miera si ahli sihir dapat tahu. Kiamatlah jawabnya.” Rozita membalas.

“Miera tu bukan kekasih saya, per… cayalah Sufie. Miera bukan kekasih saya. Saya tak tipu.” Corrado menerangkan dengan tergopoh-gapah.

“Sikap awak yang macam air batu akan cair bila bertemu Kak Sufie, salah satu tanda awak dah jatuh hati.” Rozita ketawa geli hati.

“Sudah-sudahlah tu. Kak Sufie minta diri kejap, nak telefon kampung.” Sufie berlalu ke pinggir belibas.

***

Afiena sibuk di dapur. Fikirannya menerawang mencari kebenaran yang boleh diterima akal.

“Macam tak logik lah pulak? Tapi rasa macam betul. Tapi rasa macam bukan pula.” Afiena keliru.

Azan Insyak baru sahaja berkumandang, bermakna dia sudah kesuntukan masa. Masih banyak pinggan yang perlu dilap. Kalau diikutkan hanya jemaah surau sahaja dijemput, tetapi hidup di kampung, hidup bagaikan keluarga besar. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Maka berduyunglah yang datang.

Mek bersandar lemah pada sudut dapur, hanya memerhati. Air matanya menitis sekali-sekala, tanda pilu belum berlalu. Wanita lain tidak menghiraukannya kerana faham.

‘Betul ke kak long hidup lagi? Macam tak logik lah pulak. Tapi kalau betul.” Afiena senyum panjang, kemudian muram. Sudah berkali-kali soalan itu menerjah sejak Akim menerima panggilan daripada gadis yang dianggapnya Sufie.

Deruan enjin motorsikal dan kereta di perkarangan rumah, mematikan lamunan Afiena.

“La… ada juga yang mari awal.”

“Mari nak tolonglah tu. Kanopi kat bawah belum disusun meja. Kain pun belum bentang.” Mak Cik Anita yang sememangnya ramah menjawab.

“Cadang nak buat ala kadar, tak sangka jadi meriah sampai macam ni. Kalaulah ini kenduri kesyukuran dan bukan kenduri tahlil,” luah Afiena.

“Jangan suka berkalau. Nanti ALLAH kata hambaNya tak redha. Tak suka dengan keputusan Dia.” Cantas Mak Cik Anita.

Afiena senyum tawar. Tidak mampu menangkis nasihat itu, malah itulah juga nasihat yang sering diberi Sufie kepadanya.

Suasana sibuk, semakin sibuk apabila jam menghampiri pukul sembilan. Makin riuh keadaan di dapur. Tapi yang lebih riuh bab menganyam ketupat. Adatlah orang perempuan. Selagi sempat, semua tempat mereka bersidang.

Bila-bila masa sahaja para jemaah akan sampai. Di perkarangan sudah ada yang menunggu. Afiena menghampiri tingkap. Bulan bersinar terang menerangi halaman.

“Cantik… kak long suka sangat tengok bulan. Cantik kata dia. Memang cantik pun, serupa kak long. Rijal tu saja yang bodoh.” Afiena merenung bulan, menitis air matanya.

Bunyi kanak-kanak berlari kedengaran. Akim menghampiri cemas.

“Ibu hantu mak long telefon lagi.”

“Bila?” soal Afiena deras. Ombak hatinya bertukar tsunami kini. Matanya makin berkaca.

“Dia telefon, guna nombor ibu. Akim cepat-cepat tutup telefon. Akim takutlah ibu.” Akim ketakutan. Peluh membasahi dahinya.

Tanpa berlengah Afiena berlari ke dapur, dicapai telefon, mendail nombor yang dimaksudkan Akim. Menanti penuh debaran. Hatinya tidak putus berdoa yang Sufie masih hidup dan tidak meninggal seperti yang dikatakan.

Please! Angkatlah. Walau siapa sekalipun. To… tolong angkat,” sendu Afiena muncul. Hatinya sudah tidak keruan lagi.

Sudah beberapa kali didail, namun masih tiada yang menjawab. Dia hampa akhirnya. Diperhatikan akaun panggilan.

“Patutlah. Dah lima kali kak long dail. Aku rasa kak long masih hidup. Ya ALLAH mintak-mintaklah dia masih hidup. Aku rindu.” Afiena duduk penuh kesal. Sesekali hatinya meracun, ‘kalau cepat mesti sempat angkat telefon.”

Saat ditunggu tiba, jemaah masjid tiba juga akhirnya. Hati Afiena hancur, seakan kedatangan jemaah itu adalah kata putus daripada TUHAN, yang kakaknya sudah pergi. Mungkin kerana sedih dia masuk ke kamar tidur. Berteleku di atas katil.

***

“Mentang-mentanglah malam ni, malam minggu. Semua mari serbu. Baru masuk Insyak dah kena terkejar-kejar macam kuli batak. Kena maki dengan coustemerpula. Adoi…” Rozita geram. Mulutnya muncung, sesekali dia mendengus.

“Susah payah adalah sebahagian daripada hidup. Bukan namanya hidup kalau tiada susah payah Cik Rozita comel oiii…. Jadi mahu atau tak. Suka atau benci kita kena tempuhi dengan kesyukuran.” Sufie mencubit pipi montel Rozita.

“Saya tengah bengang ni. Ada ke patut marahkan saya sebab panggil dia kak dan bukan puan. Kerek mengalahkan Tan Sri. Esok-esok bila jadi janda, masa tu saya panggil dia Miss J. Baru tahu langit tinggi atau rendah.”

“Ada satu ayat Kak Sufie baca dalam sebuah buku. Bagus ayat ni. Nak dengar tak?” aju Sufie tenang.

“Mintak-mintak lepas dengar ayat tu, sejuk sikit hati saya.” Rozita angguk tanda setuju.

“Jika aku menghendaki akan seseorang itu beroleh keburukan di Akhirat, akan Aku beri dia secukup-cukupnya nikmat di atas dunia ini, supaya di Akhirat nanti tidak ada sebab untuk Aku merasa belas kasihan ke atasnya untuk menyumbat ia ke dalam api neraka yang panas membakar.”

“Rasa-rasanyalah, coustemer tadi tu sedang diuji atas nikmat pangkat yang dia ada, sebab tu pandang orang macam kuman. Kalaulah yang tengah tanya oder tadi perdana menteri, rasa-rasalah, ada tak dia jawab macam tu? Di situ kita dah tahu sombong atau tak dia.”

“Tapi jalan terbaik, serah sahaja pada Allah. Tugas kita memaafkan jika perkara itu tak memudaratkan. ALLAH balas lagi hebat tahu. Silap-silap jatuh terduduk orang tu.” Sufie ketawa kecil.

“Mintak-mintak orang tu kena sumpah jadi basikal. Boleh buat lumba kat litar.” Rozita ketawa besar, kemudian diam bila diperhatikan krew lain.

“Jangan suka berdendam, Hidup untuk menyelesaikan masalah, menambah kawan dan pahala dan mencari redha ALLAH. Bukan menambah masalah, mencari musuh dan membentak-bentak ujian ALLAH. Dahlah, bazirkan masa saja ingat benda-benda macam tu.” Sufie makin ramah, sehingga mengundang marah Arturo.

Lelaki dempak itu memerhati dari tadi. Hatinya menggelegak melihat keadaan itu.

“Masih sempat mengumpat. Dasar orang perempuan.”

Dia bergerak laju menghampiri, menjerit kecil. Sangat kecil hampir tidak disedari Sufie dan Rozita. Reputasinya di mata pelanggan amat baik, namun Sufie sering mencabar reputasinya dengan sikap berani yang ditunjukkan.

“Kafe ni jual pastri, bukan jual ketupat daun palas atau ketupat nasi. Nak berhenti kerja atau berkerja. Boleh pilih sekarang,” ancam Arturo.

“Maaf chef. Saya tengah tunggu pesanan untuk meja 12.” Sahut Sufie.

“Kamu pula buat apa? Berkepit 24 jam. Naik rimas saya tengok.”

“Saya tengah rehat. Ada lagi setengah jam waktu rehat saya.” Rozita menjawab gagap. Entah kenapa wajah Arturo amat digeruni oleh dia.

“Dah pergi rehat di luar. Jangan nak menyemak di dapur,” usir Arturo geram.

Rozita berlalu pergi. Dia sudah tidak sanggup melihat wajah lelaki garang itu. Sampai sahaja di anjung dia mendengus deras. Terasa nafasnya yang tersekat sebentar tadi mengalir normal semula.

“Apa punya bos. Nasib baik aku baik. Kalau tak aku dah sekolahkan kau tadi. Harap kau pendek saja aku kasihan.” Rozita membebel sendirian.

“Baik main game.” Dia kembali ceria. Memang dia jenis yang tidak pandai marah lama-lama.

Rozita keluarkan telefon bimbitnya. Mod senyap diaktifkan. Sudah menjadi peraturan di kafe itu supaya telefon dimatikan ketika bertugas. Kalau ada yang melanggar peraturan, sudah tentulah berbuih telinga mendengar bebelan Arturo.

“Alamak banyaknya panggilan masuk. Tapi nombor siapa pula ni? Bukan nombor kawan-kawan aku.” Rozita membuka baret krew di kepalanya, mengipas-ngipas badan.

“Ah, biarkan sajalah. Tak penting pun.” Rozita mengabaikan panggilan itu. Dia mula bermain game. Bila menang dia ketawa berdekah-dekah. Terlompat-lompat macam monyet sarkas, mengundang pandangan pelanggan. Mujurlah dia duduk agak tersembunyi, kalau tidak mesti kena ceramah percuma dengan Arturo.

***

Jemaah menggambil tempat masing-masing. Afiena masih di dalam bilik berduka.

“Kak long tinggalkan Fiena juga akhirnya. “ Afiena menangis,namun hanya esakan yang kedengaran. Mek pula seakan-akan lumpuh dan masih bersandar lemah di dapur. Sudah puas dipujuk, namun dia tetap membisu. Mungkin masih terkejut dengan kematian Sufie yang mengejut.

“Kena tunggu lagi sepuluh minit, Tok Imam lambat sikit,” suara bergema daripada ruang tamu.

“Bila arwah pergi? Kenapa?” aju salah satu suara. Mungkin orang luar agaknya.

“Kena tanya tuan rumah…. Setahu saya hanyut di sungai. Kesian. Baik budaknya,” suara tua itu membalas. Afiena kurang pasti, suara siapakah itu.

“Tak boleh jadi kena telefon lagi. Selagi tak dapat, aku tak boleh berpuas hati,” mendadak semangat Afiena muncul. Dia sudah nekad. Kepastian harus diketahui.

Namun semangat itu semakin memudar bila nombor yang didail tidak disambut. Bukan sekali, malah berkali-kali. Hampa juga hasilnya. Hampa makin mengukuh bila Imam sampai. Suara tua Imam kedengaran memberi salam.

“Kak long benar-benar dah pergi, tinggalkan Fiena. Putus sudah kasih kita.”

Tanpa sedar, jari-jemarinya mula mendail lagi.

***

Rozita mula membebel, bila nombor yang tak dikenali itu menggangu tumpuanya bermain game.

“Siapalah yang gatal tangan kacau aku ni? Jangan sampai aku telefon, masak aku sekolahkan. Ni mesti mamat- mamat kutu rayau.” Rozita mematikan panggilan itu dan mula bermain lagi.

Sudan lima pusingan permainan dan dia menang. Dia gembira, ceria menyapa seperti biasa. Dia kembali meneliti nombor itu kemudian menjerit.

“ARRR…. Tak mungkin!”

Para pelanggan terkejut melihat, namun cepat-cepat ditenangkan oleh Rozita.

“Maaf… maaf. Teruskan menjamu selera seperti biasa. Saya terkejutkan katak.” Afiena ketawa. ‘Cover line’.

Tanpa berlengah dia berlari mendapatkan Sufie.

“Kak Sufie ambil phone ni. Pergi duduk kat sana. Ada panggilan dari kampung rasanya. Kerja Kak Sufie saya sambung. Rehat saya masih ada dua puluh minit. Rasa-rasanya cukup untuk lepas rindu,” belum sempat Sufie menjawab, pinggan di tangannya sudah diambil Rozita.

Sufie yang sememangnya sangat rindu kepada keluarga terus mendail nombor Afiena sambil berjalan. Hatinya berdebar kencang. Rasa rindu itu harus dilunasi saat itu juga.

***

Afiena tersentak bila deringan telefon bergema. Dia kaku seketika, tidak percaya nombor yang didail tadi berbunyi. Agak lama dia terpaku. Getar hatinya makin laju. Makin menusuk semangat yang sudah goyah.

“Kak long ke tu? Betul ke kak long masih hidup?” soal Afiena sendirian.

Tanpa berlengah dicapai telefon bimbitnya. Ditekan punat hijau. Dalam getar dia melekapkan telefon ke telinga. Air matanya tumpah sebaik mendengar suara pada badan telefon bimbitnya.

“Assalamualaikum Fiena. Maaf kak long sibuk sikit tadi,” suara ceria Sufie bergetar, sekaligus mengetarkan jantung Afiena.

Afiena meraung hebat. Seisi rumah tersentak. Masing-masing mula berandaian. Ada yang kata Afiena sakit jiwa, tidak kurang yang kata dia tersampuk oleh badi arwah Sufie. Mek makin kecut perut, manakan tidak setelah Sufie meninggal, kini Afiena pula yang buat hal. Hati tuanya sudah tidak sanggup lagi kehilangan. Kamarul pantas berlari mendapatkan Afiena.

“Kenapa?” soal Kamarul cemas.

“K… kak long… kak long.” Afiena menyuakan telefon kepada Kamarul. Pantas disambar lalu dilekapkan ke telinga.

“Hello… hello… ada orang tak. Fiena kenapa menangis?” soal suara itu cemas, malah cemas itu turut berjangkit kepada Kamarul menjadi berganda cemas.

“Kak long ke ni?” soal Kamarul, masih tidak percaya.

“Yalah… siapa lagi. Kenapa tanya? Baru beberapa hari dah tak cam suara kak long ke Kamarul?” soal Sufie pelik.

“Kenapa baru telefon? Betul kak long masih hidup?” siasat Kamarul. Afiena sedikit reda, namum masih menangis. Bilik itu kini dipenuhi jemaah.

“Alhamdullilah. Masih hidup,” balas Sufie, “Telefon kak long tertinggal dalam lori ikan, sampai di Selayang kena rompak pula. Sesen tak berbaki. Tapi ALLAH Maha Besar, segalanya dapat kak long atasi dengan bantuanNya.”

“Alhamdullilah. Amin. Kak long saya telefon semula, ya. Ada hal kena selesaikan.”

“Baik Kamarul. Kak long pun kena sambung kerja.”

“Kerja apa malam-malam ni?”soal Kamarul cuak.

“Kerja separuh masa di kedai pastri. Tahu-tahulah kerja kerajaan lepas tiga bulan baru dapat gaji. Jangan lupa kirim salam kat mek, ayah, Fiena dengan anak-anak. Kak long rindu sangat. Nanti kak long telefon, ya.”

“Baik kak long,” bersemangat Kamarul menjawab.

Kamarul senyum meleret. Dia memegang erat tangan Afiena.

“Masih tak gembira ke intan payung?” usik Kamarul. Dicuit hidung Afiena.

“Kakak kita hidup. Mastilah gembira,” balas Afiena dalam sendu.

“Kalau gembira, sudah-sudahlah menangis. Membazir. Kalau nak menangis sangat, awak pergi tadah dalam hilter, boleh jugak dijerang buat air kopi.” Kamarul galak mengusik.

“Kita beritahu mek dengan ayah.” Afiena mencadang.

Kamarul senyum. Dipaut lengan Afiena lalu mereka berjalan laju ke dapur, meghampiri mek yang longlai di penjuru dapur. Mata wanita tua itu bengkak akibat menangis.

“Mek kita terpaksa batalkan kenduri tahlil ni.” Kamarul berwajah sedih. Saja dia mahu menakutkan ibu mertuanya. Afiena mencubit kecil. Dia senyum.

“Kenapa?” Wajah mek semakin layu, selayu bunga yang kekeringan di musim kemarau.

“Nanti saya beritahu. Kita panggil ayah sekali. Saya serba-salah nak cakap. Takut mek dengan ayah gelisah. Takut makin tak boleh nak tidur malam.” Kamarul berlakon. Dengan sopan dia berlalu. Langkahnya diatur longlai. Ada dua tiga orang yang ketawa melihat lakonan Kamarul itu. Macam dah berpakat, mereka semua mengunci mulut masing-masing.

Kamarul berjalan laju ke ruang tamu. Kelihatan ayah mertuanya di kaki tangga. Dia meghampiri. Ternyata lelaki tua itu sedang menitiskan air mata.

“Ayah mari kita ke dapur. Nampaknya terpaksalah kita batalkan kenduri doa selamat malam ni.” Mata Kamarul layu. Nadanya sebak. Tisu ditangan ditenyeh ke hidung. Bila masa dia sambar tisu pun tak tahu.

“Jadi bila nak dibuat semula? Isteri kamu kenapa menjerit tadi?” soal Pak Awi bertalu. Dia cuba berlagak tenang. Namun mata merahnya menceritakan sejarah. Memang sah dia menangis.

“Nantilah saya cerita. Kita ke dapur dulu.”

“Tak payahlah abang.” Afiena menjawab. Dia sudah tercatuk bersama mek dan jemaah lainnya.

“Ada dua berita, satu sedih dan satu gembira. Rasanya saya beritahu yang sedih dahulu lah.” Kamarul menundukkan kepala. Memang hebat dia berlakon. Mana tidaknya sampaikan mek terpaksa dipapah.

“Yang sedihnya, kita terpaksa batalkan kenduri doa selamat malam ni.”

“Habis membazir lauk pauk malam ni.” Pak Awi bersuara dalam.

“Yang baiknya kita terpaksa buat majlis kesyukuran.”

“Kesyukuran apa pula?” aju Pak Awi pelik.

“Kesyukuran, sebab kak long masih HIDUP!” Kamarul menjerit, sekaligus memecah kesunyian. Dia memegang tangan Afiena dan melompat. Afiena cuba membantah, tetapi jemari kasar Kamarul memaksanya ikut melompat. Naik biru mukanya kerana malu. Kerja paling bodoh yang dia pernah buat dalam hidup.

“Jangan main-main mek tak suka.” Mek geram. Namun senyum gembira mula mengitari bibirnya. Dia benar-benar berharap berita itu adalah benar.

“Betul, tadi kak long telefon. Dia baik-baik saja. Tapi kalau nak telefon kena tunggu sebab dia tengah kerja.” Kamarul membalas.

“Be… betul ke Kamarul? Kamu tak tipu mek?” nada berharap mek lontarkan lemah.

“Tak percaya! Tengok saya melompat lagi sekali dengan Fiena.”

Belum sempat Afiena menolak, sekali lagi tangannya disambar Kamarul. Hendak atau tidak terpaksalah dia ikutkan gelagat suaminya itu. Maka terlompat-lompatlah dia macam tupai pening.

Ketawa pecah berderai. Jemaah lain turut gembira melihat aksi pasangan suami isteri itu. Mek menjadi cergas tiba-tiba, semangatnya pulih sepenuhnya, macam biasalah bila semangatnya kembali, bisinglah dapur dengan arahan-arahanya yang mengarah itu dan ini.

Pak Awi tak putus- putus memuji TUHAN dan mengucapkan ‘SubhanALLAH.”


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.