Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 6- SANDIWARA (BAHAGIAN 1)

“Ini dunia, bukannya syurga di mana segala kemahuanmu akan dituruti dan dipenuhi tanpa batasan.”

“Ini dunia, tempat di mana kau akan dicantas dan terus dicantas sehingga tidak lagi mampu berdiri. Tetapi teruslah berdiri dan melangkah kerana kasih sayang ALLAH sentiasa bersamamu. Dia sedang memerhatikan ketabahan hambaNya. Tak malukah kau mengalah di depan TUHANmu sendiri? TUHAN yang telah menyukat kemampuanmu untuk sesuatu dugaan.”

Masih tergiang-ngiang bisikan itu, di telinga Sufie. Bisikan daripada seorang teman lama, yang dia sendiri tidak tahu di manakah? Bagaimanakah? Dan siapakah? Orangnya. Dia masih ingat yang temannya itu ada tanda pada lengan dan itu sahajalah yang mampu diingati, kerana yang lain kelihatan kabur, seolah berkabus. Dia sendiri tidak tahu mengapa kenangan itu begitu sulit untuk dicerna.

Dia duduk memeluk kedua lutut. Telekung solat masih belum ditanggalkan, kerana tertidur. Gusar hati masih belum sepenuhnya surut. Wajahnya sudah keruh seperti muara sungai yang berkeladak. Belum dikira mata yang bengkak, melingkar hitam macam beruang panda. Dia berfikir bagaimanakah cara untuk meninggalkan bilik itu tanpa berwajah duka. Hari sudah siang, hendak atau tidak, terpaksa juga dia keluar menunjukkan wajah.

“Muka cermin hati. Macam mana nak menipu, kalau hati bergelora macam laut musim tengkujuh. Aku tak boleh mengalah. Mana boleh aku tunjuk muka sedih depan Rijal. Nanti dia ingat aku tergila-gilakan dia.”Sufie renung lantai.

Tiba-tiba pintu bilik dikuak seseorang. Sufie membesarkan mata dan mengukir senyuman palsu. Dia benar-benar berharap lakonannya bakal berhasil. Terpancul Rijal dengan senyum meleret, bahagia sekali lelaki itu. Mek yang berdiri di sampingnya turut senyum.

“Awak! Puas saya cari, dekat sini rupanya. Wo ai ni. (saya cintakan awak)” Rijal bernada manja. Dia kemudian berpaling dan berkata kepada mek.

“Untung sungguh saya, dapat wanita solehah sebagai teman hidup. Pandai mek dan ayah didik anak. Kalau kat KL jangan haraplah nak jumpa gadis macam ni.”

Mendadak mek ketawa, menyebabkan Sufie sakit hati kerana ibunya sedang dipermain-mainkan Rijal. Giginya berlaga geram. Teringin dia memberitahu hal sebenar, namun risau jika ibunya kembali berduka.

“Berani kau main-mainkan mek. Ya ALLAH dia sedang permainkan ibuku.”Sufie menjeling geram. Rijal angkat kening tanda tidak bersalah.

Sebaik mek berhenti ketawa, dia merenung Sufie hairan. “Kenapa mata tu sembab, kamu menangis Sufie?”Mek berpaling kepada Rijal penuh sangsi.

“Eh! Kenapa mek tenung Rijal macam ni… Rijal tak buat apa-apa.” Rijal angkat bahu. Mek berpaling pula kepada Sufie.

“Sufie Solat Sunat sampai ke pagi. Syukur akhirnya berjodoh,”senyum tenang Sufie melegakan mek yang sedang mengurut dada.

“Betul kana pa Rijal kata. Mek dengan ayah memang pandai didik anak.”Rijal kenyit mata.

“Ada-ada saja menantu mek ni. Dah mari kita ke beranda makan ubi kayu sambil tengok hujan.” Mek mula melangkah. Rijal berjalan pantas mendapatkan Sufie. Dipegang tangan Sufie, namun ditepis laju.

“Jangan sentuh saya! Berlakon pun ada hadnya.” Sufie separuh berbisik.

“Awak sedih kena cerai ke? Sekurang-kurangnya, awak beruntung, merasa jugak dipegang lelaki, taklah kempunan sampai mati. Saya ni dah dikira bermurah hati nak pegang tangan awak. Dekat luar saya beratur anak dara nak suruh saya pimpin.” Rijal mengusik, namun nadanya juga separuh berbisik.

“Kita bukan lagi suami, isteri ; HARAM.” Sufie menjerlangkan mata, menyebabkan Rijal ketawa besar.

“Marah! Perkara biasa saja. Tak luak pun kulit awak.” Rijal mempamirkan muka mengada-ngada.

“Biasa bagi awak, luar biasa untuk saya. Memang kulit saya tak luak, tapi dosa saya bertambah.” Sufie bernada tegas, namun tetap lembut bagi Rijal.

“Ala…Kampung sungguh awak ni. Tak payahlah nak tunjuk baik. Zaman moden kenalah moden sikit. Orang kata ikut peredaran masa.”

“Orang kata atau nafsu yang kata. Jangan buat main soal agama. Saya tak suka.”

Sufie melangkah keluar, diikuti Rijal. Bila Sufie leka, diangkat kedua-dua belah jari dan diletakkan berhampiran kepala Sufie, seolah-olah tanduk syaitan sudah tumbuh. Kemudian dia ketawa geli hati. Sufie berpaling dan dia tersengih.

“Kah… kah… Lawak… lawak.”

“Apa yang lawak?”

“Awaklah.”

“Apa saya dah buat?” tanya Sufie.

“Tak buat apa-apa.” Rijal tersengih lalu ketawa lagi.

Malas melayan, Sufie kembali berjalan.

Wap berkepul daripada ubi kayu rebus menjulang naik, lantas mengundang rasa lapar Sufie dan Rijal. Hujan masih lebat, kaki tangga sudah digenangi air. Rijal teruja kerana belum pernah dia merasai suasana begitu. Hidupnya di kota mewah, Villa keluarga megah di atas bukit. Musim hujan atau tidak, semua sama. Rumahnya tetap selesa biar hujan atau pun panas kerana ada pemanas dan pendingin udara, suhu rumah boleh diselaraskan dengan mudah. Malah untuk ke mana-mana juga senang, hanya perlu memandu kereta mewahnya. Jika keletihan, driver keluarga sudah tersedia.

Rasa lapar Rijal hilang entah ke mana bila melihat air menghanyutkan selipar mahalnya. Dia yang mulanya hanya mahu menyelamatkan selipar akhirnya bermain air di kaki tangga dengan gembira, seolah-olah dia lupa Sufie sedang berduka. Seolah-olah dia lupa, dia telah mengkhianati hati seorang gadis. Afiena memandang meluat. Baginya kelakuan Rijal itu, tiada beza dengan kelakuan anak-anaknya bila bertemu air. Kamarul pula sedang sibuk membaca akhbar.

“Nak main. Nak main. Pak long Akim nak main,”jerit Akim sambil terlompat-lompat.

Rijal menggamit tangan, memanggil Jemi dan Hakim.

“Yeh… Yeh. Boleh main air.”Serentak itu kedua beradik berlari. Maka makin gamatlah suasana. Sesekali percikan air mengenai Kamarul yang sedang ralit membaca sekaligus mengggangu tumpuan.

“Aik…aik… karang papa terjun main air sekali. Papa pun tak mandi lagi ni.” Seperti biasa Kamarul buat lawak.

“Dah kenapa dengan suami kak long tu? Buang tabiat?”omel Afiena.

“Biarlah Fiena. Sekali-sekala buang tabiat apa salahnya. Kelakar kan?” aju Sufie. Nadanya ceria yang sengaja dibuat-buat.

Sekarang Rijal bertambah gila, dicantas daun keladi gergasi, kemudian dia berlari-lari di perkarangan rumah. Afiena mula menjerit nyaring bila anak-anaknya juga mula ikut serta. Pak Awi yang melihat senyum lalu mula berkata ketika Rijal kembali ke kaki tangga.

“Selalunya, kalau kaki tangga ni tenggelam, bermakna jambatan ke Kampung kita sudah ditenggelami air.”

“Tak mengapa ayah, saya bawa pacuan empat roda. Pasti lepas seberangi jambatan. Lagipun tentu mama dah tak sabar nak jumpa Sufie.”Rijal berkata sambil mengharungi air di kaki tangga. Dia mula menggigil kesejukan.

“Lori balak pun sangkut, ini kan pula pacuan empat roda. Air sungai deras. Bila musim begini, banyak papan jambatan yang tanggal. Kalau tergelincir macam mana?” Kamarul bersuara, dilipatnya akhbar yang selesai dibaca. Dia kemudian senyum lalu mengusik.

“Kena honeymoon di sini lagilah jawabnya. Tunggu lusa baru air surut. Itupun kalau hujan berhenti esok.”

Sufie dan Rijal tersentak serentak. Namun maksud sentakan mereka adalah berbeza. Bagi Sufie sentakan itu bermakna, dia terpaksa menipu lagi. Dan bagi Rijal, sentakan itu bermakna semakin lamalah dia perlu menunggu untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan ibunya iaitu Datin Abda. Kedua-duanya berwajah murung.

“Jangan sedih, nanti mek telefon ibu kamu. Dia tentu faham.”

Namun Sufie dan Rijal masih berwajah suram, sesuram mendung yang menyelimuti langit ketika itu.

“Hari ini, Sufie akan masak asam pedas keladi. Air tangan dia boleh tahan sedap. Kamu mesti cuba Rijal.” Mek mengerling kepada Sufie dan beralih pula kepada Rijal.

Wajah suram Rijal bertukar nakal, entah kenapa dia begitu terhibur mengusik Sufie. Tetapi itu bukanlah bermakna dia mencintainya.

“Hebat…Hebat...Tak sabar rasanya nak try, mesti sedap, pasti hebat. Sudahlah pandai memasak, cantik pula tuannya.”

Sufie kembali geram. Mungkin bagi keluarganya Rijal ikhlas berkata, namun yang sebenarnya kata-kata itu tidak lebih daripada dusta. Sesekali Afiena memandang tajam kepadanya, seolah-olah telah menghidu sesuatu. Cepat-cepat Sufie kembali senyum dan membutangkan mata. Dia tiada pilihan, selain teruskan permainan itu. Di dalam hati dia bersuara. “Ya ALLAH ampuni aku, jika penipuan ini menyebabkan Engkau murka, namun tiada niat lain, selain menjaga hati dan nama baik kedua orang tuaku.”

Rijal masih menggigil di kaki tangga. Dia sudah tidak mengharungi air lagi, begitu juga dengan anak-anak Afiena. Mek jeling tajam pada Sufie, bingkas dia bangun masuk ke dalam dan keluar sejurus itu. Sehelai tuala disuakan kepada Rijal.

“Abang kena mandi, nanti demam,” lembut Sufie bersuara, namun matanya lari sebaik bertembung dengan mata Rijal.

“Terima kasih sayang sebab prihatin.” Rijal menjawab manja menyebabkan Sufie meluat tiba-tiba dengan kepura-puraan itu, namun mek dan Pak Awi gembira bukan kepalang melihat keharmonian mereka berdua.

“Mek, ayah. Sufie ke dapur dulu. Nak masak,”bingkas Sufie berpaling lalu menghayun langkah. Manakala Rijal tersengih kerana dapat mengusik.

Rijal masih mampu tersenyum dan ceria kerana baginya hal perceraian itu adalah perkara remeh, bagai gigitan semut kecil yang tidak akan memudaratkan sesiapa. Malah di bandar pasangan berkahwin pun sudah ramai yang berlaku curang. Dia senyum sinis memikirkan betapa kolot pemikiran Sufie. Baginya cinta sejati tidak pernah wujud, hanya cinta yang berlandaskan nafsu dan kepentingan sajalah yang benar. Akalnya mencerna lagi, mana mungkin akan wujud cinta tanpa syarat, itu semua pemikiran bodoh.

Ketika Sufie sedang ralit memasak, Afiena muncul sendirian bersama beberapa ekor ikan air tawar. Wajahnya penuh curiga, malah hatinya kuat mengatakan kakak kesayangannya itu sedang berduka.

“Tengok apa Fiena bawa! Keli bunga. Goreng berempah sedap ni. Kena pula dengan asam pedas keladi kak long. Terangkat habis. Jangan lupa sambal belacan.” Afiena menabur garam ke atas keli, agar cepat mati.

“Ada terung dengan jantung pisang mek bawa balik semalam. Celur cicah budu mesti sedap. Fiena celurkan. Ya,”pinta Sufie tanpa berpaling.

Terkial-kial dia membaca resepi pada peti sejuk, masih ada sebahagian cara penyediaan yang tidak diingat. Afiena mengeluh kecil bila rasa hatinya makin kuat menyatakan kakaknya berduka.

“Fiena mengeluh ke? Tak baik sayang,”lemparan senyuman Sufie menguntum senyum Afiena seketika.

“Ada sesuatu yang kak long mahu kongsi dengan Fiena?” Soalan yang ditanya menorah hati Sufie. Adakah patut dia berterus terang atau berbohong? Kebetulan Rijal yang baru selesai mandi dan mahu melewati bahagian dapur turut terdengar pertanyaan Afiena. Dia jadi risau. Risau jika ibunya iaitu Datin Abda akan tahu dan tentulah saham yang dijanjikan akan hilang begitu sahaja. Dia bersembunyi di balik pintu, cuba mencerna isi perbualan dua beradik itu.

Jika diikutkan hati mahu sahaja dia mencantas perbualan mereka, namun dia faham benar sikap Afiena yang tidak mudah mengalah. Tentu kehadirannya akan menambah sengketa di antara mereka berdua. Wanita garang itu saling tak tumpah seperti ibunya, manakala kakaknya mewarisi pekerti ayahnya. Sentiasa tenang dan lembut tutur katanya.

“Kak long tak bahagia, betul ke tak?” desak Afiena.

Sufie membisu. Tidak tergamak untuk menipu. Tetapi jika berterus terang, pastilah Rijal akan diserang oleh Afiena dan segala yang cuba disembunyi akan terbongkar. Selepas itu pastilah maruah keluarga mereka akan dihinjak-hinjak penduduk kampung. Semakin pantas tangan Sufie mengodek asam pedas keladi, dia berharap soalan Afiena akan berakhir di situ. Namun Afiena tetaplah Afiena, seorang wanita yang tidak mudah diendahkan kemahuannya.

“Kak long, Fiena tanya ni. Kalau kak long keberatan, nanti Fiena tanya abang long sendiri.”

“Apa dia Fiena. Nanti-nantilah kak long tengah masak.” Sufie bersuara lembut.

“Kita macam belangkas sejak kecil. Semua gerak-geri kak long Fiena boleh baca. Apa abang long dah buat pada kak long?” Fiena terus mendesak, namun nada suaranya masih lembut. Tidak pernah sekali pun dia meninggikan suara kepada Sufie.

“Buat apanya. Tak manis kak long cerita hal suami isteri sebarangan. Maruah abang long kenalah dijaga.” Sufie berharap pembohongan itu akan berjaya, namun sebaliknya.

“Lelaki tak guna tu sakitkan hati kak long, ya. Dasar lelaki jahat.” Afiena masih tidak berpuas hati.

“Kak long bahagia. Tak perlulah Fiena risau. Kalaulah orang dengar, nanti ingat kak long bergaduh pula.”

Terkedu Rijal di belakang pintu. Tidak disangka mulut Afiena setajam belati yang menghiris. Saat itu dirasakan dialah lelaki paling jahat. Bila dikenang apa yang telah berlaku ketika malam pengantin itu, ternyata gelaran itu padan dengannya.

Sebenarnya sudah acap kali dia digelar lelaki jahat, nakal, playboy dan gelaran lain yang tidak sedap didengar. Namun dia tidak menjangka akan mendengar panggilan itu daripada mulut bekas adik iparnya sendiri. Dia mengeluh sendirian.

“Jahat sangat ke aku, sampai semua orang kata benda serupa.” Rijal mendengus kasar.

“Afiena!” Sufie mengalirkan air mata, namun masih tenang. Afiena terkedu. Mungkin kata-katanya benar-benar melampau sehingg kakaknya menitiskan air mata. Rijal di belakang pintu turut kelu. Perasaan bersalah bercampur, di antara kasihankan Sufie dengan kemewahan yang dikejar. Sungguhpun begitu dikeraskan hati agar tidak mengalah.

“Aku mengalah! Tak mungkin…Tak mungkin. Perempuan yang akan layu di tangan aku, bukan aku.” Rijal berbisik sendirian, menenangkan hati.

Sufie kembali bersuara, Rijal kembali memasang telinga. Entah mengapa kata-kata Sufie kali ini menyadap hati, melumpuhkan ego lelakinya. Ego yang selama ini dianggap raja. Hatinya menjadi sayu serta-merta.

“Kak long yakin dia seorang lelaki yang baik. Fiena tengok bukan, betapa gembira dia bermain air, bergelak ketawa dengan Jemi dan Akim. Itu dah cukup bagi kak long untuk mengatakan dia lelaki yang baik. Kak long yakin, dia mempunyai hati yang suci. Hati yang akan dikongsi dengan seseorang yang dia cintai tanpa syarat.”

“Baik sampai sanggup lukakan hati kak long? Jangan cepat menilai orang kak long, nanti menyesal. Silap-silap haribulan kena…” Kata-kata Afiena terhenti apabila Rijal melangkah masuk.

“Sayang, kenapa mata awak berair?” Rijal muncul mengejut, mematikan perbualan kedua beradik itu. Dia menarik hujung tuala yang melingkar di leher dan cuba menghapuskan air mata Sufie, namun Sufie berundur setapak ke belakang, membuatkan kening Afiena terangkat curiga. Sufie yang menyedari renungan tajam Afiena cepat-cepat berkata.

“Jangan! Badan saya melekit, nanti kotor pula. Pergilah salin pakaian dulu. Nasi dah masak, tinggal nak hidang saja.” Pantas Sufie berpaling lalu menceduk asam pedas keladi.

“Awak, kenapa menangis? Saya ada lukakan hati awak ke?” Rijal serba-salah, macam mahu meluahkan permata dari mulut. Terasa janggal. Dia pelik bagaimana ayat itu sukar untuk disebut sedangkan sebelum ini ayat itu adalah mainan bibir.

“Awak suami yang baik. Lelaki yang berhati penyayang. Cukup sempurna.” Sufie menjawab tenang. Sedaya upaya disembunyikan rasa hati, tidak mahu dilihat lemah.

“Awaklah yang cukup sempurna sebenarnya. Mungkin saya yang tak sempurna.” Ah! Kata-kata yang tidak dirancang itu meluncur laju. ‘Gila mana mungkin dia lebih sempurna dari kau.’ Akalnya mencantas kata hati.

Rijal berlalu pergi. Rasa sesal menusuk bagai jarum. “Macam manalah aku boleh sebut ayat-ayat pelik tu. Mesti dia ingat aku dah menyesal. Sorry. Kau ingat senang-senang aku nak tunduk dekat orang macam kau.”

Afiena datang dari arah belakang lalu dipeluk Sufie, sehingga terasa tulang-temulang kakaknya. Dia berkata.

“Jika ada perkara yang paling menyakitkan ialah ketika kak long disakiti, dan jika ada perkara yang paling mengembirakan adalah ketika kak long gembira. Maafkan kebiadapan Fiena tadi.”

“Tak apalah. kak long tahu Fiena risau. Tapi percayalah kak long dah cukup dewasa untuk menjaga diri, Ini bukan lagi zaman sekolah. Fiena tumpukan saja perhatian pada keluarga. Hal kak long, InsayALLAH, pandailah kak long uruskan.” Sufie meramas-ramas lengan Afiena.

“Kak long maafkan Fiena tak.”

“Nak maaf kena ada syarat tau.” Sufie berseloroh sambil menyeka air mata terakhir.

“Kena syarat jugak ke? Kira pengeras lah ni ya.” Afiena melayan angin Sufie.

“Lebih kurang lah tu.”

“Apa syaratnya. Tuan puteri.”

“Tolong kak long hidang nasi. Lepas tu panggil semua makan. Kak long nak ke surau, ada talaqqi.”

“Masih belum habis lagi.”

“Hari ni belajar qiraah sab’ah.”

“Tak makan sekali?”

“Tak, masih kenyang.”

Sufie tidak turut saat menjamu selera, kerana dia masih kekeyangan. Itu apa yang dikata. Entah apa dimakannya Afiena tidak tahu. Tetapi hatinya kuat mengatakan ia pasti berkaitan dengan Rijal. Ditenung geram lelaki itu, mahu sahaja disepak-sepak muka lelaki yang telah melukakan hati kakaknya. Bukanlah niatnya untuk menyibuk, namun dia cukup kenal dengan sikap kakaknya yang tidak mudah berwajah muram, kecualilah jika perkara itu betul-betul merungsingkan hati.

Rijal tidak menyedari yang Afiena sedang merenung marah. Dia begitu bersungguh-sungguh menjamah nasi berlaukan asam pedas keladi. Sudah acap kali dia makan asam pedas keladi, namun air tangan Sufie amat berlainan. Sukar untuk dia nyatakan melalui kata-kata, apakah kelainan itu. Namun hatinya sudah merakam setiap rasa itu. Mek senyum bangga bila melihat kesungguhan Rijal menjamah. Pak Awi sudah dua kali menyenduk nasi untuknya. Tetapi baginya, itu belum cukup untuk menandingi kegilaan meratah asam pedas keladi itu.

“Pernah dengar petua orang dulu-dulu tak? Kamarul membuka cerita, namum masih tidak dipedulikan Rijal. Dia begitu asyik dengan asam pedas keladi.

“Petua apa pulaknya? Ayah nak dengar juga.” Pak Awi mengusik mesra.

“Ikut kata mak saya. Sekali makan masakan orang yang ikhlas mencintai kita, sampai mati tak lupa.”

“Maksud Kamu?” Rijal berminat.

“Maksudnya ialah.” Kamarul membuat gaya persis seorang pensyarah. “Andai kata, jika takdir Allah memisahkan Rijal dengan Sufie.”

“Cakap yang bukan-bukan. Hujan tengah lebat sekarang. Tahu tidak, salah satu waktu paling mustajab untuk berdoa ketika hujan turun. Nanti tak pasal-pasal masin mulut kamu, haru satu kampung.” Mek bersuara garang.

“Contoh sahaja mek. Janganlah marah.”Kamarul bernada memujuk dan ibu mertuanya kembali tenang.

“Sambungan cerita tadi! Bermakna jika terpisah sepuluh tahun sekalipun, hanya dengan merasa masakan itu Rijal akan terbayang dan tahu itu adalah masakan Sufie. Salah satu tanda Rijal telah jatuh cinta pada Sufie. Sekian terima kasih.”

Rijal ketawa lucu. Baginya perkara itu adalah mustahil. Manakan tidak,dia yang sering dikejar gadis-gadis jelita akan memilih gadis albino untuk dicintai. Sesuatu yang gila untuk difikirkan, malah mustahil sama sekali. Dia benar-benar pasti petua itu hanyalah rekaan orang-orang tua, sekadar hiburan semata-mata.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.