Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 12- TEMUDUGA YANG TIDAK DIDUGA

Papan tanda kecil, tertera ‘Italia Pasticceria Café’ semakin jelas tulisannya berbanding kelmarin. ‘Welcome’ Perkataan itu seakan-akan tersenyum dan mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja.

Dia benar-benar berdiri di hadapan kafe itu, bahagian luar yang bernuansa Istana Alhambra yang cukup terkenal. Istana yang pernah dianggap bangunan paling indah di dunia, terletak di atas sebuah bukit Sierra Nevada. Bunyi air pancut dengan seni bina Granada juga begitu memukau, menjadi halwa telinga dan mata. Jubin-jubin yang tersusun kemas dengan warna tanah itu sedang memagari pancutan air. Kiambang dan kemunting melata di permukaan air, menambah kecerdasan fikiran.

Sufie melangkah berhati-hati, dirasakan daya penglihatannya semakin berkurangan semenjak akhir-akhir ini. Dia sedang berlegar di anjung kafe yang masih mengekalkan ciri Andalusia, tetapi didominasi elemen Melayu asli dengan penggunaan kayu cengal dan meranti. Tentulah pelaburan yang besar diperlukan untuk menyediakan kafe sehebat ini.

Hanya sebentar berlegar, kemudian dia melangkah masuk ke ruang utama kafe.

Lantai ruang utama kafe pastri itu keseluruhannya dilapisi lantai kayu lamina, berwarna rosewood. Hampir keseluruhan ruang utama kafe itu berwarna asli daripada kayu yang hanya disapu syelek untuk membangkit warna dan menjaga ketahanannya. Pada dinding pula tergantung pelbagai jenis gambar pastri yang amat mengecurkan liur. Di atas setiap meja dihiasi sekuntum mawar merah segar yang dimasukkan ke dalam pasu kecil.

Mungkin sudah tiba masa untuk dia menukar kaca mata baru. Langkah masih dihayun kecil dan berhati-hati. Kedengaran suara-suara sumbang, dia tetap melangkah. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan situasi itu.

Rata-rata yang mengitari ruang utama kafe adalah gadis-gadis cantik dan berpakaian agak seksi, malah staf jururawat muda juga berada di situ. Ada sesuatu yang menyebabkan mereka berkerumun.

Bau garing dan wangi roti dan pastri yang baru dibakar terbit, mengusik perut yang sedang lena. Sebuah rak kaca bertutup, panjang dan melintang di hadapan kaunter menarik perhatian Sufie. Dipenuhi kek-kek dan pastri yang begitu halus dengan seni hiasan. Pastilah sesiapa sahaja akan terliur melihat, terutama campuran potongan strawberi, kiwi, mangga dan limau gedang yang melingkari permukaan tat buah.

Suasana yang agak tenang, bertukar tegang. Bukanlah kerana pergaduhan, tetapi sesuatu telah menarik perhatian hampir kesemua gadis di situ. Bibir mereka berebut-rebut menghadiahkan senyuman buat lelaki yang baru sahaja muncul dari dapur.

Sufie ikut senyum. Bukan kerana terpikat, tetapi kerana dia kenal lelaki itu.

“Corrado. Ada madu rupa-rupanya. Patutlah semua kupu-kupu berkerumun. “ Senyuman Sufie makin melebar. Tanpa disedari senyuman itu sangat dinanti-nantikan oleh Corrado. Hampir semalaman dia diburu senyuman berhantu itu.

“Sufie… Buongiorno!” ‘Selamat pagi’ Corrado menjerit riang. Pantas gadis-gadis di situ berpaling ke arah Sufie, kemudian kembali memandang Corrado.

Corrado melambai, kemudian melangkah laju. Suasana yang sepi kembali tegang, wajah-wajah kehairanan begitu jelas kelihatan. Mungkin tidak percaya yang mereka telah dikalahkan oleh seorang gadis albino.

“Err… Siapa nama awak? Alamak! Saya dah lupalah.” Sufie bertanya lembut.

Wajah Corrado mencemik, seribu kahampaan berpilin dan bertindih. Mahu sahaja dia memekik mengatakan betapa hampa hatinya bila Sufie tidak ingat namanya, sedang nama Sufie tidak sesaat pun dilupakan.

“Corrado… Ya, Corrado. Saya ingat nama tu, saja mengusik awak. Jangan marah, nanti kena jual.” Sufie senyum nipis dan Corrado tersihir oleh senyuman itu.

“Seperti dijanjikan, saya datang untuk temuduga. Bos awak ada?” Sufie memanjangkan leher mengintai-intai, mencari-cari kelibat lelaki yang mungkin sedang memakai topi koki dan baju double breasted, namun tidak kelihatan. Yang sedang kelihatan dengan nyata adalah mata-mata yang sinis menjeling ke wajahnya. Dia menjadi malu sejurus itu. Rijal melihat pipi Sufie yang merona merah. Dia faham, kerana dia juga melihat jelingan-jelingan menghina itu.

“Kita ke anjung. Kamu akan ditemuduga sekarang. Dekat luar udara segar, nanti awak dapat berfikir dengan lebih bagus.” Lelaki bermata hijau laut itu, lalu melangkah diikuti Sufie. Tambah geram gadis-gadis yang memandang. Mereka juga berharap yang mereka adalah Sufie.

Bila menghampiri meja berhampiran air pancut, Corrado menarik kerusi lalu mempersilakan Sufie duduk, namun ditolak dengan satu senyuman manis. Corrado terpana seketika.Ya, dia benar-benar telah jatuh cinta dengan senyuman itu.

Mata-mata menjeling dari ruang utama, seakan-akan mahu terkeluar. Manakan tidak, ada di antara mereka sudah mengunjungi saban hari ke kafe itu semata-mata mahu dipersilakan duduk oleh Corrado. Namun lelaki berambut coklat dan berkumis nipis itu tidak pernah seghairah pagi ini.

“Bos awak mana? Saya tak nampak dari tadi, Kalau diterima boleh saya mula kerja hari ni?” Sufie separuh berbisik.

“Kenapa nak kerja hari ni?” soal Corrado. Dia juga berbisik, sengaja mengusik Sufie.

“Awak tahu bukan. Saya baru kena rompak. Jika saya kerja hari ni, dapatlah saya guna duit upah untuk beli makanan.”

“Oh! Hampir saya lupa. Maaf. Tunggu. Saya panggilkan bos?” Corrado berlalu laju.

Beberapa orang gadis berwajah masam melintas, mereka memendam dendam kepada Sufie.

Angin menyapa lembut. Sufie senyum lagi sehingga tidak disedari Corrado muncul. Dia menatang dulang berisi sepotong Lemon Cheese cake, dua cawan kopi dan sebungkus biskut yang amat dikenalinya.

"Saya lah jurutera kafe ini. Saya tahu awak mesti terpegun dengan konsep yang saya cuba tonjolkan. Tak perlu jawab sebab gerak-geri awak dah menjawab semua soalan itu.” Corrado pantas meletakkan piring berisi potongan kek keju lemon di hadapan Sufie. Pantas dan cermat dia melakukan kerjanya.

Italian bocconotti cookies! Wah langkah kanan saya hari ni. Memang semua yang dipanggil temuduga akan dilayan begini, atau hari ini hari istimewa saya?” Senang hati Sufie bila melihat Italian bocconotti cookies.

“Mesti awak belum makan. Kejam pulak kalau ditemuduga dengan perut kosong. Lapisan layer kek agak masam, saya beri awak cuba kek keju lemon yang saya cipta.”

“Wah! Tentu kek ni popular.”

“Tapi malang, seribu kali malang. Baru semalam kek ini saya cipta. Awak orang pertama yang rasa, tahu tak? Saya nak minta pendapat awak.”

“Boleh... Saya akan bagi komen terbaik yang saya mampu beri. Biar saya rasa dulu.”

Selepas memuji Zat ALLAH, kek keju lemon itu disuapi ke mulut. Dia berwajah mencuka, kemudian mencemik dan akhirnya senyum. Diulang-ulang perkara yang sama tiga kali.

“Masam... Dan masam.”

Corrado tidak menyangka Sufie tidak menyukai rasa kek lemon itu. Dia benar-benar berharap dapat mendengar sekali lagi pujian daripadanya.

“Saya ingat awak suka. Tekaan saya meleset nampaknya. Aduh! terpaksalah saya ubah semula resepi asal."

“Sabar! Saya belum habis cakap lagi. Yang tadi hanya intro.” Sufie memalingkan wajahnya bila ditenung hebat oleh Corrado. Tidak pernah seorang lelaki merenung dia sebegitu, malahan dia sendiri tidak selesa ditenung begitu.

“Ya, saya masih bersabar. Teruskanlah komen.” Corrado mendekatkan wajahnya ke hadapan. Makin teganglah suasana di ruang utama kafe.

“Jangan tenung saya begitu, saya segan.” Polos Sufie berkata.

“Maaf. Saya jadi teruja itu sahaja.”

“Tak apa.” Sufie kembali memalingkan wajah, namun tidak dipandang tepat wajah Corrado. Hanya sisi pipinya yang dipandang.

“Memang kek awak masam, tetapi masam yang memaniskan hati. Sebab sesiapa yang beli kek keju lemon ni, pasti akan beli lagi. Rasa masam kek awak dapat seimbangkan rasa manis dan lemak keju . Hanya orang bijak dapat mencipta sesuatu yang bijak. Mungkin awak salah seorang darinya.”

sinceramente. Non mi aspettolod? Awak ikhlas. Saya tak harap pujian kosong?” Corrado bertanya mengharapkan kepastian. Matanya terbuka luas, seluas senyuman yang melingkari bibir merahnya.

“Setakat ini, itulah yang saya rasa. Mungkin untuk jawapan yang lebih tepat, kena tanya bos awak.” Sufie menjawab tenang.

“Hoorey… Hoorey... Horey!” Corrado meloncat-loncat riang. Apron ditanggal dan dipusing-pusing seperti gaya koboi memusing tali. Dia benar-benar gembira.

Seisi kedai terhenti seketika. Ada yang menyangka Corrado sudah gila, ada yang geli hati, ada yang bersyukur dan ada yang menjeling benci.

Bagi yang beranggapan dia gila kerana mereka tahu yang Corrado jenis pendiam dan hanya berbicara jika perlu. Bagi yang geli hati kerana mereka boleh melihat sisi sebenar Corrado yang ceria, begitu juga yang bersyukur kerana Corrado akhirnya mampu senyum ikhlas tanpa dipaksa. Bagi yang menjeling benci, sudah tentulah kerana dengki akan Sufie yang dilihat sebagai pesaing hebat. Hati mereka jika dapat dilihat, sudah tentu sedang mendidih dan melepaskan wap kebencian.

“Sudahlah Corrado. Pelanggan sedang perhati kita.”

“Biar mereka perhati. Apa yang penting saya sangat gembira. Rasa nak peluk awak.” Corrado mendekati, cuba memeluk.

“Jangan! Saya bagi amaran, jangan sesekali awak berani peluk saya.” Sufie bingkas bangun, berundur dan mengitari meja makan.

“Saya tak boleh tahan perasaan gembira ini. Oh! Sufie kalaulah saya dapat cari satu perkataan yang dapat mengambarkan perasaan saya. Tapi saya tidak menjumpai satu pun perkataan yang dapat menandingi perasaan ini. Jangan lari! Saya tak kira, apa pun yang berlaku saya tetap akan peluk awak.” Corrado senyum nakal, mengangkat kening dan semakin merapati Sufie.

“Jangan saya kata. Saya orang Islam. Tak halal jasad saya untuk awak.” Sufie masih berundur.

Gadis-gadis yang tadinya memerhati dari jauh datang mendekati, memerhati dari dekat. Wajah mereka seperti udang dibakar. Cemburu yang sudah meluap-luap, menanti masa untuk meletus. Pesakit dan sesiapa sahaja yang lalu di situ turut berhenti melihat kejadian itu. Mereka bingun adakah itu hanya gurauan sepasang kekasih atau persembahan untuk menarik pelanggan ke Italia Pasticceria Cafe? Tanpa disedari seorang lelaki memerhati dengan geram. Wajahnya menyinga marah. Kaca matanya dibetulkan beberapa kali, dia mendengus kecil lalu berlalu pergi.

“Jadi halal untuk siapa? Bagi tahu saya, lelaki mana yang boleh peluk awak?” Corrado semakin menghampiri Sufie. Mungkin angin gembiranya sudah bertukar gila. Sudah dia putuskan, mahu atau tidak Sufie harus dipeluk. Tanda terima kasih atas kegembiraan yang sedang dirasai sekarang.

“Suami! Hanya suami saya yang layak. Lelaki yang halal saya nikahi.” Sufie bernada tegas. Dia masih mengitari meja, wajahnya cemas, sedikit pucat. Tidak disangka perkara itu akan berlaku. Paling memalukan bila ramai yang memerhati. Oh, alangkah malunya.

Hendak diletakkan ke arah mana mukanya itu? Kiri dan kanan, depan dan belakang sudah dikitari orang.

Corrado berhenti mengejar. Ditenung hebat wajah Sufie. Ah, sekali lagi lelaki itu merenungnya begitu. Dia menjadi resah, namun hanya sedikit resah.

“Saya mahu jadi lelaki halal yang awak maksudkan. Jadilah isteri saya!” Corrado bersuara lantang, menunding jari telunjuk ke arah Sufie. Seisi kedai sepi.

Malah yang paling sepi dan terkejut, tentulah gadis-gadis yang saban hari berusaha mengorat Corrado. Masing-masing terlopong dan ternganga. Ada yang menampar pipi sendiri. Tentulah mereka naik pelik bin ajaib bila gadis albino dapat menandingi kejelitaan dan kemugilan tubuh mereka.

Wajah sufie kelat. Dia bungkam, mahu ditampal dengan apakah perasaan malunya itu? Di manakah mahu disorokkan wajahnya itu? Oh, tiada satu tempat yang mampu menyorokkan perasaan malunya ketika itu. Pastilah orang-orang yang sedang melihat akan menjaja pula kisah itu. Mulut manusia tidak dapat ditutup.

“Tolong jangan bergurau yang bukan-bukan. Malu saya! Sanggup awak layan saya macam ni.” Sufie bertegas. Corrado diam, bukan kerana takut akan ketegasan Sufie. Tapi kasihan melihat wajah malunya. Kulit putih gadis itu merah padam, senyuman indahnya turut padam berganti kelat. Dan itulah sebenarnya yang menakutkan Corrado, bila bibir Sufie tidak lagi menguntum senyum.

“Sudah... Sudah... Semua boleh bersurai dan menjamu selera seperti biasa. Tadi hanya temuduga untuk melihat reaksi pekerja baru kafe ini. Kami memerlukan krew yang bermoral tinggi dan mampu bersabar dengan kerenah pelanggan yang miang.” Suara lantangnya dilantun, bergema kedengaran.

“Kamu lulus temuduga ini. Boleh bermula esok pagi. Jangan lupa biskut untuk dibawa pulang.”

“Terima kasih. Jadi ini kafe awak?” Sufie lega. Ternyata apa yang ditakutinya hanyalah satu temuduga yang sudah dirancang.

“Bukan, saya pekerja biasa saja. Kebetulan bos cuti, jadi saya kena kendalikan temuduga awak.” Kening diangkat. Corrado senyum bangga.

“Boleh saya mula kerja sekarang. Saya memang betul-betul nak kerja hari ni.” Sufie merayu.

“Mustahil. Undang-undang kafe kena ikut. Tak dibenarkan pelatih bekerja pada hari pertama temuduga.”

“Tapi saya sanggup kerja sekarang juga. Mungkin undang-undang tu boleh diketepikan seketika.”

“Saya juga harap perkara yang sama, memandangkan kami memang kekurangan krew.” Corrado senyum nipis.

“Bermakna saya boleh mula kerja sekarang.” Sufie teruja. “ Ada juga rezeki aku. Alhamdullilah, hari ini dapat aku beli makanan.” Sufie berkata kecil dan pastinya tiada yang mendengar apa yang dikatakan.

“Tapi sayang. Undang-undang tak boleh dibuat main. Undang-undang dicipta untuk dipatuhi, bukan dilanggar. Maaf saya tak bolah bertolak ansur.” Corrado berwajah kecewa, begitu juga Sufie.

“Rozita!” Corrado memanggil salah seorang krewnya. Seorang gadis, lebih muda daripada Sufie berlari bersama sebuah beg plastik.

“Sebagai krew baru, saya mahu kamu menjiwai semangat kafe ini. Cara terbaik untuk menjiwai adalah melalui makanan. Dalam beg plastik ini ada chicken parmigiana, fettuccine alfredo, lasagna dan pasta primavea. Kamu balik dan makan. Makanan tu cukup untuk kamu hingga ke malam. Esok pagi-pagi, saya nak tahu pendapat kamu pasal makanan tu semua.” Corrado melangkah meninggalkan Sufie.

“Saya masak khas untuk kamu, moga sesuai dengan selera kamu. ” Corrado berkata-kata sendirian.

*****

Hujan lebat membawa bersama angin segar, namun masih belum mampu melegakan pernafasan Pak Awi sekeluarga. Dalam kesesakan nafas, mereka masih mengharapkan yang jenazah Sufie akan ditemui. Jika tidak, Solat Jenazah Ghaib akan dilakukan.

“Apa pun keputusan, mek harap mayat kak long kamu ditemui. Mek risau kalau kena hanyut ke laut.”

“Insya ALLAH mayat kak long dapat dicari. Kita doa, mintak-mintak bomba jumpa mayat kak long.” Kamarul bersuara lembut. Dia masih memerhati usaha mencari itu.

“Macam mana jika jenazah itu kena baham buaya. Dekat hulu sungai, dengar cerita dah beberapa kali orang lihat buaya timbul.” Mek bernada resah. Sukar sekali untuk dia memujuk hatinya.

“Issh… Baik awak berdoa, dari duk melayan perasaan awak yang tak menentu. Makin sakit jiwa awak nanti.” Pak Awi mencantas andaian mek.

“Saya dah cuba. Tapi awak kenalah faham perasaan saya. Sufie anak saya.” Mek membela diri.

“Ya, saya faham. Sufie anak saya juga. Kita merancang, ALLAH juga merancang dan keputusan bukan milik kita. Kenalah redha.” Lembut kata-kata Pak Awi. Mek dirangkul dan wanita tua itu dipeluk erat. Air mata mek kembali mengalir.

“Saya takut. Saya tak sanggup. Seribu macam rasa berbolak-balik dalam hati. Betul ke Sufie dah pergi, saya macam tak percaya. Rasanya baru semalam dia cium tangan saya.” Mek berkata teresak-esak.

“Kita serah semua pada ALLAH.” Pak Awi menggosok-gosok belakang mek.

Afiena berlari mendapatkan mek dan Pak Awi. Tercungap-cungap bila dia sampai. Cemas tergambar di wajah, namun sedikit senyuman menghiasi bibirnya.

“P… Polis dah jumpa phone kak long dekat muara sungai. Tersangkut dekat ranting-ranting hanyut,” mengah dia berkata.

“Alhamdullilah. Mayat kak long kamu dah jumpa.” Mek bertanya pantas.

“Belum.”

“Suruh bomba-bomba tu selam semula, mesti mayat ada dekat-dekat situ saja.” Mek kembali bersuara, semangatnya pulih serta merta. Tidak menunggu lama, dia berjalan laju ke arah bot penyelamat yang baru tiba di gigi air.

“Ada jumpa mayat anak saya tuan.” Mek berkata laju, air mata masih berjuraian jatuh.

“Maaf mak cik. Tak jumpa. Dah puas kami selam.” Seorang anggota bomba menjawab lemah.

“Ada! Selam lagi dekat kawasan telefon dia tadi. Saya tahu mayat dia ada kat situ.” Mek masih tidak berpuas hati.

“Arus deras. Mungkin mayat anak mak cik dah kena hanyut ke laut.”

“Mustahil!”

“Mak cik kalau mayat anak makcik tersangkut kat situ, mesti mayat dia dah timbul atau berbau. Saya cadangkan mak cik uruskan solat jenazah. Tak baik ditangguh-tangguh soal agama.” Anggota bomba itu melompat dari kepala bot penyelamat, merapati lalu menepuk-nepuk bahu mek. Mek kembali diam.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.