Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 26- SANGSI

Hampir naik kematu tapak kaki Miera melangkah, tetapi masih tidak ditemui bilik yang menempatkan Tariq. Maka terpaksalah dia bertanya kepada beberapa orang sebelum dia menemui bilik dituju. Langkahnya terhenti ketika terdengar suara lembut seseorang. Cepat-cepat dia bersandar pada dinding dan memasang telinga.

“Cisss… betina gatal tu datang menempel,” luah Miera marah. Kedengaran halus ketapan gigi yang berlaga.

Ketawa yang pecah berderai menambah bara di hati. Miera menarik-narik blaus yang tersarung pada badannya yang tinggi lampai persis model itu. Telinganya masih terlekap menanti berita yang mungkin akan melunakkan resah hati. Dia sengih tiba-tiba, apa yang diharap muncul juga.

“OH!... ada orang cari si bidadari penderma hati rupa-rupanya. Patutlah kau tolak aku mentah-mentah. Jangan risau kau akan dapat apa yang kau idamkan Tariq.” Miera melangkah megah, otaknya ligat merencana sesuatu. Hatinya sembuh dengan sendirinya.

Sementara itu Tariq dan Daniel masih bertekak sekaligus mencuit lucu Sufie dan Zikrey.

“Tariq kalau kau terus macam ni, silap-silap bidadari hati kau lari. Mana tahu si bidadari terkejut tengok sikap kau yang macam budak-budak.” usik Sufie.

“Manalah dia mampu lari bila berhadapan dengan lelaki sekacak aku.” Tariq bercekak pinggang sambil melempar renungan tepat ke wajah Sufie.

“Sombongnyaaa…” ejek Daniel sambil menjelirkan lidah. Tariq jadi geram lagi.

“Tolong sikit ya. Itu bukan sombong tapi kenyataan.” Tariq meluku kepala Daniel dengan lembut. Kanak-kanak itu mengaduh sakit sambil mengusap-usap kepala. Sekali lagi tawa terlerai.

Daniel berpaling menatap Sufi. Matanya mengecil dengan dahi sedikit berkerut. Patah kata yang lancar meluncur tiba-tiba.

“Betul ke… cikgu kerja dekat kedai pastri?” aju Daniel tiba-tiba.

“Ya… kenapa?”

“Seronok tak?”

“Seronok… ramai kawan. Yang paling best pastri-pastri dia cantik. Kalau makan mesti nak tambah.” Sufie menunduk kehadapan lalu jejari runcing miliknya mengusap rambut Daniel. Kali ini Daniel merelakan perlakuan itu, tanpa bantahan.

“Daniel dah semakin hensem,” puji Sufie.

Daniel tersipu-sipu, gelagatnya yang serba tidak kena itu sekali lagi mengundang tawa.

***

Corrado masih membelek-belek buku yang dipegang. Buku itu sudah separuh dibaca, malah membaca buku itu seumpama bersama Sufie. Cuma sejak tadi hatinya tidak keruan. Seakan-akan lompang hatinya tidak diturap dengan baik. Mengundang rekahan kecewa yang lain.

Corrado masih merenung tulisan yang timbul di permukaan kulit buku itu.

Chi I cuori lui,” (Siapakah aku di hati dia) tukas Corrado lemah.

Rozita yang setia memerhati, tidak mampu lagi berdiam diri. Dengan satu dengusan nafas dia menghayun langkah. Tidak dilupa dua mug kopi panas. Sungguhpun hatinya gentar namun bibirnya tetap melarik senyum, tetapi senyuman itu tidak senada dengan mata. Nampak canggung. Entah kenapa, dia sendiri pelik dengan perasaannya kebelakangan ini. Sebaik terpandang Corrado dia akan lemah tiba-tiba, malah pantang baginya bila Corrado disapa atau menyapa gadis lain. Malah dengan wanita tua sekalipun.

“Errr... pagi.” Rozita kaku berdiri di hadapan Corrado. Dirasakan dua biji mug itu beratnya seakan seguni beras. Tenaganya susut mendadak.

Corrado mendongak langit, memerhati matahari yang sedang terik memancar. Dia kemudiannya membalas senyuman gugup Rozita. “Ya... selamat pagi... oh, atau mungkin selamat tengah pagi. Tentu kamu setuju dengan apa yang saya kata. Ya... tak?” usik Corrado.

Berkerut dahi Rozita, makin bergetar lututnya. Tidak disangka dia akan selemah itu. “K-kenapa selamat tengah pagi pula?”

Corrado senyum lembut lalu menunding jari ke langit. “Sebab kacukan pagi dan tengah hari. Jadi terpaksalah kita gelar selamat tengah pagi,” ketawa Corrado bergema. Deretan gigi putih lelaki bermata hijau laut itu benar-benar memegunkan Rozita. “PRANG...” Kedua-dua mug terlucut daripada pegangan tangan. Jari-jemarinya dirasakan amat lemah, tidak bertenaga langsung. Rozita ternganga, manakala Corrado mengelak pantas. Mujurlah sempat dielak jika tidak sudah tentu kopi panas sudah melecurkan wajahnya.

“Aduh... kenapa sampai terlepas? Muka pun pucat, kalau tak sihat ambil saja cuti.” Corrado tenung Rozita, menyebabkan gadis itu bertambah pucat. Tanpa kata dia berlari meninggalkan Corrado yang terpana malah terkebil-kebil dengan sikapnya itu.

“Ada yang tak kena dengan budak seorang ni.” Corrado bercekak pinggang sambil mengeleng-geleng kepala. Kemudian senyum nipis. Mungkinkah dia sudah menyedari isi hati gadis itu?

***

Robert menghayun langkah, sesekali dia mempamirkan senyuman tenang penuh wibawa bila bertegur sapa dengan staf yang berselisihan. Namun semakin menghampiri bilik Rijal semakin menghilang senyuman itu. Langkahnya juga dihayun perlahan. Ada sesuatu yang sukar untuk dia luahkan, malah membayangkan wajah Rijal juga sudah tidak sanggup.

“Huhhh...” degusan nafas dilepas , berharap yang Rijal akan bertenang dengan berita yang bakal dikhabarkan.

Pintu diketuk cermat dan bila sahutan keizinan kedengaran lantas tombol pintu dipulas lembut, malah lebih lembut berbanding hari-hari biasa.

Wajah suram itu melarik senyum. Dengan langkah megah yang menyembunyikan sekeping hati yang gusar. Dia menarik kerusi sebaik berhadapan dengan Rijal. Beberapa kali dia mendengus sekaligus mematikan ketekunan Rijal.

Unusualfor you today,” teka Rijal. Sekilas dia mendongak kepala sedangkan penanya masih laju berlari di helaian kertas.

“When magpie idle, it’s strange,” tambah Rijal. Pen dilepas sejurus itu, ditaut jari-jemarinya sambil bersandar malas. Kini dia benar-benar bersedia mendengar luahan rakan baiknya itu.

“Tell me now…” pinta Rijal dengan nada malas.

Sampul surat berwarna putih disuakan kepada Rijal. Teragak-agak disuakan. Dia kembali diam. Rijal sedikit teruja dengan tindakan Robert. Seingat dia kawannya itu bukanlah jenis yang mudah digugah keberanian dan kewibawaannya, malah ketika syarikat mengalami krisis kewangan dialah satu-satunya yang paling tenang.

“Kamu pucat Robert. Sudah macam orang terlihat hantu,” giat Rijal. Dia tersengih sambil matanya meramas wajah dihadapan itu, cuba memerah rasa yang diselindungkan.

“Saya bagus…” Robert balas setenang mungkin.

Mungkin Bahasa Melayu Robert tidak selancar mana, namun itu tidak bermakna dia tidak memahami butir kata yang dibualkan kerana dia dapat memahami setiap patah dengan baik.

Rijal sengih kecil. Helaian laporan ditarik keluar dari sampul dan diamati. Kerutan di dahi menandakan ketenangan hatinya terusik. Robert sekali lagi mengeluh.

Pandangan Rijal berbaur sangsi. Ditatapi lagi untuk kali kedua, malah masih diragui, mungkin matanya tersalah tafsir. Sungguhpun begitu hasilnyanya tetap sama. Dahi yang berkerut mula merintik peluh, kecamuk menikam dada, tidak dia sangka.

“Mama tipu aku.” Rijal memicit-micit kepala yang tidak pening.

“Usia dakwat itu masih baru, tidak sampai setahun pun. Kau sendiri lihat keputusan ujian yang tertulis di atas kertas itu!”

“Kenapa mama tipu aku?” Tanya Rijal. Penerangan Robert tidak diendah.

“Aku bukanlah yang paling layak untuk menjawab soalan kau itu. Kau tentu tahu siapa yang lebih layak.” Robert bangun berlalu. Ada simpati yang singgah di hati bila melihat wajah Rijal.

Rijal berpusing –pusing di atas kerusi yang diduduki, pandangannya menebar melatari syiling pejabat yang berwarna biru laut. Sesekali matanya terpejam rapat. Dia seolah-olah cuba mencari kedamaian di dalam kejapan mata dan kedamaian itu menyusup sedikit demi sedikit yang akhirnya menjemput mimpi bermain. Dalam mimpinya gadis berpakaian putih itu menjelma lagi, wajahnya terlindung diserkupi kelam bilik. Hanya lampu meja yang menyala dengan gah.

“M- mimpi lagi. Boleh naik gila kalau hari-hari mimpi yang serupa,” dengus Rijal lemah. “Aku mesti pulang ke Malaysia. Nampak sangat mama cuba sembunyikan sesuatu.” Tekad Rijal.

Kalender di penjuru meja dicapai lalu matanya menatapi satu demi satu nombor yang ada dan akhirnya dia senyum. “Hujung bulan ni. Boleh tahan. Aku dah nekad mesti pulang juga akhir bulan ni.”

Pintu bilik dikuak lagi. Kali ini Datin Abda pula yang muncul dengan langkah tergesa-gesa. “Dani masuk hospital lagi. Mama kena pulang Malaysia. Rijal tolong uruskan perniagaan di sini.”

“Terima kasih mama kerana begitu prihatin. Saya sudah putuskan yang saya akan pulang ke Malaysia. Tiba-tiba makin kuat pula rasa rindu dekat Dani. Tak tertahan-tahan lagi rasanya.” Rijal sengih.

Wajah Datin Abda berkerut kecil, sungguhpun begitu resah hati dapat ditutupi dengan senyuman kecil.

“Biar mama sajalah yang balik. Selain rindukan Dani mama pun rindukan papa. Jadi rasanya kita sudah dapat kata putus… mama yang akan pulang.” Tokok Datin Abda sedikit memujuk.

“Apa susah. Mama tempahlah dua tiket. Kuranglah letih bila ada yang menemani sepanjang penerbangan,” giat Rijal nakal.

Makin berkerut wajah Datin Abda sekaligus meyakinkan Rijal yang mamanya memang tidak mahu dia pulang ke Malaysia.

‘Menarik.’ Getus hati Rijal. ‘Ada perkara menarik yang sedang disembunyikan.’

“Kenapa tiba-tiba diam?” aju Datin Abda. Dan persoalan itu terjawab oleh seulas senyuman kecil yang sukar dimergertikan.

“Isssh… senyum pulak. Malaslah mama nak melayan kamu ni.” Datin Abda bangun dengan serabut yang semakin menjalar.

“Nak ke mana pula mama? Duduklah dulu… temankan Rijal.”

“Apa yang nak ditemankannya! Mama nak cepat ni.”

“Ada sesuatu yang Rijal nak mama ceritakan.” Rijal tenung lembut wajah mamanya.

“Nanti-nantilah.”

“Duduklah dulu mama.”

Rijal bangun melangkah menghampiri Datin Abda. Tangan mamanya itu dicapai lalu diusap mesra, kemudian dipimpin ke sofa berhampiran.

“Mama nak minum? Rijal boleh bancuhkan!”

“Baiknyalah anak mama ni. Ada apa sebenarnya ni. Tak payahlah bodek-bodek mama. Terus terang saja,” pangkah Datin Abda.

“Ok… Rijal nak tahu berkenaan arwah isteri Rijal.”

“Aikkk… dah buang tabiat ke apa?” sindir Datin Abda.

“Ceritalah apa saja pasal arwah isteri Rijal. Hendak sangat Rijal dengar. Mungkin ada yang sudah dilupakan… Ceritalah mama.”

Terpana seketika Datin Abda, dirasakan masa terhenti. Dia cuak dengan permintaan itu. Permintaan yang dirasakan ada agenda yang tersembunyi.

“Hai, pelik semacam saja kamu ni. Ada apa-apa ke?”

“Kena ada apa-apa ke, baru boleh dengar cerita pasal isteri sendiri,”giat Rijal.

“Tak pernah-pernah tanya, tiba-tiba tanya… Apa yang kamu nak tahu. Cepatlah Tanya!”

“Perempuan dengan lampu meja yang Rijal tanyakan minggu lepas.”

‘Dush’ Jantung Datin Abda seakan disentap. Pertanyaan itu adalah jerat yang mungkin akan memakan dirinya sendiri. Salah gaya menjawab mungkin akan memagut kebahagian Rijal. Wajah terkejut Datin Abda segera ditangkap Rijal, sekaligus menzahirkan kebimbanggannya.

“Mama terkejut. Atau mungkin teruja,” sengih Rijal. “Rijal pun teruja juga ni…”

“Perempuan tu arwah isteri kamu… Aikk… isteri sendiri pun dah tak ingat. Berat benar penyakit pelupa kamu tu. Sudahlah, mama sibuk, malas nak melayan karut-marut kamu tu.”

Rijal cuba menahan, namun kali ini Datin Abda berkeras mahu pergi. Datin Abda melangkah dengan perasaan sebal. Dia sebal kerana masih tersisa ingatan Rijal berkenaan Sufie.

“Aku mesti halang Rijal daripada pulang ke Malaysia. Aku akan buat apa saja asal anak aku sembuh.”


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.