Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 24- EGO YANG TERURAI

Malam itu Tariq resah. Hangat selimut yang menyelimutinya masih terasa. Dia termenung di sisi tingkap, mendongak kepala. “ Tak ada bintang malam ni. Lepas ni mesti hujan.” Matanya dikerling ke arah katil. Gumpalan selimut ditenung.

“Rasa bersalah lah pulak. Tak sepatutnya aku tipu Sufie. Kasihan… tentu dia tengah risau.” Tariq melangkah ke katil lalu berlabuh di birai. Selimut itu diambil dan dipeluk. Rasa hangat kembali menjalar, mula-mula sedikit, namun semakin lama semakin merebak keseluruh nadi dan sarafnya. “Duhh…” dia merebahkan badan.

Pintu bilik dikuak, wajah Zikrey mencelah. Dia kemudian membuka pintu seluas mungkin. “Assalamualaikum Tariq. Masih mengelamun,” pintu ditutup lembut sebaik kakinya melangkah.

“Huhh… “ keluh Tariq.

“Mengeluh nampak. Sesal sebab tipu Sufie ke?” panah Zikrey. Dia turut melabuhkan punggung ke birai katil.

“Mungkin betul… mungkin juga salah…. Aku pun pening dengan rasa hati aku sekarang.” Tariq pandang Zikrey dengan rasa resah.

Zikrey tersentak kecil, dahinya berkerut. “Rasa hati! Jangan kata kau dah jatuh cinta kat Sufie.”

Tariq ketawa mendadak, ditepuk peha Zikrey. “Ke situ pulak adik aku seorang ni. Tak mungkinlah. Aku belum buta lagilah.”

“Serupa dengan Abang Rijal lah kau ni,” tambah Zikrey.

Kali ini Tariq pula yang tersentak. Dia sebenarnya tidak suka disamakan dengan Rijal. Walaupun Rijal merupakan anak tiri papanya, namun ternyata Rijal lebih disayangi berbanding dia.

“Apa yang serupanya?” bentak Tariq.

“Abang Rijal dulu pun macam kau, kutuk isteri sendiri. Macam-macam dia kata. Alih-alih bila isteri dia meninggal dia jatuh sakit.”

“Kalau isteri dia cantik tentulah dia tak hina. Isteri dia dah meninggal kan. Mesti sekarang dah jadi hantu yang paling hodoh,” ketawa Tariq bergema.

“Mana kau tahu isteri dia hodoh, gambar dia pun kau tak pernah tengok. Lagi satu, masa mereka kahwin mana ada kau datang. Nak tunjuk bencilah konon,” bidas Zikrey.

“Aku tak benci,Cuma aku tak suka.”

“Samalah tu abang ngah yang bijaksana oii…” Zikrey ketawa.

Tariq bangun. Dadanya kembali sesak. Entah mengapa, penipuan kali ini sangat berat baginya. Bukanlah dia tidak pernah menipu, malah sudah menjadi kewajipan untuk dia menipu setiap hari. Mungkin dengan menipu dia dapat melindungi rasa hatinya, sekaligus melindungi perasaan orang lain. Ah! Kali ini benar-benar berbeza. Bayangan Sufie muncul terus- menerus menghalang akalnya berehat.

Zikrey senyum kecil. Baginya Tariq pada malam ini amat berbeza dari malam-malam sebelumnya. Walau berlagak tenang, namun resah di wajah Tariq terlukis jelas. Sedang ralit Zikrey memerhati, telefonnya menjerit. Tersentak lamunan mereka berdua.

“Assalamualaikum… siapa bercakap?” aju Zikrey sopan.

“Zikrey! Ini bibik! Lekas pulang… Da- Daniel sakit lagi… bibik susah hati.” Bibik menjerit dicorong ganggang telefon.

“Bik… bik tenang ya. Bik telefon Doktor Halim, rumah dia pun selang tiga buah dari rumah kita. Saya menyusul sekarang.” Zikrey memberi arahan. Dia bangun tergopoh-gapah.

“Budak tu sakit lagi ke?” tanya Tariq.

“Aku kena balik sekarang. Daniel sakit lagi,” kalut Zikrey.

“Nanti ok lah budak tu, yang kau kalut ni kenapa?”

“Aku kalut sebab dia anak saudara aku,” bidas Zikrey. Tariq tersentak. “ Lagi satu, kanser dia dah melepasi tahap satu. Kalau kau teruskan juga sikap kebudak-budakan kau ni, aku risau kau tak sempat mengenali anak saudara sendiri.” Zikrey hayun langkah meninggalkan Tariq yang pegun.

***

Sufie bersandar pada palang balkoni, langit tanpa bintang direnung sepi. “Bulan tak keluar malam ni… bintang pun tak muncul-muncul. Insya-ALLAH hujan akan turun.”

Sufie renung lagi langit malam, pandangannya di tala ke arah Hospital Selayang. “Ya ALLAH moga- moga Tariq redha dengan hadiah-MU. “ Hati Sufie dijentik risau dan kesal. Risau bila memikirkan keadaan Tariq, dan kesal kerana tak berupaya membantu sahabatnya itu.

“Siapalah gadis tu? Di mana aku nak mula? Macam mana aku nak cari?” tanya Sufie sendirian.

“Kak Sufie tak mahu masuk ke? Berembun tak bagus tahu tak. Orang kata kalau sejuk-sejuk sangat kulit cepat kecut, cepat berkedut. Nanti tak ada yang nak kahwin dengan Kak Sufie.” Salmi muncul di sisi, dirangkul lengan Sufie kemudian dilentokkan kepala ke bahu.

“Tak tidur lagi Sal?”

“Belum, masih awal. Kak Sufie fikirkan sesuatu ke?”

“Ya… tapi hal remeh saja.”

“Pasal apa? Sal nak dengar.” Salmi mengoyang-goyang lengan Sufie.

“Pasal kerja… tak ada apa yang nak dikongsikan pun,” cantas Sufie.

“Kak Sufie, bila nak jumpa kekasih Sal. Bukan dulu Kak Sufie kata nak jumpa dia.”

“ Insya-Allah bila lapang. Buat masa sekarang Kak Sufie sibuk Sal,” dicubit pipi Salmi. Gadis itu tersenyum.

“Sal tanya sikit boleh? “ kepalanya masih terlentok pada bahu Sufie.

“Ok… tanyalah. Tapi Kak Sufie tak janji akan jawab. Tengok atas keselesaan Kak Sufie.,” diusap-usap kepala Salmi. Gadis itu makin manja.

“Kak Sufie pernah bercinta?” gugup Salmi bertanya.

Sufie senyum. Wajah Rijal muncul namun dicantas gambaran itu.

“Atau pernah mencintai ?” kepala Salmi berkalih ke hadapan. Dia sebal dengan kebisuan Sufie.

“Tak pun… pernah tak dicintai sesiapa?” aju Salmi. Digoyang-goyang lengan Sufie menyebabkan Sufie tersentak.

“Mencintai pernah… tapi dicintai belum,” tenang ayat itu meluncur, namun segaris hampa terukir di bibir menoreh hati Salmi. Dia jadi serba-salah.

“Maaf…” polos diungkap kemaafan. Lengan Sufie kembali dirangkul, malah lebih erat lagi. Dia harap rangkulan itu dapat melunakkan hati Sufie.

Tini muncul tanpa disedari. “Cantik kan, pemandangan malam ni?”

“Apa yang cantiknya Kak Tini?”

“Lampu-lampu dan bangunan pencakar langit itu lah. Macam bintang jatuh ke bumi, bergemelapan di sana sini.” Tini masih menunduk memerhati kerlipan neon, sedangkan Sufie masih mendongak menyilau susuk bintang dan bulan.

“Tapi tak setanding bintang dan bulan di langit. Nampaknya malam ini berkemungkinan hujan akan turun. Insya-ALLAH.”

Tini menyampuk. “Yalah… tak ada bintang pun malam ni.”

Salmi senyum tiba-tiba. “Wah! Hujan nak turun… mintak-mintaklah lebat, biar makin sejuk, makin lenalah tidur jawabnya.”

“Tidur-tidur juga, jangan terbabas sampai ke tengah hari sudah,” usik Tini. Mereka kemudian mengirai ketawa.

***

Ambulance meluncur laju merempuh kegelapan malam, bunyi siren bertebaran. Mata-mata kutu rayau dan kutu embun memerhati, terpana mereka seketika. Jasad kecil Daniel berombak lemah. Nampaknya sakitnya kembali menyerang, setelah tanda-tanda kesembuhan muncul.

“Assalamualaikum mama…” tenang nada Zikrey.

“Ada apa Zik? Rindukan mama ke?”

“Bawa pulang abang long…. Daniel mungkin kena tahan di Hospital. Suhu badannya naik mendadak.”

“Mama fikirkan semula hal itu,” gusar menjengah. Datin Abda risau memikirkan keadaan Rijal dan Daniel.

“Buat keputusan yang tepat dan benar ya mama. Zik percayakan mama, jangan hampakan Zik kali ini.” Zikrey sebal. Dimatikan telefon sejurus itu, bila Daniel mengerang kecil.

Sementara itu di wad VIp, Tariq masih kelu, serba tidak kena duduknya. Sekejap dia berkalih ke kiri, sekejap berkalih ke kanan, sekejap ke hadapan dan akhirnya dia berundur ke belakang. Lalu dia bersandar pada kepala katil. Wajah Sufie dan Daniel muncul beriringan. Kedua-duanya memberi makna kepada dia.

Tipulah kalau dia tidak menyayangi Daniel. Namun ego menjadi dinding pemisah di antara mereka. Hatinya berombak pilu setiap kali anak buahnya itu menjalani rawatan. Malah sudah acap kali dia melihat proses kimoterapi yang dijalankan. Amat menyakitkan. Tubuh lemah Daniel yang tegar menahan tusukan jarum dengan proses yang panjang. Ditambah kerutan azab pada wajahnya menyebabkan mata Tariq bergenang. Menjadi cikgu di SDH (Sekolah Dalam Hospital) merupakan cara terbaik untuk dia mengurangkan rasa bersalah.

SUFIE… satu rasa yang sukar untuk mengungkap mengenai gadis ini. Kalau dia diberi sebuah kamus dan diminta memilih satu perkataan untuk menggambarkan gadis itu. Pastilah perkataan itu tetap tidak dijumpai. Gadis itu benar-benar dekat dengannya. Namun itu bukanlah bermakna dia mencintainya.

Tariq senyum seketika. Dia rasa bodoh kerana sanggup mengupah Sani melanggarnya, lagi gila dia terpaksa mengemam darah tiruan, hanya kerana mahu memenangi hati Sufie kembali. Terus terang tidurnya tidak lena sejak Sufie dingin kerana dia mahu meninggalkan Miera.

“Sufie… Sufie… kau buat aku jadi gila. Kenapalah aku sanggup buat kerja bodoh ni kerana seorang kawan?”

Tariq kembali mengimbau kali pertama dia bertemu Sufie. Gadis itu berwajah tenang, namun sering ditemui mengalirkan air mata bila bersendirian. Mulanya dia beranggapan kerana rindukan keluarga, namun perkara itu dirasakan pelik, tapi itu hanyalah firasat hatinya.

Lamunan Tariq mati bila tombol pintu dipulas. Seorang jururawat muncul, senyumannya meleret seperti biasa.

“Tak tidur lagi Cikgu Tariq?” aju jururawat laju, sebaik wajah Tariq dipandang.

Tariq menggeliat kecil, menguap sekali dua. “Baru bangun. Ingat nak minum air.”

“Macam dah sihat saja Cikgu Tariq ni… Tadi dah macam nyawa-nyawa ikan saya tengok. Ada apa-apa ke ni?” usik Jururawat. Tangannya pantas mengemas katil bersebelahan Tariq.

Tariq terkedu. “Mampus kalau dia tahu aku tipu.”

Jururawat itu tidak perasan Tariq merenungnya. Dia sedang berkemas. Dari geraknya yang tangkas dia sedang terkejar-kejar, mungkin kerana masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Itulah kuasa ALLAH… Cik percaya tak dengan kekuasaan ALLAh,” tokok Tariq. Wajahnya sengaja dilayukan dengan mata menguyu dan kata-kata yang lemah.

“Percaya…” masih terpalit senyuman di wajah keletihan jururawat beralis tebal itu.

“Puhhh… lega. Kena lebih berhati-hati lepas ni.”

Bila katil siap dikemas, jururawat itu mula melangkah, namun sempat Tariq bertanya.

“Ada pesakit baru ke? Siapa? Orang mana? Tua atau muda?”

“Pesakit lama. Anak buah Cikgu dan masih muda… Cikgu tentu tahu jawapannya kan.” Jururawat itu kenyit mata lantas berlalu.

“Alamak si budak Daniel tu duduk sebilik dengan aku ke? Masak aku kalau dia tahu aku menipu. Budak tu kalau tahu, kalah siren polis.”

Tariq mendengus geram. Dia kembali berbaring, makin sukar dilelapkan mata, semuanya kerana berita yang Daniel bakal sebilik denganya.

“Apa aku nak buat kalau sebilik dengan budak tu, Aku bukan ada modal nak berborak dengan dia. Kena pulak mulut dia yang macam orang tua tu. Mati kutu aku, silap-silap kena sawan aku.” Tariq berkalih badan. Dia mengiring melihat cadar, bantal dan selimut yang kemas terletak.

Bunyi suara di luar pintu memaksa Tariq memejamkan mata. Sebaik pintu dikuak kelibat Zikrey dan petugas meluru masuk. Tubuh lemah Daniel diiring masuk. Sukar untuk diterjemahkan perasaan dia ketika itu. Peluh mula melurahi dada, dan dia yakin yang dahinya turut merintik peluh. Dadanya menjadi ketat, seketat kerongkong yang menghela nafas. “Huhhh… selamatkan dia ALLAH,” tidak disangka ayat itu meluncur laju.

Zikrey tidak mengendahkan Tariq walaupun dia sedar yang abangnya itu berpura-pura tidur. Dijeling tubuh itu sekilas sebelum beralih kepada Daniel. Suhu badan dicatat, suhu badan Daniel meningkat tinggi. Ia merupakan tanda meningkatnya nilai sasaran termoregulator (pengawalan suhu) badan. Sebenarnya ia adalah salah satu cara badan melawan penyakit.

“Ya ALLAH moga suhu badan Dani kebah.” Diusap dan diramas ringan rambut yang mulai gugur itu. Rambutnya sudah tumbuh, ketika disahkan sihat, namun kembali gugur ketika melakukan rawatan kimoterapi.

“Nampaknya patient semakin stabil. Kamu semua boleh beredar sekarang.” Zikrey bernada tenang.

“Patient did not present beneficiaries. one to watch?” aju Doktor Mazni. Ternyata sifat keibuannya membenih simpati, direnung wajah Daniel, secalit resah terpamir.

“Jangan risau. Saya akan uruskan hal itu. Lagipun ini anak saudara saya.” Zikrey menhenyek punggung di dada sofa. Doktor Mazni senyum.

“Semua boleh bersurai sekarang. Siapa yang on call boleh teruskan kerja lain. Patient ni dah stabil.”

Suasana kembali lengang bila bilik ditinggalkan Doktor Mazni dan petugas lain. Lama Zikrey memerhati Daniel. Simpati makin menebal bila ditenung kanak-kanak itu. Usianya masih muda, namun sudah kehilangan mamanya. Papanya pula sudah ke luar negara, kalau ada pun tidak diendahkan Daniel.

“Ya ALLAh bahagiakan Dani. Jiwanya sudah cukup terbeban dengan penyakit tu. Biarlah dia merasai manisnya nikmat hidup walau sehari.”

Zikrey tanggalkan kot doktornya lalu berlalu. Niatnya mahu Solat Sunat Hajat. Mahu pohon rahmat dan belas ALLAH. Sebelum berlalu sempat direnung Tariq, kemudian pandangan itu berkalih kepada Daniel. Nafasnya yang tersekat dihembus serentak, sehinggakan didengari oleh Tariq.

Sebaik lampu dimatikan, Zikrey melangkah pergi. Bilik itu masih cerah kerana sebuah lampu sengaja dihidupkan.

Tariq lega. Dia bernafas sepuas-puasnya. Dia pegun lagi. Kali ini Daniel mencoret sayu, menjentik hatinya. Sendu suara kanak-kanak itu menyeru.

“M-mama… mama… mama…” nadanya terhenti seketika.

“M-mama… mama… mama…” tersedu-sedu nadanya. Lirih namun masih mampu didengari.

“Mama… maafkan Dani. Papa maafkan Dani. Pak Ngah… maafkan Dani,” tersentak Tariq. Terangkat keningnya, tidak disangka Daniel masih mampu memanggilnya Pak Ngah setelah apa yang terjadi di antara mereka.

“Pak Su, maafkan Dani…. Tolong!!! Tolong!!! Jangan tinggalkan Dani,” makin sayu ratapan Daniel, makin menyayukan hati Tariq.

Tariq bangun melangkah merapati birai katil, disuak dahi Daniel berkali-kali kemudian bahu kanak-kanak itu ditepuk lembut. Buat pertama kali dia berkelakuan seperti seorang lelaki matang. Dia lalu merendahkan badan, dipeluk badan yang bermandi peluh itu. Degupan jantung Daniel didengari jelas, makin kuat pelukannya, hingga terasa tulang-temulang Daniel.

“Syyy… pak ngah ada kat sini. Tak ada siapa-siapa yang nak tinggalkan Dani. Semua orang sayangkan Dani,” pujuk Tariq sayu.

“M-mama… mama… mama… Dani rindu. Pulanglah mama….” Makin perlahan racau Daniel. Akhirnya dia diam. Tariq sedikit lega. Dia masih memeluk Daniel, kalau boleh tidak mahu dilepaskan pelukan itu.

“Kasihan Dani… dia tersiksa dengan kasih sayang yang tak pernah wujud. Adakah aku terlalu kejam dekat dia selama ini.” Tariq bergenang air mata, namun menangis bukanlah sifatnya. Genangan air mata hilang bila Tariq hanyut dalam mimpi.

Sementara itu Zikrey berjalan pantas, tidak disedari hampir sejam dia bermunajad dan itu bermakna hampir sejam jugalah dia telah meninggalkan Daniel. Sungguhpun begitu masih sempat dia singgah membeli minuman melalaui kios minuman di sudut bangunan. Dia membeli dua tin kopi, niatnya agar matanya bertahan hingga ke pagi, bimbang jika sesuatu terjadi kepada Daniel jika tertidur.

Makin laju dia melangkah, makin berdebar jantungnya. Sapaan dan teguran rakan setugas dibalas seringkas mungkin. Dia mahu cepat berada di sisi Daniel.

Tombol pintu dipulas laju, nafasnya tercungap-cungap kerana keletihan menuruni tangga akibat lif yang bermasalah.

“Alhamdullilah…” terpancul kesyukurannya bila melihat Daniel dalam dakapan Tariq.

“Betul telahan aku selama ini. Kau cuba sembunyikan kasih sayang yang mendalam kerana ego. Tapi bila saatnya tiba, kasih sayang itu akan terluah juga. Nampaknya aku kena pergi dulu, tentu kau malu kalau ego kau tercalar.” Zikrey senyum. Perlahan dia melangkah keluar. Hatinya berbunga malam itu, dijeling sekilas Tariq dan Daniel. Dia sudah putuskan mahu ke surau beribadat dan menyatakan kesyukuran kepada ALLAH.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.