Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 5- KISAH MALAM PENGANTIN (BAHAGIAN 2)

Hati Sufie makin mencair apabila Rijal senyum gembira. Keluarga mereka juga menguntum senyum. Adakah ini yang dimaksudkan syurga? Jika ya Sufie mahu hanyut selamanya.

Kedua-dua mempelai sedang makan beradap, ditemani Datin Abda, Pak Awi dan mek.

Sudah suapan kedua, namun Rijal masih tidak mengizinkan Sufie menjamah sendiri. Terus disuap lagi sebaik dia habis mengunyah. Wajah dia merona merah bila renungan manja Rijal memaku mata, kemudian ia larikan wajah dengan pantas. Tetamu bersorak-sorai, memberi galakan kepada Rijal. Makin digiat, makin galak Rijal. Mek, Datin Abda dan Pak Awi dari tadi asyik mengirai tawa. Tidak pernah Sufie melihat kedua orang tuanya segembira itu, seperti bebanan besar yang ditanggung selama ini baru sahaja dialih.

Ternyata Rijal bijak membaca emosi, sambil menyuap puding dia bersuara.

“Bertuah! Saya sungguh bertuah. Awak umpama Casablanca putih yang mekar di lembah sunyi. Bunga yang tak mungkin akan saya temui lagi, yang serupa, yang unik dan secantik ini. Casablanca yang terpelihara kesuciannya. Saya bangga bergelar suami awak, Khairunnisa Sufie. Sanggupkah awak temankan saya sepanjang hayat ini? Atau mungkin saya perlu minta kebenaran awak. Bolehkah awak izinkan saya menemani awak untuk hayat ini?”Sebaris senyum terukir dengan deretan gigi bak kemilau mutiara putih seakan-akan menzahir keiklasan Rijal. Ada lembut dalam sinar matanya, membuat Sufie terpana dan terpesona.

“Ya Allah betulkah aku gadis bertuah ini? Sungguh, aku benar-benar mahu mempercayai kata-kata khalifahku ini. Aku mahu terbuai seketika, Ya Allah,” Getus hati kecilnya.

Entah kenapa, hatinya begitu tersentuh, bergenang air mata Sufie. Cuba ditahan, namun hati seorang gadis mencair bak salju yang bertukar musim. Tidak disangka dia berkesempatan mendengar ucapan itu daripada mulut seorang lelaki. Mek menangis tersedu. Sufie terkejut, tidak disangka ibunya akan menangis. Sudah hilangkah kekebalan hati, sehinggakan dia menangis tersedu-sedu? Ternyata bebanan yang menghalang mek tersenyum selama ini adalah jodohnya, dan jodoh itu sudahpun bersambut. Sufie senyum bersama air mata yang tumpah. Hadirin yang melihat bungkam, tetapi tidak lama, kerana sebaik tersedar daripada kaget, berebut-rebut pula mereka merakam gambar Sufie yang sedang menangis. Seolah-olah dia adalah bintang filem.

“Insay- Allah saya sudi menemani awak dunia dan akhirat.”Sufie menjawab perlahan.

Rijal ramas jemari Sufie, matanya turut bergenang. Terketar dia meminta kepastian, “Sungguh! Sungguh awak sanggup temani saya dunia akhirat.”

“Ya… Insay-Allah saya sudi,”mendalam suara Sufie. Diseka air mata. Dia cuba bertenang. Namun hatinya berombak girang, sukar sekali untuk tenang bertamu.

*****

Malam baru menyapa, Pak Awi sudah tertidur di atas kerusi malas. Lelaki tua, bertubuh kurus itu berdengkur perlahan. Dia baru sahaja kebah daripada demam, dan benar-benar keletihan akibat kenduri kahwin Sufie.

Kamarul dan pemuda lain sedang mengemas kanopi, meja dan kerusi. Sememangnya dia seorang yang ringan tulang kalau boleh semua benda mahu dikerjakan. Angin mula menampar-nampar. Bintang-bintang tidak kelihatan, ternyata sudah diselimuti langit. Tanda-tanda hujan akan turun. Kamarul dan pemuda-pemuda kampung mempercepatkan kerja.

Di sudut telaga Afiena sedang menyental periuk belanga bersama Sufie. Agak lama Afiena menjerit geram kepada Jemi dan Akim yang sedang bermain air, namun dibalas gelak ketawa kedua-dua beradik itu. Sesekali mereka menyingsing lengan baju yang melurut jatuh, adakala tudung kepala dikilas ke bahu. Suasana sunyi pecah sebaik Afiena membuka bicara.

“Kak long dah dekat pukul dua belas ni. Tak teringin bermadu kasih?”Afiena mengusik.

“Issh! Tak sukalah bergurau macam tu.” Sufie jadi malu.

“Tinggalkan saja. Fiena boleh habiskan. Pergilah nanti merajuk pula kekanda kak long.”

“Nak dirajukkan apa pulak? Insay-Allah dia faham. Kerja tengah banyak. Takkanlah kak long nak biarkan Fiena seorang diri.”

“Malam pertama orang sibuk nak bermanja dengan suami. Kak long sibuk nak bermanja dengan Fiena. Terbalik dah ni.” Afiena mengiat.

“Apa yang terbaliknya. Tak kanlah kak long nak biar adik kesayangan sental periuk belanga sorang diri. Kejam pula. Fiena pun tentu dah penat.”

“Mahu tak penat! Ni semua sebab ikutkan Datin Abda. Anak-beranak, sama saja. Wel-wel.” Meninggi nada Afiena.

“Tak manislah cakap orang wel-wel.” Sufie membantah, namun masih senyum.

“Mulut Fiena saja yang jahat kak long. Tapi hati baik.” Fiena merajuk.

“Fiena, kak long peliklah.” Sufie berwajah hairan.

“Pelik apanya kak long. Macam misteri bunyinya.” Afiena teruja.

“Nak dengar tak?”

“Nak! Ceritalah cepat.”

“Macam ni. Beberapa hari lepas kak long bancuh air kopi. Tapi bila tuang air susu yang keluar.” Sufie diam seketika. “Betul! Rasa sebijik macam susu. Bila kak long godek-godek, tengok hampas. Memang sah hampas kopi. Air pun warna hitam.” Bersungguh Sufie bercerita.

“Ah! Tak logik lah kak long. Kalau cerita kat orang lain pun, confirm tak ada yang percaya.”

“Kak long minta maaf. Tadi tu tipu aje. Lebih kurang tipu sunat kot.”

“Eh! ada pulak tipu sunat.. Kenapa kak long tipu. Fiena pantang kalau kena tipu, mahu menyirap darah.”Afiena menyingsing lengan baju.

“Tadi tu, perumpamaan saja. Kak long nak tahu pendapat Fiena.”

“Ada-ada lah kak long ni. Ceritalah apa yang sebenarnya.”

“Macam ni Fiena. Hati manusia, kita boleh ibaratkan macam susu, kopi dan sebiji teko.”

“Hah sudah! Start dah madah berhelah.” Afiena ketawa kecil. “Cepatlah, Fiena suka dengar nasihat kak long.”

“Bila yang dibancuh tu air kopi, maka yang diminun juga air kopi, tak mungkin air susu. Jika kopi yang dibancuh, maka kopilah yang akan keluar dari muncung teko. Bukan susu. Samalah macam hati. Jadi mustahil Fiena kata hati baik, kalau yang keluar dari mulut adalah kata-kata yang menyakitkan orang lain.”

“Sindir Fiena ke? Tak suka macam tu.” Fiena pura-pura merajuk.

“Kak long sayang Fiena. Tak cakap pun Fiena boleh tahu. Boleh kak long umpamakan macam, orang yang kita sayang, basah kerana hujan. Mestilah kita payungkan dia. Itulah tanda sayang.”

“Baiklah bos” Afiena tabik hormat kepada Sufie, lalu ketawa lagi. Sufie senyum.

Di dalam bilik Rijal senyum puas, manakan tidak cita-citanya selama ini sudah tercapai. Tidak pernah dia menyangka dan bermimpi, seperti bulan jatuh ke riba, seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Dia benar-benar gembira kerana sudah mengotakan janji seperti diminta mamanya, Datin Abda. Dia telah berjaya membuatkan Sufie tersenyum sepanjang hari, berjaya membuatkan gadis itu mengalirkan air mata kegembiraan dan berjaya menunaikan hasrat gadis itu untuk bergelar isteri. Dia merasa seperti hero yang telah menyelamatkan mangsa dari jurang paling dalam. Dia tersengih sendirian.

Datin Abda muncul tanpa disedari lalu ditepuk lembut belakang Rijal.

“Tak malu, biarkan isteri menyental periuk, kuali. Suami di bilik macam anak dara.”

“Mama gembira. Rijal dah tunaikan hasrat mama berkahwin dengan Sufie?” Rijal bertanya melulu tanpa dipedulikan usikan mamanya.

“Syukur, Alhamdullilah. Gembira tak terkata.”

“Sayang, adik tidak ikut sama. Tentu dia gembira dapat berkenalan dengan Sufie,”duga Rijal.

“Tak payah sebut. Sudah berbuih diajak. Kerja dia juga nombor satu. Memang jenis keras hati. Siapalah yang nak bersuamikan dia nanti agaknya.”

“Dah pergi tolong isteri kamu di bawah, dia tengah sental periuk. Kasihan mama tengok.”

I need a break. Mama gantikan Rijal, boleh.”

“Kita pulak! Belum apa-apa dan nak dibuli si Sufie. Mama tak suka perangai tu. Dah pergi turun sekarang. I need to leave now, esok ada board meeting.”

Datin Abda menarik malas tangan Rijal, bila anak kesayangannya itu tetap tidak berganjak, Rijal akur dan bangun. Setibanya berhampiran jendela diperhatikan Sufie dan Afiena yang sedang membasuh. Ya, wajah gadis albino itu sedang bercerita tentang kegembiraan dan tentang harapannya. Rijal senyum lagi, dia sudah merancang satu lagi kejutan untuk Sufie.

Afiena melihat kelibat Rijal di sebalik jubah malam yang mendakap, Cepat-cepat Rijal meletakkan jari pada bibir, tanda isyarat diam. Afiena teruskan menyental periuk. Jemi dan Akim masih ralit meniup buih sabun dengan menggunakan kemuncup yang dibentuk bulat. Tanpa salam dan isyarat, pantas Rijal mencium pipi Sufie.

Merah padam wajah Sufie. Masih terasa kehangatan ciuman Rijal, seolah kehangatan itu sedang menjalar ke seluruh saraf, hati dan akal. Dia benar-benar mahu menangis, seolah-olah kegadisannya sudah diragut dan maruahnya sudah tercemar, namun bila akalnya yang waras kembali berfikir, perasaan berdosa itu bertukar gembira kerana dia sudah mendapat cinta yang halal. Sungguhpun begitu dia menjadi malu apabila dilihat Afiena.

Tanpa disuruh, Rijal duduk bersebelahan, mencapai periuk yang sedang disental lalu disentalnya.

“Wah! Kak long dapat ciuman cinta. Muka jadi merah, semerah bunga ros,” nada dangkal kedengaran.

“Jangan usik isteri abang long.” Rijal bercanda.

First time menyental periuk? Tersangatlah kekok. Boleh ke, orang bandar buat kerja kampung?”sindir Afiena. Entah mengapa sukar untuk dia menyukai Rijal. Bukan tidak pernah dipaksa, malah sudah acap kali dipaksa, namun tetap hatinya membantah. Dirasakan lelaki itu tidak ikhlas mencintai kakaknya. Ada sesuatu yang disembunyikan.

“Tak penting bagaimana bermula, yang penting bagaimana berakhir. Mencuba itu lebih baik daripada tak buat apa-apa.” Sufie bergurau, cuba menjernihkan suasana. Wajah Afiena yang tegang sudah cukup menyatakan yang dia tidak senang dengan kehadiran Rijal. Kadang-kala dirasakan yang Afiena tidak merestui perkahwinan mereka.

“Jemi! Akim! Sudah, mari naik. Salin pakaian.” Wajah Afiena berang kerana teguran Sufie. Dirasakan yang kehadiran Rijal, telah merampas kasih sayang Sufie.

Afiena memimpin kedua-dua anaknya serentak, namun Jemi meronta minta dilepas. Baginya malam masih muda dan permainan buih sabun itu masih belum berakhir. Manakala Akim menurut sahaja, dia sudah mengantuk. Tanpa sepatah kata Afiena meninggalkan pengantin baru itu.

Sufie masih memerhatikan Afiena, sehingga tidak disedari Rijal sedang menatapnya.

“Awak bahagia?”

Soalan itu memancing emosi Sufie. Dia berpaling, namun tidak memandang tepat ke wajah Rijal kerana malu jika nistagmus matanya disedari. Nistagmus menyebabkan matanya bergerak-gerak dengan tidak sengaja. Dia seboleh-bolehnya cuba menyembunyikan perkara itu daripada Rijal, namun hatinya menyoal pantas ‘Sampai bilakah kau mampu sembunyikan perkara ini?’ Dia bungkam seketika.

“Abang redha kahwin dengan saya.”

“Ya! Malah saya gembira jika awak gembira. Sudah tercapailah cita-cita mama dan saya.”

Sufie mengucapkan syukur, jika diikutkan hati mahu sahaja dia sujud syukur ketika itu juga, namun kehadiran Rijal menyebabkan dia kaku.

Rintik-rintik hujan mulai turun, mulanya setitik, dua, kemudian lebat mengejut. Rijal mencapai tudung periuk dan memayungi Sufie. Mereka berlari menuju ke arah beranda. Agak sukar untuk Sufie berlari akibat nistagmusnya. Mungkin naluri suami memahami, dirangkul bahu Sufie dan berlari beriringan. Mek yang sedang memerhati senyum dan bersyukur kerana Sufie sudah berteman. Sampai sahaja di kaki tangga, mek bersuara.

“Bertuah betul si budak Fiena ni. Ada ke patut dibiar pengantin baru menyental periuk.” Mek berpura-pura geram. Sebenarnya sudah menjadi tradisi di kampung bilamana pasangan pengantin baru dikehendaki menyental periuk belanga, katanya agar kemesraan bertambah.

“Tak mengapa. Sekurang-kurangnya kami makin rapat.” Rijal menjeling manja kepada Sufie, menyebabkan dia tertunduk malu. Ibunya berdehem kecil.

“Kamu berdua dah penat. Bawak-bawaklah berehat. Esok dah nak balik ke kl. Sufie pun akan mula mengajar minggu depan.”

“Ada apa-apa lagi yang nak Sufie tolong.” Sufie berdalih, cuba mengelak ke bilik bersama Rijal.

Ibunya senyum panjang dan Sufie faham, lalu dia melangkah diikuti Rijal. Hatinya berdebar kencang, langkahnya longlai seakan tidak terjejak lantai. Hatinya semakin meroyan. Apakah yang akan berlaku? apakah yang seharusnya berlaku? Benarkah dia akan menjadi wanita malam ini?

Ketika pelbagai persoalan itu bersilih ganti, tahu-tahu sahaja mereka berdua sudah berada di dalam bilik. Lampu suram atas meja, mencemaskan Sufie. Manakan tidak, bilik itu hanya disimbah cahaya kecil. Bunyi pintu ditutup rapat oleh Rijal semakin mencemaskan. Di hadapannya kini terbentang sebidang tilam empuk yang bakal dikongsi bersama Rijal. Dia kini berdua-duaan. Kecut semakin mengecutkan hatinya, inilah kali pertama dia berdua-duan dengan seorang lelaki.

Sejurus kemudian, lengan sasa Rijal menyilang pada pinggangnya. Jari-jemari lelaki itu menyulam dan bertaut. Dia dipeluk dari belakang. Ketenangan menjentik hatinya, seolah-olah dipeluk malaikat yang mampu membekukan segala debaran yang dirasanya sebentar tadi.

Rijal berbisik kecil. Bisikan yang melumpuhkan ia dengan tiba-tiba. Bisikan yang membentuk kaca-kaca halus bukti dia gembira. “Saya nak ucapkan sesuatu. Hadiah malam perkahwinan kita. Harap awak suka.”

Namun bisikan itu bertukar kemudiannya. Bisikan yang telah menukar pelukan malaikat itu kepada pelukan Syaitan. Pelukan yang telah membakar segala harapan yang disemai sebulan lalu.

“Saya ceraikan awak dengan talak satu.”

Pantas Rijal melarikan tangannya yang sudah berjanji akan melindungi Sufie. Dia kemudian bergerak ke katil, mencapai bagasi dan mula berkemas.

“Kenapa?” Hanya itu yang mampu diucap Sufie, itupun dengan nada tertahan-tahan kerana sebak. Dia kaku, dirasakan seolah-olah telah dibiarkan sendirian di padang pasir. ‘Oh Tuhan, kau sedang menilai kesabaranku.’ Hatinya pula berkata.

Tangan yang sedang menyumbat baju terhenti, Rijal berpaling bersahaja dan tanpa riak bersalah dia berkata.“Mama yang paksa kahwin. Bukan kemahuan saya. Saya terpaksa kahwin dengan awak.”

“Kenapa abang sanggup?” aju Sufie dengan mata berkaca, tetapi bila difikirkan Afiena, ditahan air mata. Dia mahu setabah Afiena dan mek.

“Tak tahan dengan bebelan mama. Naik pekak telinga saya. Awak apa tahu.” Rijal berwajah selamba.

“Tentu ada sebab lain? Tak mungkin hanya sebab tu.” Sufie menduga.

“Tak perlu tahu. Awak tak mungkin faham.”

“Tolong! Sekurangnya saya tahu kenapa.”

“Betul awak nak tahu? Jangan menyesal pula nanti. Takut bernanah telinga nanti.”

“Insya- Allah, saya tak menyesal.” Debaran makin kencang. Sebak makin membatu, namun ketenangan wajahnya menutupi semua itu.

“Sebab saham! Mama dah janji kalau saya kahwin dengan awak, dia akan serahkan dua puluh persen saham syarikat kepada saya. Satu perniagaan yang sangat menguntungkan.” Rijal senyum sinis.

Seperti tersedar daripada mimpi, Sufie mula menyedari isi sebenar Rijal, namun itu semua sudah terlambat.

“Sebab itukah perkahwinan kita dicepatkan?”

“Ya lah! Emas depan mata tak harus dibiarkan lama-lama. Kalaulah mama berubah fikiran, tentu rugi. Emas tak datang bergolek.”

“Abang khianati janji mama.”

“Saya janji akan kahwini awak dan buatkan awak senyum. Itu janji saya pada mama. Bukan ke, impian awak nak bergelar pengantin dan isteri dah tercapai.”

“Tak adakah rasa cinta, untuk saya. Walau setitik?” Sufie menduga.

“Awak rasa? “ Rijal menyoal kembali. “Anak Dato’ seperti saya beristerikan albino. Awak gila ke? Sepatutnya awak kena pandai berfikir, bukannya tertipu dengan mimpi yang tak pernah wujud. Ini dunia realiti, bukan fantasi.”

“Abang dah berjanji nak temankan saya sepanjang hayat ini. Abang masih ingat bukan,”tenang Sufie melantun kata walau hatinya hancur, malah senyum kecil menghiasi setiap butir katanya.

Rijal memerhati Sufie dari bawah ke atas dan ke bawah semula, menyebabkan Sufie merasa semakin terhina, seolah-olah dirinya sedang ditelanjangi dan maruahnya sedang dirobek-robek rakus oleh Rijal. Ah! Lelaki itu benar-benar telah menelanjangi maruahnya dengan mata syaitan yang menghina.

“Awak rasa-rasalah, ada ke, cinta untuk awak? Wujud ke, cinta sejati untuk awak?” Rijal menyoal. Sufie kelu. “ Biar saya tolong jawab. Tidak akan pernah wujud cinta untuk albino.”Renungan tajam itu bagai jarum yang dibenam ke hati. Lelaki itu ternyata kejam.

“Saya juga berhak untuk dicintai. Saya tak pernah memilih, hanya mahukan cinta ikhlas.” Sufie makin sebak, namun masih dipertahankan ketenangan dan kelembutan bicara dalam payah.

“Dalam dunia ni, ada duit, ada pangkat, ada rupa, adalah cinta. Saya ada semua itu dan awak tidak ada walau satu pun. Jadi macam mana awak nak dapat cinta sejati. Give and take,itu hukum dunia. Orang tak buat kerja free.” Rijal mencebik hina.

“Kalau semua itu hilang, masih adakah cinta sejati untuk abang? Kalaulah cinta diukur dengan semua tu, tentulah cinta itu lebih layak disebut cinta jual beli.”

“Kenapa awak ni? Ising? Terimalah kenyataan saya tak sudi. Mustahil lah, saya akan jatuh cinta kat awak.” Rijal mula meninggikan suara.

“Hati manusia milik ALLAH. Bila-bila masa boleh berubah. Hari ini benci, esok lusa cinta.”Sufie cuba memujuk, bukan kerana tidak dapat menerima kenyataan, tetapi tidak sanggup melukakan hati mek yang begitu berharap. Tergambar tangisan pilu mek jika perkara itu terbongkar. Pastilah ibunya akan dihina seisi kampung.

“Tengok pun dah loya, inikan pula nak bercinta. Bersama apatah lagi. Saya boleh cari cinta dengan duit.”

“Kalau abang bercinta seratus tahun sekalipun, jika ALLAH pusingkan hati, sekelip mata, cinta boleh jadi benci. Bukan tak pernah dengar dan lihat perkara macam tu.” Sufie bernada lembut, cuba memancing.

“Kasihan awak, dipermaikan TUHAN. Sembahyang tak habis-habis, tapi malang memanjang.”

“Itulah sebenarnya kasih sayang ALLAH. Ibarat ayah yang merotan anak yang disayangi demi kebaikan anak itu sendiri. Seperti ibu yang menggambil pisau di tangan anaknya, walaupun anaknya menjerit mahukan pisau itu. Mungkin ini yang terbaik untuk saya.”

“Awak sebenarnya hidup dalam mimpi! Sedarlah TUHAN bencikan awak. Tengoklah awak kena albino. Sebab awak, seisi keluarga awak malu.”

“Saya ini gadis biasa, yang amalnya tidak seberapa. Jika penyakit ini dapat mendekatkan saya padaNya, saya terima.”

“Kasih sayangNya maha luas, abang yang sedang bersangka buruk denganNya, masih tidak ditarik nafas. Masih diberi rezeki. Saya redha jika perceraian ini pilihan abang, Cuma tolonglah berhenti mempersoalkan ALLAH. SayangNya tidak bertepi. Sayangilah DIA selagi sempat.”

“Memandai pulak awak ni. Kalah ustazah. Nasib baik saya ceraikan awal-awal. Kalau tak silap-silap pakai kopiah lah saya jawabnya.”Rijal mencerlangkan mata kerana geram.

Lelaki itu tidak mampu dipujuknya. Melihatkan mata Rijal yang membutang dengan kerutan menyinga pada wajah menyebabkan Sufie menukar soalan. Baginya, tiada guna dia cuba memujuk jika orang sudah tidak sudi.

“Bila abang nak bertolak.”

“Sekarang. Boleh tak kalau awak senyap. Serabut… Serabut, faham tak makna serabut.” Rijal membentak geram.

“Tolong kasihankan mek! Dia benar-benar berharap pada perkahwinan ni. Berlakonlah hingga kita tinggalkan kampung esok. Kasihankan dia yang dah tua. Saya tak kisah dimalukan, tapi maruah mek dan ayah saya kenalah dijaga. Esok tinggalkan saya di bus station dekat pekan. Saya janji, tak kacau hidup awak lepas ni.”

Walaupun dia telah meracik-racik jiwa Sufie, namun hatinya masih tersisa belas kasihan. Rijal bersetuju dengan permintaan Sufie, namun dia juga mahu agar perkara itu dirahsiakan daripada pengetahuan mamanya iaitu Datin Abda sehingga selesai penyerahan saham itu kepadanya.

“Awak tidur atas katil. Tanda saya minta maaf.” Rijal bersuara tegas.

“Kita bukan lagi suami dan isteri. Abang tidur sahaja atas katil. Esok nak berangkat jauh, perlu rehat lebih. Ini rumah saya, pandai-pandailah saya tidur.”Sufie berkata lembut.

Rijal terkasima sebentar, tidak disangka dan diduga yang Sufie masih mampu tenang walaupun telah dicerai dan dihina. Malah setiap katanya penuh kelembutan tanpa riak kesedihan. Perasaan bersalah menjentik tangkai hati, namun tidak diendahkan kerana matlamatnya adalah jauh lebih penting. Dia memerhatikan Sufie melangkah keluar. Lamunannya terhenti sebaik pintu bilik tertutup.

“Alhamdullilah.” Sufie memanjat kesyukuran kerana rumahnya lengang seperti dilanggar garuda. Jika tidak tentulah wajah dukanya itu mampu dihidu. Mungkin kerana kesemuanya telah kepenatan setelah seharian bertungkus-lumus. Sufie menitiskan air mata, ternyata ujian itu amat berat, seperti nyawanya sedang disentap-sentap.

“Ya ALLAH. Kasih sungguh Kau padaku. Hari ini Engkau curahkan ujian tanda cintaMu padaku. Tapi cinta ini terlalu besar, sehingga air mataku jatuh laju. Aku mohon pertolonganMu, agar setiasa bersangka baik denganMu dan hamba-hambaMu.”

Sufie melangkah longlai ke bilik air. Sebaik pili dipulas air meluncur laju, selaju air matanya. Hujan yang turun lebat, melumpuhkan bunyi tangisannya.

Dia masuk ke bilik tetamu dan memutuskan untuk bermalam, bermunajad dan megadu untung nasibnya kepada ALLAH. Usai solat Tahajud dan berdoa. Dia kembali berkata, meluah duka kepada TUHAN.

“Ya ALLAH. Ini malam pertama pengantinku. Malam aku sepatutnya dipeluk dalam dakap cinta suami. Tapi malam ini, masih sama seperti malam-malam sebelumnya. Aku masih dijemput untuk dakapan cintaMu, dan sesungguhnya tiada cinta yang terindah, melainkan cinta-Mu.”

“Ya ALLAH Jika ini pilihan cintaMu, aku redha. Namun aku masih seperti bayi kecil yang bertatih, sering jatuh dan tersungkur. Pimpinlah aku bangun. Pimpinlah aku melangkah. Jangan sampai aku sia-siakan cintaMu. Aku tidak mahu pulang melihat kemurkaanMu, setelah aku kenal kasih sayangMu.”

“Berilah rasa penyerahan yang benar padaku. Rasa penyerahan yang dirasai para kekasihMu. Rasa yang membuatkan Kau bangga untuk menyatakan akulah di antara kekasihMu.”

Sufie larut dalam munajad. Ketenangan hadir, sedikit demi sedikit membelai kalbu.

Kemudian tidak henti-henti bibirnya menyebut doa memohon keampunan daripada ALLAH S.W.T.

Rabbana zhalamna anfusana wa in lam taghfir lana wa tarhamna lanakunanna minal khasiriin. Air matanya kembali mengalir deras, seolah kasih sayang TUHAN sedang mendakapnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sufi Abqari