Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 16- ZIKREY, KHAIRUL DAN DANIEL

Pagi. Hospital Selayang.

Doktor Zikrey menekan dada pesakit. Titis-titis halus membenih di dahinya, gentar dan gusar menyerang. Bukanlah petanda dia akan mengalah. Malah perkataan ‘mengalah’ sama sekali tidak melintas di benak. Maklumlah anak jantan, mana boleh mengalah. Ye tak?

“Selagi Allah bersama, In sha Allah semua akan selamat.” Zikrey bersuara kecil. Namun masih mampu didengar, sekaligus mengundang senyuman doktor-doktor lain.

“Amin… masin mulut you Zik,” senyum menguntum di bibir Doktor Aina.

“Rasa bersemangat dan bertenaga, macam baru lepas telan vitamin bila dengar doa you Zik. Hilang takut I. Kalau tak, silap-silap boleh pitam,” sampuk Doktor Adam.

“Kalau kau pitam kira ok lagilah. Tapi jangan kau tersalah operate patient sudah,” usik Doktor Aina.

Zikrey adalah Mo dikenali juga Medical Officer, yang pelik bagi Sufie. Mana tidaknya setiap kali mereka bertembung pasti Doktor Zikrey akan menunduk dan berlalu laju macam mamat poyo. Kadang-kadang Sufie senyum, kadang-kadang hairan dan kadang-kadang agak geram.

“Doktor Zikrey and the team tengah resuscitate patient.Apalah perasaan seorang doktor ketika bertungkus-lumus menyelamatkan pesakit?” tanya Sufie sendirian.

Entah kenapa, dan kalau ditanya Sufie juga tak mungkin mampu berikan jawapan kenapa pembedahan itu amat menarik minatnya. Seusai solat dia terus duduk dibangku panjang berhampiran tingkap, bersebelahan dewan bedah. Pohon-pohon kayu yang terbuai-buai melunakkan senyuman. Manalah tahu kalau-kalau ada berita menarik. Dua orang jururawat sedang berbual-bual, mereka melintasi Sufie.

“TKR,” jawab seorang jururawat yang melintasi.

“Maaf cik… tumpang tanya?” aju Sufie ramah.

“Tanyalah. Kami jawab sebaik mungkin,” balas salah seorang jururawat. Tertera tanda nama ‘Zulaikha.” Di uniformnya.

“Cik Zulaikha, boleh saya tahu, pembedahan apa sekarang? Lampu dewan bedah tengah menyala tu.” Sufie menunding jari pada lampu kecemasan di pintu dewan bedah.

“Oh, tu. TKR. Total knee replacement… lagi sejam dua selesailah,” jawab Jururawat Zulaikha. “Tunggu siapa? Mesti tunggu buah hati ni” soalan bersulam usikan. Sufie kelu.

“Tak tunggu siapa-siapa, hanya bertanya. Saya Sufie, cikgu di sini. Orang kata kalau lampu menyala tandanya ada pembedahan. Tu yang sibuk bertanya.” Sufie bangun bersalam dengan kedua-dua jururawat itu.

“Jangan ambil hati cikgu. Saja menyakat. Orang kata kalau tak bersenda gurau malaplah dunia.”

“Tak apalah. Saya tak kisah,” balas Sufie.

Mereka berkenalan malah berbual seketika, sebelum kedua-dua jururawat berlalu pergi.

Beberapa minit selepas itu lampu kecemasan dewan bedah padam. “ Sudah beres nampaknya. Moga-moga berjaya Ya- Allah.” Sufie mengejip mata seketika.

Beberapa orang meluru ke pintu dewan bedah. Wajah mereka terlukis kegembiraan.

Hati Sufie kini seumpama sekuntum liliy putih bila terpandang susuk Doktor Zikrey sedang didakap waris pesakit. Tentulah pembedahan itu berjaya, kalau tak mana mungkin dia dipeluk sebegitu erat.

“Terima kasih doktor… terima kasih banyak-banyak. Kalau tak sebab doktor semua mesti ayah saya tak akan sembuh,” riang waris pesakit bersuara. Dan suara kegembiraan yang bergema itu dapat didengar jelas oleh Sufie.

“Sebab kepandaian doktor semua, ayah kami ada harapan nak berjalan lagi.” Seorang gadis menitiskan air mata gembira.

“Kepandaian kami milik Allah. Ayah kamu selamat pun kerana Dia. Kami cuma berusaha dengan kudrat dan illmu yang dipinjamkan-Nya.” Zikrey membalas riang.

 Macam tak percaya sudah dua bulan dia mengajar di sekolah dalam hospital, bertempat di Hospital Selayang. Menurut buku yang pernah dibaca, Hospital yang terletak di Gombak, Selangor itu merupakan hospital pertama di Malaysia yang beroperasi dengan Sistem Maklumat Hospital Menyeluruh, meliputi seluruh aspek operasinya. Seketika dia bersyukur ditempatkan di situ, tempat di mana sejarah terlakar.

Sufie melangkah pergi bila teringatkan Daniel. Kanak-kanak berusia dua belas tahun itu dimasukkan lagi ke hospital setelah dibenarkan pulang.

Langkah Sufie terhenti seketika, bila menghampiri bilik Daniel, pintu yang sedikit terbuka membenarkan susuk tubuh kanak-kanak itu dilihat.

“Assalamualaikum.” Sufie menyapa. Seperti dimaklumkan Tariq, kanak-kanak itu hanya hidup bertemankan tingkap kaca. Salam Sufie tidak bersambut.

‘Hari pertama aku mengajar Daniel Ya-Allah. Mudahkan untukku,’ detik hati Sufie.

Daniel tidak pedulikan Sufie yang sedang duduk bersebelahan. Sufie merenung ke luar tingkap kaca, berkongsi suasana. Malah kalau boleh, hati kanak-kanak itu juga mahu dikongsi, biar dapat diselami dengan lebih telus. Namun begitu Daniel seakan-seakan tidak mahu dunianya dicerobohi sesiapa.

“Apa yang menarik? Mesti burung layang-layang kat atas tiang letrik tu,” duga Sufie.

Tiada reaksi.

“Tak pun pokok semarak api yang tengah berbunga lebat tu. Tapi sayang aras ni tinggi, pucuk pokok tu saja yang nampak. Wah! Cantiknya bunga merah semarak api tu.” Sufie bangun menghampiri tingkap kaca.

Bilik yang menempatkan Daniel adalah wad kelas A, hanya menempatkan empat buah katil. Untuk keselesaan tersedia sebuah sofa panjang, cukup untuk tiga pelawat duduk dan sebuah television yang tergantung pada dinding. Sungguhpun begitu hanya Daniel seorang sahaja yang menghuni.

Sufie sedikit menunduk, senyum meleret lalu mencubit pipi Daniel. Kanak-kanak itu menepis geram bila dirasakan Sufie menceroboh ketenteramannya.

“Jangan kacau. Tak suka. Pergi berambus,” marah Daniel. Wajah marah itu kembali kosong bila merenung ke luar tingkap.

“Kenapa marah?” aju Sufie ramah. Dia cuba mengusap kepala Daniel.

“Pergi jangan kacau! Pergi… jangan kacau orang.”

“Alhamdullilah… Akhirnya nak juga Daniel bercakap dengan cikgu. Macam tu lah baru best,” luah Sufie gembira.

Daniel tenung Sufie, matanya turun naik memerhati. Senyum sinis akhirnya.

“Kesian cikgu…!” makin sinis Daniel senyum.

Sufie terkedu. Kanak-kanak berumur dua belas tahun itu meluahkan sesuatu yang tak terduga.

“Muka cikgu memang macam tu ke? Muka orang sedih. Tak payahlah nak senyum. Tak ada maknanya,” mata butang Daniel semakin membutang.

“Cikgu tak faham?”

“Dunia tak mahukan cikgu. Mungkin keluarga cikgu pun benci kat cikgu,” ayat itu dilontar kejam. Kalau tak kerana iman yang masih subur mahu terduduk dia dibuatnya. “ Cikgu dah kahwin?” soalan cepu emas dipasak. Wajah Rijal menjengah tiba-tiba.

“Kenapa aku masih ingatkan dia. Padahal dia dah lama pergi.” Sufie berkerut seribu. Kalaulah wujud satu perkataan yang dia sangat, sangat mahu ucapkan adalah betapa dia mencintai Rijal. Tapi bila difikir-fikir balik mencintai Rijal bermakna bermain dengan api. Sah-sah dia terbakar. Dari albino terus jadi orang minyak.

“Baguslah kalau tak kahwin lagi. Kalau kahwin takut kena cerai malam pertama. Nanti suami cikgu ingat, cikgu hantu,” pedas Daniel membidas.

“Masya Allah. Daniel kenapa cakap macam tu. Mengucap. Istigfar.” Sufie dipersimpangan. Ucapan Daniel telah mencungkil kisah silam yang cuba dilupa.

“Cikgu marah? Cikgu boleh pukul saya kalau nak. Saya tak kisah. Kalau tak puas boleh bunuh saja,” luah Daniel tanpa emosi.

“Tak baik cakap yang bukan-bukan Daniel. Dah lah sekarang kita belajar,” tenang Sufie menjawab. Padahal gelodak hatinya bercampur- baur.

“Jangan kacau saya. Saya tak mahu apa-apa atau sesiapa pun kacau saya. Berapa kali saya nak cakap benda serupa. Cikgu baliklah. Tak pun pergi ajar budak lain.” Daniel menjeling lalu menarik-narik rambutnya yang sudah tersisa. Sufie diam seketika, mungkin terkejut dengan aksi tidak waras Daniel.

‘Sakit ke? Atau benci ke dia kat aku? Kalau biarkan lama-lama boleh botak rambut budak ni.’

“Kalau tak mahu belajar, biar cikgu teman Daniel.” Sufie tarik kerusi dan merenung ke luar tingkap. Dia senyum bila angin menyapa. Daniel yang meroyan terpaku bila melihat seulas senyuman Sufie yang mendamaikan. Dia ikut tenang dan mula merenung kembali ke luar tingkap.

“Cantik kan langit biru tu?” soal Sufie. Namun tidak berjawab.

Sedang mereka merenung ke luar tingkap seorang lelaki masuk. Kelu, bila pandangan mereka bertaut. Lelaki itu mahu berlalu.

“Assalamualikum Doc Zikrey. Nak melawat Daniel ke?” Sapa Sufie, agak mendalam suaranya. Dia tak pasti adakah patut dia menyapa doktor poyo itu.

Doktor Zikrey berpusing kembali, senyum yang dipaksa mengitari bibirnya. Dibetulkan kaca mata yang hampir meloroh ke pangkal hidung.

“Waalaikummussalam… Tak apalah, aku datang nanti. Aku tak tahu kau tengah mengajar. ”

“Tak payah datang. Dani tak suka orang kacau. Pak Su dengan cikgu ni memang penyibuk. Eloklah kalau dua-dua kahwin,” sampuk Daniel selamba. Matanya masih terpaku ke luar tingkap.

“Daniel….” Sufie bersuara. Namun dipintas.

“Tak apalah Sufie. Aku datang belah malam. Cuma nak berikan benda ni kat Dani,” Sepapan kecil coklat berjenama dikeluarkan dari poket bajunya.

“Tak payahlah susah-susah nak ganti tempat papa. Pak Su tak mungkin sama dengan papa. Lagipun Dani pandai jaga diri sendiri. Kalau Pak Su nak tolong, ada satu perkara….” Daniel berpaling merenung Zikrey.

“Cakap sajalah Dani. Tak payah nak cakap sekerat-sekerat,” manis bicara Zikrey.

“Tolong kahwin dengan Cikgu Sufie. Jaga dia baik-baik. Tinggalkan Miera si playgirls tu.” Sekali lagi dengan selamba Daniel berkata. Sufie memincingkan mata.

“Puh… memang sadis anak murid aku sorang ni. Siapalah tok guru yang mengajar,” ketenangan Sufie terusik. Dia menjadi malu.

“Sufie jangan kisah dengan budak Dani ni.. Memang tabiat dia dah. Suka psiko orang tak tentu pasal,” luah Zikrey bersahaja.

Dia berjalan merapati Daniel. Diusap kepala kanak-kanak itu tapi ditepis kasar.

“Berhenti berlagak macam papa! Sampai bila-bila pun Pak Su tak boleh jadi serupa papa.”

“Hidup yang paling menyedihkan ialah bila kita tidak tahu erti hidup dan kenapa kita hidup.” Sufie membalas. Matanya tepat memaku wajah Daniel.

“Aku pergi dulu Sufie. Assalamualikum.”

“Saya kenal doktor ke?” aju Sufie. Wajahnya berkerut.

“Kenapa?” gagap Zikrey menyoal kembali.

“Wajah yang biasa dilihat, tapi tak pernah ditemui. Agak ganjil nak cakap. Tapi rasanya muka doc macam saya kenal.”

“Maksud Sufie?” Zikrey gagap tiba-tiba.

“Mungkin salah orang… Cuma perasaan saya agaknya. Maaf.”

“Tak apalah. Aku pergi dulu,” berlalunya Zikrey membawa bersama mainan perasaan Sufie.

Sufie masih menggali. Ya, dia sedang menggali ingatan yang tebal berkabus. Cuba mencari-cari kamus ingatan berkaitan Zikrey. Seperti biasa, dia hampa.

Bunyi telefon menjerit mematikan lamunan Sufie. Daniel masih membatu. Agaknya kerana nada dering itu agak melankolis, dia hanyut lagi.

“Telefon. Angkat!” arah Daniel garang. Namun wajahnya masih memerhati ke luar tingkap.

“Aik! Telefon Daniel, kenapa cikgu pula yang kena angkat?” bantah Sufie.

“Tak nak angkat sudah… Tolong matikan. Bising,” arah Daniel lagi. Sekali tengok macam psiko, dua kali tengok macam bos besar. Tak sepadan dengan umur orangnya.

Daniel tetap tidak berganjak. Sufie mengalah. Manalah tahu jika panggilan itu penting. Ditekan punat hijau. Suara bergema di hujung corong. Meremangkan bulu telinga, lalu mengalir meremangkan bulu roma.

“Sayang buat apa tu… Maaf tak jadi balik. Sibuklah. Tengoklah minggu depan. Tapi tak pasti. Jangan lupa tengok kapal terbang papa melintas.” Lelaki itu bersuara manja. Suara yang dibuat-buat bagi memujuk anak kecil.

“Maaf encik. Saya Sufie. Cikgu Daniel. Encik nak berbual dengan Daniel ke?” aju Sufie serba-salah.

“Manis suara cikgu… Mesti cikgu cantik. Beruntung Dani dapat cikgu secantik awak. Dah kahwin ke belum?” soalan miang bermain di telinga Sufie.

“Encik nak berbual dengan Daniel ke? Saya rasa dia tentu rindukan encik.”

“Eh! Nantilah dulu. Tak sudi ke berbual dengan saya. Dari tadi hati saya dip... dup… dip… dup…. Rupa-rupanya nak berkenalan dengan gadis secantik cikgu.” Ayat itu mati. Lelaki itu bercakap sesuatu dalam bahasa Inggeris dengan seseorang. Sufie lega, belum sempat dia menghulurkan telefon kepada Daniel, suara kembali bertaut di corong.

“Sufie… Awak boleh panggil saya Khairul. Tak sesuai gadis semanis awak panggil saya encik.”

“Rasanya Daniel betul-betul rindukan encik.” Sufie menyuakan telefon kepada Daniel. Tidak diendahkan.

“Nah. Ambil. Ayah Daniel nak berbual.”

Daniel mencemik bibir, buat muka tiga suku. Sufie serba-salah.

“Ambil Dani. Ayah kamu nak berbual.” Sufie memegang tangan Daniel, cuba membuatkan dia menyambut telefon. Namun masih tidak berjaya, atau lebih tepat Sufie tidak sanggup memaksa. Mungkin kerana keadaan kesihatan Daniel.

“Kenapa diam? Masih marah. Papa akan tunaikan janji, bawa balik mama untuk Daniel. Tapi sekarang papa sibuk. Sabarlah sayang,” ayat itu bergema bila telinga Sufie kembali ke corong telefon.

“Klu pertama sudah berjaya diperolehi. Daniel rindukan mama dia rupa-rupanya. Patutlah dia asyik merenung jauh ke langit.” Sufie perhati renungan kosong itu. Sayu menjentik hatinya.

“Dani… Dani… Kenapa diam. Cheer up boy.” Nada sesal bergema.

“Ini saya. Sufie. Daniel kurang sihat. Dia tengah berehat. Encik telefon kemudian boleh?” selindung Sufie.

“That you… Mati-mati saya ingat Dani. Oklah kita lupakan hal Dani. Berbalik pada soalan asal, you dah kahwin ke belum. Nak kahwin dengan I tak. Free of charge. I tanggung semua.” Nada manja bergema. Wajah Rijal menjelma. Dia beristifar berkali-kali di dalam hati . Tidak disangka begitu mudah Khairul berjenaka dan menabur umpan disaat anaknya sakit dan isterinya setia di sisi. Dia membalas.

“Wanita itu tulang rusuk lelaki, minta dilindungi bukan dipatah-patah. Bukan barang yang boleh diambil bila suka dan buang bila tak suka. Masih sempat encik berperangai macam budak-budak, menjual minyak. Daniel sakit. Dia mahukan ayahnya bukan seorang playboy. Dia mahukan ibunya. Dia rindukan ibu dan ayahnya.” Sufie bersuara tegas, namun masih lembut.

“Saya tahu Dani sakit. Tapi saya sibuk. Alah, Pak Su dia ada. Lagi pun bukan sehari dia sakit. Dah tiga tahun. Orang kata alah bisa tegal biasa. Tak payahlah nak serius sangat. Inilah masalah orang perempuan, hal besar debu boleh jadi macam jerebu. Jangan emosi sangat. Dani tu belum nak mati lagi.” Khairul melawak membuatkan hati tenang Sufie mendidih. Agaknya kalaulah wujud thermometer menyukat hati, mesti meletup thermometer itu disebabkan didihan amarahnya..

“Untung Allah masih sayang Encik Khairul. Sebab tu dihantar kerja jauh-jauh. Untung tak kerja kat Malaysia,” luah Sufie geram. Namun seperti biasa geramnya tetap kelihatan terhormat.

“Kenapa, untung tak kerja kat Malaysia? Sayang…” Khairul makin galak mengusik. Entah mengapa dia jadi terhibur.

“Sebab kalau Encik Khairul kerja kat Malaysia, dah tentu saya gulai-gulaikan encik. Senang-senang encik melawak Daniel tu belum nak mati. Encik ingat ni rancangan Maharaja Pak Lawak. Nak buat lawak bodoh. Anak encik tu tengah sakit. Tengah bergelut dengan takdir. Harta dunia tak habis dicari. Baliklah bawa mama dia.”

Tenang Sufie mengecut. Belum pernah dia segarang itu. Padahal Daniel bukanlah adiknya.

“Mama tak akan balik. Dan tak akan pernah balik. Malah dalam mimpi sekalipun mama tak akan pernah balik.” Wajah kosong Daniel masih merenung ke langit lepas. Nada suaranya sayu, tidak segah tadi.

Terkejut Sufie bukan sedikit. Tapi membukit. Dia terpinga seketika.

“Maaf Encik Khairul, saya terpaksa letak telefon sekarang,” punat hijau ditekan ketika Khairul mahu menyambung kata. Sufie memeluk Daniel pantas. Diusap dan dicium kepala yang hampir botak itu.

“Jangan marah papa. Mama pergi pun sebab Dani. Papa tak mahu jumpa Dani sebab dia akan teringatkan mama bila tengok Dani.” Dada Sufie menjadi panas. Rupa-rupanya titis demi titis air mata Daniel meluncur jatuh ke jubahnya.

“Mama Daniel pergi mana? Bukan ke, papa dah janji nak bawa mama Daniel pulang?” aju Sufie keliru.

“Mama meninggal masa lahirkan Dani. Dani suruh papa cari mama baru sebab tak mahu papa sedih. Tapi papa masih sedih. Tahu- tahu papa dah ke luar negara, tinggalkan Dani.” Daniel meraung hiba. Wajah kosong dan sombong milik dia berubah kanvas menjadi wajah paling sayu pernah disaksikan Sufie.

“Ya –Allah aku sudah khilaf menilai hamba-Mu. Ampunkan aku.” Sufie mencapai telefon itu kembali. Mendail. Namun hanya bunyi ‘bip’.

“Papa off telefon. Dia akan on bulan depan. Sebulan hanya satu panggilan.” Daniel berkata tersekat-sekat.

“Ya-Allah, apakah hatiku boleh tenang untuk sebulan ini tanpa meminta maaf atas kekhilafanku.” Sufie terpaku bersama persoalan itu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.